Khamis, 28 Julai 2011

gear berapa...

pagi itu seperti juga pagi-pagi yang lain, suasana di rumah sewa yang beralamat 119, sari 28, taman cempaka, ipoh agak riuh dengan suara guru pelatih yang beberapa hari baru menghuni rumah tersebut. masing-masing kelam kabut berebut bilik air nak mandi dulu, kemudian bergilir-gilir pula menggunakan seterika kepunyaan saudi yang berasal dari kg. ketapang, pekan, pahang. seorang demi seorang menggosok baju masing-masing. maklumlah bakal guru, mestilah berpakaian kemas dan baju bergosok supaya nampak kewibawaan sebagai seorang pendidik anak bangsa.

setelah semua selesai, maka tibalah pula giliran seorang anak kampung mengosok bajunya. tak kan orang saja nak bergaya, aku pun nak jugak nampak kemas dan smart, bisik aku di dalam hati. meski dari tadi aku asyik memerhati rakan serumah menggosok baju, tapi aku masih kekok untuk melakukannya. mula-mula tekan 'switch' kat 'plug', kemudian... aik! macam mana ni? pada pemutar seterika itu tertulis nombor 1,2,3,4 dan 5, aku panik dan berfikir nak pusing sampai nombor berapa pulak ni. nak bertanya malu, takut nanti dikata, ulu sangat, tak kan nak guna seterika pun tak tahu. kalau pakai hentam saja nanti, takut terbakar pulak baju aku tu.

dalam keadaan antara malu dan segan, serba salah dan bimbang aku pun bertanya: oi! nak gosok baju ni guna gear berapa? haa...? apa dia, bob? tanya ramizul, budak pulau tawar, jerantut kepada aku. aku dengan selamba mengulangi pertanyaan tadi dengan nada agak kuat: nak gosok baju ni, guna gear berapa? maka berderailah gelak tawa dari tujuh orang guru pelatih, berdekah-dekah bunyinya. aku hanya mampu tersipu-sipu, nak kata malu, malulah jugak tapi nak buat macam mana memang aku tak pernah menggunakan seterika sebelum itu. lalu aku pun tergelak sama kerana merasa lucu, macam motor pulak pakai gear-gear.

itu lah antara pengalaman aku semasa mula-mula bergelar guru pelatih di maktab perguruan kinta, jalan dairy, ipoh. setiap kali menggosok seluar baju aku atau seluar baju sekolah anak aku, pasti aku teringat kesah itu dan akan tersenyum sendirian, apa taknya seterika pun guna gear ke. masa aku kecik-kecik dulu, selalulah tengok mak aku gosok baju atau uniform askar wataniah ayah aku, menggunakan seterika arang. tak ada pun nombor 1 sampai 5. bubuh bara arang yang merah menyala dalam seterika, tutup, kemudian gosok atas daun pisang nak tengok dah cukup panas ke, tidak, barulah digosok setelah baju atau pun uniform itu di sembur dengan air kanji nak bagi 'karau'... eh! bukan 'karau' lah tapi keras. nasib baik korang tak tahu apa 'karau' tu. tapi kalau tahu, janganlah bising-bising pulak. nanti malu aku sekali lagi.

namun segalanya tinggal kenangan, seperti maktab itu yang tinggal nama saja sekarang. tak kesahlah apa pun, apa yang penting pengalaman itulah yang mengajar kita erti sebuah kehidupan dan bakal mematangkan kita untuk menempuh liku-liku perjalanan seharian yang penuh onak dan ranjau berduri. hanya kecekalan hati serta ketabahan jiwa, disamping kekuatan iman sahaja yang akan berjaya mengharunginya menuju ke puncak kecemerlangan. cukuplah sekadar ini dahulu selingkar kisah dari aku, ketemu lagi di lain kesempatan dengan cerita ceriti yang diharapkan dapat dijadikan iktibar buat kita semua.
assalamualaikum......daaa......senyum selalu!

Jumaat, 22 Julai 2011

menanti sebuah pengharapan.




sayu hati bukan rasa yang mengada
tapi yang bergelora dan mengoda
mengusik kalbu menyentuh kalbu
episod duka menyentuh pilu.
telah berlalu alunan rindu
yang tak mampu ku selami
dan membiarkan ia berlalu
satu persatu.
deru itu masih tetap menunggu
pada sebuah perjalanan kelabu
menanti hadir mereka yang akan kembali
bersama luka-luka tanpa darah.
namun kita yang masih termanggu
seakan buntu mencari sebuah jawapan
pada dimensi yang sukar dimengerti
pada janji yang telah mati.
maaf kerana aku tak mampu
menghurai pada mu warna senja semalam
yang menjadi kontroversi antara kita
dalam menatap wajah sepi di sudut hari.
sayang
apakah lagi yang harus ku persembah pada mu
bukti sebuah kejujuran
sedang aku hampir tewas dalam sinar mata mu.
jelaslah kini ketukan-ketukan ku di hati mu
tidak lagi upaya membuka pintunya
menerima seruan kalbuku
dan membenam rintihan rindu.
lantaran itu janganlah kau
persenda mimpi ku
juga ilusi yang masih ku tanggung
dalam sisa-sisa perjalanan
saat malam kian larut
larut dalam sahdunya lenamu.


b.tan.
3.5.2011.


* sebenarnya aku tak ingat pada tahun berapa aku menulis atau lebih tepat lagi menaip sajak ini. kalau tak silap aku pada tahun 1992 semasa aku menyewa di taman siew ling, belakang pejabat pos lawas. cuma yang aku ingat kertas itu adalah kertas zaman sebelum ada kertas berwarna putih cerah. dan kertas itu telah tersadai di mesin taip untuk beberapa lama kerana aku sering kematian idea dan buntu untuk menamatkannya. malah aku juga tak ingat sama ada sajak ini aku taip semasa aku dah bertunang atau belum. tapi yang pasti masa itu aku belum kahwin lagi. sebab itu ada beberapa kesilapan taip jika diperhati betul-betul pada gambar yang aku sertakan sebagai bukti. itu pun kalau korang nak percaya, aku tak paksa pun. setelah agak lama berada dalam simpanan aku, entah pada tahun bila aku cuba untuk menyiapkannya. tapi yang mampu aku catat hanyalah: persenda mimpiku, juga ilusi. kemudian mati lagi idea. bukan senang nak menyambung sajak yang dah bertahun terbengkalai. jadi ia terhenti lagi untuk kali kedua. pada 3.5.2011 yang lalu ketika aku menyelongkar kertas-kertas yang ada dalam simpanan, terjumpa semula dan aku bertekad untuk menyudahkannya agar dapat aku masukkan dalam antologi "danau kalbu ku". memang payah, sehingga aku mengambil keputusan cukuplah setakat apa yang aku tulis dengan pen dakwat merah itu. tak perlu panjang-panjang kerana ia memerlukan aku berfikir untuk mencari kata-kata yang sesuai. oh! ya, tajuknya sahaja yang masih belum ada. nantilah aku fikir sekejap lagi apa tajuk yang sesuai atau pun tak payah bertajuk. habis cerita. ok, tajuknya : menanti sebuah pengharapan.

Selasa, 19 Julai 2011

aku bangun cuba mengapai nur-Mu.

Dalam rindu tak bertepi

aku bangun cuba mengapai nur-Mu.

buat menaut mimpi-mimpi dalam tidur ku

menghimpun segala kesyahduan yang meresahkan

meresap membalut tubuh kurusku

yang terlantar di hamparan berdebu.

Tuhan ku

di mana lagi nur-Mu tersembunyi membiar ku sepi

seusia ku mencari

terjatuh tersungkur di lembah berduri

bangun dalam lelah menghela resah

aku rebah... aku payah... aku terkelawah...

Nur-Mu Tuhan ku

ku cari ku gali ku kaji ku ngerti

Tuhan

aku harus rindu selalu pada-Mu

untuk bertemu memadu kasih

mengapai nur-Mu

bersama puing cinta semalam.

b.tan.

08.05.2010.

bera.

Isnin, 18 Julai 2011

lo' lo'...

dia berjalan
mencari arah sebuah kepulangan
dan bertemu sebuah perhentian
dalam perhentian yang menghijau
telah ditaburnya bakti nan tersudi.

kini ia
melangkah sepi
di perjalanan lagi
moga langkahnya
kali ini
diiringi wangian kasturi......
amin.


b.tan.
18.07.2011.
kemayan.
1.40pm.

Selasa, 5 Julai 2011

lancangkuningboat: kenapa dan mengapa.....(2)

disambung kembali entry terdahulu:

setelah membiarkan saja nama lancangkuningboat berleluasa dan merayau serta merayap di mana-mana ia sempat hinggap, suatu hari aku bertanya kepada penyelia ict kat sekolah aku, boleh tukar nama tak kat mukabuku itu. katanya, boleh dan ia pun menjelaskan beberapa langkah yang perlu aku lakukan. balik rumah aku pun mencuba, katanya dalam tempoh 24 jam ia akan bertukar secara automatik. aku pun tak tahu betul ke tidak. tapi masih jugak seperti nama yang lama, biarlah, aku pun bukan susah dek kerana nama itu. cuma, aku terus jugak mencuba sehingga akhirnya aku tahu apa punca ia tak boleh ditukar. tahniah kepada diri aku sendiri kerana akhirnya dapat muncul sebagai seorang aku yang sebenar.

oleh kerana, nama pun lancangkuningboat, jadi aku rakam gambar baju yang tertera perkataan "sukan tahunan sk kerayong 2008", sebagai pengenalan atau gambar profil aku, kerana aku ni pemalu orangnya. tapi gambar tu tak bertahan lama kerana bila aku mula memegang dan menyentuh bola serta kayu hoki pada bulan dua... gambar bola hoki pulak yang menjadi pilihan aku. pun tak lama, kerana terlalu teruk pencapaian pasukan hoki sk kemayan, aku tukar lagi gambarnya kepada gambar aku yang original. gambar aku berdiri disebelah backdrop sambutan maulidur rasul 2011. dengan misai dan janggut yang panjang berjela, itulah wajah aku yang sebenar. tapi bertukar lagi kepada gambar yang ada sekarang, kerana ia lebih mengambarkan tentang diri aku yang sebenarnya, tentang minat dan kecenderungan aku serta tentang jiwa dan perasaan aku. itulah gambaran hatiku...hahahah...perasan lah pulak.

orang lain bila bukak mukabuku, mesti asyik chatting...chatting...chatting... tapi aku tak, bukan lah aku tak pernah bersembang siber, tapi itu bukan keutamaan aku bermukabuku. rakan sembang aku hanyalah seorang dua saja, itu pun jarang-jarang..., kadang-kadang... yang selalunya sorang tu lah, tapi ia lain sikit... aku pun tak tahu apa yang lainnya... hahahah....

ok, lah... aku ni banyak lagi nak catat kat sini, tapi korang tahu lah aku ni, nama saja ada broadband baru, prestasinya mula membuat aku nak berasap telinga. install, tapi tak boleh nak guna. tak pe, sekejap lagi aku nak balik dan terus ke celcom kat kerayong tu. nak tanya apa dah jadi dengan apa yang aku telah beli itu. aku malas lah nak bising-bising, sebab aku tak suka kecoh-kecoh, lagi pun banyak dah benda yang aku nak tulis buat update blog, tergantung begitu saja... kasihan sikit kat aku ini... puasa dah tak lama dah... jadi sebelum aku mengundur diri izinkan aku mengucapkan 'selamat bersungkai' kepada mereka yang berpuasa sunat syaaban, semoga kalian ditambah kekuatan iman oleh Ilahi hendaknya.Amin.
sekian terima kasih, begitulah adanya.