Selasa, 24 April 2012

nostalgia beg lama...



assalamualaikum wa rohmatullahi wa barokatuh...

hari ini aku nak cerita pasal beg maktab aku yang dah berusia hampir 23 tahun(1989-2012). mungkin lebih tua dari para pembaca yang terbaca catatan ini. beg ini diberi kepada setiap guru pelatih yang mendaftar untuk mengikuti kursus perguruan di maktab perguruan kinta, ipoh, perak pada tahun 1989. mestilah ipoh, perak. tak kan ipoh, hong kong ke.... ipoh, jerman ke. langsung tak logik dan tak dapat diterima oleh akal. mulalah aku ni nak melalut. bukan apa... aku tengah sibuk sikit ni tapi saja nak update blog yang dah asyik cerita pasal sambung belajar. macam lah dia sorang je yang belajar.

sebenarnya beg ini dah lama terbiar. tapi walau pun terbiar aku tetap simpan ia dengan baik. mungkin agak lama dalam simpanan jadinya zipnya telah 'jam'. tak boleh nak ditutup lagi. dengan lain perkataan telah tak berfungsi. tapi aku rasalah, kalau aku bubuh minyak pelincir sikit mungkin boleh guna lagi zip tu. kalau nak ditukar kat kedai jahit, mana ada yang sanggup baiki agaknya. mesti akan dikata tak betul orang ni!!! oleh kerana ia satu saja beg berlogo mpki yang aku miliki, jadi sudah semestinya ia menjadi kesayangan aku. macam aku sayang barang-barang aku yang lain tu lah.

dulu pernah anak aku guna bawak pergi sekolah rendah. ada lah beberapa bulan digunakannya. tapi bila zipnya dah tak berfungsi dibiarkannya saja bersepah. aku ambil dan aku simpan. entah kenapa pada tahun ini aku guna semula beg yang rosak zipnya tu. semuanya berpunca apabila laptop aku rosak dan aku tak mampu lagi nak membaikinya. kalau dulu aku usung beg tu tiap-tiap hari sekolah, tapi kini beg maktab pulak yang berkhidmat untuk aku. maka dengan bangganya aku telah beberapa bulan menggunakannya. banggalah pasal orang lain mana ada beg buruk macam aku punya tu. orang lain mesti beg yang mahal, yang dibuat dari kulit original, yang diimport dari luar negara tapi beg aku beg cabuk saja.  tak pe lah kan, asal aku bahagia dengan beg aku tu.

kalau orang bertanya adalah modal nak bersembang dan bercerita. bercerita tentang maktab perguruan yang hanya tinggal nama saja lagi. aku fikir lah, kawan-kawan aku yang sama maktab dulu pun dah tak simpan dah beg ini. bukan sekadar tak simpan, mungkin dah tak ada atau tak wujud dah beg itu. kira aku ni orang yang berhati waja lah pasal sanggup dan berani menggunakan beg yang hanya ada nama saja tapi struktur bangunannya telah lama menjadi milik hak orang lain. ok... aku nak balik dulu, nak galas beg kesayangan aku ni yang tak tahu lah sampai bila akan berkhidmat kepada aku. assalamualaikum....daaa....

Khamis, 19 April 2012

usim: antara kesinambungan ilmu dan tuntutan RM... - 4.


agar tidak terlewat, aku bangun pada pukul 4 pagi. selepas mandi dan bersiap apa yang patut aku pun keluar menuju ke kemayan. jalan memang betul-betul lengang. cuma apabila sampai di simpang menuju ke felda bukit mendi sebuah kereta jenis mahal (aku dah lupa kereta apa) bernombor plat selangor keluar dari simpang dan menuju ke kemayan. aku hanya mengekori dari belakang. tak aku memintasnya walau pun kereta di hadapan aku tu tak lah laju sangat. sampai di kemayan pun aku masih lagi mengikutnya dari belakang. mungkin orang ni tak biasa dengan jalan ini agaknya, kata aku dalam hati.

tapi apabila memasuki sempadan negeri sembilan aku mulai merasa bosan dengan kelajuan yang sekadar 80 kilometer sejam. mulalah timbul niat di hati nak memotong. harap je kereta mahal tapi bawak slow. selepas beberapa selekoh yang tajam berhampiran kampung baru sungai lui, aku pun dengan selambanya memotong dan melaju mengejar masa kerana waktu dah hampir lima setengah pagi. dari kejauhan nun di hadapan ada cahaya lampu yang menuju ke bahau. aku menambah lagi kelajuan untuk menghampiri agar tidak terasa sunyi sangat di pagi hari ini. bila makin hampir aku dapat pastikan ia adalah sebuah toyota avanza. tapi nombor platnya masih lagi aku tak nampak. avanza... sheikh dengan keluarganya kot, bisik aku sendirian. 

ketika menghampiri simpang felda lui timur aku dengan jelas nampak nombor pendaftarannya. memang sah lah orang yang aku agak tadi. aku pun makin menghampiri agar ia perasan aku ada kat belakang. setelah berapa ketika, mungkin ia telah menyedari aku mengekorinya ia pun mulai menambah kelajuan. kalau tadi sekitar 90-100 kilometer sejam kini dah mulai mencapai 110. aku masih lagi mengekorinya sehinggalah ke pekan batu kikir yang mana telah pun hampir masuk waktu solat subuh. aku bercadang nak berhenti di masjid selepas sekolah berasrama penuh integrasi batu kikir. tapi... kereta sheikh ini terus saja tak berhenti. mungkin ia akan berhenti di kuala pilah sebab masjidnya lebih besar dan selesa, fikir aku.

di kuala pilah pun tak berhenti!! aku terus lagi mengekorinya malah ia makin laju nampaknya. sehinggalah memasuki kawasan ulu bendul yang pada ketika itu jam kat dashboard van aku menunjukkan hampir pukul 6.30 pagi. selepas melewati kawasan ulu bendul dan melalui jalan baru ke seremban, aku mulai resah kerana masih lagi belum solat subuh. aku mulai bercadang nak berhenti di plaza tol senawang untuk menunaikan solat yang dua rokaat sahaja tu. tapi malangnya tiada kawasan rehat kat situ yang menghala ke lebuh raya. nampak gayanya kat hentian rehat seremban lah solat ni karang. jam dah pun pukul 7 pagi. memanglah masih ada waktu solat lagi tapi dah hampir habis. avanza hijau tu memecut laju dalam kesibukan kenderaan menghala ke kuala lumpur. aku pun sama mengejar waktu. agar tidak terlalu lewat sampai kat hentian itu nanti.

 bangunan fakulti al-quran dan sunnah yang menempatkan fakulti pengajian bahasa utama. gambar ini aku rakam ketika sedang berkudapan dalam van kerena pensyarah bahasa inggeris tiada kerana menunaikan umrah.


pandangan dari sebelah kiri bangunan yang menjadi laluan aku nak ke bilik tutorial-jalan pintas. malas aku nak ikut pintu utama pasal jauh nak memusing.   


bila sampai saja kat hentian rehat seremban jam dah pun menunjukkan pukul 7.10 pagi. alhamdulillah ada satu parking yang kosong. aku pun masuk dan bergegas menuju ke surau, berwuduk dan ikut solat subuh di belakang sheikh yang lebih dahulu sampai dari aku. selesai solat aku pun pergi meninjau ke kawasan makan dan membeli roti kismis bergula serta air soya. untuk tidak kelewatan aku terus saja memandu ke nilai dan sampai kat usim hampir pukul 7.45 pagi. masih awal tapi kereta yang mengambil parking pun makin banyak. aku merehatkan badan sambil bersarapan roti dan air soya saja. aku hanya memerhati gelagat para mahasitua yang baru sampai. berbagai lagak dan gaya mereka. terlintas di fikiran aku: dah berkereta besar dan mewah masih lagi nak belajar ke?  ye lah, maksud aku datang dengan toyota wish, honda dan bermacam lagi tak kan tak cukup lagi. oh, ya...mungkin mereka nak menambah ilmu disamping mencari peluang untuk meningkatkan tahap kerjaya mereka.

aku hanya keluar dari van ketika pukul 8.05 minit pagi dan menuju ke pintu utama dan mencari mana lah bilik bt. 05. puas jugak lah aku berpusing kat dalam bangunan itu, dan terserempak dengan ustazah salamah yang jugak mencari bilik yang sama. akhirnya setelah bertanya dengan seorang pekerja bangunan itu, barulah berjumpa. bila masuk saja, aku lihat semua perempuan hanya seorang lelaki. campur dengan aku baru jadi 2 orang. dah tu duduk depan sekali. seingat aku amat jarang aku duduk di barisan hadapan, paling depan pun barisan kedua atau tiga. kalau waktu solat berjemaah tu lain lah, kalau boleh memang nak depan sekali.

pelajaran pertama pada hari itu ialah bahasa arab - kemahiran membaca dan menulis. yang mengajarnya ustazah fatimah. fasih berbahasa arab. topik yang sedang dibincangkan ialah isim isyarat. aku mulai membuka memori minda aku untuk mengingat semula pelajaran yang dah berpuluh tahun aku tingalkan. untuk 10 - 20 minit yang pertama aku masih lagi gagal untuk mengikuti perjalanan pengajaran dan pembelajaran pada hari itu yang akhirnya membuatkan kepala aku mulai rasa pening dan mual macam nak muntah.  apa taknya letih semalam belum hilang, ditambah dengan tak cukup tidur dan perut yang belum betul-betul kenyang kerana dari pukul 4 pagi hingga pukul 7 pagi hanya sekadar makan roti dan air soya. sedangkan keperluan aku ketika itu ialah nasi!!!.

waktu yang pertama tamat pada pukul 9.30 pagi dan diikuti oleh rehat selama setengah jam. aku sempat berkenalan dan berbual sekejap dengan ustaz mohd nor mazlan bin sabran dari tanjung karang(kalau tak silap aku). kemudian aku pun keluar menuju ke van aku untuk menyambung sarapan aku tadi sambil meringankan beban kepala aku yang rasa berpusing-pusing. sedang aku menyuap roti ke dalam mulut, terpandang aku seorang lagi pelajar lelaki tua yang menuju ke keretanya yang berselang beberapa buah kereta dari van aku. kemudian ia menuju ke tempat menunggu bas dan membuka bekal yang dibawanya. amboi... bukan main berselera lagi sedara tu menyudu dan menyuap nasi ke mulutnya. ada jugak aku gang yang makan pada waktu itu. lain kali aku pun nak suruh isteri aku masak lah kalau ia tak letih atau terbangun awal.  boleh jugak jimat belanjakan.

pukul 10 sambung semula untuk pelajaran kedua. bahasa inggeris. tunggu-tunggu tak juga masuk pensyarah ini. si mazlan pun menalipon nombor pensyarah itu. katanya perempuan. tapi tak ada jawapan. selang beberapa minit ada mesej masuk. rupanya pensyarah tu masih di jeddah kerana menunaikan umrah. masing-masing pun menarik nafas lega kerana boleh sambung rehat lagi terutamanya aku yang memang memerlukan rehat tambahan. aku ambil peluang ini untuk menyalin jawapan pelajaran bahasa arab kuliah yang pertama dulu. ketika itu masing-masing sibuk dengan surat perjanjian. tapi aku punya belum siap lagi. beres dah menyalin. aku pun keluar semula untuk menyedut udara segar sebab kat dalam bilik tu udara tak berapa berlegar. nasib baik bilik tu dekat dengan pintu keluar. jadi mudahlah aku nak menuju ke tempat parking. kalau ikut pintu utama jauh lah sikit.

dalam van aku sambung lagi makan roti sambil dengar carta fulamak sinar fm. bukan selalu dapat peluang dengar slot ini. 11.30 aku masuk semula untuk pelajaran ketiga iaitu teknologi pendidikan. pada mulanya agak tertekan jugak aku. tapi akhirnya ia berjalan dengan santai kerana pensyarahnya pun ok, tak terlalu serius orangnya malah ada kala boleh gelak dan ketawa. barulah aku rasa sedikit enjoy untuk belajar pada hari itu. sebelum keluar encik shahul telah buat pengumuman: untuk kuliah akan datang ia tak ada kerana pergi menunaikan umrah. ia akan cuba cari penganti, tak pun ia akan tinggalkan kerja untuk dibuat. waktu makan tengahari aku bercadang nak pergilah kat kantin bangunan itu. tapi bila aku masuk saja... mak oi...!!! semua perempuan kecuali aku dan mazlan saja serta seorang lelaki yang sedang mengadap laptop kat sudut bahagian belakang. tapi dalam pemerhatian aku ia bukannya pelajar usim mungkin salah seorang pekerja kat kantin tu agaknya.


gambar yang menunjukkan bangunan canselori dan fakulti al-quran dan sunnah. aku rakam dari jauh-dari hadapan bangunan kedai makan yang juga menempatkan tempat tinggal sebahagian pelajar usim.  


bila aku 'zoom' kan inilah rupanya. 

tak boleh jadi ni, kata aku dalam hati. aku pun sekali lagi menuju ke van aku dan berlalu menuju ke kawasan kedai yang jaraknya lebih kurang satu kilometer setengah saja dari usim itu. aku pun mengambil nasi, ayam dan sedikit gulai sayur pucuk paku. airnya pulak sirap ais. semua sekali harganya rm 4.00. aku makan sambil sesekali membelek suratkhabar yang ada kat atas meja tu. kelihatan beberapa orang lagi pelajar tua yang macam aku ni makan kat situ. ketika nak pulang ke usim aku sempat merakam gambar pemandangan dari jarak jauh. pasal aku pun belajar secara jarak jauh.

selesai solat zohor sekali dengan jamak asar kat surau bangunan itu, aku pun masuk semula ke kelas dan dah ada seorang lelaki muda kat depan kelas. pelajaran seterusnya ialah tamadun islam dan tamadun asia. pengajarannya ok dan dapat menarik minat aku yang memang minat pada pelajaran sejarah sejak dari sekolah rendah lagi. tapi assingmentnya.... fuuhhh.... pening jugak kepala nak buatnya. titas tamat pada pukul  3.30 petang. masuk pulak seorang lagi lelaki yang berpakaian kemas untuk pelajaran hubungan etnik pun menarik juga perhatian aku. tapi macam biasalah kalau belajar ni.... adalah kerja kursus yang diberi suruh buat. secara individu dan berkumpulan. setelah bincang-bincang, aku kena kumpulan 4 sekali dengan ustazah salamah dan dua orang lagi.

pukul 5 rehat hingga pukul 5.30 petang untuk bagi peluang yang tak boleh jamak untuk solat asar. pelajaran akhir pada hari itu ialah bahasa arab kemahiran mendengar dan menulis dan dijangka habis pada pukul 7 petang/malam. tiba-tiba datang penyelaras bahasa arab menyatakan pensyarah untuk hari ini tiada lagi. ia sendiri terpaksa mengajar kelas lain. yessss....!!! semuanya gembira pasal boleh balik awal terutama sekali aku. apa lagi aku pun capai beg sandang berisi buku modul terus saja aku keluar menuju ke van dan berlalu meninggalkan perkarangan bangunan itu. rasa bebas dan puas rasanya. oleh kerana terlalu ghairah nak balik disamping melayan arena rock keras di sinar fm aku telah tersilap masuk simpang kat bulatan yang besar tu. simpang yang aku patut masuk dekat je... tapi yang aku pi masuk simpang lagi satu tu kenapa. mulanya aku tak perasan. tapi bila aku amati, tiada trafik light... sebaliknya terus saja dah tu banyak pulak lori-lori besar. aku cuba mengikuti papantanda yang menunjukkan ke arah lebuh raya utara selatan tapi lain macam je jalannya... sah lah aku dah tersalah jalan ni. aku terus ke depan lagi dan tertera papantanda ke kajang, semenyih dan beberapa tempat termasuklah ke lebuh raya lekas. aku pikir jauh lagi tu. sedangkan aku nak jimat minyak.

akhirnya aku buat u-turn kat satu simpang dan menuju semula ke bandar nilai. lagi sekali tak jumpa jalannya.
aku terus lagi baru lah aku perasan, rupanya aku telah termasuk ke kawasan industri nilai. lagi sekali aku patah balik ke belakang dan terpandanglah akan deretan kedai kain kat tepi jalan mula-mula masuk bandar nilai tu. baru aku dapat jalan keluar. tu lah excited sangat nak balik cepat dah tersalah jalan.

 highway dah penuh dengan kereta. waktu ni pukul 6.23 petang. kalau kat lawas tu dah masuk maghrib pun.


kalau macam ni nak laju macam mana kan... 


semuanya brek...pasal takut tersondol kereta kat depan... tapi ada jugak yang ikut lorong kecemasan tu... 


ketika aku masuk ke lebuhraya tu, jalan dah 'jam', rasa aku laju lagi kura-kura berjalan. asyik nak brek saja bila nak sampai rumah kalau macam ni. aku dah lah lapar lagi ni. roti dah habis. air soya pulak dah basi pasal  aku tinggalkan dalam van. tak tau aku nak kunyah apa ketika itu. akhirnya telan air liur sajalah. itu pun rasa kelat semacam saja. langsung tak da rasa perisa vanila ke, strawberi ke, yang ada rasa pening kepala aku makin bertambah lagi. lenguh kaki aku asyik main tekan minyak tekan brek, tekan minyak tekan brek. sekali sekali aku memicit kepala dan lutut aku yang bertambah letih tu.

ketika melalui kawasan senawang, aku rasa badan aku dah nak 'jam' kesan dari kuliah yang memeningkan kepala aku. maklumlah dah tua-tua ni, dah lama tak memerah otak untuk belajar menyebabkan badan aku rasa satu macam saja. yang berfungsi ketika itu hanyalah kaki dan tangan serta otak aku saja. anggota lain semuanya sekadar ada saja. itu belum lagi campur dengan mata aku yang mulai pedih dek pening dan silau cahaya lampu kereta dari arah depan. tapi alhamdulillah aku dapat jugak bertahan tapi masih lagi rasa bimbang kalau-kalau aku pitam atau pengsan nanti.

nak memandu laju ketika itu memang tak larat rasanya. dah lah kereta banyak berderet-deret, mungkin balik dari kerja atau nak balik kampung kerana cuti sekolah baru mula. aku hanya mengikut sahaja arus kereta yang bertali arus. ketika itu asal selamat sudah. tapi bila sampai kat jalan baru menghala ke  kuala pilah naluri nak mengambil gambar timbul jugak. hasilnya tengoklah sendiri kat bawah tu.


ketika ini pukul 7.09 petang/malam. tau apa yang tertulis kat signboard tu? kalau tak silap aku: anda sedang menempuhi jambatan kedua tertinggi di malaysia. 48 meter. yang pertama? jambatan pulau pinang lah agaknya.


gambar masjid kariah ulu bendul. ketika ini hujan barai-barai ambuk makan padi... (7.17 malam)


 selepas turun dari kawasan ulu bendul aku pun membelok masuk ke simpang masjid kampung ulu bendul untuk solat maghrib. hujan dah mulai renyai-renyai. sempat lagi aku ambil gambar sebagai bukti aku telah singgah kat situ. tapi bukan lah kali pertama, malah dah banyak kali jugaklah aku solat kat situ kalau balik dari kelang atau pun seremban.


  pemandangan dari tepi pagar masjid menghadap ke arah jalan besar. (7.27 malam)

sebelum berwuduk dan naik ke masjid sempat lagi aku mengambil gambar selepas berehat seketika menghilangkan lenguh sambil membetukan urat. ahli jemaah tak lah ramai cuma 7 orang saja itu pun termasuk aku dan tiga orang bangla. aku pun tak tau macam mana boleh ada bangla kat situ. mungkin ia pekerja di kawasan untuk melebarkan jalan kat ulu bendul tu agaknya. tak kesahlah asalkan ia solat. selepas solat isyak aku pun menyambung semula perjalanan menuju ke kuala pilah dalam hujan yang agak lebat jugak. perut kosong badan rasa sejuk. akhirnya aku berhenti kat kedai runcit jaja jaya sdn.bhd. berhampiran  tanjung ipoh dekat simpang nak ke makam tuan tulis(wali Allah). 

selepas tinjau sana tinjau sini aku pun membeli 3 buku roti krim dan sebotol kecil air 100 plus. pada mulanya aku nak beli air mineral saja. tapi bila terpandangkan air berkarbonat tu, aku pun mengubah fikiran kerana aku rasa aku perlukan tenaga tambahan yang segera untuk menyegarkan badan aku. setidak-tidaknya aku mampu bertahan untuk sampai ke triang yang masih jauh lagi. dalam hujan yang separuh lebat aku makan dulu 2 buku roti dan minum beberapa teguk air 100 plus yang berperisa oren. hampir 20 minit jugak aku tersandar di dalam van untuk memulihkan tenaga aku semula. sambil itu macam biasalah layan seleksi hujung minggu di sinar fm bersama cik piah. kebetulan pulak lagu pada malam tu sedap-sedap belaka. kalau makanan dah lama dah aku telan sampai habis. tapi nak buat macam mana kan ia sekadar lagu-lagu jiwang saja.

hampir 9.30 malam baru aku memulakan perjalanan yang tak tau pukul berapa akan sampai ke rumah aku. tapi aku target dalam pukul 11 insyaAllah sampai. itu pun kalau hujan tak terlalu lebat dan kereta tak banyak. tapi nampak gayanya jumlah kereta macam tak pandai nak kurang. masih lagi tak henti-henti dari tadi. dalam sedar tak sedar aku dah pun melepasi simpang ke juaseh dan bahau. bermakna sebentar lagi aku akan sampai ke batu kikir. tapi...apa ni. dah lah hujan, kereta pulak banyak, ada sebuah kereta dari arah depan memotong dan siap bagi lampu lagi isyarat suruh aku bagi laluan kat ia. aku apa lagi mulalah nak marah, aku pun bagi lampu tinggi dan mengelak sedikit agar tak bergesel atau berlanggar dengannya. 

astaghfirullahalazim... ambulans rupanya. kenapa tak bunyi kan siren. dah dekat benar baru aku nampak lampu kat atas tu menyala-nyala. dalam keadaan hujan manalah nak dengar  bunyi siren atau nampak lampu kecemasannya tu. nasib baiklah tak jadi apa-apa tadi. terlintas di kepala aku, mesti pemandu ambulans tu marah atau maki aku agaknya pasal bagi lampu tinggi tadi. nak buat macam mana kan aku bukannya tau itu ambulans. kalau aku tau memang lah aku akan bagi laluan. bukan aku tak biasa buat macam tu.

untuk sampai ke triang aku makan lagi sebuku roti krim dan meneguk air 100 plus beberapa kali. memang letih aku rasakan. dua hari berturut-turut memandu dalam keadaan lapar dan kurang rehat macam-macam perkara boleh terjadi. tapi itulah yang terpaksa aku tempuhi untuk mendapatkan segulung ijazah. itu baru kuliah yang pertama. bagaimana agaknya yang kedua dan seterusnya. dan untuk menamatkan pengajian selama empat tahun lagi. mampukah aku bertahan. semoga aku diberi kekuatan dan kesabaran oleh Allah dalam menghadapi cabaran ini. berbagai perkara bermain dalam kepala aku ketika memandu berseorangan. rasa bosan dan boring pun ada. nasib baiklah ada sinar fm tak lah jemu sangat.

akhirnya hampir pukul sebelas aku selamat sampai ke seri buntar dan parking kat garaj depan rumah aku. aku menarik nafas lega dan mengucap syukur kerana telah diberi perlindungan oleh Allah dalam perjalanan tadi. aku bersandar sekejap sebelum mengemas apa yang patut kat dalam van tu dan masuk ke rumah setelah segalanya beres.

*demikianlah kesah di hari pertama aku menghadiri kuliah atau tutorial di usim, nilai. mungkin orang lain, lain pulak dia punya cabaran dan dugaannya. malah ada yang terpaksa menaiki kapalterbang semata-mata nak belajar untuk menambah ilmu disamping menambah atau meningkatkan pendapatan mereka. ok lah... cukup dulu setakat ini. kalau aku rajin tapi memang aku rajin pun, aku akan sambung untuk sesi kuliah yang kedua dan ketiga. sebenarnya yang ketiga dan keempat pasal yang pertama dulu aku belum dapat surat untuk mendaftar di usim. aku pun dah mengantuk dan nak tidur pasal besok aku nak ke pusat kokurikulum kuantan untuk jemput peserta sk kemayan dan sk mayam yang terpilih ke perkhemahan bersepadu unit beruniform peringkat kebangsaan. masa pergi dulu gpk kokurikulum sk mayam yang hantar. nak balik ni terpaksalah aku pulak yang ambil. tapi.... bagetnya mana?

sekian. terima kasih. daaa.....

Selasa, 17 April 2012

usim: antara kesinambungan ilmu dan tuntutan RM... -3.


urusan pendaftaran dan mengambil modul beres ketika jam kat kaunter fakulti pengajian bahasa utama itu menunjukkan hampir pukul 12.15 tengahari. aku bergegas turun ke tingkat bawah dan menuju ke kawasan parking. hari itu hari jumaat dan aku dah mula rasa lapar. apa lah aku ni kan, asyik lapar saja. makan, makan, makan, perkara lain tak tau ke. aku melalui beberapa kumpulan pelajar/mahasiswa perempuan. aku perasan mereka pelik memerhatikan aku, tapi aku buat tak tau saja. apa dia orang ingat aku ni alien ke? cepat-cepat aku masuk dalam van dan beredar dari situ menuju ke bandar nilai melalui jalan di tanah milik persendirian. niat aku aku hanyalah nak cari tempat makan dan lepas tu tu cari masjid untuk solat jumaat. aahhh... itu pun ada kedai makan yang tak ramai orang. aku pun berlabuh kat depannya dan memesan nasi ayam berserta susu suam- minuman rasmi aku. tapi... apa ni? ini bukan susu suam, ini susu panas!!! suam dan panas pun tak tau nak bezakan orang ni. aku mintak ais batu, tak dihantarnya pulak.

 sedang melalui kawasan sungai lui. waktu ni jam tujuh lebih. masih belum banyak kereta.

selesai makan aku pun membayar harganya: rm 6.00 sahaja. tapi aku rasa agak mahal bagi orang yang berbaget kecil seperti aku. aku cuba menghitung rm dalam poket aku, cukup untuk bayar tol dan bakinya hanya beberapa ringgit sahaja. ketika aku sampai ke simpang nak keluar ke jalan besar, aku berpaling ke kiri dan... Subhanallah... di sini rupanya masjid. patutlah jelas kedengaran bunyi suara orang membaca al-Quran. aku pun membelok ke kiri dan menghala ke arah masjid serta men'snap' satu gambar untuk dipaparkan kat danau kalbu ku  ini. aku parking sambil menanggalkan kasut serta stoking dan memakai selipar. aku tak terus turun tapi sebaliknya memasang telinga mendengar ceramah/tazkirah/kuliah dari ustaz muda. aku agak muda pasal suaranya masih muda lagi. ye lah tu agaknya... heheheeh....

 kawasan sungai lui ni adalah kawasan felda. tak tau aku kenapa si aizat tu boleh buat lagu sungai lui.


bila masuk waktu zohor, ustaz muda pun berhenti dan disambung dengan laungan azan. aku perhatikan ramai kaum muslimin yang hadir ke masjid itu warga asing. atau pun pelajar dari luar negeri. tapi tak hairan pasal kat situ ada kolej antarabangsa nilai. aku pun turun dan beriringan bersama mereka menuju ke masjid dan terus ke tempat mengambil wuduk. dari luar masjid itu nampak kecil saja tapi bila dah masuk ke dalam rupanya luas dan selesa. ruang solat kat luar dan bermozek, begitu jugak ruang solat utamanya telah hampir penuh. setela selesai solat sunat tahiyyatul masjid, aku pun duduk dan memerhati sekeliling. memang ramai pelajar antarabangsa, kata aku dalam hati. terdapat 2 skrin tv yang bersaiz besar tergantung di kiri dan kanan bahagian hadapan masjid. satu berfungsi dan satu lagi tak. yang berfungsi memaparkan senarai imam dan bilal yang bertugas serta tajuk khutbah yang akan disampaikan. bagi aku itu biasalah bagi masjid yang berkemampuan dan berkewangan yang banyak. macam-macam boleh dibuat dengan wang sumbangan dari orang ramai itu.

pemandangan masjid nilai dari jarak jauh. jarak dekat belum ada lagi!!!

selepas azan kedua, imam/khatib pun naik memulakan khutbahnya. tapi apa yang menariknya, beliau tidak membaca teks sebaliknya teks telah tersedia dalam laptop dan beliau hanya membaca dan mengklik untuk beralih ke muka surat lain serta terpapar di skrin besar. bagi aku tiada alasan untuk mengantuk lagi kerana apa yang dibaca oleh khatib, kita boleh turut sama baca termasuk ayat-ayat al-quran atau hadis berserta dengan terjemahannya. aku masih ingat lagi topik yang diperbincangkan ialah bahaya ancaman yahudi terhadap akidah umat islam di seluruh dunia.

cuma aku agak terkilan kerana ayat al-Quran yang dibaca selepas surah al-Fatihah terlalu panjang. pada perkiraan aku hampir 15 minit pada setiap rokaat, yang menyebabkan aku sendiri rasa resah dan tak selesa. sepatutnya bila dengar ayat al-Quran kita makin takut dan gentar dengan amaran dari Allah. tapi kalau bacaan imam terlalu panjang hingga para makmum merasa resah kerana macam-macam perkara lagi, ini menunjukkan imam itu tak tahu atau setengah pendapat mengatakan itu imam syok sendiri kerana tidak memikirkan soal para makmum yang banyak urusan dan mungkin ada yang lapar belum makan lagi. tapi tak pelah...pasal ia dah terjadi.

selepas usai solat dan berdoa aku bergegas ke darul miah untuk 'berkameh' dah tak tahan sangat rasanya. aku pun sengaja berlegar-legar melihat gerai jualan kat luar masjid. berhenti kat gerai menjual cd ceramah ustaz azhar idrus, belek sana belek sini tapi bukan nak beli pun sebab tak da baget. aku patah balik ke belakang nak ke gerai menjual air untuk membasahkan tekak aku yang dah kering. tiba-tiba bahu aku dicuit oleh seseorang dan aku pun berpaling.... oooo.... abang din rupanya. dia tinggal di taman triang maju dan selalu ke surau triang maju. dia pemandu lori membawa kayu kayan. menurut katanya pukul 4 pagi tadi dia ke banting menghantar kayu. nak balik ke triang singgah dulu di nilai untuk solat jumaat.

setelah bersalaman sekali lagi aku pun beredar menuju ke van yang aku parking kat tepi jalan besar. sebelum  bergerak aku sempat menalipon isteri aku kerana terdapat beberapa panggilan tak dijawab. memanglah kalau aku solat aku akan tutup handset aku tu. perjalanan balik pun berjalan lancar saja tak seperti yang aku bimbangkan, takut-takut tak jumpa jalan nak balik. rupanya senang saja. selepas saja plaza tol aku pun menderu menuju ke seremban untuk keluar di persimpangan senawang. dalam kepala aku hanya ingat nak cepat sampai kerana ada beberapa perkara lagi yang aku perlu selesaikan. antaranya nak uruskan pasal besok hari. mana nak cari baget dan kalau boleh nak tumpang ustazah salamah dan suaminya.

hampir pukul lima setengah aku sampai di triang dan terus pusing bandarnya. secara kebetulan aku terlihat kereta ustazah salamah dan suaminya parking depan restoran salsabila. aku pun turut sama parking bersebelahan dengannya. hasil perbincangan nampak gayanya aku kena memandu berseorangan lagi pada esok hari. beres satu bab. bab baget saja lagi yang belum selesai. fikir punya fikir aku pun mendail nombor kawan aku. akhirnya dapatlah baget untuk besok. itu pun cukup-cukup saja untuk pergi dan balik. setelah semua beres aku pun balik ke rumah dan berehat untuk perjalanan esok hari. dan yang lebih penting ialah untuk menyediakan minda aku untuk menerima pelajaran pada esok hari.

begitulah lebih kurang cerita aku pergi mendaftar untuk sambung belajar kat usim. itu belum masuk cerita aku pergi belajar pada keesokan harinya lagi. kalau aku rajin aku akan cerita sebab hujung minggu ini - 21 april dah masuk kuliah yang ke lima. bulan enam nanti periksa. boleh lulus ke? insyaAllah boleh. aku akan cuba buat yang terbaik untuk masa depan aku dan keluarga aku. nanti je lah sambungannya sebab gambar pun dah ada cuma masa nak buat entry saja terpaksa bersambung-sambung. ok lah aku berhenti dulu kerana dah hampir maghrib dah ni. wassalamu...daa....

Jumaat, 6 April 2012

catatan tak kala hujan rindu menderu... (3.4.2012-selasa)

 sibuk melihat khemah basah dalam hujan lebat.


pemandangan dari pintu khemah aku-panorama kawasan perkhemahan yang kuyup. 


 khemah biru yang tinggi itu hak milik kontingen temerloh yang baru keluar dari kotak.(baru beli)


 pintu gerbang yang tersimple dalam dunia perkhemahan- jangan tak tau ini hasil kerja aku ya.


 BERA!!!... BERANI BERAPI...!!!


 lihatlah kecanggihan pintu itu- ini cikgu johan dari sk mayam yang punya idea. tapi inilah jugak yang membolehkan kontingen bera menang tempat ketiga dalam kategori 'camp craft'.


 sudut pameran- gabungan idea cikgu maznah dan cikgu norazila dari sk bukit kepayang serta ustazah muhaini dari sk kerayong. 4 t-shirt iaitu pbsm, pengakap, pandu puteri tunas dan puteri islam yang mewakili daerah bera.


 tempat terlantarnya sekujur tubuh yang 'sasa'. aku dah siap berkemas baru teringat nak ambil gambar. kalau tak, bolehlah tengok akan kekemasannya. hahaha...


inilah kawasan rehat dan menjamu selera serta tempat perbincangan, jugak simple tapi amat sibuk kerana turut menjadi laluan utama peserta kontingen temerloh nak ke paip air yang bersempadan dengan kontingen kuantan.


 assalamualaikum... hahaha...petang ni hujan lagi. tapi agak lewat dari semalam. jika semalam pukul 2 lebih dah hujan, hari ini hampir pukul lima langit menurunkan tangisannya berserta kilat dan guruh yang kadang-kadang agak mencemaskan juga. memanglah sebelah pagi tadi bukan main panas teriknya. tapi siapa sangka hujan di tengah hari.

budak-budak mula bising:- cikgu kemoh bocor...!  cikgu kemoh basoh...!  sebenarnya bukan bocor tapi oleh kerana hujan yang lebat ia meresap dan menitis dalam khemah. lagi satu air dari bawah yang mengalir juga telah meresap membasahi lantai khemah. nak buat macam mana kan, kuasa Allah siapa dapat menahannya. berdoa dan berharap sajalah agar hujan ini tak berpanjangan. sekurang-kurangnya khemah dah siap dipasang dan ada tempat nak berteduh. alaaa... bukan khemah kontingen bera saja, daerah lain pun basah macam tu jugak.

semalam lagi teruk, belum siap pasang hari dah hujan. dah tu ada pulak khemah yang besinya dah patah. terpaksalah jadi ' macgiver' nak tegakkan khemah. kalau ada yang terpotong dan terkerat tali besi tu, harap-harap penyelia kokurikulum dan jurulatih pusat kokurikulum tak lah marah. pasal masa ambil tu, semuanya kata 'ok' saja. tapi bila pasang 3-4 batang besinya didapati dah pecah dan patah. kalau tak ditegakkan  nak tidor kat mana budak-budak tu nanti.

ok lah aku sebenarnya bukan nak cerita sangat pasal perkhemahan bersepadu ini, tapi sebagai mengisi masa lapang dan selepas makan goreng tepung cicah kuah ayam masak merah, aku catat lah sikit kat buku catatan yang aku bawak ni. sementara tunggu hujan berhenti nak buat apa yang patut kat khemah yang basah tu. bila agaknya aku dapat buat posting kat blog ini tak tau lah lagi. harap-harap tak lah lama sangat macam : usim - antara kesinambungan ilmu dan tuntutan RM.... cerita dah bagas (basi lah) baru nak buat posting. tapi ok jugak dari tak ada langsungkan. 6.17 pm- kem tengku puan pahang, maran.

*oh! ya, lagi satu kenapalah sound speaker kat khemah urusetia tu tak jelas langsung. kalau buat pengumuman tu, tak tau tah apa-apa yang dicakapkannya. dah lah tapak kawasan bera ni nombor 2 dari hujung. terus tenggelam ditelan suara anak-anak peserta perkhemahan bersepadu ini.

Isnin, 2 April 2012

usim : antara kesinambungan ilmu dan tuntutan RM... 2.


setelah dapat panggilan itu aku pun memaklumkan kepada isteri aku. terdapat riak perubahan di air muka perempuan kesanyangan aku tu. abang dah nekad ke nak belajar semula ni, katanya. terpaksalah aku berterus terang dan menjelaskan apa yang telah aku pikirkan beberapa hari yang lalu. kita mana ada duit nak bayar tu semua, katanya lagi. memang aku pun tahu pasal tu. aku yang sering keputusan wang secara logik tak kan mampu nak tanggung anak isteri aku makan minum. tapi aku selalu berserah pada Allah. terpulang lah pada Allah nak bantu aku ke tidak. sebagai hamba, aku hanya mampu berdoa dan berharap saja.

rentetan dari itu aku pun menalipon dan menyatakan nak pinjam duit untuk bayar pendaftaran belajar kat usim. katanya tunggu dulu, nak bincang sebelum buat keputusan. sambil itu aku masih juga berfikir, kot-kot ada lagi lubang-lubang lain yang aku dapat minta bantuan. akhirnya bank rakyat sajalah tempat mengadu. dengan rasa berat hati aku pun melangkah memanjat anak tangga bank rakyat. pot pet pot pet, boleh lepas tapi cikgu perlu bawak slip gaji yang ada pengesahan majikan.

besok aku datang lagi. kira punya kira, tak cukup beberapa persen saja lagi. pegawai tu pun bertanya kot-kot aku ada side income yang lain. jawapan yang jelas dan pasti ialah tiada. bermakna permohonan aku gagal. isteri aku mula sound kat aku. aku buat selamba dan berfikir, kalau aku nak jugak pergi daftar terpaksa guna duit tabung haji anak-anak aku. tak lah banyak pasal aku pun selalu keluarkan bila aku dalam keadaan terdesak. setelah dicampur-campurkan, masih jugak belum mencukupi. terpaksalah aku slow talk dengan isteri aku. berlinang air matanya sambil menghulurkan kepada aku beberapa keping kertas berwarna merah sambil berkata: ini duit nak belanja anak sekolah, abang mesti ganti. aku tak tau nak kata apa ketika itu. rasa amat terharu dan hiba sekali. bukan aku nak mementingkan diri sendiri. tapi untuk mengubah dan berubah kita perlu sedikit pengorbanan. akhirnya cukuplah baget untuk aku isi minyak pergi dan balik serta pendaftaran sambung belajar kat usim.


pada pagi jumaat 9 mac 2012, aku bangun awal dari biasa. setelah bersiap dan solat subuh aku pun bergerak menuju ke nilai, negeri sembilan. sebelum itu aku sempat ke seven eleven triang untuk membeli roti dan air sebagai sarapan aku dalam perjalanan nanti. ketika di persimpangan lampu isyarat triang jam tepat menunjukkan pukul 6.50 pagi. dan dari corong radio ikim fm yang sentiasa menjadi teman aku di kala waktu pagi kedengaran suara dj nya sufian ambrin menyatakan lagu berikutnya ialah 'izin aku pergi' dendangan mirwana. sesuai sangatlah dengan aku yang nak pergi mendaftar belajar ni. 


perjalanan aku pada pagi lancar tiada gangguan dari kenderaan berat. mungkin masih terlalu awal agaknya. cuma aku terasa van aku tak laju macam biasa. lama aku berfikir kenapa pulak jadi macam tu. baru aku teringat mungkin tayar tu kurang angin agaknya. aku pun berhenti di stesen minyak petronas kuala pilah 2. sah lah memang anginnya kurang. setelah siap aku melihat jam, hampir pukul lapan dan siaran ikim fm dah tenggelam timbul tak jelas lagi bunyinya. aku pun menukar kepada stesen nombor satu sinar fm. bila pasang saja sinar, apa lagi lagu retrolah jawabnya. terus saja si krill tu menyebut lagu yang akan diperdengarkan ialah  'rindu mu ku bawa pergi' oleh dahlan zainuddin. aik... macam ada sambungan saja dari lagu ketika aku mula-mula nak pergi tadi, kata aku dalam hati. 


perjalanan aku teruskan. aku sebenarnya bukan tau sangat pun jalan ke nilai tu. walau pun aku dah pergi beberapa kali, tapi semuanya aku naik kereta orang atau pun naik bas. tapi tak kesahlah pasal papan tanda ada. bila masuk ke kawasan senawang lagi sekali hati aku terusik dengan lagu 'ranjang mawar' dendangan kumpulan wings. tapi lagu ni tak berapa popular pasal yang menyanyikan bukannya awie tapi mael. tau je aku bab-bab lagu ni ye! bukan tau sangat pun sekadar pengetahuan umum saja.


bila masuk ke lebuh raya utara selatan aku dah rasa lega sebab jarak nak sampai ke nilai lebih kurang 30-40 minit saja lagi. aku pun menekan minyak untuk sesuai dengan kadar kelajuan kereta-kereta lain yang macam di kejar pelesit saja rupanya. walau laju tapi masih lagi di bawah had laju yang ditetapkan. tak lah sampai sontok meter tu. hampir pukul 9.30 aku sampai di bandar nilai dan mata aku meliar mencari papan tanda usim. hah...itu pun dia. jadi senanglah sikit aku nak sampai. bila sampai kat bulatan, aku pun terus saja ikut anak panah kat papantanda dan hampir pukul 10 aku sampai ke kawasan usim tapi aku berhenti dulu kat kedai fotostat pasal surat beranak aku belum lagi ada salinannya.


oleh kerana pertama kali datang aku tersilap pintu pagar. tak apa bukan aku sengaja pun. bila kat pintu pagar utama aku terpaksa isi nama kat buku besar dan tinggalkan lesen memandu. sebagai ganti aku diberi pas pelawat. sempat jugaklah aku bertanya arah tempat yang aku nak tuju nanti. setelah mendapat maklumat aku pun beredar dan mengambil parking di sebelah bangunan canselori yang berkubah megah. aku pun masuk dan menuju ke lobi, ke kaunter pertanyaan. belok kiri belok kanan naik lif belok sana belok sini, aku pun jawab terima kasih dan berjalan mengikut apa yang dinyatakan tadi. 


pertama sekali aku ke bahagian pendaftaran, kemudian aku diminta ke jabatan bendahari sebelum datang semula ke bahagian pendaftaran. setelah membuat bayaran kat jabatan pendaftaran dan mengisi borang di bahagian pendaftaran aku diminta ke bahagian hal ehwal pelajar untuk mengambil kit pelajar (sebenarnya sebuah beg yang berisi baju t-shirt usim, pen, dan buku nota, kemudian ke bahagian keselamatan untuk membuat kad pelajar seterusnya ke fakulti pagajian bahasa utama untuk mendaftar kursus aku. kat fakulti tu aku di beri beg lagi yang isi kandungannya sama saja macam beg yang pertama. cuma kat situ aku diberi beberapa buah buku modul dan jadual belajar serta borang perjanjian yang aku perlu pos semula dalam tempoh 2 minggu. 


sebelum aku keluar, kerani tu sempat berkata: esok mula kuliah ya. haaa... esok kuliah dah, kata aku pulak. ya..., katanya lagi. aku pun membelek jadual. betullah besok 10 mac kuliah yang kedua. esok ustaz kena datang sebab kuliah pertama dulu ustaz tak hadir!!!


aduuuhhh.... aku pun berkedut kening bila mendengar jawapannya dan aku pun mulalah jugak berfikir tentang hari esok. di manakan ku cari baget untuk ke nilai lagi. sekurang-kurang untuk isi minyak, tol dan makan aku. tak kan belajar tak makan kot. aku bukan robot!!.


*maaf siaran tergendala untuk beberapa hari kerana aku terpaksa ke kem tengku puteri, maran. dah tua-tua nak pergi berkhemah lagi. aku nak mandi dulu dan nak tunggu kat ppd. sambungan, insyaAllah... minggu depan jika ada umur lagi. tapi... 7 april ni ada kuliah lagi... kerja semua belum siap lagi... baget lagi.... ini lah yang dikatakan antara kesinambungan ilmu dan tuntutan RM...