Jumaat, 8 April 2016

pedih usah dirintih...

pada satu pertemuan dan pada satu perpisahan
akan adalah hati yang terpilu dan sendu
menagih rasa simpati dan bersemi pula
rasa seni antara kasih dan kasihan.

maaf, kekasih....
aku terlupa menjemput mu hadir di mimpi ku semalam
kerana kekalutan dan kecapekan aku tersandong
sebuah janji yang tak ku tepati
maka berakarlah rindu itu di muara sepi.

kasih...
andai kekasih terlena lewat tidur mu yang mulus
izin aku hadir bertamu di mimpi mu
untuk ku ganti pilu bersama secangkir madu
di saat terlewatnya rembulan kembali ke peribaan bonda.

kasih...
jua kekasih...
usah dirintih pedih...
biarkan ia terpilih antara berjuta zikir
yang meniti di sepanjang lena mu yang terukir
pedih usah dirintih pedih.


b.tan.
mengkuang.
8.4.2016.
11.52am.

Ahad, 6 Mac 2016

catatan tak bergelora....

assalamualaikum wa rohmatullahi wa barokatuh.... apa khabar saudara dan saudari... laki-laki dan bini-bini.... bini-bini...?  isshh... perempuanlah..... atau pun dalam bahasa yang mudah difahami wanita... bila sebut wanita ia nampak macam ilmiah sikit kan... bini-bini atau binik-binik bukanlah bermaksud ramai atau banyak bini atau isteri... ia adalah perkataan dari bahasa melayu brunai atau bahasa kedayan....

kenapa pulak aku merepek pasal bini-bini di malam buta begini.... nak tau jam berapa sekarang.... 12.52 am... malam lah bukan pagi di siang hari.... sebenarnya aku tak tau nak cerita apa stelah hampir setahun lebih tidak membuat sebarang catatan kat danau aku ini. berpuluh peristiwa atau kisah yang berlaku dalam hidup aku pada setiap hari, tapi satu pun aku tak sempat nak rakamkan di sini.

bermula dari saat  aku kehilangan ibu yang aku sayangi yang telah pergi menemui tuhan Rabbul Jalil hinggalah kepada detik-detik aku menyiapkan latihan mengajar disaat usia aku menginjak 49 tahun, bagaimana peritnya aku nak menyiapkan tesis sebagai syarat untuk memegang segulung ijazah, serta dikala aku........ dengan 'sahabat' lama aku.... ahhh.... terlalu banyak jika aku nak senaraikan satu persatu.... tapi semuanya berlalu begitu sahaja... tanpa sempat aku mencatat sebarang kenangan.... biarlah ia menjadi satu nostalgia buat aku terutama tentang ibu ku yang terpaksa menanggung stroke hampir empat tahun yang dialaminya buat kali kedua...

kini.... di malam ini..... di waktu malam begini..... aku tak tidur lagi..... kenapa.... kerana aku belum tidur lagi.... itu saja sebabnya.....

sebenarnya aku sedang menguji skill yang aku miliki dalam arena blog ini... sama ada aku masih lagi mampu untuk ber'blog' seperti dulu..... itu saja.... tak lebih dan tak kurang...

ok lah jumpa lagi lain kali di saat rasa bergelora terhadap kamu walau pun aku tidak berada di taman gelora, kuantan,...

daaa.... see you again..... wasssalam....    

Jumaat, 15 Ogos 2014

gambar hiasan sebagai pembuktian...

assalamualaikum wa rohmatullahi wa barokatuh dan salam sejahtera...
semalam aku ada kata nak kongsi gambar pada tahun 2011 kan. haa... kat bawah tu dah ada dah gambarnya. jadi, mari kita tengok sama-sama ya... 

ini gambar semasa aku nak hantar anak aku ali dan aisyah kat rumah maklong di greewood, gombak pada 24.09 2011(sabtu) yang lalu. dah nak sampai plaza tol karak, aku snap satu gambar signboard.


aku pun standby dengan kad dan duit yang mencukupi. tak ingat dah berapa ringgit. 


satu pemandangan selepas plaza toll. jalan agak lenggang walau pun masih lagi dalam mood raya ketika itu.


dari jauh kelihatan banjaran besar yang memisahkan pahang dan negeri sembilan.


ini gambar saja aku suka-suka nak snap...


menghampiri banjaran titiwangsa pula yang memisahkan pahang dan selangor. kelihatan mulut terowong yang ternganga siap sedia untuk menerima apa sahaja yang melaluinya.


terowong ini pada permulaannya satu lorong saja iaitu yang di sebelah kiri. kemudian entah tahun yang keberapa aku pun tak ingat, akibat pertambahan dan kesesakan kenderaan yang banyak maka telah ditebok dan dibuat satu lagi terowong.


ini pula salah satu pemandangan ketika aku dah keluar dari plaza toll temerloh. waktu ini jam menunjukkan pukul 6.29 petang.


ini pulak persimpangan untuk ke jerantut dan temerloh. kalau ke kanan ia ke jerantut dan jika ke kiri menghala ke temerloh. gambar ini aku sengaja aku snap sebagai menghilangkan boring kerana isteri aku kat hospital temerloh.


hahahaah... jangan lah gelak kuat sangat... malu lah aku... ini bukan lakonan ya... gambar real punya. aku tertidor pada pagi 25.09.2011(ahad) jam 6.21 pagi. macam mana aku tahu? aku tahulah sebab anak aku yang cerita dia orang ambil gambar ketika aku tertidor tak sedar apa. tengok mulut tu ternganga, nasib baik tak macam mulut terowong... kalau tidak anak naga pun boleh masuk... wajah yang kengalehan banar...


ini dia banguna hoshas atau nama rasminya hospital sultan haji ahmad shah, temerloh, pahang. tak ingat dah berapa kali aku ke sini. dan pernah sekali aku lepak kat depan pintu lobinya sehingga pagi ketika isteri aku dimasukkan kali kedua kerana jangkitan kuman kat jahitan pembedahannya. nyamuk tak usah cakaplah banyaknya.


pemandanga menghala ke kuala lumpur pada hari ahak bersama isteri yang baru keluar hospital dan nak ke kelang. kalau tinggal dengan aku,, mana sempat nak pergi sekolah lagi, nak jaga anak lagi, nak urus rumahtangga lagi, dan nak layan serta jaga isteri aku yang dalam 'pantang' tu.


pemandangan di hadapan simpang hutan lipur lentang. baru lepas makan nasi lemak. kaki langit yang damai...


sementara menunggu anak aku berkameh... sempat aku ambil gambar sebagai kenangan...


antara kereta pengunjung pada petang/senja itu.


ketika membuat pusingan... aku snap satu gambar air terjun. yang berwarna putih tu adalah air yang kelihatan di celah-celah dedaunan hijau hutan lipur lentang. waktu ini ialah 6.53 petang. dah senja pun...

kenapa tak ganti atau bersihkan papantanda tu. kan nampak comot...


satu lagi dia punya papantanda...


sebuah kedai kain kat little india, kelang... hanya mata yang mampu melihat tapi poket tak mampu berbicara...


siti nur aisyah...


sayu hati aku lihat wajah anak aku ini. terpaksa dipotong pendek kerana banyak kutu!!!
   

tapi masih lagi keletah dan menghiburkan hati aku...


sedih dia sebab aku dah nak balik ke bera. tapi tak pa uminya dah ada kat kelang bersama-sama, cuma tak boleh bermanja sangatlah.

* sekian terima kasih daun keladi... nak jumpa dan tengok lagi...
* wassalam... aku balik dulu nak pi solat jumaat pulak... daaa...

Khamis, 14 Ogos 2014

selingkar kesah - 2.

setelah melewati jalan little india, aku berhenti di simpang yang terdapat papan tanda; klinik pergigian kelang. agak gelap, karang payah pulak daud nak nampak. aku ke hadapan beberapa meter berhampiran sebuah bus stand, macam mana aku tak perasan ada bus stand tu. sempatlah aku berehat sekejap dengan membetulkan pinggang aku yang ramping dan leher aku yang jinjang dari kelenguhan yang telah menghampiri tahap agak tenat. aku memusingkan badan aku beberapa kali ke kiri dan kanan. kruuk... kraaak... bunyinya yang mendatangkan sedikit keselesaan pada tulang temulang aku. sementara itu anak-anak aku macam biasa dengan uminya bercerita itu ini dan macam-macam perkara yang disoal oleh anak aku tentang pembedahan kecil yang isteri aku jalani.

lebih kurang lima belas minit menunggu, akhirnya daud, suami adik ipar aku sampai dengan kapcainya dan aku pun ikut dari belakang, berhenti di satu bulatan dan belok ke kiri melalui satu pasar malam dan berhenti di lampu isyarat sebelum membelok ke kiri lagi sekali iaitu jalan atau lorong yang menuju ke rumah yang disewa oleh daud dan rukiah. bila sampai saja terus kedengaran suara yang dirindui, suara ali dan aisyah tapi aku tak terus turun sebaliknya bersandar dulu melepaskan letih disamping menarik nafas lega kerana sampai jugak ke rumah itu buat kali kedua. kepala masih lagi ada rasa pening dan berdenyut-denyut, badan pulak rasa lenguh, mungkin dah banyak angin yg masuk dalam badan aku agaknya.

lebih kurang lima minit aku merehatkan badan, aku masuk ke dalam rumah setelah anak aku sibuk nak keluarkan beg dan kerusi lipat yg isteri aku nak duduk berehat nanti. di dalam rumah, aku bersalam dengan mak mertua aku dan duduk bersandar pada dinding rumah itu. aku rasa amat letih dan pening makin menjadi, rasa seram sejuk pun ada macam nak demam saja. tapi aku terpaksa juga melayan aisyah yang nak bermanja, nak duduk atas riba, rindukan aku lah tu agaknya. termasuklah ali yang nak bercerita dan bergurau dengan aku. aku layan setakat yang aku mampu sambil duduk. isteri aku dan mak mertua aku bertanya nak makan ke, tapi aku geleng kepala, bukan tak lapar tapi aku tak ada selera sebab kepala pening dan badan pun rasa tak sedap. akhirnya aku berbaring saja tepi dinding itu setelah anak aku menghulurkan sebiji bantal buat alas kepala aku yg berdenyut, tak tahu aku bila aku terlelap dan tak sedar apa dah lepas tu.

lebih kurang pukul 4 aku tersedar dan jam kat dinding rumah pun menunjukkan pukul 4 pagi. aku duduk bersandar dan kelihatan anak-nak aku tidur disekeliling aku, sementara itu isteri aku lena di atas sofa panjang. kesihan aku melihatnya menahan sakit tadi. kini biarlah dia berehat dulu. aku bangun dan mengambil tuala lalu masuk ke bilik air untuk mandi dan menyegarkan badan aku. lagi pun aku belum solat lagi. sementara itu mak mertua aku dah pun bangun dan sibuk di dapur, masak air, panaskan kuah dan lauk semalam, kemas pinggan mangkuk dan yang sewaktu dengannya. selesai solat dan apa-apa yang patut aku lakukan, aku ke dapur kerana perut dah mula bergelora dan berkeroncong. hampir habis semuanya aku bedal. macam buaya pulak aku ni, nak main bedal-bedal. buisap* betullah!!!

diringkaskan cerita, isteri aku meminta aku balik pada hari selasa sajalah kerana aku pun belum cukup rehat lagi dan ia pun belum cukup kuat lagi, masih terasa sakit di tempat jahitan itu. aku dah pun menalefon ke sk kemayan, seperti biasa azlin yang menjawab, aku kata aku mc hari ini dan berada di kelang menghantar isteri aku ke sana. esok baru aku datang sekolah. seperti biasa juga azlin tak banyak cakap, hanya 'ya' sahaja dari nya. aku berbincang lagi dengan isteri aku, keputusannya aku akan balik juga pada hari ini sebab anak-anak aku nak balik ke asrama pasal dah janji dengan warden dia orang, tak mahulah aku nanti anak aku dikata mungkir janji. lagi pun siti nur amni nak periksa pmr pada minggu depan. itu yg lebih penting bagi aku. puas jugaklah aku nak pujuk isteri aku tu, tapi alhamdulillah ia dapat menerima keputusan aku itu. sementara menunggu makan tengahari dan nak balik ke bera, aku berehat sambil melayan telatah anak-anak aku khususnya ali dan aisyah yang aku tinggalkan nanti.

* ini catatan lama pada tahun 2011 yang lalu. bermakna dah hampir tiga tahun ia terperap sebagai draf. ia juga merupakan sambungan kepada catatan ini... http://mohandin.blogspot.com/2011/10/selingkar-kisah.html iaitu kisah aku ke kelang untuk menghantar isteri aku ke sana. bacalah sendiri ya. walaupun dah baca dulu tapi itu pada tahun 2011. tak sama dia punya 'feel' kan. 

sambungannya memang panjang. balik tu aku ikut seremban, kuala pilah, batu kikir dan terus ke kemayan dan triang. aku turunkan anak aku empat orang kat rumah dan terus ke sekolah agama guai. balik dari sekolah tu dah pukul lapan malam. itu yang aku terserempak dengan ular sawa melintas kat depan aku tu. sampai kat rumah dah hampir pukul sepuluh. ambil siti nur akmal dan hantar pulak ke asrama di smk seri bera. aku sampai kat rumah semula hampir pukul sebelas.

begitulah selingkar kisah, kesah aku dan keluarga aku. betapa tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa bukanlah mudah. tapi ia perlukan pengorbanan yang tidak berbelah bagi samada suka atau rela, sukar atau payah ia adalah amanah yang perlu dilaksanakan oleh seorang yang bergelar lelaki. dengan tersiar sambungan kesah ini, maka berkurangan lah senarai draf yang sedang menunggu giliran untuk aku siar atau paparkan. tapi terdapat satu catatan yang aku mungkin tak akan siarkan kerana ia bersifat terlalu peribadi.  ia hanya untuk aku dan dia saja. aku pernah hantar email catatan ini pada dia dulu-dulu. harap ia telah lupa. hahaha..

ok lah... macam biasa jumpa lagi di lain cacatan yang lebih mendebarkan jiwa dan lebih memberi manfaat kepada sesiapa yang membaca. sekian terima kasih....wassalam...daaa...

* catatan ini tak ada gambar hiasan... 
* may be next week ada kot... hahah...


Rabu, 13 Ogos 2014

Selamat Datang Sayang...


assalamualaikum warohmatullahi wa barokatuh dan salam sejahtera...
tempoh hari aku ada sebut pasal lagu raya yang jarang kedengaran di corong radio atau televisyen semasa musim raya idil fitri atau pun idil adha. hari ini mungkin dah dengarkan pasal kat atas tu aku ada sediakan video klipnya berserta lirikya sekali. korang suka tak suka itu hak peribadi masing-masing. tapi bagi aku, aku suka sangat. dari dulu lagi dah suka semasa aku masih berada di sarawak. semasa aku terpaksa berseorangan kerana isteri aku balik semenanjung. waktu itu dah hampir nak raya. bila dengar lagu ini, hati pun berbunga-bunga tak sabar nak tunggu kedatangan isteri. tapi kini bila dengar lagu ini, nak tunggu kedatangan siapa pulak ya... carilah jawapannya sendiri... 

bagi aku lagu ini simple saja. sama ada lirik atau pun melodinya yang agak ringan dan tak berat seperti lagu pop walau pun ada unsur-unsur rock. hattan kan terkenal dengan lagu rock. iramanya yang bersahaja dan santai, sedap dan boleh didengar semua peringkat umur. nak kata lagu yang evergreen, tak lah sampai tahap itu. sebab ia bukan seperti lagu raya nyanyian m. nasir 'suatu hari di hari raya' atau lain-lain lagu raya era 60an atau 70an tapi masih tak jemu didengar. 

untuk tahun ini aku hanya dengar dua kali sahaja di radio. pertama ketika sedang memandu sambil layan sinar fm. pada mulanya aku ingatkan lagu dangdut sebab intronya ada seakan-akan bunyi atau lenggok dangdut. kemudian ternyata sangkaan aku salah. 

"haahh... ada pun lagu ini", kata aku sambil memandang isteri aku yang duduk di sebelah. aku pun menguatkan sedikit volume radio van aku. 

"lagu apa ni?", tanya isteri aku yang mungkin pertama kali dengar. "lagu raya", jawab aku ringkas.  aku terus mengamati lirik lagu ini. tak tahu lah pulak apa reaksi isteri aku.

"sapa yang nyanyi?".

"hattan.." jawab aku ringkas.

kali kedua ialah di chanel radio gegar pantai timur di astro. memang tak puas rasanya sebab dua kali sahaja. jadi aku pun terus cari di internet. tak banyak pilihan. tapi cukuplah. tak perlu banyak-banyak. nanti tak tau nak pilih yang mana pulak. kalau tak silap aku ada empat atau lima sahaja kat youtube yang dia orang muatnaik kan. dan pilihan aku adalah yang kat atas tu sebab ia ada lirik. cuma perkataan 'berlabur' tu tak betul. yang betul ialah 'berlabuh'. biasalah kalau ada salah dan silap tu. jangan nak kutuk atau apa-apa pulak. karang tak pasal-pasal dituduh cuba menghasut atau menghina. maklumlah sekarang ini mana boleh lepas cakap. terlalu sensitif yang tak bertempat masyarakat di era globalisasi atau dunia tanpa sempadan ini.

itulah sedikit catatan buat lagu raya yang aku minati. jom dengar lagi sekali. lepas ni nak buat cerita lain pulak. tapi tak tau lagi topik atau pasal apa. harap-harap tak jemulah dibaca atau diikuti tulisan aku ini. ya lah...aku ini bukannya hebat sangat dalam bidang penulisan. oleh itu kita berhenti dulu kat sini dan jumpa lagi di lain masa dan ketika di tepian danau kalbu ku. wassalam... see you again... daaa...

Isnin, 11 Ogos 2014

catatan tanpa tajuk.... yang terlewat!!!


assalamualaikum wa rohmatullahi wa barokatuh...
salam lebaran buat semua, mungkin masih belum terlewat ucapan itu aku ungkapkan buat semua yang membaca catatan ini. hari ini sudah melewati lapan syawal 1435 hijrah bersamaan 4 ogos 2014. bermakna telah lebih sebulan aku memerap danau ini tanpa sebarang catatan pun. bukan aku merajuk tapi jiwa agak kacau sedikit. di bulan ramadhan kan. aku kena lah lebihkan ketakwaan dalam hidup ini. bukan nak tunjuk alim pun. cuma semua insan yang bergelar muslim mukmin mestilah meningkatkan ketakwaan masing-masing. ke arah hidup yang lebih beriman. bukan bermakna sebelum ini tak beriman tetapi tingkatkan keimanan, tambah iman tu supaya bertambah kuat dan kukuh... sekukuh tembok besar cina. jangan seperti kukuhnya tembok berlin  runtuh dan roboh juga akhirnya.

sepanjang ramadhan yang lalu aku hanya seperti biasa menjalani ibadah puasa bersama keluarga. jika tahun lepas beberapa petang aku bersungkai(berbuka puasa) di masjid jamek, bandar triang. makan dalam dulang untuk satu keluarga, tapi tahun ini entah kenapa aku agak keberatan untuk berbuat demikian. aku hanya berbuka di rumah sahaja. bersila bersama anak-anak dan isteri dengan juadah yang disediakan oleh suri hidup aku. walau pun terkadang menunya agak simple tapi alhamdulillah... ia masih lagi rezeki, nikmat dan rahmat dari Yang Maha Esa. sedikit atau banyak tidak penting. apa yang lebih utama ialah keberkatan dari Ilahi.

pada puasa tahun ini nak dikatakan rekod, mungkin jugak boleh kerana aku hanya berbuka puasa di luar hanya tiga kali sahaja. pertama ketika sekolah aku buat program iftar dan perjumpaan dengan ibubapa murid tahun enam. tapi aku tak ikut serta kerana aku telah berjanji dengan ibu dan ayah aku nak berbuka di rumah mereka pada tarikh yang sama. tak sedap pulak kalau aku batalkan. nanti kecil pulak hati mereka. hati ibubapa mesti dijaga agar tak terguris. nanti jadi anak derhaka pulak. 

kali kedua ialah majlis berbuka puasa di surau taman triang maju berhampiran dengan taman aku iaitu taman seri buntar. jarak rumah aku dengan surau tak jauh, lebih kurang 200 meter saja. cuma jadi jauh kerana dilindungi oleh beberapa rumah orang lain. tak elok pulak kalau aku tak pergi, sebab untuk kali kedua aku dipilih sebagai naib pengerusi surau. walau aku tak bercadang dan berminat untuk terus memegang jawatan itu tapi mereka yang hadir semasa mesyuarat agung melantik jugak aku. sedangkan aku tak hadir pun kerana sedang berada di nilai untuk peperiksaan di usim. terpulanglah pada dia orang yang melantik. kalau boleh aku nak lepaskan jawatan itu supaya senang aku nak bersolat di masjid jamek bandar triang atau di mana-mana surau dan masjid yang aku suka seperti surau padang luas, bukit keledang atau pun mengkarak.

kali ketiga pula di masjid kampung padang polo iaitu seminggu sebelum raya disambut oleh umat Islam. entah kenapa anak aku yang bersekolah di pekan itu beria-ia sangat meminta aku datang. jadi tak nak menghampakan harapannya pada pagi hari sabtu bergeraklah aku sekeluarga ke sana. pusing-pusing bandar diraja pekan dan singgah di bazar ramadannya. kemudian berbuka puasa di masjid kampung padang polo berhampiran sekolah anak aku yang jugak sekolah aku dulu bersama beberapa orang jemaah masjid itu. selepas solat terawih baru pulang ke bera. letih memang letih. pukul 2 pagi baru sampai ke rumah. itulah antara pengorbanan ibubapa untuk anak-anaknya semoga mereka berjaya di dunia dan akhirat.

ramadhan tahun ini juga telah mencatat sejarah. aku berpeluang solat terawih dan witir yang diimamkan oleh anak bujang aku ahmad kamal abdullah. baru tingkatan empat. bila hujung minggu beliau balik ke rumah, maka dia dan kawannya mohd safwan telah diberi peluang menjadi imam. macam imam jemputan lah lebih kurang. jadi tak lah makmum lain bosan asyik dengar bacaan dari imam yang tua saja. seminggu sekali dapat dengar bacaan imam muda pula. bangga juga rasanya dalam hati kerana baru berumur 16 tahun sudah boleh jadi imam. kalau nak banding dengan aku, ketika seusia itu aku masih lagi sekadar makmum saja di masjid ahmad shah pekan. belum berani jadi imam. pertama kali aku jadi imam solat terawih pun ialah di surau kampung belipat semasa aku mengajar di sana. dah aku ceritakan beberapa tahun yang dulu.

akhirnya tamatlah ramadhan tahun ini. dan aku masih lagi mencari lailatul qadar. mungkin malam berlakunya lailatul qadar itu aku tempuhi tapi tak secara khusus kerana proses lailatul qadar bermula dari waktu isyak dan berakhir bila terbit fajar. bukan aku sahaja, orang lain pun macam itu. jadi tak usah gusar jika tak berjumpa secara khusus, kerana kita telah pun beribadat pada malam tersebut dan berserah saja pada Allah kerana Ia yang lebih mengetahui apa telah kita lalui. sebab itu pada setiap malam jangan terlepas solat terawih dan witir pada bulan puasa. dah lah hanya sebulan saja dalam setahun. inilah peluang untuk kita melipat gandakan pahala ibadat kita yang tak seberapa kepada berpuluh kali ganda seperti yang dijanjikan oleh Allah. tak kan itu pun kita tak nak kan. lu pikir lah sendiri...hehehe...

tahun depan jumpa lagi ke tak kita dengan ramadhan ini? wallahu 'alam...jika Allah izinkan adalah lagi peluang kita untuk menebus apa yang kita terlepas pada tahun ini. kalau kita dijemput pergi lebih awal dari itu bermakna tiada lagi peluang untuk kita merasai manisnya beribadat dalam bulan ramadhan yang penuh keberkatan itu. jadi bersamalah kita bersyukur di atas apa yang telah kita tempuhi, sama ada sedikit atau banyak amalan kita, kita sendiri yang tentukan. nak banyak... buatlah banyak. nak sikit atau ala kadar buat sekadarnya sahaja. begitulah hidup inikan. sudah begitu hukumnya.

ok...lah lain kali kita berbicara lagi. sebenarnya ini catatan pada 4 ogos yang lalu. hari ini(11 ogos) aku cuma menambah dan menamatkannya sahaja. sekian terima kasih. jumpa lagi minggu depan cerita pasal lagu raya yang korang tak pernah dengar. agak aku lah... wassalam.

gambar hiasan:
antara juadah untuk berbuka puasa. tapi maaf, ini bukan kat rumah aku. 


Khamis, 7 Ogos 2014

memerhati pada memerhati...

aku memerhati dan memerhati lalu terus memerhati setelah aku memerhati pada memerhati. memerhati pun sebenarnya sedang memerhati aku. tapi aku tak tahu apa yang memerhati, memerhatikan aku. cuma aku pasti memerhati sedang memerhati aku. tak kesah lah kalau memerhati nak perhatikan aku, aku pun bukanlah  apa sangat. suka juga aku memerhati pada memerhati. setelah selesai semua urusan, dari aku tidor dan duduk diam-diam, lebih baik aku memerhati pada memerhati. bukan selalu dapat peluang memerhati ke arah memerhati yang juga kadang-kadang tak lepaskan peluang untuk memerhati aku. dan suka juga aku sekiranya memerhati sering memerhati aku. bukan senang nak suruh orang memerhati kita, apa tah lagi orang seperti aku yang kurus kering. namun jika ada yang memerhati, perhatilah dan aku pun boleh perhati pada memerhati pulak. biar sama-sama memerhati. barulah memerhati namanya. sepuas mana nak memerhati, memerhatilah puas-puas dengan memerhati dan aku pasti memerhati akan  memerhati dengan sepuas hati. memerhati juga pasti akan bersetuju dengan aku kerana memerhati telah memerhati seperti aku juga yang memerhati. aku memerhati memerhati dan memerhati memerhati aku. kami saling memerhati dan memerhati pun memerhati lagi....

- b.tan. khamis- 10.7.2014. 1.14 pm.

* bestkan cerita kat atas tu. kisah memerhati. apa... ? tak faham....? biasa lah kalau orang tak faham apa yang dia baca. aku nak tunjukkan yang original pun tak boleh pasal dia dalam img.pdf. tak boleh nak dimuat naik. kalau baca yang tu rasanya mudah sikit nak faham. sebab ia guna literasi yang simple saja. tak berbelit-belit laras bahasanya walau pun tulisannya berbelit-belit. apa pun korang telah pun membacanya. anggap lah itu satu kejayaan kerana berjaya juga menamatkannya.

apa yang aku cakapkan ini.... sebenarnya aku nak sambung lagi catatan itu tapi ada sedikit gangguan dari seorang guru yang datang bersembang dengan aku. langsung putus angin dan layang-layang pun terkedu tak keharuan tanpa siapa pun yang peduli kerana ia telah terdampar di padang tandus nan gersang. kumpulan gersang ke? tak lah... kumpulan gersang mana ada dah. dah tinggal namanya saja. man bai pun dah lama tak buat lagu. yang ada pun lagu lama saja. 

ehh... sebut pasal lagu ini kan, ada satu lagu raya yang jarang korang dengar. entah-entah tak pernah dengar pun agaknya. lagu apa... cuba teka..!  salah langsung....!!! apa lah korang ni. ini mesti tak dengar sinar fm ni agaknya. ok, lah sebelum ada yang pitam dan termuntah membaca coretan aku kali ini adalah lebih baik aku mengundur diri dan bersedia untuk balik. dan kat dewan bawah tu tengah sibuk persiapan untuk majlis jamuan raya pada hari esok.(8.8.2014) aku nak pakai baju melayu apa ya? baju yang lama dua-dua warna hijau yang berbeza, baju baru pulak warnanya lain macam sikit...,  aaahhh...!!! apa yang nak susah, baju aku, pakai sajalah mana-mana. bukan kena bayar pun....!!!

maaf zahir dan batin... dari hati ke hati... minal aidil wal faiiziin... selamat menamatkan puasa enam kepada pembaca yang budiman yang berpuasa sunat syawal. kepada yang dah beraya tu.... alhamdulillah, syukur kerana berjaya melawan nafsu
tak kala manusia lain sibuk berjamu juadah yang berbagai aneka. maaf jua dipinta kerana pada asalnya aku fikir catatan ini akan pendek sahaja tapi tak sangka pula ia menjadi berjela-jela macam roti jala. untuk itu sekian, terima kasih... assalamualaikum wa rohmatullahi wa barokatuh... jumpa lagi next year at hari raya... daaa...
  
 gambar hiasan: 

grafiti terbaik abad ini.
namun ia tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah berhijrah ke alam barzakh.

Selasa, 1 Julai 2014

catatan dari catatan sahabat...


mentari kian bersinar cahaya rindu makin menebal Ingin bicara di hujung jari. Tapi... adakah dia masih sudi... deru kereta baru terdengar, aku masih mendengar suaramu meski itu kudengar bertahun yang lalu. Seperti sebentar.... aku menatap di kaki langitmu, masih tetap sama sedikit sebanyak mengusik jiwa. Jiwa yang sepi dan sunyi. Inginku…. berbicara lagi denganmu seperti semalam.... 



* ini adalah petikan dari catatan 'sahabat' lama aku sewaktu aku di lawas dulu. aku copy paste je. rasanya ia tak marah kot sebab aku tak minta kebenaran darinya. kalau ia marah, nanti aku pulangkan semula lah catatan ini. pasal bulan puasa ini, kalau boleh nak cerita pasal catatan saja. nak cerita pasal kad raya dah habis dah dicerita dan diriwayatkan. tapi aku mana banyak catatan pun. yang ada pun semua nya macam mee segera dan kadang-kadang tu macam biskut pulak.

sebagai yang pertama apa yang korang baru baca tadi dan aku tak nak komen lebih-lebih apa yang ditulisnya tu pasal sekarang ni bulan puasa kan. jadi duduk diam-diam pun dapat pahala apatah lagi jika duduk diam dan berzikir, lagi lah berganda dia punya ganjaran yang Allah sediakan kepada mereka yang beramal di bulan ramadhan yang berkat ini.

akhir kalam... selamat meneruskan ibadah puasa kepada 'sahabat' aku serta keluarganya semoga dilimpahi rahmat dan kesejahteraan oleh Allah hendaknya. Amiiin... Ya Robbal 'Alamin. sekian ..wassalam... daaaa..c u...


 gambar hiasan: sungai lawas....kau ku rindukan...


Ahad, 29 Jun 2014

aku dan catatan ku - iv.









* itulah catatan terakhir yang sempat aku buat untuk tatapan korang semua. catatan terakhir tu aku tulis pada pagi selasa kerana aku exam pada waktu petang. soalannya ok... tapi jawapannya pun ok jugak lah. soalan berbentuk umum. rasanya kalau tak baca buku pun boleh jawab sebab semua ia tanya pendapat dan pandangan kita. kalau yang 'kaki goreng' tu, inilah peluang dan masanya untuk menunjukkan keterreran masing-masing dalam bidang mengoreng ayat dan idea.

hari rabu tak ada paper. aku tetap pergi walking jugak dan cadang nak lepak kat restoran semalam aku batalkan kerana untuk mengawal nafsu makan aku disamping baget yang tinggal paras hidung saja lagi. kalau semalam tak ramai...tiga empat orang saja. tapi hari ini ramai pulak termasuk dua orang gadis yang aku tak tahu asal usul. pada mulanya seorang...kemudian datang sorang lagi yang rupanya bersahabat. aku masih lagi dapat mengekalkan prestasi semalam sebanyak enam pusingan. ketika aku berhenti awal dan berehat dalam van sambil layan sinar fm, gadis yang agak rendah memandang ke arah aku... tak tahu lah apa yang dipikirkannya. mungkin ia ingat aku dah tak ada stamina dah agaknya. ada masih ada lagi tapi aku nak simpan supaya aku tak terlalu letih dan lapar kerana nak jimat baget dan besoknya(khamis) aku cadang nak puasa sunat. 

dalam bulan syaaban.. rasulullah berpuasa lebih banyak dari bulan-bulan yang lain. tapi aku belum dapat walau sehari. malu aku pada rasulullah yang dah dijamin syurga masih berpuasa sunat. tapi aku yang belum pasti selamat di dunia ini tak mahu menambah amalan sebagai bekalan di akhirat sana nanti. jadi dengan bersahur air sejuk dan beberapa keping biskut aku menjalani puasa sunat pada hari khamis disamping menghadapi subjek fiqh sirah dengan jayanya. bersahur dengan biskut dan air sejuk maka *bersungkai pun dengan juadah yang sama jugak. alhamdulillah... segala nikmat dan rahmat adalah dari sisi-Nya jua. siapa kita nak mendabik dada. cuma pada malam itu aku mesti makan nasi kalau tak mahu diserang gastrik yang dah lama aku tak alami. selepas isyak dan menukar pakaian aku keluar ke 'restoran kawah thai' di bangunan bekas mahallah (asrama) uia yang lama. habis sepolesterin nasi goreng pataya aku makan sambil menghadap netbook aku dan mengulangkaji untuk subjek terakhir iaitu literasi jawi: menulis dan membaca jawi. aku agak boleh lulus macam subjek yang lain jugak rasanya.

cuma aku tak membuat sebarang catatan pada hari rabu dan seterusnya kerana aku diserang penyakit rindu, lalu masa terluang aku habiskan dengan tidor saja. tapi sebenarnya mana ada masa terluang pun. kalau ada hanya lah ketika selepas periksa dan selepas isyak. itu pun tak terluang jugak kerana aku nak makan lagi. akhirnya tiada catatan sehinggalah hari jumaat. namun hari jumaat pun ada cerita yang menarik jugak. nanti lah aku cerita di lain masa dan ketika. untuk hari ini cukuplah sekadar ini dulu. harap tak jemu membacanya. sekadar perkongsian pengalaman yang tak seberapa. orang lain mungkin lain pengalamannya. bagi aku itulah antara pengalaman yang berharga dalam hidup aku ini. sementara masih ada kesempatan carilah pengalaman buat mematangkan akal dan fikiran kita dalam meneruskan kehidupan ini. wassalam... bye....daaaa...see u....

Sabtu, 28 Jun 2014

aku dan catatan ku - iii.




* catatan ini agak bercelaru tulisannya kerana aku tiba-tiba diserang rasa seram sejuk dan berpeluh yang aku tak tahu apa puncanya. ia berlaku semasa aku cadang nak tidor dulu kemudian baru bangun untuk qiamullail dan study subjek akhlak. baru saja aku merebahkan penyandar dan berbaring, tiba-tiba aku rasa badan gementar dan rasa tak selesa, macam ada sesuatu yang cuba menyerkup aku dan membuat aku lemas. cepat-cepat aku bangun semula dan membuka tingkap van biar udara luar masuk. namun aku mula berpeluh dan masih rasa tak selesa. rasa berdebar-debar pulak. mungkin ini malam pertama aku kat situ agaknya. suasana kawasan itu memang sunyi dan agak tertutup kerana ia di bahagian belakang masjid bersebelahan dengan bukit yang apabila waktu malam anjing-anjing akan menyalak tak tentu pasal. entah apa lah yang dilihatnya. itu aku tak mahu ambil tahu. akhirnya aku keluar dan pergi melakukan kado hajat dulu. dan cerita seterusnya aku ada catat dalam catatan yang keempat.  baca jangan tak baca. cerita yang entah apa-apa entah...

pada hari esoknya aku ada cerita pada 'din alps' apa yang aku rasa pada malam sebelumnya. tau apa jawabnya: biasa lah tu... sambil menunjukkan ke arah van jenazah yang jaraknya lebih kurang dua puluh kaki dari van aku ini. tapi alhamdulillah... malam-malam seterusnya ia jadi biasa seperti malam ketika exam semester tiga dan empat yang dulu. lena tidur ku diulit intan kesepian... wassalam.... daaaa... see you...


Jumaat, 27 Jun 2014

aku dan catatan ku - ii.














* dah habis baca... panjangkan tapi isi ceritanya biasa-biasa saja. tak ada apa yang panas atau sensasi pun. pasal aku tak berapa suka nak buat cerita panas atau sensasi ini kerana aku tak suka kecoh-kecoh. aku hanya orang biasa-biasa saja buat apa nak sibuk-sibuk pasal orang lainkan.

ok... jom baca yang ketiga pulak ya. assalamulaikum... daaa.... see you...

Khamis, 26 Jun 2014

aku dan catatan ku - i.





* assalamualaikum wa rohmatullahi wa barokatuh... demikian lah catatan pertama aku pada hari pertama di nilai ini. ringkas saja sebab ia lebih kepada penjelasan apa yang dah lama tergantung tak bertali. jom baca catatan kedua pulak... tapi janganlah pulak kata jemulah... pasal panjang sangat, entah apa-apa cerita yang ditulisnya.

ok lah... jangan lupa baca ya... aku tengah nak cari idea untuk kaki langit yang dah mula sepi tu... bye...daaa... wassalam...