Rabu, 31 Mac 2010

kehilangan...

Kematian itu adalah
satu kehilangan yang jelas,
tiada lagi
kata suka
gelak tawa
senyum ria,
tiada lagi
wajah gagah
tubuh sasa,
tiada lagi
maki hamun
sorak sorai,
tiada lagi
lidah liar
bau hamis,
tiada lagi
hasut fitnah
hasad dengki,
tiada lagi
rebut kuasa
turun takhta,
tiada lagi
kerna ia
telah pergi.
Kehilangan dalam kematian
turut sama mengundang aku
hilang segala,
yang tinggal cuma impian mereka
yang leka bermimpi
mencari janji yang tak pasti.

Oh! Tuhan,
bilakah bisa kehilangan aku berlaku?


B.Tan.
29.12.2005.
(Kematian Imam Masjid Triang-
Ustaz Idris)

Rabu, 17 Mac 2010

Gasak Sampai Tertonggeng.....



gasak sampai tertonggeng
mencari sen-sen
dari poket orang miskin.

gasak sampai tertonggeng
orang lain
jangan bising-bising
aku suka aku akan kencing.

gasak sampai tertonggeng
aku tak peduli
kalau jet hilang enjin
janji aku pakai cincin.

gasak sampai tertonggeng
aku bukan orang lain
suka makan macam cacing
senyap tak bising-bising
dan aku akan dapat komisen.

gasak sampai tertonggeng
kalau kau berbau hancing
kau mesti bayar lebih
kerana kau orang miskin.

gasak sampai tertonggeng
katalah apa kau nak kata
aku sudah jadi piem
aku sudah 'naik' isim.

gasak sampai tertonggeng
gasaklah apa aku boleh gasak
tertonggeng terpusing
tetap aku lanyak
aku nak banyak-banyak
tak mahu sedikit
macam orang terkincit
kau mahu lebih
kau mesti bayar lebih
untuk aku agih-agih
untuk aku dan kroni aku.


b.tan
seribuntar
17032010

*siap digasak pada 4.15am.

Rabu, 10 Mac 2010

senja di perantau damai...







*nota:- gambar-gambar ini aku copy(sebenarnya cilok!) dari komputer atas meja lan. malam-malam terakhir kat perantau damai, tak tahu nak buat apa lalu aku bukak komputer dan jumpalah gambar ini dalam folder "lanon's". jadi aku copy untuk kenangan aku. bila dah terbit catatan perantau damai satu dan dua, aku fikir baik aku kongsi dengan para pengunjung danau ini. tak lah cantik sangat tapi bagi aku cukuplah sekadar untuk menjadi penghias danau yang aku huni ini. sekian.

Isnin, 8 Mac 2010

perantau damai - ii

Gambar hiasan ini aku ambil di suatu subuh yang bening berhampiran dengan rumah yang aku sewa.

Ia diambil pada hari terakhir persekolahan iaitu pada 20 November 2009.


asalamualaikum....

jumaat bersamaan 8 januari 2010 adalah hari terakhir aku di perantau damai. aku dapat rasakan pada hari itu masa berjalan agak lambat dan seolah-olah aku masih lagi akan berada di perantau damai untuk beberapa hari. selain dari mengemas meja yang akan aku tinggalkan nanti, aku juga cuba untuk tidak terlalu memikirkan yang aku akan pulang ke bera dan tak tahu bila lagi akan datang berkunjung. aku sengaja cuba menyibukkan diri dengan membuat apa saja seperti berborak dengan lan dan bertanya itu ini. apa bila loceng berbunyi menandakan berakhirnya sesi persekolahan pada hari itu, aku tak tahu nak buat apa. nak terus balik, bermakna aku terpaksa berhenti di felda sebertak untuk solat jumaat, itu pun kalau mood aku baik semasa memandu. kalau tidak, terpaksalah singgah di kota bahagia(tabung haji). aku ambil keputusan untuk pulang selepas solat jumaat yang terakhir aku di perantau damai. setelah bersalam-salaman dan bertegur sapa dengan beberapa orang jamaah. begitulah kira-kiranya.

sementara itu semalam diadakan jamuan perpisahan untuk aku. simple dan ringkas sahaja. hanya di kantin sekolah seperti jamuan untuk cikgu-cikgu yang lain juga. aku diberi peluang untuk berkata sepatah dua kata. aku memang telah bersedia untuk berkata-kata, tapi berkata-kata tanpa teks. aku bukan jenis suka menyediakan teks. aku lebih suka kepada idea sepontan atau apa yang terlintas difikiran tapi tidak menyakitkan hati para pendengar dan sedikit lelucon untuk membuat yang mendengar ketawa atau tersenyum ceria. itulah yang aku lakukan dan berjaya menghilangkan sedikit rasa terharu di hati aku.

di waktu petang saat aku akan meninggalkan bumi perantau damai, cuaca mendung kerana hari nak hujan. al-maklum telah tiba musim hujan untuk mencurahkan airnya. setelah bersalaman dengan imam Razali dan berkirim salam kepada imam Jalil yang ke johor bahru kerana ke rumah anaknya, aku dengan berat hati menuju semula ke sekolah untuk mengambil laptop dan ikan yang aku tumpang dalam peti sejuk di dalam pejabat sekolah. kebetulan pula lan tidak masuk kerja kerana ada urusan di luar. aku merasa serba salah untuk melangkah meninggalkan pejabat sekolah. tapi aku terpaksa menguatkan semangat dengan berkata kepada diri ku: kalau lambat nanti hujan dan aku mungkin akan lambat sampai ke seri buntar. setelah memerhatikan sekeliling kawasan sekolah untuk kali terakhir, aku pun berlalu dengan rasa pilu dan tak tahu bila lagi akan ke mari.

di sepanjang perjalanan aku seperti biasa akan mendengar sinar fm selain dari ikim fm atau kadang-kadang pahang fm. tapi untuk menghilangkan sedikit rasa sayu aku layan "rock selamba". oleh kerana selamba, maka selamba jugalah perjalanan aku petang itu. hujan hanya renyai-renyai tapi tidak menyeluruh. aku rasa itulah pemanduan aku yang paling selamba selama aku berulang-alik dari bera ke perantau damai. entah kenapa hati aku ingin cepat sampai dan kaki aku telah kuat menekan minyak tapi pergerakan van yang aku pandu hanya sekadar 60 km/j malah ada ketika hanya sekadar 40 km/j. aku sedar ketika itu tapi nak buat macam mana, hati yang ingin cepat sampai itu sebenarnya sedang melalui denai-denai kesayuan dan kepiluan. tak tahu kenapa, bukan ada sesiapa yang aku sayangi atau aku cintai yang terpaksa aku tinggalkan di perantau damai. cuma mungkin perasaan atau emosi aku saja yang terlebih-lebih untuk merasa sayu atau pilu, disamping jiwa aku mengucapkan salam dan selamat tinggal kepada pepohon di kiri dan kanan jalan sepanjang jalan bera selatan itu. lalu perjalanan yang bermula pada pukul 2.15 petang itu hanya berakhir pada pukul 6.00 petang. itulah akibatnya jika terlalu melayan perasaan, perjalanan yang biasa aku buat satu jam setengah menjadi hampir empat jam!!

selain dari itu aku bercadang juga nak ke perantau damai ketika sukan tahunan diadakan tapi oleh kerana sekolah aku mengadakan kem bestari solat, maka terpaksalah niat itu aku batalkan dan pada hari ahad nya pula seperti biasa aku akan mengunjungi anak-anak aku yang berada di asrama. tiadalah peluang lagi untuk ke sana dan mungkin suatu masa nanti akan aku jenguk juga perantau damai kerana isteri aku pun agak rapat dan mesra dengan beberapa makcik yang menjadi jiran aku semasa di sana. catatan ini hanyalah sekadar melepas rindu pada perantau damai khususnya skpd yang tetap di hati di samping bandar tun razak yang begitu simple tapi meriah dengan orang melayu. itu yang aku seronok tu.

memadailah sekadar ini sahaja catatan tentang perantau damai, jika ingin dibuat beberapa siri lagi, mungkin aku terpaksa mengingat dan mengenang kembali perjalanan hidup aku semasa di perantau damai. itu tak mungkin aku lakukan kerana rasa sayu dan pilu pasti akan meyelubungi aku. cukuplah cuma kenangan itu menghuni di sudut hatiku dan terpahat kukuh diingatan ku. semoga pengalaman yang aku lalui di perantau damai bersama warganya lebih mematangkan lagi aku dalam meneruskan perjalanan hidup ini menuju ke titik noktahnya. damailah perantau sedamai senja di perantau damai. bjs = buat jiwa sepi/sayu.

Jumaat, 5 Mac 2010

perantau damai - i


Assalamualaikum...

pada hari rabu malam khamis yang lalu, aku telah tertekan nombor handphone cikgu wahat, gpk 1 sk perantau damai semasa mengemaskini nombor-nombor yang aku tak mahu simpan sebab dah bertukar nombor. besoknya pagi-pagi lagi dia dah call aku bertanya pasal menelefon dia. aku kata, tak sengaja tertekan. memang aku tak sengaja pun, kalau aku sengaja baik aku dail nombor.... hehehe!!!

beberapa ketika kemudian terkenang saat-saat aku berada di perantau damai. terbayang satu persatu wajah-wajah gurunya tapi sayang tiada sesi bergambar pada tahun 2009, kalau tidak boleh aku paparkan disini. teringat pada lan yang setiap petang akan layan 'rock selamba' di muzik fm. aku pun apa lagi tompang sekakilah. menurut katanya, arwah zulkifli penyanyi kumpulan masa scarecrew adalah kawan beliau semasa bersekolah dulu. susah nak cari kawan macam lan ni yang amat komited dengan kerja dan tanggungjawab. malam-malam pun datang jika kerja tak siap atau mencetak soalan peperiksaan. pendek kata banyak perkara-perkara dan selok belok pentadbiran yang beliau tahu.

malam-malamnya aku akan ke masjid dengan anak-anak samada ada kuliah atau tidak, malah cermin mata yang aku gunakan sekarang pun dibuat di masjid selepas solat asar. kisahnya bermula pada bulan puasa ada dua orang lelaki dari narathiwat datang buat promosi membuat cermin mata dan bermalam di masjid untuk beberapa malam. malaysia ni dah jadi macam negeri nombor dua baginya. malah beliau telah rata pergi ke seluruh ceruk rantau khususnya kawasan di perak. memandangkan aku begitu sukar untuk membaca tulisan yang agak kecil kerana telah berumur (agaknya!), ringan saja mulut bertanya itu ini. setelah diuji, memang bersesuaian dengan mata aku dan dibuat dua lapis. prosesnya simple walau pun agak rumit sedikit. lebih kurang setengah jam siap cermin mata aku. harganya rm 650.00 tapi aku bayar seratus dulu, dapat gaji baru bayar habis. dia setuju dan memberi nombor akaun bank Islamnya di rantau panjang. aku masih ada menyimpan nombor handphone saudara Abdul Roning ini. jika ada sesiapa nak buat cermin mata bolehlah.

tengah dok menaip ni, masuk posmen hantar surat. aik! ada surat untuk aku dari skpd. oo...! penyata gaji pekerja agensi kerajan untuk cukai pendapatan. terimakasihlah lan dan pt nya yang aku tak ingat namanya sebab baru bertugas 2,3 minggu. makin teringat aku kat perantau damai. kalau isteri aku tahu ni, mesti bisinglah dia. adalah yang dia ingat di sana tu asyik sebut perantau damai saja!! itu lah antara ayatnya yang membuat aku akan tergelak dan makin mengusiknya. aku pun tak tahu apa yang istimewanya perantau damai, tapi aku rasa selasa dan dapat menyesuaikan diri. seminggu dua kali pasar malam, hari isnin di keratong lapan, khamis di keratong sembilan dan ikan serta sayurnya jauh lebih murah dari di triang atau di pekan sari kerayong. pernah aku beli ikan selar putih tiga kilo sebab harganya empat ringgit sekilo. masih segar lagi pulak tu. kalau di triang atau kerayong tak merasalah jawabnya.

namun begitu, ia semua adalah secebis kenangan diantara kenangan-kenangan semasa di perantau damai. insyaAllah aku akan sambung lagi kisah aku di perantau damai untuk beberapa siri lagi. terasa sayang nak dilupakan begitu saja walau tempohnya hanya sebelas bulan tapi penuh bermakna dan meninggalkan kesan mendalam, apatah lagi apabila terdengar sesiapa saja menyebut perkataan keratong atau pun perantau damai. damailah perantau sedamai senja di perantau damai.