assalamualaikum wa rohmatullahi wa barokatuh... lama jugak aku termenung dan berfikir apakah yang aku nak ceritakan pasal gambar kat atas tu. gambar tu agak 'blur' warnanya pasal aku snap dari jauh, bila aku 'zoom' kan, ia jadi macam kembang sikit. tapi harap maklum ya, bukan 'kambang'. maaf, jika ada pembaca yang tak tau makna 'kambang' tu, tanya lah kepada mereka yang lebih arif.
sebenarnya gambar tu ialah backdrop untuk program 'kempen kebersihan tandas sekolah peringkat daerah bera 2011' yang lalu yang diadakan di dewan al-biruni, smk seri bera. aku diminta oleh gb aku untuk hadir kerana sekolah aku telah diberi tugas bahagian keselamatan khususnya parking kereta. jadi aku pun hadirlah tapi agak lewat sikit pasal aku nak uruskan dulu anak-anak aku. setibanya kat sana, aku tengok jaga smk seri bera dah ada yang jaga parking, jadi beres lah tugas aku dan boleh lah aku pergi minum dulu. perut pun dah mula terasa kosong.
ketika aku masuk semula ke dalam van untuk pergi cari kedai atau tempat untuk aku bersarapan pagi itu, kelihatan kereta sabri masuk dan parking di depan dewan al-biruni. sebentar kemudian dia keluar dari kereta lalu masuk ke dalam dewan tersebut. beberapa minit keluar semula dan masuk ke dalam kereta wiranya. aku hanya memerhati dan cuba memanggil tetapi tak sempat. aku pun menghidupkan enjin untuk mengejarnya yang macam nak cepat saja. baru nak masuk gear, handset aku berbunyi: sapa pulak yang buat panggilan ni, getus hatiku. kalau nak cepat tu, ada saja lah yang nak menalipon.
ahhhh....sabri rupanya!! jom minum kat bakri, katanya. ok... balas aku lalu menekan minyak dan keluar di pintu pagar smk seri bera. sebenarnya tak jadi pun kat bakri pasal dah full house, sabri call lagi sekali, kat pok nik katanya. tak jadi aku nak masuk simpang taman permai sebaliknya terus saja ke ke kedai pok nik loh yang juga dah penuh tapi masih ada yang kosong. maka berlabuhlah aku, sabri dan fadzli panjang di meja yang baru ditinggalkan dan masih terdapat pinggan dan gelas kosong di atas meja yang belum sempat dikemas oleh pekerja kedai makan milik pok nik loh itu. sebentar kemudian datang cikgu jogan join sekali kerana masih ada kerusi kosong. lalu keluarlah bermacam cerita dan kesah dari kami berempat dengan diselang seli gelak ketawa dan kadang-kadang serius jika ia melibatkan hal-hal yang sensitif.
hampir menjelang pukul sepuluh kami pun berangkat semula ke dewan al-biruni dan terus masuk ke dalam serta melihat dan memastikan keadaan dewan serta backdrop yang terpapar di atas pentas. aku tengok memang cantik dengan lampu kelip-kelip yang dipasang. menurut cerita semasa bersembang tadi, pukul 2 pagi baru siap. biasalah tu kalau sabri yang uruskan. aku dah biasa berkerja dengannya, bukan setakat pukul 2 pagi, pukul 3 pagi pun ada untuk memuaskan hati orang atasan. cuma untuk projek ini dia orang tak sempat nak panggil aku kerana ia agak adhoc dan mengejut. lagi pun masa tu kalau aku tak silap, aku pun tak bersedia. pasal siapa yang nak jaga anak aku nanti.
sebenarnya catatan ini sengaja aku tulis sebagai kenangan dan imbauan terhadap seorang rakan yang banyak membantu dan menolong dalam meringankan beban serta tugas dalam setiap kali kami diminta untuk menyiapkan sesuatu backdrop atau hiasan pentas untuk sesuatu majlis atau program. kalau tak kerana peralatan atau 'tools' yang hak miliknya kami gunakan, memang payah rasanya kami nak menyiapkan sesuatu tugasan. dari sekecil-kecil alat seperti paku hinggalah sebesar-besar alat yang kami gunakan sama ada gergaji letrik, bow, drill dan lain alatan letrik yang beliau miliki kami gunakan.
tapi Allah Yang Esa lebih menyayanginya, aku pun tak tahu yang ia jatuh dan pengsan serta dimasukkan ke hospital temerloh. memang ia menghidap asma atau lelah yang agak teruk. banyak kali juga ia terpaksa berehat dalam keretanya untuk menenangkan atau meredakan lelahnya itu. pada 22 februari ketika aku nak balik dari sekolah, sabri telah menalipon aku dan memaklumkan peristiwa tersebut. menurutnya ia pun baru tau dari jirannya dan mengajak aku pergi melawat pada hari itu jugak. seperti biasa aku pun bersetuju dan akan ke rumahnya pada pukul 5 nanti.
dalam perjalanan lagi sekali kami bersembang dan bercerita kesah yang menimpa sahabat kami tu. ketika sampai di hoshas dan setelah dapat parking, kami pun menapak ke lobi utama dan berselisih dengan 2,3 orang lagi kawan dari kerayong termasuk fadzli yang datang sekeluarga. kami pun naik ke atas dan terus ke wad icu di mana sahabat kami terbaring dalam keadaan koma. matanya terpejam cuma dadanya sahaja yang turun naik dengan bantuan alat pernafasan atau oksigen. terharu rasanya. kawan yang biasa bercerita tentang hajat dan impiannya pada aku kini terbaring kaku. aku amati wajahnya hingga ke hujung kaki yang berselimut dengan kain putih. terasa insaf akan diri sendiri. entah macam mana lah pulak aku nanti agaknya. tergerak dalam hati aku nak ambil gambarnya, tapi bila fikir semula tak sampai hati aku nak merakam gambarnya dalam keadaan begitu. biarlah ianya tersimpan dalam memori aku sahaja.
sedang kami bertiga tercegat, masuk seorang lelaki separuh umur, badan agak gempal dan rendah serta rambut di kepalanya yang agak nipis menghampiri kami bertiga. bersalaman dengan kami dan bertanya khabar. kami memang tak asing dengan lelaki ini kerana ia pernah menjadi gb di sk kerayong ketika tag team kami selalu diminta untuk menyiapkan backdrop. gb ini juga adalah kawan yang rapat dengan sahabat kami. memang lah rapat dan mesra pasal satu sekolah. sedang kami bersembang dalam keadaan berbisik itu datang seorang jururawat meminta kami keluar kerana ia nak buat pemeriksaan dan doktor telah pun masuk. sebagai seorang yang mematuhi peraturan kami pun keluar tapi bekas gb kami sempat bertanya kepada doktor muda apakah sakit sebenar kawan kami itu.
setelah mendapat keterangan yang memuaskan hati, kami pun beredar dan keluar dari wad tersebut tapi menyambung perbualan di ruang legar hadapan pintu wad icu itu. aku lihat semua anak kawan aku tu ada datang termasuklah yang belajar di indonesia. semuanya 4 orang dan aku sempat mengajar mereka semua. oleh kerana hari pun dah hampir senja aku dan sabri pun keluar dari bangunan hospital dan balik ke bera.
malam itu ketika aku sedang lena, telefon bimbit kat tepi kepala aku berbunyi, suara fadzli di hujung talian kedengaran memaklumkan sahabat kami yang koma itu telah kembali ke rahmatullah. inna lillahi wa inna ilaihi roji'un....
aku tak dapat nak menziarahi jenazahnya kerana aku terpaksa ke sekolah dan membawa peserta olahraga sekolah aku ke sk bukit puchong. ketika di sana aku telah memaklumkan kepada beberapa orang guru yang mengenali allahyarham. ramai yang terkejut kerana tak sangka dengan pemergian beliau. macam-macam cerita yang aku dengar selepas itu, tapi aku macam biasa hanya mendengar saja. aku tak suka nak menokok tambah cerita, walau aku mengenalinya dan selalu juga melayan cerita tentang impian dan harapannya. bagi aku buat apa nak bercerita kesah orang yang telah tiada. lebih baik berdiam diri dan sedekahkan al-fatihah buat si mati.
kadang-kadang bila terserempak dengan anak-anaknya, aku teringat akan si mati dan cerita-ceritanya. memang ajal maut adalah ketentuan Ilahi, bagi kita yang masih bernyawa dan masih lagi diberi kesempatan oleh Allah untuk berbakti, laksana dan tunaikan lah sekadar yang kita mampu. usahlah terlalu memaksa diri untuk mencapai sesuatu impian dan harapan. berusaha dan bertawakkallah kepada-Nya. kerana Ia lebih mengetahui apa yang layak dan sepadan untuk kita. buat allahyarham sekalong doa beserta al-fatihah aku kirimkan semoga rohnya ditempatkan bersama mereka yang soleh dan beriman.
*dedikasi buat allahyarham aznan bin mohamad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan