Rabu, 30 September 2009

sebuah catatan



muka depan




muka belakang




Sebuah Catatan

Masih adakah
sebuah catatan di perjalanan lalu
tika bersama
mengutip buih-buih ombak
yang hilang di celah bebatu
tika bersama
mencari bunga puisi
yang mekar di hati bumi.

Masih adakah
sisa-sisa semalam
tika wajah
disapa bayu lembut
dan aku tak puas
menatap bebola matamu.

Catatan ini
tika diri menuju tua
bersama bekal yang ku bawa
adalah sekeping hati yang luka
dipanah mentari senja
tika bersama
mengait kuntum-kuntum puisi
yang sedang mekar di jambangan hari.

Maka
aku adalah pencatat sepi
yang sering hilang di mamah masa
yang leka mencari bunga-bunga puisi
bersama camar-camar yang setia
pada pantai, pada ombak
yang datang dan pergi.

Maka,
akulah perantau sepi
yang berduka di senja ini
menatap rona-rona pelangi
yang tercalit di dada langit
bilakah seorang aku
akan menitip noktah pada catatan ini
maka
akulah penitipnya yang setia.


B.Tan.
84.



* sajak ini aku simpan/tulis dalam antologi "kita kopek kita korek kita kompol" tapi entah macam mana satu hari aku salin atas satu kertas yang berukuran sejengkal X 3 inci. aku selalu bawak dalam poket baju atau seluar aku. nak jadi cerita, masa balik kampung (masa tu aku tingkatan empat di smu tengku ampuan fatimah, pekan) cuti sekolah ramailah budak-budak sekolah yang balik dan menunggu bas kat stesen bas kuantan. termasuklah aku dan bebudak sekolah aku sekali. aku telah suruh mohd hidayah bin musa untuk sampaikan kertas bertulis sajak itu pada seorang budak perempuan yang bernama rodziyah binti mohd yuneh. hidayah pun berilah padanya.

selepas cuti bukak sekolah, hidayah telah pulangkan semula sajak itu. katanya: rodziyah dah baca sajak tu, tapi dia tak faham apa maksudnya. jadi dia pulangkan semula sajak itu. aku gelak saja sebab aku bukan suruh dia faham pun, cuma aku pun tak tahu kenapa aku rasa nak bagi sajak tu pada dia. akhirnya sajak tu aku lipat dan simpan dalam antologi yang aku sebut tadi.

maaflah rodziyah sebab aku tulis nama engkau dalam blog aku ni, tapi kalau tak silap aku pada tahun 2003 semasa berkursus di dewan smk seri tualang semasa minum pagi pukul 10, aku telah di tegur oleh seorang perempuan (ustazahlah tu!). hai, bob! kenei lagi saya. aku pun berpaling dan memandang pada seorang perempuan yang sedang duduk di bangku. kenei, rodziyah, rodziyah mohd yuneh. begitu lancar aku menyebut namanya sekali dengan nama bapaknya. lepas tu ia terus diam, mungkin dia ingat aku ni pelupa agaknya. mintak maaflah, memori aku antara memori yang kuat powernya diatas kurniaan Allah. bukan aku perasan tapi ia adalah hampir kepada kenyataan. perasan lagi. hahaha!!! tak boleh jadi ini, baik aku berhenti kalau tak banyak lagi yang aku akan meracau. ok, stop!!!

Antara Syawal dan Ramadhan, ada aku yang tersipu.

Ramadhan,
kau telah melabuhkan tirai di senja semalam
membawa pergi segala debu
noda setahun lalu
membawa pergi seribu rahmat
yang tak bisa dikejar lagi.

Ramadhan,
aku cuba mencari puing-puing yang berbekas
apakah mampu memungut cinta Ilahi
dan melunas segala yang tergantung
terkapai dalam jaga
merintih ratib tak terhiba
tertinggal al-Qadar,
aku ternanar.

Oh!
Ramadhan telah pergi rupanya
puisi salju pun menderu
menyapa aku yang sayu
usah ditatang lagi tangis ini
usahlah resah menyimpul hati
tunggulah, tunggulah.....
Ramadhan hadir nanti lagi.

Antara Syawal dan Ramadhan
ada aku yang tersipu
malu pada diri
terjelma bait-bait doa tak terhafal
entah benar entah rawan duka melara
mengalir titik jernih
kepayahan melepaskan sesal
segala pujuk segala rayu
telah padam semalam.

Di fajar Syawal ini, Ilahi
ada aku yang tersipu
cuba bangun mencuci diri
dari debu-debu keji.


B.Tan.
10-16.09.2009.
Keratong 9.

Isnin, 21 September 2009

dah tahu dah.....

dulu aku ada beritahu yang aku tak reti nak masukkan gambar-gambar dalam ruangan blog. tapi itu dulu. baru-baru ini beberapa hari sebelum raya aku telah cuit sana cuit sini di ruangan membuat catatan. entah macam mana terjumpalah sesuatu yang selama ini aku tak perasan langsung, rupa-rupanya senang sangat nak masukkan gambar dalam blog. jadi sebagai percubaan aku telah masukkan kata-kata ucapan selamat hari raya sempena raya yang bakal menjelma nanti. satu aku letak kat danau kalbu ku dan satu lagi kat b.tan. nampak gayanya selepas ini berserilah lagi blog aku ini. asal jangan berat sangat bila nak bukak sudah.

Isnin, 14 September 2009

entah betul... entah salah...

terkejut aku bila tengok 'free counter' kat "danau kalbu ku" pada minggu lepas. sebelas ribu lebih!!! ye, ke? antara percaya dengan tidak, aku lebih cenderung kepada tidak mempercayainya. 'free counter' yang bernombor saja tu aku letak dua hari selepas aku letak pembilang yang berkunjung ada senarai nama bandar. aku letak dua, satu di ruang 'b.tan' dan satu lagi kat 'danau kalbu ku'. cuma warna saja yang berbeza. kononnya utuk membezakan yang berkunjung diantara kedua-duanya. tapi aku tengok, dua tiga hari lepas tu, sama saja bilangannya. aku pun tambah 'free counter' satu lagi kat 'danau kalbu ku'. baru nampak dia punya perbezaannya.

sebenornya aku tak reti nak tambah menambah dalam blog ni. semua 'free counter' tu aku tanya dan belajar dari penyelaras ict kat sekolah aku iaitu cikgu mohd zaki bin mustapaha. dari beliau jugaklah aku belajar bagaimana nak buat scroolblog di sebelah kanan tu. kalau nak buat sendiri, mintak maaflah awal-awal, aku memang tak reti. jadi bila tengok 'free counter' tu, aku tergelak sorang-sorang, rasa tak percaya langsung pada nombor yang dipaparkan: 011902. pedo oh betoi! kata aku dalam hati.
(tahu ke makna pedo oh tu?)

ah! lantaklah, aku bukan peduli itu semua. aku letak 'free counter' tu pun sebab tengok banyak blog yang letak. sekali tengok cantik jugak dan boleh jugak tahu ada ke tak orang yang baca blog kita. tapi nak letak design yang macam-macam tu aku memang tak minat, sebab aku lebih suka 'simple' seadanya.

jadi... itulah saja yang dapat aku buat untuk blog aku, andainya betul apa yang dipaparkan oleh 'free counter' tu, aku ucapkan terima kasih daun keladi kepada semua pengunjung dan datanglah lagi. lebih-lebih lagi kalau nama-nama yang ada dalam siri surat jaman tori tu yang membaca, bolehlah kita berkongsi cerita lain pulak, ye tak!
aku berharap agar apa yang aku tulis atau catat semuanya tak menyinggung mana-mana pihak kerana semuanya lahir dari danau kalbu ku!!!...

Jumaat, 11 September 2009

menimbang akal.

aku tak tahu
dan tak pernah tahu
berapa berat akal
jika kita menipu.

aku tak tahu
dan tak pernah tahu
berapa berat akal
kalau kita berkata benar.

timbanglah akal
dengan neraca hati mu
janganlah akal
hanya panjang sejengkal.

menimbang akal
mencari diri
melabuh mimpi
kenali pasti.


b.tan.
10.45 pagi.
11.09.2009.

berkokoklah gendang.

paluan gendang mu
melantun bicara
rundingan perpaduan
asyik dijaja
mencari persahabatan
konon belaka.

berkokoklah betina
pada jantan
besok kita
khatam belaka
setelah engkau
aku khatan kan.


b.tan.
9.55 pagi
10.09.2009.

Khamis, 10 September 2009

lima ketul pisang...

lima ketul pisang
dari orang atasan.

lima ketul pisang
buat belanja raya.

lima ketul pisang
nak bayar hutang.

lima ketul pisang
untuk aku
sepuluh sekeluarga.

aku nak tanya
lima ketul pisang
sahaja ke?

lima ketul pisang
bukan kami
tak tahu bersyukur!


b.tan
9.25 pagi.
10.09.2009.

Ahad, 6 September 2009

kenangan sepanjang ramadan...

hari ini adalah hari ke 15 umat islam berpuasa, bermakna 2 minggu lagi akan tibalah idil fitri yang dinanti oleh semua. sepanjang aku menjalani ibadah puasa ini sejak kecil hingga sekarang, banyak kenangan yang masih dan sering terbayang diingatan.
semasa aku budak-budak lagi, waktu paling letih dan tak daya ialah ketika bulan puasa dalam musim kemarau. ketika itu belum ada air paip lagi. perigi berhampiran rumah arwah wan aku pulak hampir kering. biasanya untuk mandi petang aku dan adik aku serta sepupu aku akan mengikut mak dan mak saudara aku ke rumah arwah tokki dilu dan arwah wan de leha. di belakang rumahnya terdapat sebuah perigi yang tak pernah kering walau di musim kemarau. untuk ke sana terpaksa berjalan kaki ikut 'leboh' (jalanrayalah). tak lah jauh sangat, tapi dah dalam bulan puasa berjalan kaki, puasa pulak tu, hari panas, aku rasa cukup jauh untuk sampai ke perigi yang terletak tepi paya berhampiran padang kapal terbang tu. hingga kini bila aku tersa lapar dan letih berpuasa, pasti aku teringat kisah berjalan kaki nak pergi mandi ke perigi tersebut. tapi perigi tu dah tiada. kawasannya dah didirikan kedai dan telah hilang dari pandangan cuma ia ada dalam ingatan aku saja.

ketika bersekolah di smu al-khairiah pulak saat yang meletihkan ialah ketika hari jumaat, berjalan kaki dari batu satu ke masjid temerloh. rasanya punyalah jauh. lainlah sekarang rasa dekat. kalau tak ke masjid temerloh pun, kami akan berjalan kaki ke masjid kampung bukit kepayang, sekarang ini berhampiran dengan simpang ke taman temerloh jaya. tuhan saja yang tahu betapa letih dan dahaganya ketika itu. tapi apa boleh buat, kerana ibadah terpaksa dikuatkan azam dan semangat. namun di asrama al-khairiah lah juga aku mula berlajar solat terawih sebanyak 20 rokaat. imamnya ustaz sulaiman dan kadang-kadang pelajar tingkatan 4 atau 5 yang dah biasa jadi imam. bermacam peristiwa dan kisah yang berlaku, semuanya amat memberi makna dan erti dalam hidup.

semasa tingkatan 2, aku dan beberapa orang kawan keluar dari asrama dan menyewa rumah di kampung paya kecil hilir. rumah tu tiada bekalan air paip tapi berhampiran dengan sungai semantan. ketika bulan puasa kami akan berjalan kaki ke masjid temerloh untuk berbuka puasa dengan melalui kampung baru cina. selepas maghrib kami akan balik, kalau rajin kami akan berterawih dahulu baru balik. pernah beberapa kali kami dikejar oleh anjing yang garang, bila seekor menyalak, anjing yang lain pun turut sama mengejar. kami apa lagi mentereban dan menciput lah, putih tapak kaki jawabnya. kesihan tengok zulkifli mohd dawa lari, dah lah gemuk pendek pulak tu. sampai rumah lapar semula perut. jawabnya maggilah yang jadi mangsa.

masa duduk rumah sewa di kampung pancor, pekan, berterawih di masjid ahmad, pekan sebelah sekolah aku. jalan kaki saja. pernah satu malam selipar aku hilang, selipar itu lain sebelah dan aku letak pun jauh-jauh, entah macam mana boleh hilang jugak. terpaksalah menapak menggunakan kaki ayam, nasib baik berjalan dengan 'zu' anak dara makcik esah, tak lah malu sangat sebab ada orang teman. kadang-kadang aku dengan mohd saudi bin ahmad, akan pergi berterawih di beberapa buah surau sekitar bandar pekan, katanya nak cari kelainan sikit. kami pergi naik motor dia. memang terdapat berbagai cara dan kerenah para makmum yang datang bersembahyang dan morehnya pun bermacam rupa dan gaya. itu yang aku seronok tu. tapi itu dulu-dulu, masa remaja.
bila dah habis sekolah duduk kampung, berterawih pulak di masjid kampung sendiri, 20 rokaat jugak.
semasa berpuasa di pekan jugaklah aku mula kenal murtabak, kisahnya bermula selepas berterawih, member aku 'arwah yeh' dan beberapa orang lagi telah mengajak aku pergi makan murtabak di tingkat atas pasar pekan. waktu malam bulan puasa kedai mamak kat atas itu dibuka, jadi itulah kali pertama aku makan murtabak. dah makan lepak pulak kat taman bunga seberang padang majlis daerah pekan, tengok budak-budak main mercun. bila mengantok barulah balik ke rumah sewa. maklumlah zaman remaja hanya sekali!!!

bila dah jadi guru pelatih, duduk rumah sewa lagi. tapi dah senang sikit sebab dah ada duit sendiri, walau tak banyak cuma rm 345 sahaja sebulan. tapi cukup bagi aku untuk melayari hidup sebagai orang bujang di perantauan. kalau malas masak, pergi saja bersahur di benteng yang di buka sampai subuh. kalau nak berbuka, macam-macam boleh beli atau pun pergi saja ke surau taman cempaka berhampiran rumah aku sewa tu, seperti yang aku cerita dalam catatan "dalam kenangan...in memories...". terlalu banyak kenangan untuk diingat dalam hidup ini.

semasa berada di lawas, barulah segalanya masak sendiri. bukanlah ketika di taman cempaka tak masak, lauk kami beli, cuma nasi saja yang dimasak. aku masih ingat semasa berterawih di masjid besar lawas, dilakukan sebanyak 20 rokaat dan imamnya ialah ustaz abdul latif al-hafiz. yang tak boleh dilupakan ialah kelajuan bacaannya. al-fatihah sudah pasti satu nafas sahaja. bacaan surahnya jugak laju, maklumlah satu malam nak dihabiskan satu juzuk dalam 20 rokaat tu. aku tak dapat nak menangkap bacaannya yang laju tu, walau pun ia membaca surah yaa sin yang aku biasa baca. bila dah lama-kelamaan aku jadi biasa dengan bacaannya nya yang laju itu. tapi puas jugak lenguh lutut sebab lama berdiri dalam satu-satu rokaat itu.

pada tahun 1994 dan 1995, pok ser kelate beli kereta dan dia ajak beberapa ustaz pergi berterawih di kampung belipat berhampiran dengan sekolah yang aku mula-mula posting dulu. di situlah aku mula-mula jadi imam solat terawih. tiap-tiap kami bergilir-gilir jadi imam, punyalah suka orang kampung sebab kami sudi berterawih di surau mereka yang tak seberapa tu. namun yang penting bagi kami khususnya aku yang pernah memgajar anak-anak mereka, itulah peluang untuk merapatkan kembali silaturrahim. kerana pada tahun 1994, selepas berkahwin aku ditukarkan ke srb agama, lawas. memang seronok tengok anak-anak kecil dan orang-orang kampung yang ramah dan mesra. mereka tak langsung sombong dan melayan kami dengan baik sekali.

setelah aku balik ke semenanjung dan duduk di kampung semula, ada beberapa kali aku diminta jadi imam dan bilal semasa sembahyang terawih di masjid kerayong. aku tak kisah sebab aku dah biasa dan bagi aku itulah peluang untuk aku berbakti di kampung sendiri. ada beberapa tahun imamnya ialah azhan anak allahyarham pakteh aziz, dia hafiz al-quran. bila aku beli rumah sendiri di taman seri buntar, aku berterawih pulak di masjid triang, lapan rokaat saja tapi diselangi dengan tazkirah oleh imam ketika itu ustaz zakaria, bacaan surah pulak tengok al-quran yang diletakkan kat depan imam.

bila taman triang maju dibuka dan ada surau sendiri, tak jauh dari rumah aku. aku pun tumpang sembahyang kat situ. dalam bulan ramadan, terawih hanya lapan rokaat saja sebab imamnya nak buat lapan saja. sape imamnya tu? tak kisah lah berapa rokaat yang penting ibadah kita ikhlas kerana Allah dan tidak bertujuan nak menunjuk-nunjuk.

kini aku dan keluarga bermastautin pulak di felda keratong sembilan. merasalah berpuasa di kawasan perkampungan felda. tak ada apa yang berbeza semuanya sama. solat terawihnya lapan rokaat diimamkan oleh dua orang imam hafiz dari takbai. bacaan secara tadwirnya jelas dan tidak panjang-panjang. lima hingga enam ayat untuk satu rokaat. tiga malam baru habis satu juzuk. yang penting bukan nak habis satu al-quran tapi dapat beribadah dalam keadaan tidak terkejar-kejar dan penuh khusyuk semasa sembahyang. malam ke enam belas, selepas sembahyang witir ada tazkirah ramadan oleh ustaz yusof embong yang bertajuk 'takwa yang ori'(boleh rujuk di yusofembong.blogspot.com-aku dah buat link nya di ruang b.tan).

sekarang dah nak masuk ke ramadan sepuluh yang terakhir, alhamdulillah masih ramai lagi yang datang berterawih, adalah dalam tiga, empat saf. akan diadakan pula qiamullail bermula pukul 2.30 pagi sehingga 4.30 pagi setiap malam. insya-Allah jika diizinkan aku akan cuba untuk turut serta pada setiap malam. bukannya senang nak dapat ganjaran pahala beribadat seperti seribu bulan (lebih kurang 82-83 tahun). umur kita semua pun belum tentu boleh sampai atau sempat menjangkau ke 80. entah-entah dah dijemput oleh Allah terlebih dahulu menghadapNya. apa-apa pun kita kenalah bersedia dari sekarang untuk satu lagi perjalanan sepi yang tak kembali tetapi telah kembali.

catatan ini telah beberapa kali terhenti kerana kelembapan internet di kawasan rumah yang aku sewa ini. tapi akhirnya siap jugak. dan puas aku cari sajak aku yang bertajuk 'antara syawal dan ramadan, ada aku yang tersipu' untuk aku paparkan tapi tak berjumpa. aku syak ia terkandung dalam 'mencari rindu' yang terbakar itu agaknya. nampaknya terpaksalah aku tulis satu lagi dengan menggunakan tajuk yang sama. dah siap nanti bolehlah aku paparkan untuk tatapan bersama, itu pun jika aku tak sibuk untuk menjilid helaian-helaian kertas menjadi buku!!! insya-Alah...

Rabu, 2 September 2009

kepala lembu

itu kepala
kepala lembu
lu arak
kepala lembu
lu pijak
kepala lembu
lu makan
daging lembu.

lu lembu
kata lembu.


b.tan.
2/9/09.


* raya nanti, banyak lembu yang akan jadi lembu termasuk orang yang jadi lembu.