Jumaat, 22 Julai 2011

menanti sebuah pengharapan.




sayu hati bukan rasa yang mengada
tapi yang bergelora dan mengoda
mengusik kalbu menyentuh kalbu
episod duka menyentuh pilu.
telah berlalu alunan rindu
yang tak mampu ku selami
dan membiarkan ia berlalu
satu persatu.
deru itu masih tetap menunggu
pada sebuah perjalanan kelabu
menanti hadir mereka yang akan kembali
bersama luka-luka tanpa darah.
namun kita yang masih termanggu
seakan buntu mencari sebuah jawapan
pada dimensi yang sukar dimengerti
pada janji yang telah mati.
maaf kerana aku tak mampu
menghurai pada mu warna senja semalam
yang menjadi kontroversi antara kita
dalam menatap wajah sepi di sudut hari.
sayang
apakah lagi yang harus ku persembah pada mu
bukti sebuah kejujuran
sedang aku hampir tewas dalam sinar mata mu.
jelaslah kini ketukan-ketukan ku di hati mu
tidak lagi upaya membuka pintunya
menerima seruan kalbuku
dan membenam rintihan rindu.
lantaran itu janganlah kau
persenda mimpi ku
juga ilusi yang masih ku tanggung
dalam sisa-sisa perjalanan
saat malam kian larut
larut dalam sahdunya lenamu.


b.tan.
3.5.2011.


* sebenarnya aku tak ingat pada tahun berapa aku menulis atau lebih tepat lagi menaip sajak ini. kalau tak silap aku pada tahun 1992 semasa aku menyewa di taman siew ling, belakang pejabat pos lawas. cuma yang aku ingat kertas itu adalah kertas zaman sebelum ada kertas berwarna putih cerah. dan kertas itu telah tersadai di mesin taip untuk beberapa lama kerana aku sering kematian idea dan buntu untuk menamatkannya. malah aku juga tak ingat sama ada sajak ini aku taip semasa aku dah bertunang atau belum. tapi yang pasti masa itu aku belum kahwin lagi. sebab itu ada beberapa kesilapan taip jika diperhati betul-betul pada gambar yang aku sertakan sebagai bukti. itu pun kalau korang nak percaya, aku tak paksa pun. setelah agak lama berada dalam simpanan aku, entah pada tahun bila aku cuba untuk menyiapkannya. tapi yang mampu aku catat hanyalah: persenda mimpiku, juga ilusi. kemudian mati lagi idea. bukan senang nak menyambung sajak yang dah bertahun terbengkalai. jadi ia terhenti lagi untuk kali kedua. pada 3.5.2011 yang lalu ketika aku menyelongkar kertas-kertas yang ada dalam simpanan, terjumpa semula dan aku bertekad untuk menyudahkannya agar dapat aku masukkan dalam antologi "danau kalbu ku". memang payah, sehingga aku mengambil keputusan cukuplah setakat apa yang aku tulis dengan pen dakwat merah itu. tak perlu panjang-panjang kerana ia memerlukan aku berfikir untuk mencari kata-kata yang sesuai. oh! ya, tajuknya sahaja yang masih belum ada. nantilah aku fikir sekejap lagi apa tajuk yang sesuai atau pun tak payah bertajuk. habis cerita. ok, tajuknya : menanti sebuah pengharapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan