Ahad, 20 Jun 2010

aku baru teringat....

salam sejahtera buat semua yang membaca catatan ini. catatan ini adalah catatan khas sempena ulang tahun pertama aku mula menulis blog yang ringkasnya di panggil berblog. kalau ikut tarikh yang tepat aku mula menulis blog ini ialah pada 17 jun 2009. sekarang sudah 20 jun 2010. bermakna aku terlewat untuk mengingat ulang tahun aku mula aktif dalam cabang ini. entahlah, dalam asyik aku merayap dan merayau dari blog ke blog, tiba-tiba aku terpandang tarikh yang tercatat pada blog tersebut langsung hati aku terdetik: eh! aku mula berblog bulan enam. bila yek? dan aku terpaksa membuka catatan paling awal aku yang bertajuk percubaan pertama bertarikh 17 jun 2009. sah lah ia telah melewati satu tahun.

bukan nak bangga pun, cuma sekadar mengira masa dan menghitung waktu yang mengiringi perjalanan hidup kita. dan aku pun bukanlah aktif sangat membuat catatan atau pun entri. kalau ada tu adalah, kalau tak pun bersawanglah jawabnya. apatah lagi sekarang ini semua sibuk dengan facebook. aku pun pernah jugak nak buat satu akaun tapi tak reti nak aktifkan, langsung terus aku biarkan begitu saja. tapi baru-baru ini ketika ke kota bharu bersembang dengan pok ser ia ada sebut tentang facebook. rupa-rupanya ia pun ada masuk.

kota bharu? la hau la wa la kuwwata illa billah... rupa-rupanya aku tak cerita lagi pada korang semua tentang aku pergi kelantan baru-baru ni. maaflah dah tua agaknya. tak pelah nanti lain kali aku cerita. berbalik tentang pasal berblog ni, aku perhatikan macam-macam fesyen atau stail dia orang menulis atau mencatat. ada blog tu semua sajak atau puisi, ada yang berkarya menulis novel yang bersiri, ada yang menulis tentang politik atau isu semasa, ada yang bercerita tentang pengalaman sendiri dan berbagai lagilah ragamnya. bagi aku bukan tak nak menulis tentang isu semasa atau isu politik cuma rimas dan kadang-kadang menyampah dengan apa yang para bapok menteri lakukan terhadap orang-orang yang tak reti bahasa. tak reti bahasa dalam erti kata kena tipu pun sokong lagi, undi lagi, percaya lagi. itu yang buat aku menyampah dan malas nak mengulas panjang. apa yang bapuk/bapok menteri cakap, cepat sangat percaya. lebih-lebih lagi orang kampung yang totok amnonya.

nantilah kalau mood aku baik, aku akan tulis atau ulas berdasarkan pandangan aku pulak. sekarang ni ruangan dalam 'b.tan' tu asyik dengan gambar-gambar peristiwa yang berlaku di sk kemayan atau sekitar dengannya. itu banyak lagi yang sedang menunggu giliran, cuma aku saja yang buat-buat lambat masukkan entrinya. nak kata banyak tu, tak lah cuma leceh jugak nak masukkan gambar, tu yang buat lambat tu. tapi yang paling aku puas hati dalam berblog ini ialah aku pernah mengoogle: srb agama lawas dan bekas guru pelatih mpki. itu yang aku terjumpa 'mama moden' yang merupakan isteri kepada seorang teman serumah aku di taman cempaka ketika mula-mula masuk maktab. aku, ramizul, saudi, mat badrul, rashid, nasir dan roshidan duduk serumah. tapi yang mula-mula kahwin ialah roshidan. srb agama lawas pulak ialah aku jumpa seorang bekas pelajarnya yang pernah aku mengajar kakaknya di sekolah yang sama.



begitulah sedikit catatan dan imbasan tentang pengalaman aku mempunyai beberapa blog yang tak seberapanya ini. nak aku ubah suai atau renovate, buat masa ini mungkin tidak sebab belum ada idea lagi. nantilah kalau ada kelapangan masa bolehlah kita lihat sama-sama perubahannya.
bak kata pepatah sekali air bah, sekali pantai berubah. jumpa lagi di lain masa tepi kali.

Khamis, 3 Jun 2010

memerun bukan memerut.....



aku dah lama tak buat kerja macam ni. tapi pengalaman yang lama atau lampau ternyata banyak faedahnya dalam aku berusaha untuk menjayakan tanah sejuring tepi jalan dekat seri buntar. aku pun dah hampir berjaya menebas dan membakar keseluruhan kawasan, bermakna aku sudah boleh menarik nafas lega kerana ia tertangguh hampir seminggu lebih kerana aku telah demam yang tiba-tiba agak mencemaskan aku. pada mulanya isteri aku yang demam bersama beberapa orang anak aku, yang memaksa aku terpaksa mengambil cuti rehat khas yang tak dapat rehat langsung. almaklumlah suami mithali, oleh kerana isteri demam tak larat nak bangun terpaksalah semua urusan rumahtangga aku yang uruskan. dari A hingga Z semua aku uruskan. akhirnya aku yang demam tapi tak ambil cuti pulak. sejuk-sejuk pun pergi jugak sekolah, gotong-royong perdana pun pergi jugak, walau aku sejuk mengeletar, orang bergotong-royong tapi aku menyiapkan kertas kerja perkhemahan dalam bilik aku. akibat makan ubat batuk dan demam aku tertidur hampir sejam depan laptop aku. sedar-sedar dah hampir pukul sebelas dan suara riuh ibubapa bergotong-royong masih kedengaran, rupa-rupanya mereka dah pun hampir siap malah dah ada yang makan tengahari. perut aku memang lapar tapi oleh kerana demam langsung tak ada selera nak makan. akhirnya aku pun balik saja tanpa bertegur sapa dengan sesiapa, maklumlah demam tak ada mood nak bersembang. balik rumah aku sambung tidur lagi kerana badan masih sejuk yang mencucuk-cucuk hingga ke tulang. aku teringat kes denggi yang selalu menyerang penghuni taman triang maju, manalah tahu kot-kot aku pulak yang terkena, bimbang jugak aku.

tapi alhamdulillah, dua tiga hari sebelum perkhemahan bersepadu demam aku dah okey. cuma batuk saja lagi yang tak ada gaya nak hilang. terpaksalah berbekal ubat batuk ke sekolah. berbalik pasal cerita tanah sejuring (istilah cikgu hidzir) yang aku nak jayakan itu telah pun berjaya cuma belum bertanam saja lagi. setakat ini aku cuma tanam serai tapi tak banyak. cadang nak tanam pisang, kalau ada modallah, kalau tak pun jagung saja sebab benih pun dah di beli cuma belum bertugal saja lagi. apa-apa pun adalah aktiviti aku di sebelah petang. kalau tak dulu-dulu sejak balik ke seri buntar ini, asal petang saja aku akan duduk-duduk akhirnya tertidur. tapi kini masa aku telah terisi dengan berkebun kecuali kalau hujan turun itulah masa aku berehat, sebab tak payah susah-susah nak menyiram.

api tu nampak saja kecik tapi bila ditiup angin sangat cepat merebak dan hampir terbakar semak yang bersebelahan dengan tanah sejuring aku. nasib baik sempat aku padam dengan air kolam. kalau tak puaslah aku nak berjawab dengan tuan tanah tu.




ada jugak aku tabur biji maman, tapi entah kemana hilangnya. tak tumbuh-tumbuh langsung. makan dek semut agaknya. tak kesahlah bukan rezeki aku nak makan jeruk maman agaknya. dapat makan gulai pucuk ubi pun dah bagus jugak. bendi pun dah nampak gayanya nak menjadi cuma kena bubuh bajalah bagi subur lagi.


cerita pasal memerun ni, seronok jugak sebab banyak kali dah menolong ayah aku menjayakan tanahnya. puaslah main api, longgok kayu banyak-banyak kemudian bakar. api pun naik menjulang. esok kumpul pulak yang tak habis terbakar tu, dan bakar lagi. itulah cerita aku tentang memerun yang bukan memerut... ha!ha!ha!... sekian, terima kasih.

Sabtu, 22 Mei 2010

solat jumaat di masjid pangsenam.






atas beberapa urusan, beberapa kali jumaat aku terpaksa bekejar ke temerloh selepas waktu persekolahan. antaranya urusan mengambil anak kedua aku yang balik kampung pada hujung minggu. dari asrama di guai, ia menaiki van sekolah ke bandar temerloh dan aku akan menjemputnya di stesen bas lama. aku terpaksa bergegas cepat kerana bimbang ia akan menunggu lama di temerloh. maka terpaksalah aku bersolat jumaat di pertengahan perjalanan. dan kebiasaannya aku akan berhenti di masjid pangsenam. aku pun tak tahu kenapalah aku memilih masjid itu. mungkin agaknya ia berhampiran dengan jalan raya dan mudah untuk aku singgah, tidak seperti masjid buntut pulau yang agak tersorok dan susah untuk parking kereta.

kalau tidak silap aku, sudah tiga atau empat kali aku bersembahyang jumaat di masjid itu. biasalah masjid kampung, imam dan bilalnya pun agak berusia dan majoriti para makmumnya adalah mereka yang berumur 40 tahun ke atas. agak sukar untuk melihat anak-anak muda yang biasa dilihat di masjid-masjid bandar, bukan tidak ada langsung anak muda tapi bilangannya amat jauh berbeza dengan golongan dewasa yang mendominasi suasana masjid itu.

dalam banyak persinggahan aku itu, mungkin persinggahan kali ketiga agak mencuit dan kemudian menyentuh hati aku. kerana selepas menunaikan solat jumaat, aku pun duduk di hentian bas berhampiran sambil memakai kasut. tidak lama kemudian datang seorang tua yang tersengih-tersengih atau tersenyum yang 'semacam' sahaja.



aku pun turut tersenyum dan meraikannya dengan sambil bertanya nak balik kemana. pakcik atau lebih tepat lagi 'aki' hanya sengeh dan menunjuk ke arah temerloh dan berkata: "sana"! aku pun mengangguk dan terus memakai kasut. "kalau ambil gambar aki ni bagus jugak boleh letak dalam blog", kata hati aku. aku pun mengeluarkan handset dan mengambil tiga gambar aki itu tanpa disedarinya. aku tengok aki ini kadang-kadang termenung jauh dan seolah-0lah ia sedang menggingati sesuatu peristiwa yang lampau yang sedikit sebanyak meninggalkan kesan di hatinya. itu pada pandangan akulah, dari apa yang aku lihat.


raut wajah aki ini turut mengingatkan aku kepada Allahyarham tok yang telah lama meninggal dunia. memang terdapat beberapa persamaan malah bunyi suara tuanya pun hampir sama. ketika telah bersiap nak ke temerloh ia pun turut sama nak naik, pada mulanya aku serba salah kerana sengehnya yang 'semacam' tu. tapi aku buka juga pintu van bahagian tengah dan ia pun naik. lalu ia pun bertanya: "mana lagi hak lain?" sambil memandang ke bangku belakang. lagilah aku serba salah. "tak ada", jawab aku ringkas sambil menekan minyak perlahan-lahan dan bertanya lagi, "pakcik, nak turun di mana?", senyap tiada jawapan. aku bimbang nanti tak pasal-pasal aku bawak aki ni jalan-jalan ronda bandar temerloh dan tiba-tiba ia menjerit yang bukan-bukan kata aku nak mencolek ke, nak bunuh dia ke, atau macam-macam lagi yang boleh menjerat aku. dalam keadaan serba salah itu aku berhenti di simpang sekolah agama pangsenam di bawah pokok kuinin yang rendang daunnya itu, dan berkata, "tak apalah, pakcik boleh turun disini je!" kata aku dengan nada serba salah. serba salah kerana aku nak menolong tapi ia tak menyatakan di mana rumahnya. asyik tersenyum dan tertawa, heh...!heh...!heh...! bunyinya, menambahkan lagi 'suspense' aku yang nak cepat ke temerloh.

aku tengok muka aki tu macam tak puas hati saja bila aku suruh dia turun di hentian bas tu. tapi nak buat macam mana, dari aku mendapat susah lebih baik aku bertindak awal. namun terselit jugak rasa kesihan di hati aku. nak tolong tu memanglah nak tolong tapi diri sendiri pun mesti difikirkan jugak.

selang seminggu kemudian aku ke temerloh lagi, pada hari jumaat selepas dari sesi persekolahan terus pecut bimbang tak sempat jumaat. sedang elok sampai kat lebak, azan pun berkumandang tapi aku meneruskan perjalanan kerana target aku ialah masjid pangsenam. lagi pun lebak dengan pangsenam tak lah jauh sangat.

selesai solat jumaat, mata aku meliar mencari sesusuk tubuh yang memang aku ingat. tapi tak kelihatan pulak, mungkin dia tak pergi jumaat agaknya. tak sihat ke atau uzur kata aku dalam hati. aku pun pakai kasut dan mula nak melangkah menuju van aku, barulah kelihatan seorang tua dengan payah keluar dari pintu masjid dan berjalan dengan langkah perlahan lalu di tegur oleh seorang pak haji yang dah berada dalam kereta. mungkin mempelawa naik untuk ditumpangkan balik ke rumahnya. aku hanya memerhati dari dalam van dan apabila kereta itu mula bergerak aku pun mengikutinya dari belakang dengan niat nak tahu di mana rumah aki tu sebenarnya.

lebih kurang dua ratus meter dari tempat aku turun kan aki tu dulu, kereta yang aku ekori pun berhenti dan keluarlah aki tu juga dengan langkah payahnya. maklum dah tua, mungkin aku nanti agaknya lebih dari itu Allah jadikan. tahulah aku kini di mana rumahnya. lain kali kalau ada kesempatan bolehlah aku tumpangkannya lagi sebab dah tahu mana nak berhenti.

memang dalam kehidupan kita ini berbagai peristiwa dan kisah yang akan meninggalkan kesan serta mencabar keupayaan kita untuk menghadapinya. begitulah sedikit pengalaman aku yang sering berulang alik dari triang ke temerloh (guai), kadang-kadang setiap minggu atau dua minggu sekali. kalau nak diikutkan amat meletihkan tapi itulah tanggungjawab aku sebagai seorang ayah yang kini tengah mengelola perkhemahan bersepadu unit-unit beruniform sk kemayan 2010. aku curi masa nak menyiapkan catatan ini kerana dah lama tertangguh sementara peserta perkhemahan tengah sibuk dengan beberapa aktiviti kat bawah sana. jadi tak dapatlah nak ambil gambar mereka belajar buat gajet, ikatan dan simpulan, pertolongan cemas, masakan rimba serta pertandingan buku log.

ok lah, mereka pun dah nak berhenti untuk makan tengahari dan solat zohor, aku pun nak makan jugak, kalau rajin nanti aku akan cerita tentang perkhemahan ini di mohdborhanbinjamaluddin.blogspot.com dalam tempoh terdekat atau terjauh ini.

Selasa, 4 Mei 2010

masih banyak yang belum beres.....!!!


inilah dia rupa fail merah yang pernah aku sebut beberapa kali dulu. di dalamnya terkandung berbagai koleksi catatan atau puisi separuh jalan aku atau puisi sekerat yang tak sempat dikhatamkan. kalau dulu-dulu berjaya dikhatamkan mungkin sekarang ini agaknya dah boleh dikhatankan pulak. kadang-kadang bila boring atau rimas aku akan bukak dan baca sekali lalu sambil mengimbas zaman aku kat maktab yang dah tinggal namanya saja sekarang ni.



ini pulak antara himpunan atau antologi aku yang masih belum sempat aku taip untuk diusahakan menjadi sebuah buku selain dari 3k dan beberapa cerpen yang aku cadang untuk dibikin secara 'diy' saja. tapi kekangan masa dan urusan keluarga begitu menghambat. yang akhirnya aku terpaksa menghambat pula masa agar aku tak tertinggal segala yang aku kejar. jika usaha aku ini menjadi kenyataan, bolehlah aku tersenyum puas sendiri kerana ada juga aku memiliki buku hasil tulisan sendiri. bukan nak bangga atau riak tapi sekadar untuk khazanah aku saja. sekian.

Jumaat, 30 April 2010

Bunuh diri ke?


Aku tak tahu apalah malangnya burung seekor ini. Allah telah tentukan takdirnya ia mati dilanggar oleh aku dan melekat kat wiper van aku. Ceritanya begini: pagi semalam 29.04.2010 ketika aku sedang memandu menuju ke sekolah, selepas selekoh terakhir sebelum jalan lurus untuk sampai ke pekan kemayan tak semena-mena seekor burung merbah telah terbang ke arah van aku dan melanggar cermin hadapan. Agak kuat jugak bunyinya tapi yang aku hairan ia telah tersangkut dan melekat kat wiper. Kebetulan pulak handset aku berbunyi, terpaksalah aku berhenti dan menjawab dahulu panggilan dari nizam kgmmb. Kemudian aku pun turun dan mengambil burung tersebut lalu aku letak atas rumput di tepi jalan tanpa teringat nak mengambil gambarnya.

Setelah beberapa meter aku menyambung perjalanan, barulah terlintas di fikiran, kenapalah aku tak ambil gambar burung itu tadi. Rasa nak pusing belakang dan letak semula burung itu kat cermin, tapi.... ah! buang masa saja aku pun dah lewat dan dah tak ori lagi. Sampai kat sekolah aku pun 'snap' lah gambar bulu dan sedikit tahinya yang masih melekat di cermin dan wiper van aku. Ini bukanlah kejadian pertama, kalau tak silap aku pada bulan lepas ketika pulang dari sekolah seekor burung juga telah melanggar atau dilanggar oleh aku. Tapi taklah sampai melekat kat cermin. Ia cuma tercampak sahaja dan aku pun tak pasti jenis apa burung itu.

Sebenarnya terlalu banyak cabarannya jika melalui jalan dari triang ke kemayan atau sebaliknya. bukan setakat kereta dan lori yang memenuhi jalan, tapi keadaan jalannya yang semakin hari semakin teruk turut mengundang bahaya kepada penggunanya. Kerja-kerja menampal lubang yang dilakukan pun sekadar melepaskan batu di tangga sahaja. Teringat aku kepada satu kata-kata sindiran yang berbunyi: macam kerja orang tak bersunat! begitulah ibaratnya apa yang dapat dilihat pada jalan dari triang ke kemayan atau sebaliknya. Nanti aku cerita lagi apa-apa yang patut tentang pengalaman aku melalui jalan ini dalam tempoh empat bulan ini. Aku nak tengok bola dulu liverpool mengalahkan atletico madrid!!!

Rabu, 21 April 2010

sembang sempoi...tanah sejuring.

Salah satu bilik yang terdapat di dalam perpustakaan awam daerah bera. Tapi aku belum pernah masuk lagi kerana perlu mendapat kebenaran dari pegawainya terlebih dahulu.

Antara deretan buku yang terdapat dalam perpustakaan bahagian atas(bahagian dewasa) ialah buku-buku kartun terbitan atau koleksi dari Gila-Gila. Mungkin suatu masa nanti aku akan meminjam buku-buku tersebut.


Assalamualaikum...

Semalam 20. 04.2010, macam biasa balik dari sekolah lebih kurang pukul 2 lebih terus ke kerayong. cadangnya nak pulangkan buku di perpustakaan awam bera dan pos surat. sampai saja di pintu pagar perpustakaan kelihatan avanza warna biru kepunyaan cikgu hidzir dari pkg bera. aku melangkah masuk ke perpustakaan dan menoleh ke kiri sambil tersenyum memandang cikgu hidzir yang sedang membaca surat khabar. aku meletakkan buku pinjaman aku di atas kaunter dan berjalan menuju ke arah beliau.

maka bermulalah sesi persembangan kami berdua dari satu topik ke satu topik yang lain. dari soal kerja dan perjawatan melarat kepada soal surau taman triang maju, langsung kepada tanah 'sejuring' seberang jalan seri buntar. dan cikgu hidzir selaku setiausaha jkk seri buntar menawarkan aku 'sejuring' tanah yang terbengkalai kerana pengusahanya dahulu tak berkesempatan untuk memajukannya. aku pun bersetujulah kerana selain dari untuk mengisi masa petang aku, dapat jugak aku mengeluarkan peluh jantan aku. setidak-tidaknya badan, insyaAllah akan jadi sihat.

pada petang itu ketika aku baru selesai makan, satu panggilan masuk dari nombor baru. suara cikgu hidzir di hujung talian mempelawa aku untuk menengok kawasan tanah 'sejuring' yang bakal aku usahakan kononnya. aku tanpa berlengah bersiap dan bergegas ke seberang jalan kampong seri buntar sambil ditemani anak aku ahmad bilal abdullah dan ahmad ali abdullah. kawasannya agak luas jugak- lebih kurang 30 kaki persegi dan bersempadan dengan kawasan cikgu hidzir serta berhampiran dengan jalan.

aku pun mulalah menebas perlahan-lahan, maklumlah dah lama tak berkerja macam tu. mestilah slow-slow, dah panas enjin nanti barulah boleh tekan minyak dan masuk gear yang lebih tinggi. pung! pang! pung! pang! lebih kurang dua puluh minit. aku berhenti dan mengeluarkan handphone untuk melihat jam sudah pukul berapa. aik! dah pukul 6.46 rupanya. sikit lagilah. aku pun menyambung menghayun parang sabit aku. tiba-tiba... tangan aku terasa pedih dan lengan aku berhampiran siku pun turut terasa pedihnya. begitu pantas penyengat itu menyengat tangan aku tanpa sempat untuk aku mengelak. aku pun berundur dan melepaskan parang sabit aku sambil membelek ibu jari tangan kiri aku yang telah mula bengkak dan semakin pedih serta terasa kebas sekali.

mungkin itu tanda amaran supaya aku berhenti dan pulang ke rumah agaknya kerana hari telah pun hampir senja. setelah menyapu kesan sengatan tadi dengan tanah mengikut petua yang cikgu hidzir sebutkan, aku pun pulang dengan hajat akan datang lagi pada petang esok.
untuk santapan mata tengoklah tiga keping gambar yang sempat aku ambil pada petang tadi(21.04.2010)>



Masih banyak semaknya yang perlu aku tebas dan bakar.

Insya Allah aku akan usahakan sehingga berjaya. Kalau tidak malu mak ayah aku. hahaha!!!

Tapi nak tanam apa yek? Nak tanam getah dan sawit tak boleh, ala, tanam jek tanaman kontan macam pisang, jagung atau sayur-sayuran yang mudah-mudah seperti terung, kacang, atau lain-lain lagilah yang bermacam-macam tu.

Selasa, 13 April 2010

Aku Punya Cara Omongan.





dalam mencari nama-nama saksi
untuk aku kongsi bersama kroni
entah kenapa nama itu begitu serasi
dan sering bermain dalam mimpi
bukan ngeri atau seksi
tapi aku telah pasti
ini keramat yang mesti menjadi.

Aku Punya Cara Omongan
ngomong aku ngomong berbisa
bisa ku takluk satu benua
bisa sujud satu dunia
bisa goncang satu semesta.

Aku Punya Cara Omongan
bergetar telinga para pendengar
bersahutan para pencacai
berdebar hati-hati kutu
Oh! ini slogan baru
buka mesin-gun atau chewing gum.

Gampang apa pada salakan
aku gunung tahan jerkahan
biar kau hilang akal
aku tetap teguh bersama sorakan.

Aku Punya Cara Omongan
aku anak bapa pembangunan
punya jasa dalam kenangan
banyak bakti ku taburkan
telah terbukti aku berbudi
aku mesti mendahului
apa peduli pada kata keji
memang kau berniat dengki
sakit hati.



b.tan.
seri buntar.
13042010.

*siap diomongkan 1.08 t/hari.

Isnin, 5 April 2010

di permatang ini.

kita sentiasa berdiri dan meniti
di permatang ini
ada kala kita lupa pada janji
dan asyik kita mengukir mimpi
mencari bahagia di mana berada
dan terkadang kita berlari
mengejar pelangi
yang akhirnya kita tersandung
bayang-bayang sendiri.

di permatang ini kita beraksi
senyum dan tawa silih berganti
lupa kita pada duka
hanyut kita dalam leka.

di permatang ini kita kongsi
segala warna yang menghiasi
tiada nafsi-nafsi
yang ada cuma toleransi.

permatang ini telah sepi
lewat senja kelmarin kau pergi
tinggal hanya bayang suram
tinggal hanya mimpi kelam
tinggal aku yang terdiam.


b.tan
seri buntar.
3,38 pagi.

belasungkawa buat Mok Teh.

pukul 2.00 pagi, aku baru pulang dari rumah ayah teh kerana menziarahi jenazah almarhumah Mok Teh aku. Ia ibu saudara aku. Adik kepada mak aku. Baru minggu lepas diadakan bacaan Yaa Sin untuknya. Aku hanya pergi malam pertama sahaja kerana malam kedua isteri aku sakit gigi. Terpaksalah aku melayan anak-anak dan isteri aku sekali.

Mok teh aku di khabarkan mengidap penyakit kanser hati. di kesan setelah penyakitnya melepasi tahap ketiga iaitu tahap yang tidak lagi boleh diubati. itu kata doktor. kuasa Allah kita tidak tahu. agak lama juga ia berada di dalam hospital di kuantan. tapi aku dan keluarga tidak ada kesempatan untuk melawatnya. setelah ia keluar wad dan berehat dirumah anaknya di permatang badak, barulah aku berkesempatan ke sana. itu pun selepas menghadiri kenduri kahwin di rumah cikgu hussin. sebelum ia masuk wad, pernah sekali aku pergi melawat di rumahnya.

badannya agak susut tapi masih boleh berjalan. berbagai ikhtiar untuk merawat penyakitnya tapi Allah lebih menyayanginya. maka ia telah dijemput pergi mengadap Illahi lebih kurang pukul 10.40 malam. aku yang tinggal lebih kurang tiga ratus meter dari rumahnya tak tahu tentang kematiannya. hampir pukul sebelas, ayah aku menalipon memberitahu ketika itu ia telah ada di rumah almarhumah. menurut suaminya, ayah teh, sakitnya bermula dengan gastrik dan melarat menjadi ulser. langsung tidak diketahui tentang barah hati. cuma setelah ia mengadu sakit dalam badan sehingga tidak boleh duduk, kemudian di bawa ke hospital barulah diketahui penyakit yang sebenarnya.

aku dengan almarhumah agak rapat (mesra) juga, sebab semasa aku budak-budak dan ia belum berpindah ke rumah murah seri buntar, rumahnya berhadapan dengan rumah ayah aku. jaraknya lebih kurang 15 kaki sahaja. tapi yang meninggalkan kesan dalam hati aku ialah beberapa hari sebelum aku diijabkabulkan dengan isteri aku, ia telah datang ke kerayong dan kebetulan ketika itu aku sedang menunggu teksi untuk ke temerloh. kami pun berbual dan ketika itu sebuah teksi berhenti tanpa aku menahannya. aku tidak terkejut tapi mok teh aku pelik dan apa bila ia perasan dalam teksi itu ada tunang aku lagilah ia pelik dan hairan. pada malam itu ia telah ke rumah isteri aku dan menanya beberapa perkara lalu ia hampir menangis kerana bimbang isteri aku tidak akan bersetuju untuk berkahwin dengan aku. setelah diterangkan secara panjang lebar oleh isteri aku, maka ia pun faham dan legalah hatinya.

sebenarnya sebelum aku kahwin, proses peminangan bermula dari bertanya dan menghantar cincin, mok teh aku dan ayah de aku yang tinggal di felda mayam yang menjadi orang tengah atau orang perantaraan. sebab itulah mok teh aku begitu bimbang takut-takut isteri aku tak setuju untuk berkahwin dengan aku. makumlah pilihan orang tua dan kami pula tak pernah berjumpa. tahu-tahu naik teksi pergi ke temerloh. lalu berserabutlah fikirannya memikirkan yang bukab-bukan. tapi itu semuanya telah menjadi kenangan. kini ia tiada lagi, pergi untuk selamanya. satu lagi kehilangan terjadi yang tak mampu untuk kita lari atau bersembunyi. hanya secebis doa dan harapan agar rohnya nanti ditempatkan bersama mereka yang soleh dan beriman.
AL-FATIHAH.

Rabu, 31 Mac 2010

kehilangan...

Kematian itu adalah
satu kehilangan yang jelas,
tiada lagi
kata suka
gelak tawa
senyum ria,
tiada lagi
wajah gagah
tubuh sasa,
tiada lagi
maki hamun
sorak sorai,
tiada lagi
lidah liar
bau hamis,
tiada lagi
hasut fitnah
hasad dengki,
tiada lagi
rebut kuasa
turun takhta,
tiada lagi
kerna ia
telah pergi.
Kehilangan dalam kematian
turut sama mengundang aku
hilang segala,
yang tinggal cuma impian mereka
yang leka bermimpi
mencari janji yang tak pasti.

Oh! Tuhan,
bilakah bisa kehilangan aku berlaku?


B.Tan.
29.12.2005.
(Kematian Imam Masjid Triang-
Ustaz Idris)

Rabu, 17 Mac 2010

Gasak Sampai Tertonggeng.....



gasak sampai tertonggeng
mencari sen-sen
dari poket orang miskin.

gasak sampai tertonggeng
orang lain
jangan bising-bising
aku suka aku akan kencing.

gasak sampai tertonggeng
aku tak peduli
kalau jet hilang enjin
janji aku pakai cincin.

gasak sampai tertonggeng
aku bukan orang lain
suka makan macam cacing
senyap tak bising-bising
dan aku akan dapat komisen.

gasak sampai tertonggeng
kalau kau berbau hancing
kau mesti bayar lebih
kerana kau orang miskin.

gasak sampai tertonggeng
katalah apa kau nak kata
aku sudah jadi piem
aku sudah 'naik' isim.

gasak sampai tertonggeng
gasaklah apa aku boleh gasak
tertonggeng terpusing
tetap aku lanyak
aku nak banyak-banyak
tak mahu sedikit
macam orang terkincit
kau mahu lebih
kau mesti bayar lebih
untuk aku agih-agih
untuk aku dan kroni aku.


b.tan
seribuntar
17032010

*siap digasak pada 4.15am.

Rabu, 10 Mac 2010

senja di perantau damai...







*nota:- gambar-gambar ini aku copy(sebenarnya cilok!) dari komputer atas meja lan. malam-malam terakhir kat perantau damai, tak tahu nak buat apa lalu aku bukak komputer dan jumpalah gambar ini dalam folder "lanon's". jadi aku copy untuk kenangan aku. bila dah terbit catatan perantau damai satu dan dua, aku fikir baik aku kongsi dengan para pengunjung danau ini. tak lah cantik sangat tapi bagi aku cukuplah sekadar untuk menjadi penghias danau yang aku huni ini. sekian.

Isnin, 8 Mac 2010

perantau damai - ii

Gambar hiasan ini aku ambil di suatu subuh yang bening berhampiran dengan rumah yang aku sewa.

Ia diambil pada hari terakhir persekolahan iaitu pada 20 November 2009.


asalamualaikum....

jumaat bersamaan 8 januari 2010 adalah hari terakhir aku di perantau damai. aku dapat rasakan pada hari itu masa berjalan agak lambat dan seolah-olah aku masih lagi akan berada di perantau damai untuk beberapa hari. selain dari mengemas meja yang akan aku tinggalkan nanti, aku juga cuba untuk tidak terlalu memikirkan yang aku akan pulang ke bera dan tak tahu bila lagi akan datang berkunjung. aku sengaja cuba menyibukkan diri dengan membuat apa saja seperti berborak dengan lan dan bertanya itu ini. apa bila loceng berbunyi menandakan berakhirnya sesi persekolahan pada hari itu, aku tak tahu nak buat apa. nak terus balik, bermakna aku terpaksa berhenti di felda sebertak untuk solat jumaat, itu pun kalau mood aku baik semasa memandu. kalau tidak, terpaksalah singgah di kota bahagia(tabung haji). aku ambil keputusan untuk pulang selepas solat jumaat yang terakhir aku di perantau damai. setelah bersalam-salaman dan bertegur sapa dengan beberapa orang jamaah. begitulah kira-kiranya.

sementara itu semalam diadakan jamuan perpisahan untuk aku. simple dan ringkas sahaja. hanya di kantin sekolah seperti jamuan untuk cikgu-cikgu yang lain juga. aku diberi peluang untuk berkata sepatah dua kata. aku memang telah bersedia untuk berkata-kata, tapi berkata-kata tanpa teks. aku bukan jenis suka menyediakan teks. aku lebih suka kepada idea sepontan atau apa yang terlintas difikiran tapi tidak menyakitkan hati para pendengar dan sedikit lelucon untuk membuat yang mendengar ketawa atau tersenyum ceria. itulah yang aku lakukan dan berjaya menghilangkan sedikit rasa terharu di hati aku.

di waktu petang saat aku akan meninggalkan bumi perantau damai, cuaca mendung kerana hari nak hujan. al-maklum telah tiba musim hujan untuk mencurahkan airnya. setelah bersalaman dengan imam Razali dan berkirim salam kepada imam Jalil yang ke johor bahru kerana ke rumah anaknya, aku dengan berat hati menuju semula ke sekolah untuk mengambil laptop dan ikan yang aku tumpang dalam peti sejuk di dalam pejabat sekolah. kebetulan pula lan tidak masuk kerja kerana ada urusan di luar. aku merasa serba salah untuk melangkah meninggalkan pejabat sekolah. tapi aku terpaksa menguatkan semangat dengan berkata kepada diri ku: kalau lambat nanti hujan dan aku mungkin akan lambat sampai ke seri buntar. setelah memerhatikan sekeliling kawasan sekolah untuk kali terakhir, aku pun berlalu dengan rasa pilu dan tak tahu bila lagi akan ke mari.

di sepanjang perjalanan aku seperti biasa akan mendengar sinar fm selain dari ikim fm atau kadang-kadang pahang fm. tapi untuk menghilangkan sedikit rasa sayu aku layan "rock selamba". oleh kerana selamba, maka selamba jugalah perjalanan aku petang itu. hujan hanya renyai-renyai tapi tidak menyeluruh. aku rasa itulah pemanduan aku yang paling selamba selama aku berulang-alik dari bera ke perantau damai. entah kenapa hati aku ingin cepat sampai dan kaki aku telah kuat menekan minyak tapi pergerakan van yang aku pandu hanya sekadar 60 km/j malah ada ketika hanya sekadar 40 km/j. aku sedar ketika itu tapi nak buat macam mana, hati yang ingin cepat sampai itu sebenarnya sedang melalui denai-denai kesayuan dan kepiluan. tak tahu kenapa, bukan ada sesiapa yang aku sayangi atau aku cintai yang terpaksa aku tinggalkan di perantau damai. cuma mungkin perasaan atau emosi aku saja yang terlebih-lebih untuk merasa sayu atau pilu, disamping jiwa aku mengucapkan salam dan selamat tinggal kepada pepohon di kiri dan kanan jalan sepanjang jalan bera selatan itu. lalu perjalanan yang bermula pada pukul 2.15 petang itu hanya berakhir pada pukul 6.00 petang. itulah akibatnya jika terlalu melayan perasaan, perjalanan yang biasa aku buat satu jam setengah menjadi hampir empat jam!!

selain dari itu aku bercadang juga nak ke perantau damai ketika sukan tahunan diadakan tapi oleh kerana sekolah aku mengadakan kem bestari solat, maka terpaksalah niat itu aku batalkan dan pada hari ahad nya pula seperti biasa aku akan mengunjungi anak-anak aku yang berada di asrama. tiadalah peluang lagi untuk ke sana dan mungkin suatu masa nanti akan aku jenguk juga perantau damai kerana isteri aku pun agak rapat dan mesra dengan beberapa makcik yang menjadi jiran aku semasa di sana. catatan ini hanyalah sekadar melepas rindu pada perantau damai khususnya skpd yang tetap di hati di samping bandar tun razak yang begitu simple tapi meriah dengan orang melayu. itu yang aku seronok tu.

memadailah sekadar ini sahaja catatan tentang perantau damai, jika ingin dibuat beberapa siri lagi, mungkin aku terpaksa mengingat dan mengenang kembali perjalanan hidup aku semasa di perantau damai. itu tak mungkin aku lakukan kerana rasa sayu dan pilu pasti akan meyelubungi aku. cukuplah cuma kenangan itu menghuni di sudut hatiku dan terpahat kukuh diingatan ku. semoga pengalaman yang aku lalui di perantau damai bersama warganya lebih mematangkan lagi aku dalam meneruskan perjalanan hidup ini menuju ke titik noktahnya. damailah perantau sedamai senja di perantau damai. bjs = buat jiwa sepi/sayu.

Jumaat, 5 Mac 2010

perantau damai - i


Assalamualaikum...

pada hari rabu malam khamis yang lalu, aku telah tertekan nombor handphone cikgu wahat, gpk 1 sk perantau damai semasa mengemaskini nombor-nombor yang aku tak mahu simpan sebab dah bertukar nombor. besoknya pagi-pagi lagi dia dah call aku bertanya pasal menelefon dia. aku kata, tak sengaja tertekan. memang aku tak sengaja pun, kalau aku sengaja baik aku dail nombor.... hehehe!!!

beberapa ketika kemudian terkenang saat-saat aku berada di perantau damai. terbayang satu persatu wajah-wajah gurunya tapi sayang tiada sesi bergambar pada tahun 2009, kalau tidak boleh aku paparkan disini. teringat pada lan yang setiap petang akan layan 'rock selamba' di muzik fm. aku pun apa lagi tompang sekakilah. menurut katanya, arwah zulkifli penyanyi kumpulan masa scarecrew adalah kawan beliau semasa bersekolah dulu. susah nak cari kawan macam lan ni yang amat komited dengan kerja dan tanggungjawab. malam-malam pun datang jika kerja tak siap atau mencetak soalan peperiksaan. pendek kata banyak perkara-perkara dan selok belok pentadbiran yang beliau tahu.

malam-malamnya aku akan ke masjid dengan anak-anak samada ada kuliah atau tidak, malah cermin mata yang aku gunakan sekarang pun dibuat di masjid selepas solat asar. kisahnya bermula pada bulan puasa ada dua orang lelaki dari narathiwat datang buat promosi membuat cermin mata dan bermalam di masjid untuk beberapa malam. malaysia ni dah jadi macam negeri nombor dua baginya. malah beliau telah rata pergi ke seluruh ceruk rantau khususnya kawasan di perak. memandangkan aku begitu sukar untuk membaca tulisan yang agak kecil kerana telah berumur (agaknya!), ringan saja mulut bertanya itu ini. setelah diuji, memang bersesuaian dengan mata aku dan dibuat dua lapis. prosesnya simple walau pun agak rumit sedikit. lebih kurang setengah jam siap cermin mata aku. harganya rm 650.00 tapi aku bayar seratus dulu, dapat gaji baru bayar habis. dia setuju dan memberi nombor akaun bank Islamnya di rantau panjang. aku masih ada menyimpan nombor handphone saudara Abdul Roning ini. jika ada sesiapa nak buat cermin mata bolehlah.

tengah dok menaip ni, masuk posmen hantar surat. aik! ada surat untuk aku dari skpd. oo...! penyata gaji pekerja agensi kerajan untuk cukai pendapatan. terimakasihlah lan dan pt nya yang aku tak ingat namanya sebab baru bertugas 2,3 minggu. makin teringat aku kat perantau damai. kalau isteri aku tahu ni, mesti bisinglah dia. adalah yang dia ingat di sana tu asyik sebut perantau damai saja!! itu lah antara ayatnya yang membuat aku akan tergelak dan makin mengusiknya. aku pun tak tahu apa yang istimewanya perantau damai, tapi aku rasa selasa dan dapat menyesuaikan diri. seminggu dua kali pasar malam, hari isnin di keratong lapan, khamis di keratong sembilan dan ikan serta sayurnya jauh lebih murah dari di triang atau di pekan sari kerayong. pernah aku beli ikan selar putih tiga kilo sebab harganya empat ringgit sekilo. masih segar lagi pulak tu. kalau di triang atau kerayong tak merasalah jawabnya.

namun begitu, ia semua adalah secebis kenangan diantara kenangan-kenangan semasa di perantau damai. insyaAllah aku akan sambung lagi kisah aku di perantau damai untuk beberapa siri lagi. terasa sayang nak dilupakan begitu saja walau tempohnya hanya sebelas bulan tapi penuh bermakna dan meninggalkan kesan mendalam, apatah lagi apabila terdengar sesiapa saja menyebut perkataan keratong atau pun perantau damai. damailah perantau sedamai senja di perantau damai.

Khamis, 18 Februari 2010

Assalamualaikum....

semalam 17hb Februari 2010 adalah tarikh rasmi yang tercatat dalam sijil kelahiran atau nama glamournya 'surat beranak'. tarikh sebenar yang dimaklumkan oleh ayah aku ialah 20hb Julai 1966, tetapi telah didaftarkan pada 17hb Februari 1967 di Pondok Polis Durian Tawar. semuanya bermula dari masalah perhubungan, kekangan masa dan kesihatan aku yang semasa dilahirkan agak 'berbeza' dari adik beradik aku yang lain. aku sengaja tidak mengingatkan isteri aku tarikh tersebut, cuma aku dan isteri serta tiga orang anak aku telah ke Pekan Sari Durian Tawar untuk membeli beberapa keperluan dapur. Kebetulan pula sk kemayan bercuti selama seminggu sempena tahun baru cina. aku tak tahu kenapa gb aku beria-ia sangat nak cuti lama, mungkin kerana nak bagi gpk 1 aku beraya puas-puas agaknya.

Tidak ada projek atau program yang aku lakukan pada hari kelahiran aku, cuma sedikit aktiviti mengemas bahagian depan rumah aku yang berselerak dengan segala macam perkara, telah banyak kali isteri bersungut tentang kertas-kertas milik aku yang telah diselerakkan oleh siti nur aisyah dan abang-abangnya, termasuklah himpunan akhbar harakah yang aku simpan sebagai kenangan atau bahan sejarah yang tidak mungkin dapat dicari walau di arkib negara sekali pun. memang aku menginginkan sebuah bilik atau ruang untuk aku menempatkan buku-buku dan majalah kepunyaan aku, tapi oleh kerana kekurangan bajet terpaksalah bersabar apabila buku atau majalah aku di sepah atau dikoyakkan oleh anak-anak. walau berbuih mulut mengingatkan kalau sudah baca simpan dan susun semula ditempatnya namun masih juga aku atau uminya yang terpaksa mengutip dan menyusunnya. itulah kerenah anak-anak yang menjadi penghibur dan pengubat duka di saat usia kini mencecah angka empat puluh tiga. SELAMAT HARI LAHIR UNTUK AKU.

Aku bukan tak mahu up-date blog aku ini tapi oleh kerana seperti aku katakan tadi, kekurangan bajet, maka hampir sebulan aku tak bayar bil broadband. akibatnya tak dapatlah aku melayari internet seperti biasa. pernah suatu malam aku terserempak dengan en. Ismail PKG Triang antara katanya: sunyi sepi je! maksudnya blog akulah tu. aku cuma gelak dan menjawab tak bayar bil broadband, biasalah. hahaha!!!

Rabu, 6 Januari 2010

catatan terakhir di bumi lawas, sarawak.

Saat itu akan tiba juga untuk aku berangkat pergi meninggalkan daerah ini. Setelah hampir empat tahun aku berada di rantau orang. Satu daerah yang tak pernah ku mimpikan untuk menjejakkan kaki di bumi yang terkenal dengan burung Kenyalang. Segala pengalaman pahit manis ketika mula-mula datang dahulu masih lagi jelas terbayang di ruangan mata. Al-maklum kali pertama menaiki kapal terbang. Pengalaman itu kini telah lali bagi ku kerana menaiki kapal terbang terutama jenis "twin otter" seperti menaiki bas sahaja. Walaupun ia agak mencemaskan tapi itulah satu-satu pengangkutan yang akan menghubungkan daerah ini dengan bandar/daerah-daerah lain di Sarawak. Selain dari bot ekspress yang agak terbatas penggunaannya. Namun melihat deretan bot-bot ekspress di jeti atau pangkalan bot bukanlah satu yang asing terutamanya bagi menghubungkan bandar dengan masyarakat yang menghuni di daerah pedalaman.

Agak sukar juga untuk menyatakan perasaan aku ketika ini. Walau pun hitam putihnya belum ada, tapi panggilan telefon dari kakak dan ayah aku membayangkan permohonan pertukaran ke semenanjung akan bejaya. Rasa gembira tetap ada, siapa yang tidak gembira pulang ke kampung halaman. Pilihan aku bukanlah kampung kelahiran aku, tapi atas desakan kakak dan ibu aku yang tidak bersetuju terpaksalah aku ubah niat aku untuk berbakti di satu lagi daerah yang agak pedalaman. Daerah yang aku huni sekarang ini bukanlah pedalaman sangat tapi cukuplah untuk membuat seseorang itu termenung ketika mula-mula sampai. Ini aku lihat dari guru-guru yang baru datang untuk berkhidmat mendidik anak bangsa(?). Walau pun mereka siswazah, graduan tetapi perasaan sayu tetap kelihatan di wajah apabila berada jauh dari keriuhan kaum keluarga.

17.10.1995- Selasa. 11.03 pagi.
Kini aku menyambung kembali catatan terakhir aku di Bumi Kenyalang. Hari Jumaat malam Sabtu yang lalu aku bermalam di sekolah kerana ada Perkhemahan Pasukan Pengakap dan Pandu Puteri. Di siangnya mereka berkelah di Melasak. Tapi aku tak turut serta kerana ingin menganti tidor aku yang masih belum cukup. Maklumlah malamnya aku hanya lelap sejam lebih sahaja. Malam Ahad pula ada satu majlis di Kampung Belangsat untuk meraikan aku sekeluarga serta Ustaz Nasir juga sekeluarga.

Aku terharu dengan sambutan dan persiapan yang dibuat. Walaupun sederhana tapi meriah dan penuh bererti bagi diri aku. Aku hanya mengajar selama dua tahun sahaja- Disember 1991 hingga Oktober 1993. Tapi penghargaan yang diberi amat bermakna, jika dibandingkan dengan sumbangan aku kepada mereka. Mendidik dan mengajar anak mereka sudah menjadi tanggungjawab aku. Aku mesti melaksanakannya. Jika tidak, bererti aku tidak menjalankan tugas yang diamanahkan padaku.

Teringat aku kepada kisah perbalahan kecil antara guru-guru dan guru besar. Aku walaupun masih baru, di tahun pertama, dengan lantang menempelak Guru Besar yang menuduh guru-guru tidak memberi kerjasama ketika Pesta PIBG SRK Belipat. Sejak dari itu aku seakan dimusuhi oleh G.B. Tapi aku tak kisah, sebaliknya merasa puas kerana dapat meluahkan apa yang terbuku di hati. Memanglah tindakan aku itu tidak wajar, tapi itu lah sahaja cara untuk menyedarkannya. Namun orang macam G.B. itu bukan jenis tahu malu. Baru-baru ini ketika mesyuarat agung PIBG SRK Belipat, beliau menghalang guru-guru dan bekas bendahari untuk menyatakan kedudukan kewangan yang sebenar. Biarkan dia lepas waktu ini, tapi akhirnya rahsia itu akan diketahui juga.
Ok, lah! tinggalkan dahulu kisah orang tua itu, tiada faedahnya diperkatakan lagi.



* catatan itu seperti biasa tergantung tak bertali. entah kenapa aku pun dah tak ingat. mungkin aku sibuk nak mengemas barang-barang dan mengisi ke dalam kotak. Gb tu namanya Low Kee Sing. semua murid dan guru kaum kedayan serta murut, cuma ia seorang sahaja kaum tionghua. mungkin sekarang dah pencen agaknya. itulah catatan aku saat-saat akhir aku berada di bumi kenyalang khususnya lawas.

Selasa, 5 Januari 2010

ahamdulillah....

assalamualaikum...,

jika beberapa hari dan minggu yang lalu, bila orang-orang yang mengenali aku bertanya: dah dapat surat? jawapan yang pasti ialah: belum!
aku pun tak tahu siapa yang memulakan cerita dan berita ini. orang-orang di ppd bera kah atau juga orang-orang di ppd bera? (double bera).

seingat aku, pada 28.12.2009 bersamaan hari isnin, ketika aku sedang memandu dengan kelajuan 120 km/j menuju ke perantau damai selepas melepasi simpang ke melati untuk menghadiri mesyuarat guru kali pertama bagi persediaan tahun 2010, aku telah dihubungi oleh sabri(member 'ngeteh' aku), gpk 1 sk purun. antara ayat pertanyaannya ialah dah dapat surat tukar ke. aku tanya semula: tukar kemana? kemayan, jawabnya. aku tanya lagi, takde surat pun. tak lama lagilah tu, katanya.

sejak dari itu setiap kali berjumpa dengan cikgu-cikgu dan orang yang biasa dengan aku, sibuk mereka bertanya: dah dapat surat? aku pun hairan. aku sendiri tak tahu betul ke tidak aku akan dapat bertukar ke sk kemayan, tapi seolah-olah telah heboh satu bera yang aku kononnya dapat tukar ke sana. malah ketika aku berurusan di ppd bera untuk menukarkan anak aku ke sk seri buntar pun, sempat jugak cc nya bersembang dengan aku dan katanya: kemayan!

dan hari ini 2 januari 2010, ketika masuk pejabat pada pukul 7.57 pagi dan bertembung dengan razak, ia berkata: confirmlah ustaz dapat tukar sebab boss pun dah tahu. aku hanya berkata: ye ke? setelah masuk bilik aku dan mengambil name-tag, aku duduk di kerusi lan untuk melihat surat yang baru sampai.(7.30 pagi posmen dah hantar surat kat sekolah aku!) sambil membuka fail dan membelek beberapa surat, cikgu rosnah (gpk hem) masuk dan berkata: tahniah ustaz, dapat sk kemayan. katanya sambil tersenyum. terima kasih, tapi mana suratnya. kata aku. ia pun mengambil sepucuk surat yang telah dikoyak tepinya dan mengeluarkan isinya lalu menghulurkan kepada aku. memang sah ia surat pertukaran aku dari sk perantau damai ke sk kemayan.

orang pertama yang aku maklumkan ialah isteri aku. alhamduLillah, katanya. kini aku tak tertanya-tanya lagi tapi nak kata gembira pun tak jugak sebab memang ada sedikit rasa berat hati aku nak berpindah dari sk perantau damai. kalau tak kerana isteri aku yang beria-ia nak balik semula ke seri buntar, mungkin aku masih lagi di sini. malah aku telah ambil keputusan untuk melapor diri di sk kemayan hanya pada 11.01.2010 dan aku akan menghabiskan baki kerja yang belum siap sehingga hari jumaat. sebagai tanda aku masih sayang pada sk perantau damai, biarlah aku bermalam di sekolah ini untuk tiga malam lagi.

rasanya tiada apa yang dapat aku banggakan, sumbangan aku kepada sekolah masih belum kelihatan dan janji aku nak berkhidmat selama dua atau tiga tahun di sini nampaknya tak kesampaian. terselit juga rasa sayu kini dan teringat saat aku nak meninggalkan bumi kenyalang 14 tahun yang lalu. aku rasa seolah peristiwa itu seakan berulang kembali dan perasaan yang sama juga menghuni di hati ku kini. tapi, biarlah ku pendamkan saja. mungkin selepas ini aku akan menyalin sedikit catatan yang aku catat saat-saat akhir aku berada di srb agama, lawas, sarawak dahulu. catatan itu aku dah lama simpan dan nak jugak kongsi dengan sesiapa yang membaca khususnya mereka dari lawas.
see you tomorrow!

Isnin, 4 Januari 2010

hari pertama persekolahan 2010.

assalamualaikum.....

aku bangun agak lewat iaitu pada pukul 5.15 pagi. setelah semua barang-barang seperti kain baju, seluar dan segala macam keperluan siap, aku pun memecut ke sk perantau damai pada pukul 6.40 pagi dengan jangkaan sempat sampai pada pukul 7.45 pagi. tapi sekolah aku berhimpun pagi Isnin pada pukul 7.30 pagi. agak-agaknya sempat lagi tu. tapi kereta banyak pulak termasuk beberapa buah lori yang besar dan panjang.

setiba di suatu selekoh selepas menuruni bukit ada sebuah kereta putih berhenti dengan lampu kecemasannya menyala dan aku memang mengenali kereta itu. ia kepunyaan zaini (gpk koko keratong 4), aku pun brek dan berhenti ketika itu hujan renyai-renyai. rupa-rupanya tayar hadapan sebelah kirinya pecah. dah ditanggal tapi belum bertukar. sambil tersengih, ayat pertama yang keluar dari mulutnya ialah: dah dapat surat? dok lagi. jawab aku. tak tahulah bila nak sampai, katanya lagi. ini bermakna ia pun macam aku jugak sedang menunggu surat pertukaran ke daerah bera.

katanya ia dari pukul 6.15 pagi kat situ. tapi sebuah kereta pun tak berhenti, katanya. memanglah tengah-tengah hutan rimba dalam gelap gelemak siapa yang berani berhenti, kecuali orang yang mengenali kita sahaja akan berhenti. setelah berpesan supaya aku menelefon guru besarnya dan menyatakan ia boleh buat sendiri, aku pun berlalu sebab jam menunjukkan 7.23 pagi. aku apa lagi, masa telah suntuk dan sampai di simpang melati pukul 7.40 pagi. perhimpunan tengah berlangsung. tapi mungkin tak ada sebab hari hujan renyai-renyai. aku selamat sampai di sk perantau damai tepat jam 7.53 pagi. memang sah tak ada perhimpunan sebab banyak kereta kat tapak perhimpunan.

hahaha! adalah perhimpunan tapi kat dalam dewan sekolah dan guru besar tengah berucap. setelah punch card dan mengenakan tali leher aku pun turun semula dan masuk ke dewan sambil bersalaman dengan beberapa orang guru lelaki. ada guru baru perempuan berbaju hijau memperkenalkan diri: zuriatee.

8.15 pagi aku ada kelas di tahun 4 arif dan 9.45 di 4 bestari. baru lah boleh masuk kantin dan makan apa yang ada, sebab kalau lewat memang selalu dah licin. bila budak-budak dan cikgu balik, maka bermulalah saat boring. nampak gayanya tidur kat pejabat lagilah aku malam ini dan malam-malam berikutnya.

ok lah aku pun belum solat zohor lagi dan cadang nak pergi bandar tun sekejap, kalau aku rajin malam nanti aku akan bersiaran lagi dari bilik gpk koko sk perantau damai ini. sekian dahulu dari aku setelah sebulan lebih aku bercuti di bera. sebulan lebih? ye! sebulan lebih. bercutilah katakan. tapi kini aku dah kembali, don't worry!.

Ahad, 29 November 2009

wajah-wajah sepi(versi original)




* dulu aku siarkan dalam entri yang bertajuk 'selingan jek'. tapi ini dia yang original, dilukis dan ditulis atas kulit buku tafsir tingkatan lima!!!

Ahad, 22 November 2009

21.11.2009(1993)

hari ini adalah hari sabtu. hari pertama bermulanya cuti persekolahan akhir tahun. hari di mana aku bangun pada jam 4.00 pagi. hari di mana aku ingin memulakan satu operasi baru dalam hidup aku. hari hujan yang sejak subuh kadang berhenti kemudian sambung lagi. hari aku bersantaian dengan laptop aku sambil melayan kerenah anak-anak aku yang meminta hendak itu dan ini. yang riuh dan bising dengan suara mereka yang bernada tinggi. hari aku belum bersarapan walau teman wanita hidup aku telah siap menyediakan nasi goreng dan teh o panas. hari aku tak makan di kantin sekolah. hari aku tak dapat minum susu suam bancuhan kak ani. hari aku mendengar suara seorang ibu menegur dalam bersyukur, memarahi anak kerana sayang anak, yang agak merajuk kerana aku masih belum nak makan lagi bersamanya menemani. dan aku fikir nak berhenti dahulu walau 21.11.2009 baru mencatat jam 8.08 pagi. rasa-rasanya apa yang ada dan menarik pada 21.11.1993. hari itu adalah hari bersejarah. bukan sejarah hitam atau kelabu. tapi hari aku jadi suami kepada seorang bini. bukan bini-bini. hari aku gementar tapi tak menggeletar. hari aku bersyukur kerana dapat nikah dan kahwin. sebenarnya itulah yang aku nak bagi tahu pada diri aku dan isteri aku serta sesiapa yang terbaca catatan ini. sekian dimaklumkan. kita makan dulu!