Jumaat, 29 April 2011

terpaksa bercuti......


pada tahun ini, aku bercadang tak akan ambil cuti walaupun sehari. kerja dan kerja sahaja pada tahun 2011.

(i)
malangnya aku secara mengejut terpaksa bercuti pada 23.03.2011 kerana van aku mengalami masalah teknikal. kononnya nak mengutamakan keselamatan, jadi aku pasang sensor atau satu alat pada van aku. nak dijadikan cerita pada hari tersebut alat itu telah hilang tak tahu kemana, tercabut dari keychain nya. puas dicari ke sana ke mari, tak juga jumpa. hampir pukul 8, aku masih gagal menghidupkan enjin, walau telah aku bukak dan potong wayar-wayar yang patut aku potong. masih jugak gagal. akhirnya aku call azlin-pt sk kemayan dan menyatakan aku cuti rehat khas mengejut. setelah berehat seketika dan bersarapan, aku pun sambung semula operasi yang tertunda, dan terpandanglah satu wayar yang belum aku potong. apabila dibelek-belek, tahu lah aku puncanya, apa lagi aku pun buat apa yang patut aku buat dan alhamduliLLah, dapatlah dihidupkan enjinnya. aku punyalah bersyukur, tanpa berlengah dan tanpa memasang semula,aku terus ke kedai Panjang di kerayong.




beginilah rupanya, bila aku menjalankan operasi yang tak iktiraf oleh pakar......


bila aku balik dari kedai panjang dan menanggal baju untuk mandi dan solat zohor, tiba-tiba aku terasa ada sesuatu kat kepala tali pinggang tkrs!!!!! dan.....cissssss!!!!! disini rupanya benda ni menyorok kata aku sambil ketawa.isteri aku hanya senyum sambil berkata: kalau ular tu, dah lama di patuknya.


macam mana lah aku boleh tak perasan masa ia tercabut dari keychain dan melekat kat situ. astaghfiruLLahal 'azim....kerana kau, tak pasal-pasal aku terpaksa bercuti.


(ii)
beberapa kali aku diingatkan oleh anak aku yang bersekolah di smu al-ittifaqiyyah, guai, agar hadir ke mesyuarat agung pibg sekolah mereka. aku bukanlah tak mahu pergi, tapi mesyuarat itu diadakan pada hari bersekolah, jadi agak payahlah nak di tunaikan permintaan mereka. kalau nak pergi jugak terpaksalah ambil cuti. jadi sebagai tanda sokongan dan kasih sayang aku kepada mereka, pada hari rabu 27hb. april aku telah mengisi borang cuti rehat khas sekali lagi. selang setengah jam encik leong, gpk 1 datang masuk bilik aku: cikgu, gb suruh you pergi sini. sambil menghulurkan seping surat dari ppd bera. aku ambil dan baca. MAJLIS PELANCARAN KEMPEN ANTI BULI DAERAH BERA 2011. saya bukan tak mahu pergi cikgu, tapi... aku pun menghulurkan borang cuti yang telah siap aku isi sambil menambah: saya dah janji dengan anak saya mahu pergi mesyuarat agung pibg sekolah mereka, sudah dua tahun saya tak pergi, sekarang dia sudah tingkatan tiga, dulu dia seorang, sekarang sudah dua orang anak saya sekolah sana, jadi...tak sedaplah kalau saya tak pergi tahun ini.... nasib baiklah encik leong memahaminya dan: tak pelah nanti saya bincang dengan cikgu jamal(gpk hem). aku rasa lega, bukanlah aku nak lari dari tugas atau mengelak dari menghadiri majlis itu. seingat aku, aku tak pernah memberi dalih atau kata tak dapat jika diarah oleh gurubesar sejak dari srk belipat, lawas sehinggalah aku balik ke semenanjung, setiap arahan aku akan cuba tunaikan sebaik dan semampu yang aku boleh lakukan. tapi kali ini aku terpaksa kerana anak-anak aku pun perlu perhatian dari aku demi masa depan serta prestasi dan emosi mereka. sebelum balik aku telah menyerahkan borang cuti aku pada azlin.

maka bercutilah aku yang tak seperti bercuti pun!!!! pukul tujuh aku hantar ahmad abdullah abbas ke pasti. kemudian aku memecut ke temerloh dalam kesibukan lalu lintas. pukul lapan tepat sampai di lampu isyarat bawah jambatan temerloh. bermakna aku ada tiga puluh minit untuk sampai ke guai, kerana mesyuarat agung itu bermula pada pukul lapan setengah. aku tak pasti siapa yang akan merasmikannya, tapi dalam kepala aku mengagak mungkin yb norol azali, adun guai. aku tak kesah kalau dia, sebab dia memang cam muka aku yang hijau ini...hahahah... dan tak mungkin ismail sabri, sebab dia jenis orang sibuk dua puluh empat jam. sedar tak sedar aku dah pun sampai tepat pada pukul lapan setengah. masih belum ramai dan jumlah kereta pun belum ada sepuluh buah. petugas yang terdiri dari pengawas menunjukkan arah kaunter pendaftaran dan aku bilangan yang 47 mengikut nombor yang tertera pada buku minit mesyuarat agung. setelah menulis nama aku diminta ke kaunter satu lagi yang jaraknya sepuluh meter untuk mengambil keputusan peperiksaan p1 bagi kedua-dua anak aku dan di beri sedikit juadah sebagai sarapan pagi: seketul karipap, seketul kuih kacang dan sebatang pulut panggang serta segelas plastik teh 'o' panas tapi kalau susu suam lagi ngam......

mesyuarat agung bermula pada pukul sembilan pagi kerana menanti ibubapa yang hadir. tanpa perasmian, mesyuarat berjalan lancar dan habis pada pukul 10.45 untuk majlis penyampaian anugerah kecemerlangan bagi tahun 2010. anak aku, siti nur amni hanya mendapat hadiah kehadiran penuh sahaja, tapi prestasinya untuk p1 tahun 2011 taklah teruk cuma sederhana begitu juga dengan ahmad kamal abdullah. majlis ini dirasmikan oleh dato' ali hanafiah bin sh saruji, pengurus besar, amanah saham pahang. majlis itu telah diserikan lagi dengan persembahan nasyid oleh kumpulan pelajar perempuan yang menjadi johan masisupa zon tiga dan kumpulan nasyid pelajar lelaki yang mendapat tempat ketiga dalam pertandingan yang sama.


backdrop atau hiasan yang ringkas mengunakan pancaran lcd sahaja......


ahmad kamal abdullah

kumpulan nasyid pelajar lelaki: shoutul...... (ah! lupa pulak aku......),

dalam pada itu aku sempat hantar mesej pada........pada habil lah.....hahahah...tanya pasal majlis penutupan perkhemahan pendidikan luar, habis pukul berapa. setelah selesai penyampaian hadiah dan jamuan pun dah beres, sementara menunggu anak-anak aku mengambil beg-beg mereka kerana pada hari besok-jumaat- mereka akan bercuti peristiwa, aku sempat solat zohor dan habil menalipon bertanya aku kat mana kerana majlis penutupan dah tamat. aku kata, aku masih di temerloh, mungkin selepas pukul dua aku akan sampai ke pusat kokurikulum untuk menjemput peserta perkhemahan sk kemayan.

pukul 1.50 petang aku pun pulang dengan melalui jalan 'danzy', walaupun laluannya agak sempit dan menyusur tebingan sungai pahang, aku terpaksa jugak laju kerana nak mengejar masa. kasihan kat habil dan budak-budak yang lama menunggu. waktu tengahari, jalan memang sibuk, nak buat macam mana, bukan tak tahu bahaya tapi tawakkal sajalah sambil mulut tu jangan lepas dari zikrullah sambil layan abby fana di sinar fm......(inilah kelemahan aku......) aku perasan ada kereta kelisa yang aku potong kat lebak cuba kejar aku, setiap kali aku memotong, dia kan turut potong. walau jauh aku tinggalkan, sedar-sedar dah ada di belakang kereta yang aku potong. bila sampai di simpang kerayong, aku membelok menuju ke felda gugusan bera, dia pun turut sama membelok masuk ke jalan yang boleh menuju ke tasik bera. tapi akhirnya ia hilang dari pandangan dalam deretan kereta yang terkejar-kejar tapi asyik nak brek saja.

aku selamat sampai di pusat ko, tepat pada pukul tiga petang. masih ada beberapa jurulatih yang sibuk mengemas termasuklah kem komandennya samsuri dan penyelia koko daerah yusri mustapha. setelah pelajar perempuan naik van dan pelajar lelaki naik kereta habil. bermula semula perjalanan menuju ke triang dan aku berhenti di rumah (taman seri buntar) kerana menurunkan anak aku dua orang tu, sebelum meneruskan perjalanan ke kemayan, aku berhenti di shell paya lang untuk mengisi minyak. sampai di kawasan sk kemayan dah hampir pukul 4.30 petang. hantar izzatul dan alis liyana ke rumah mereka dan nurul izzah hanya turun di sekolah kerana menunggu bas ke ladang bukit senorang. aku berhenti di sekolah untuk solat asar dan naik ke pejabat, azlin masih ada lagi bersembang dengan azwa. kat padang zul sibuk melayan budak-budak, sharipah dan zainab pun nampaknya belum balik lagi. niat aku nak join zul tak dapat ditunaikan kerana isteri aku dah beberapa kali hantar mesej dan menalipon bertanya bila nak balik.

inilah sedikit secebis kisah aku yang terpaksa bercuti tapi tak macam cuti. mana isteri aku tak bising......kadang-kadang dua minggu direct aku tak ada rehat, tidor pun tak cukup. tapi, alhamduliLLAH, aku di kurniakan kesihatan oleh Yang Maha Esa, syukur kepada-Nya. cuma sekarang aku perlu tidor...........assalamualaikum.......daaaaaaaa........

Ahad, 24 April 2011

memecah akal seribu dangkal.

Berbicaralah semuluk mahu mu
apa saja yang kau tahu
atau pun pura-pura serba tahu
asal saja kau bisa bicara
untuk kepuasan nafsu memburu.

Ketahuilah...
akal puncak segala pangkal
andai dangkal janggallah bakal
akal lubuk segala tangkal
jika ditinggal akhirnya sesal.

Memecah akal seribu dangkal
memutar lidah mendapat padah
mencari madah usah terngadah
dalam berhelah kita terlatah.

Memecah akal seribu dangkal
akal sejengkal tak boleh pakai
biar pandai kita menilai
jangan esok dikata sakai.

Memecah akal seribu dangkal
peliharalah akal dengan bekal
kalau berakal kita kebal
kalau dangkal kita tersadai.

Buat memecah seribu dangkal
pakailah akal dengan santai
jangan sekadar intai-intai
nanti kau akan pokai.

Pecahkan lah dangkalmu
dengan akal dari Tuhan
bukan sekadar melulu membaling batu
nanti kau sendiri akan faham
hidup ini perlu berilmu
agar mati tak jadi hantu
hidup ini mesti guna akal
bila mati boleh jadi bekal.


b.tan.
bera.
april 2011.

Jumaat, 22 April 2011

pesanan buat seorang aku.

Syukurlah...
kerana malam ini masih hitam
masih ada lagi masa
untuk meniarap di atas tilam
masih ada jalan yang tidak curam.

Syukurlah...
andai besok siang masih terang
masih ada lagi masa
untuk terbang dan melayang
masih ada ruang untuk mencipta bayang.

Syukurlah...
alam ini masih indah
masih mudah untuk kau ratah
meski payah dalam resah
masih jua kau geledah.

Syukurlah...
masih ada pesanan buat seorang aku
yang lemas dan sayu
setelah malam berlalu
dan siang berdebu
alam seakan malu untuk mengaku
telah banyak peringatan demi peringatan
disampaikan sebagai pesanan
manakah arah manakah tujuan
dapatkah lagi kita membenci
hanya sekadar berlainan undi.

Pesanan buat seorang aku
akurlah pada janji yang dimeterai
usahlah lagi tercari-cari
atau hadir tapi menyendiri
bukalah mata bukalah minda
pandang masa depan
dengan mata hati.

Pesanan buat seorang aku
hidup ini umpama malam
dan kadang seperti siang
namun keindahan alam
padanya usah kau tergoda
padanya usah kau leka
kerana ia hanya sementara.


b.tan.
22.04.2011.
seri buntar.

Isnin, 18 April 2011

Selamat Ulang Tahun Kelahiran, Sayang.(18.04.1971)

Sayang, di kesempatan ini abang ingin ucapkan selamat ulang tahun kelahiran yang ke 40. semoga sayang terus tabah dan bersemangat untuk meneruskan kehidupan di samping abang, terus gigih mendidik anak-anak kita agar menjadi anak yang soleh dan bertakwa pada Illahi. sayang di kesempatan ini juga abang ingin mohon jutaan kemaafan, andai ada bicara atau tutur kata abang yang menyinggung hati sayang,yang membuat sayang berduka dan terluka. sayang, abang sedar selama ini banyak tingkah laku abang yang tidak menyenangkan hati sayang, hingga sering sayang berendam airmata.

sayang, ketahuilah jauh disudut hati abang tersimpan kukuh rasa cinta abang terhadap sayang, terpahat padu rasa kasih abang untuk sayang, usah lah diragui hanya sekadar abang berahsia pada sayang. seperti apa yang pernah abang nyatakan dulu sebelum kita diikat dengan ikatan perkahwinan: sejak aku kenali cinta mu yang suci, aku tak berpaling lagi, dan akan aku genggam janji ini hingga akhir hayat kita. sayang, rasanya terlalu banyak pengorbanan yang telah abang lakukan dalam kita membina sebuah keluarga bahagia. terlalu banyak abang bersabar dalan melayan kerenah sayang. bukan abang bertujuan untuk mengungkit kerana itu memang tanggungjawab abang sebagai ketua keluarga, tanggungjawab abang sebagai pemimpin rumahtangga yang mesti sanggup berkorban untuk mereka yang dipimpin.

sayang, jika hati sayang pernah tersentuh dek kerana sikap abang, abang mohon kemaafan dari hati yang tulus ikhlas, mungkin sukar bagi sayang untuk melupakannya, kita hanya merancang Allah jua penentu segala dan kita ditakdirkan bersatu sebagai suami isteri yang sah. sayang, marilah kita bersama pelihara dan kekalkan hubungan kita hingga ke akhir hayat.

sayang, biar seribu luka di hati, biar seribu kecewa melanda, namun sedih usah dibiar pedih, di saat usia sayang menjangkau 40, sekalung tahniah abang ucapkan buat sayang kerana ketabahan dan pengorbanan sayang dalam mengandung, melahirkan, mengasuh dan mendidik anak-anak kita sehingga kini mereka telah meningkat remaja dan membesar dengan lindungan Allah jua. sayang, sesungguhnya bukan sedikit tenaga yang dicurah dan bukan sedikit keringat yang tumpah dalam mengurus rumahtangga kita. maaf, kiranya pertolongan yang abang hulurkan masih belum mencukupi untuk meringankan beban yang sayang galas selama ini.

Sayang, usahlah bersedih lagi, tak sanggup abang lihat sayang menderita seperti satu ketika dahulu, kini kuatkanlah semangat dan daya tahan mental serta emosi, peliharalah ibadah dan perbanyakkan zikrullah, berserahlah pada Allah dalam segala hal. usah diikut hawa nafsu dan bisikan syaitan, tawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Ia Maha Berkuasa atas segala sesuatu... sayang, akhir kata percayalah pada kejujuran dan kesetiaan cinta abang buat sayang.
sayang....., selamat menyambut ulang tahun kelahiran yang ke 40 abang ucapkan. sekian. wassalam.

Sabtu, 16 April 2011

Mencari Seteguk Penawar.

Terdampar sebuah irama
dalam mencari bait-bait puisi
yang berguguran satu persatu
dilambung ombak asmara
lalu terkapar sebuah ilusi.

Meniti di horizon ini
buat mengejar sang pelangi
kaki bagai ditusuk duri
hati bagai dibelah bagi
namun jasad terus berdiri
memerhati pada hari
arah mana lagi
untuk ku hela nafas ini.

Memerhati lagi pada ombak
diri terasa kerdil
saat pelangi menghilang pergi
ku cuba kutip kembali bait-bait puisi
buat persembah dalam sujud penuh kudus
ku cuba atur kembali
kata-kata zikir yang lama terpinggir.

Lalu dalam tafakur ini
ku panjatkan rasa syukur
pada-Mu al-Ghafur
masih ada kesempatan
dari Mu buat ku
perbaiki kesilapan silam
masih ada rahmah Mu
untuk ku yang lemah.

Ar-Rahman...
Ar-Rahim...
dalam terdampar,
masih Kau beri aku seteguk penawar.

B.Tan.
Seri Buntar.

Selasa, 12 April 2011

Menunggu hadir sebuah rindu.

Berteleku di sejadah usang
merenung jauh ke sudut hati
dan sebuah rasa yang sering tiba
kian malap dimamah gelita
tak kala aku mengharap hadirnya sebuah rindu.

Tuhan...
lewat pertemuan lalu
aku tersipu malu
rindu yang hadir tak sempat ku sambut.

Kini ...
saat aku sepi
mana lagi nur cinta-Mu
dalam kegelapan
mana lagi nur kasih-Mu
izinkan aku taut kembali
butir-butir tasbih rindu-Mu
buat mengubat seribu luka di kalbu.

Tuhan...
dalam menunggu hadirnya sebuah rindu
aku pasrah bersama noda cinta kelmarin
di sejadah usang ini
ku pamir segala yang terukir
kenangan-kenangan silam
ku persembah satu persatu
buat merawat seketul hati
buat menyuci segala daki.

Tuhan...
dalam pertemuan ini
terimalah sebuah rindu dari ku
bersama seribu rasa penyesalan
tentang seruan Mu yang lewat ku sahut
tentang cinta Mu yang lambat ku sambut
tentang kalimah Mu yang jarang ku sebut.

Tuhan...
dalam menunggu hadirnya sebuah rindu
aku hanya mampu berteleku di hadapan Mu.


B.Tan.
10-12.04.2011.
Bera.

kubang buaya.....



perjalanan pada petang itu berjalan lancar. aku dengan santai memandu, tidak terlalu laju dan taklah pulak perlahan cuma sedikit waspada kerana ada tanda-tanda hujan akan turun. aku tak kesah hujan sebab aku memang suka hujan. anak-anak aku yang turut serta cuma lima orang saja, yang duduk di asrama tak ikut walau mereka menyuruh ambil mereka jika nak pergi kuantan. tapi, bukan tak tahu perangai aku yang tak akan melayan jika mereka tak dibenarkan pulang oleh pihak pengurusan asrama.

setelah berhenti di hentian rehat maran dan bertegur sapa dengan puan sapiah-pengetua seri bera di hentian gambang yang juga ingin ke kuantan, kini perjalanan makin rancak kerana rombongan telah bertambah bilangan kereta yang turut serta, aku membiarkan saja mereka jalan di hadapan dan lebih selesa sekadar mengekori dari belakang. cuaca mulai makin mendung dan ketika berhenti di lampu isyarat persimpangan jaya gading, si najman telah memainkan lagu aku hanya serangga.....ahhh! kacau betullah dj sorang ni.

rombongan selamat tiba di homestay yang akan menjadi tempat menginap kami untuk dua malam setelah berhenti mengambil kunci rumah dari tuannya yang tinggal berdekatan dari situ. aku apa lagi mengeluarkan segala beg-beg dan membawa masuk kerana hujan mulai barai-barai dan aku pun belum solat asar lagi. jika ada anak aku yang sulong, ringanlah sikit tugas aku kerana ia dah boleh diharap untuk menguruskan itu semua. malam pertama tiada apa-apa aktiviti cuma aku melayan kehendak anak dan isteri aku nak pusing-pusing bandar kuantan. langsung ke tanjung lumpur dan ke kampung soi, rumah kakak aku tapi ia sekeluarga tiada di rumah kerana berada di beserah. nak makan ikan bakar... minta maaf baget tak cukup! balik tidor lagi bagus untuk merehatkan badan.

sebenarnya aku ada kenangan dengan kampung kubang buaya ini. pada tahun 1985 atau 1986 aku pernah menumpang tidor di rumah sewa seorang kawan aku kerana terlepas bas ke pekan. masa remaja aku memanglah agak....hahahah..malu pulak nak cerita... suatu petang aku telah
keluar ke kuantan seorang diri, ketika itu tempat yang paling best melepak ialah kompleks teruntum, kalau tak tahu tempat tu bukan anak pahang lah agaknya. itulah destinasi aku tiap kali aku keluar ke kuantan dari pekan. aku tak kesah walau aku sorang saja yang lone ranger. letih merayap di dalam kompleks, aku duduk bersidai sama ada di dalam atau diluar bangunan tersebut sambil dengar lagu-lagu rock dari kedai kaset di tingkat paling bawah. entah macam mana malam tu ada filem yang bagus kat panggung bfo, jadi aku pun tengoklah. bila keluar dari bangunan tu hari dah pukul 12 malam, memang sah tak ada bas nak balik ke pekan. tapi aku bernasib baik kerana dalam ramai-ramai yang keluar dari panggung tadi temasuklah seorang kawan aku yang pernah satu kelas semasa di al-khairiah dulu. namanya norazman aminuddin(dr burhanudin busu ada mencadangkan namanya supaya aku tambah sebagai rakan, tapi aku kiv dulu sehingga aku siap buat entry ini...hahahah! maaf ya dr dan azman).

sembang punya sembang ia mempelawa aku bermalam di rumah sewanya. tapi jauh kat kubang buaya. sekali dengar memang ngeri...tempat buayalah katakan. kami pun menapaklah seramai enam orang dari kompleks itu ke kampung kubang buaya di tengah malam buta. perut lapar tapi nak makan masing-masing tengah kering dan aku pulak hanya cukup untuk buat tambang pada hari esoknya. bekal ketika itu hanyalah dunhill 20 yang aku beli sebelum masuk bfo tadi. walau pun jauh tapi tak letih sebab berjalan di tengah bandar dan diselang seli dengan gelak ketawa. hampir dua puluh minit berjalan maka sampailah ke sebuah rumah papan yang sederhana besar, mempunyai tiga bilik dan satu bilik air. almaklumlah rumah anak remaja, berselerak sana berselerak sini dan aku pun merebahkan badan yang keletihan dan lapar di atas tikar mengkuang berbantalkan beberapa buah buku. norazman ni kata ia berkerja sebagai kuli batak saja. tapi aku tak percaya sebab ada buku-buku stpm, tentu ia bekerja sambil belajar nak ambil periksa agaknya. aku tak tahu pukul berapa norazman dan kawan-kawannya tidor, ketika aku bangun diorang masih begitu nyenyak melayan mimpi indah masing-masing. setelah membersihkan diri dan berpakaian semalam aku pun mengucapkan terima kasih serta berlalu pergi meninggalkan rumah tersebut.

tapi kini kubang buaya telah jauh berubah, tiada lagi rumah-rumah papan, yang ada semuanya rumah batu. kalau ada pun agak tersorok kerana terlindung dek rumah-rumah besar yang pasti bukan milik orang melayu. ia kini telah menjadi kawasan elit namun di kawasan homestay yang rombongan aku menginap ini masih terdapat kelompok melayu yang cuba bersaing dengan kaum lain untuk meneruskan hidup. di hadapan homestay ini terdapat gerai yang menjual juadah untuk sarapan pagi. jadi senanglah kalau nak makan atau minum, malah boleh ditempah makanan jika kita ingin. pukul sepuluh lebih gerai ini akan ditutup untuk dibuka pula pada esok pagi. aku sekadar memerhati saja tak pulak mencuba untuk merasa makanan dan minuman di situ. cuma pada pagi sabtu, abang ipar aku order tiga puluh keping roti canai, rasanya ok dan kuahnya pun sedap.

mengenai homestay ini pulak, sewa untuk satu malam ialah rm 180.00 jika tambah satu malam, perlu bayar lagi rm 120.00. mempunyai empat bilik tidor dengan satu bilik utama dan tiga bilik air. cuma peralatan dapur saja tak disediakan tapi tak apa sebab gerai dekat dan boleh tempah makanan dari gerai tersebut. kalau nak ke teluk cempedak atau taman gelora pun tak jauh, boleh rehatkan minda sambil melihat ombak dan pantai yang memutih. sebenarnya banyak lagi kisah tentang kubang buaya ini, tapi aku tak tahu sebab aku bukan orang kuantan, jadi cukuplah sekadar ini saja catatan aku mengenai kubang buaya kerana aku nak add si norazman pulak sebagai rakan aku. dah hampir sebulan dicadangkan oleh dr. burhanuddin, mungkin norazman ni boleh menceritakan serba sedikit sebab ia pernah menetap di kubang buaya. sekian.