Selasa, 25 Oktober 2011

semoga straight A's...

pada hari jumaat 21 haribulan yang lalu aku ke sekolah seperti biasa dengan beberapa agenda dan harapan. agendanya macam biasa pastilah tentang kerja aku, tapi harapannya ialah semoga aku dapat terus chatting... . setelah menulis nama, aku masuk bilik gpk satu dan bertanya satu dua perkara sebab semalam aku tak datang sekolah kerana ke smk seri bera. dalam pada itu gb memanggil aku, supaya aku masuk ke biliknya. setelah selesai sesi soal jawab di bilik gpk satu aku pun masuk pulak ke bilik gb aku. ia menyuruh aku panggil sekali gpk satu, ada sedikit perbincangan kecil. sebelum perbincangan aku sempat menghulurkan sekeping kertas atau surat jemputan untuk aku menghadiri satu majlis di smk seri bera. ok...berakhirlah perbincangan atau mesyuarat kecil antara kami berdua. aku pun minta kebenaran untuk ke seri bera.

setelah mencatat nama dalam buku pergerakan guru, sekali lagi aku ke smk seri bera, sekolah anak aku. jika semalam atas urusan majlis pelancaran kebersihan tandas sekolah2 daerah bera, tapi hari ini sebagai seorang bapa aku hadir kerana majlis perjumpaan penjaga pelajar tingkatan lima dan majlis anugerah cemerlang percubaan spm 2011. majlis anugerah cemerlang? aku pada mulanya hairan jugak. tapi bila dah diberitahu barulah faham. aku pun mendaftar kehadiran, lalu masuk ke dewan al-biruni smk seri bera dan bersalaman dengan beberapa orang bapa yang aku kenal dan tak aku kenal. dari jauh kelihatan siti nur akmal dan kawannya berjalan menuju ke dewan dan bersalaman dengan aku. ayah nak duduk kat mana, katanya. kat sanalah, kata aku sambil berjalan ke arah yang aku tunjuk sambil diikuti oleh siti nur akmal, anak sulong aku.

ketika pengacara majlis nak memulakan ucapannya, handset aku berbunyi pulak, mohd nor pondok minta aku bawak anak dia balik sekali nanti semasa menjemput anak aku dari smu guai. aku kata ok je padanya dan nampak gayanya aku terpaksa mengubah jadual perjalanan aku pada hari ini. majlis dimulakan dengan bacaan doa, diikuti ucapan puan pengetua, puan sapiah (bekas cikgu isteri aku dan kini cikgu anak aku pulak), seterusnya penyampaian anugerah kepada pelajar yang mendapat 5A dan ke atas. seramai 15 orang semuanya termasuk anak aku sekali. masing mendapat sepasang persalinan, dua buah buku dan bagi pelajar perempuan sehelai tudung.

ketika anak aku naik ke pentas, kedengaran tepukan dari pada hadirin yang ada kecuali aku yang tak bertepuk. bukan aku tak mahu tapi aku sempat mengimbau perjalanan persekolahan anak sulong aku ini. dari tahun satu hingga tahun enam semasa di sk kerayong, sentiasa 'top five' kedudukannya dalam peperiksaan. tapi semasa keputusan upsr 2006 diumumkan aku berada di kuantan bersama gb dan gpk satu kerana menghadiri seminar ict peringkat negeri di suria beach resort, cerating. keputusannya masih cemerlang 4A 1B. 'B' sains. memang ia agak kecewa tapi aku katakan padanya, banyak lagi peperiksaan selepas ini. bukan upsr sahaja, pmr ada, spm ada dan kalau nak stpm pun ada lagi nanti.

dengan keputusan itu ia gagal ke mana-mana sekolah sains mahu pun ke sekolah berasrama penuh yang lain termasuk mrsm. mrsm? bukan aku tak mahu minta tolong dengan sepupu isteri aku tu, ia suami isteri kerja dengan mara, boleh sangat kalau nak minta tolong. tapi aku dengan isteri aku tak mahu menyusahkan orang lain, biarlah dia di seri bera saja. lagi pun dekat nak pergi tengok, alasan isteri aku.

di seri bera, anak aku masih lagi mengekalkan prestasinya. sentiasa berada dalam kelompok lima ke atas. pada tahun 2009, alhamdulillah aku dinaikkan pangkat ke jawatan gpk kokurikulum dan terpaksa bertukar ke sk perantau damai dalam daerah rompin. pada tahun itu juga siti nur akmal akan menduduki pmr, ujian pertama bagi dirinya di sekolah menengah ini. memang perit rasanya bagi aku nak mengunjunginya seminggu sekali dalam keadaan isteri aku yang sarat mengandungkan anak kami yang ke lapan. malah semasa dalam ke hulu ke hilir itu ada pulak serangan h1n1 atau selsema babi yang aku ada buat catatannya pada awal aku mula mabuk dengan blog ini.

aku sekeluarga bersyukur yang amat sangat apabila menerima keputusan pmr 2009. memang kami agak lambat datang, maklumlah ketika itu aku masih lagi dalam proses mengangkut barang dari felda keratong sembilan ke seri buntar semula. semasa sampai suasana sekolah dah agak lengang, kecuali beberapa orang guru dan pengetuanya sahaja. alhamdulillah...seperti yang dihajatkan oleh kami sekeluarga anak aku mendapat 9A untuk semua matapelajaran. beberapa orang guru bertanya kepada aku, tak minta sekolah berasrama penuh ke? aku hanya berkata, tak tahu lagi. rupanya anak aku ada mengisi borang sekolah berasrama penuh dan mrsm, dan pilihannya ialah mrsm muadzam shah kerana dekat dengan tempat aku mengajar-sk perantau damai.

beberapa minggu setelah persekolahan 2010 dibuka, aku dapat satu sampul surat besar dari sk perantau damai. rupanya surat tawaran ke sekolah berasrama penuh integrasi temerloh, di kerdau. tak lah jauh sangat dari seri buntar. lebih kurang dalam 45 kilometer sahaja dari triang. setelah berbincang dengan anak aku dan uminya, anak aku terpaksa menolak tawaran itu, memang berat aku nak memaksanya ke sekolah itu. selain dari ia tak ada kawan yang biasa dah dikenalinya, masalah kewangan juga antara faktor kenapa anak aku tak menerima tawaran tersebut. ramai kawan-kawan aku bertanya kenapa ditolak tawaran itu. apa yang aku nak katakan pada dia orang tentang masalah aku. memang berlinang air mata dibuatnya. tapi apakan daya itu lah suratannya. ada jugak yang berkata, kenapa tak cakap, boleh pinjam dengan aku. aku hanya gelak saja sebagai jawapan kepada kata-kata itu.

kini, di tahun 2011, tahun yang memang mencabar bagi aku dan keluarga aku. dengan masalah kesihatan isteri aku. alhamdulillah ia telah sembuh seperti biasa cuma tak boleh melakukan kerja-kerja yang berat. masalah fulus yang tak pernah selesai. dan yang paling penting untuk masa depan anak dara aku yang dua orang tu. si sulong akan menduduki spm bermula 14 november hingga 14 disember dan yang nombor dua pula baru saja selesai menduduki pmr. semoga mereka berdua akan mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

imbauan aku terhenti apabila anak aku siti nur akmal dah berada di sebelah aku. aku bukan tak gembira dengan pencapaiannya dalam peperiksaan atau ujian persediaan untuk menghadapi spm. tersangatlah gembiranya hati aku dan uminya. dalam setiap ujian, keputusannya sentiasa meningkat dan ada kemajuan termasuklah keputusan percubaan spm ini. cuma matapelajaran biologi saja lagi yang masih turun naik markahnya. jika ia dapat mengekalkan prestasinya dan membaiki kelemahan dalam subjek biologi itu, insyaAllah impiannya untuk mendapat 'straight A' akan tercapai jua akhirnya.

sebagai ayah aku hanya berdoa dan berharap untuk kejayaan anak-anak aku dalam bidang pelajaran, kerana itulah yang akan menjamin masa depan mereka semua selain dari didikan agama yang bakal menjadi dinding atau tembok untuk menyelamatkan mereka dari terpengaruh dengan unsur-unsur atau anasir yang tidak sihat. akhir kata semoga anak-anak aku dan anak kawan akan mendapat straight A dalam upsr, pmr dan spm nanti, insyaAllah. Amin Ya Robbal 'Alamin.

ok...ketemu lagi di lain bicara... assalamualaikum...daaa...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan