Rabu, 22 Februari 2012

rindu ibu...


air mata manakah yang tak berlinangan
menitis membasahi pipi
pabila menatap seraut wajah sayu
sekujur tubuh lesu
di pembaringan syahdu.
ibu...
betapa anak mu ini pilu
sendiri merawan hati
sebak dada menyesak rasa
apakah detik masih ada
untuk kita bertemu muka.
ibu...
dari kejauhan ini
setulus pengharapan sekudus impian
ku pohon pada ar-Rahman
agar kau tabah menanggung ujian
jika diizin
ingin ku galas derita mu yang bermukim.
ibu...
ku harap kau ngerti
keterbatasan diri ini
untuk menjenguk kau di sisi
hanya secebis rayuan buat Ilahi
sembuhkan ibu ku kembali.


b.tan.
22.02.2012.
kemayan.
11.43am.

Isnin, 6 Februari 2012

tanah sejuring


assalamualaikum wa rohmatullahi wa barokatuh.... ini lah rupa kebun pisang aku setelah aku biarkan hampir empat bulan. semuanya bermula pada bulan puasa tahun lepas lagi. kononnya lepas raya nak mula tebas semak samun tu. tapi ada pulak masalah lain. isteri aku mengandung dan mengalami keguguran ketika kandungannya memasuki dua bulan setengah. tambah parah lagi ia dikatakan berpunca dari 'kanser anggur'. yang mengakibatkan ia terpaksa berehat lama di kelang. kemudian cuti sekolah bulan sebelas dan dua belas asyik hujan je. jawabnya makin suburlah segala jenis tumbuhan yang ada kat situ.


kalau tengok pada rupanya, dalam semak tu bukan setakat babi, gajah pun boleh beranak dan membuat sarangnya. eh! gajah ada sarang ke? entah lah, kalau korang nak tengok sarang gajah pergilah kat mana-mana zoo, insya-Allah berjumpanya. dulu ketika anak pisang ni nak naik, sekumpulan lembu telah masuk dan memakan daunnya yang masih rendah sebanyak dua kali. bukan aku tak pagar, tapi pagar tanah sebelah aku tu telah runtuh. dari situlah ia masuk dan membaham daun pisang hingga terbantut pembesarannya.

selain dari pisang, aku ada jugak tanam terung telunjuk dan cili api. tapi yang tinggal hanya terung telunjuk sahaja. pokok cili tenggelam dalam semak, langsung mati tak dapat nak diselamatkan lagi. malah aku jugak pernah tanam jagung kat situ. dapatlah merasa makan jagung rebus hasil dari tangan sendiri. karang ni tanah-tanah tu semua telah dibajak untuk ditanam jagung manis. tak terkecuali aku. cuma aku cadang nak tanam sebelah bawah saja, sebelah atas tu dah ada pokok pisang. sayang pulak aku rasanya. walau jumlahnya tak banyak dan tak berdaya komersil bak kata pegawai pertanian tempoh hari semasa mesyuarat projek tanaman jagung. tapi apa ia punya peduli. aku yang tanam, hanya tak dibubuh baja saja. kalau tak, boleh tahan lah jugak saiznya. hasil yang pertama aku sedekahkan pada burung-burung saja. hahahaha... jangan tak percaya. ia berbuah ketika aku sedang sibuk berulang alik ke hospital disamping nak mengendalikan rumahtangga agar terurus seperti sediakala. akibatnya aku tak ingat langsung padanya. tak kesah lah, dah itu rezeki burung nak buat cam mana kan. tapi lepas tu merasa jugak lah anak-anak aku makan buahnya sebanyak dua tandan.


aik!...nenas pun ada. ada jangan cakap tak ada. tapi kasihan kat pokok nenas ni. terpaksa mengalah dengan rumput serta semalu. ini nampak lah sikit rupanya setelah aku tebas untuk diambil gambarnya. tak banyak jugak. adalah dalam tiga puluh pokok. termasuk nenas madu dan nenas sarikei. ye ke nenas sarikei? pun tak kesah lah kerana kini ia makin tinggi dan membesar. cuma macam biasalah kurang baja. dah lah karang ni musim panas.


ini sebatang lagi pokok nenas. kalau tak dibuang rumput di sekelilingnya, memang tak cam pun ada pokok nenas dalam semak tu. bila lah agaknya aku dapat bubuh baja. nanti lah dapat gaji bulan dua ni beli baja sekampit, bubuh dan tengok lah hasilnya nanti.


ini pun satu lagi nenas madu yang aku ambil dari luit, maran. tak beli pun, cuma mintak saja dengan penjual kat tepi jalan tu. aku tengok elok je berlonggok kat tepi semak. bila aku tanya, ambillah, katanya. banyak jugak aku ambil, tapi tak semua yang elok atau sesuai untuk ditanam. kerana ada yang telah agak buruk pangkalnya. tapi, mana yang boleh ditanam tu, alhamdulillah elok saja tumbuhnya.


ini pulak nenas sarikei. buahnya besar dan beratnya boleh mencecah hingga berbelas kilo kalau dijaga dengan elok serta berbaja. spesies ini tak banyak aku tanam. benihnya aku beli di pekan sari kerayong. seringgit satu harganya.


pokok cili pun ada. tapi ini lah serumpun yang tumbuh hasil dari semaian isteri aku. aku telah pindahkan ke tempat lain tapi semua mati sebab aku tinggalkan ia kering tanpa bersiram. betul-betul macam kebun abu nawas.

jangan pelik ya. ini lubang kesan sondolan si babi hutan. pantang ubi kayu nak berisi. tau je dia. sebab tu aku tak tanam pun ubi kayu. mana yang ada tu semuanya tumbuh sendiri. aku biarkan saja ia tumbuh. tak dapat makan ubinya, dapat makan pucuknya jadilah. aku kan orang kampung, dah biasa sangat makan gulai atau rebus pucuk ubi ni. malah anak-anak aku pun sama naik dengan aku.



eh..! ada lagi rupanya pokok nenas sarikei ni. tapi ini gambar lama. sekarang ni dah terang benderang. cuma aku terkilan sikit. sebab semasa membajak tu, kawasan aku tu tak dibajaknya sekali. mungkin pemandu traktor tu agaknya fikir aku tak ikut serta projek tanaman jagung manis. kalau tak dibajak macam mana aku nak buat batas untuk ditanam jagung. nampaknya terpaksa tunggu hujan dululah, bila tanah dah lembut baru boleh dibuat batas.


tengok tinggal batangnya saja. ubinya dah habis kena sondol dek bulldozer kontot tu. nasib baik pokok pisang ia tak usik pulak. kalau tak, tak ada apa yang tinggallah jawabnya.


dalam kawasan aku tu ada empat batang pokok sawit yang dah besar. dua batang yang dah mula mengeluarkan buah. agak banyak jugak tandannya. cuma tak berapa besar pasal tak bubuh baja. asyik tak bubuh baja saja aku ni kan. tapi kalau tak ditolak dengan backhoe dulu, memang aku bercadang nak bubuh baja dan jaga supaya ia sentiasa berbunga dan berbuah. tapi, la ni dah kena sodok, tak ada apa yang tinggallah lagi.


kelihatan tandan yang kosong tu. bukan tak berbuah. tapi buahnya dah kena makan dek babi. sekeliling pokoknya pun terang akibat disondolnya.


satu lagi lubang besar hasil terokaan si babi tunggal. aku kata tunggal kerana aku pernah ternampak pada satu petang ketika aku nak menyambung kerja aku, seekor babi hutan berwarna kelabu kehitaman dan agak besar saiznya berlari masuk ke dalam semak. panjangnya lebih kurang semeter lebih dan tingginya pulak dua kaki lebih. tak jadi aku nak menebas pada petang tu. seram je rasanya. bimbang tengah aku menebas, tiba-tiba disondolnya aku dari belakang, tak kan naya jawabnya.


di kawasan inilah aku tanam pokok terung telunjuk. kalau korang perasan daunnya ia terlindung dek pokok kekacang dan lain-lain lagi. tiap kali aku kutip dapat lah dua tiga kali isteri aku masak buat sayur. tapi ini gambar lama jugak. karang ni aku dah terangkan dan insyaAllah akan berbunga dan berbuah lagi macam dulu-dulu. tengok tu parang panjang aku yang banyak jasanya terpacak beristirehat melepaskan lelah setelah penat dihayun ke sana dan ke sini.


inilah akibatnya kalau terlalu lama ditinggalkan. tak taulah siapa punya kerja. sampai hati dia orang buang sampah kat kebun aku tu. nasib baik bukan bangkai yang busuk-busuk atau pun buang bayi ke. kalau tak, tak tau nak kata lah aku. cuma aku berharap, aku terus dapat meneruskan usaha ini, tak bajak kawasan aku pun tak pa lah. insyaAllah aku akan terus gigih setakat yang aku mampu. dia orang pun macam aku jugak, bukan selalu turun ke kebun. apa-apa pun usaha tangga kejayaan. berbudi kepada tanah, akan ada hasilnya untuk dituai nanti. ok lah lepas ni kalau ada masa dan ada rasa kerajinan, aku akan kongsi pulak gambar tanah sejuring yang telah aku terangkan. sekian untuk kali ini, wassalam.





di sini mengalir sebuah rindu...



di sini pernah mengalir sebuah rindu bangsa
denyut nadinya terdampar di dasar
lemas sebuah resah
melihat pendekar hilang gelar
dan seteru masih keliru
dalam rentak yang pecah genderang.

ayuh...! palulah gong mu
biar bangkit segala nuansa
dari lena mimpi tak sudah
bangun menari hati pilu
setelah pendekar hilang gelar.

di sini
kau alirkan sebuah rindu
mencari pusaka keramat para kerabat
dalam gelodak dasar kelabu
namun gerak rentak tetap keliru.

ayuh...! palulah lagi gong mu
biar pecah suara bangsa
mencari rindu pada jati
namun tak kau sedari
sedang kau jilati jemari
buat bernafas dalam duri.


b.tan.
07.02.2012.
seri buntar.
12.35am