Selasa, 30 Ogos 2011

ramadhan di hati ini.


ramadhan
deru ombak di pantai mu telah berakhir
dan angin semilir di senja ini menggamit memori
pada sebuah pelabuhan sepi di pantai hati.

ramadhan,
apakah harus aku tangisi pemergian mu
sedang cinta ku tak sepenuh hati
hadir mu dulu
ku sambut dengan rasa berbelah bagi
antara kasih dan sedih
hampir kau tersisih.

ramadhan,
di saat fajar syawal kan menjelma
sempat jua ku atur rindu ku pada Kekasih kita
moga dalam aku menyonsong kehadiran syawal ini
tak ku lupa pada cinta mu.

ramadhan,
sekadar bicara sepi dari hati ini
mengiringi mu yang akan pergi
maaf,
andai dipertemuan kita
aku terlalai membelai mu penuh manja.

ramadhan,
pergilah kau pada Ia
ku iringi dengan doa sejahtera
moga dikau tak jemu hadir lagi
di pantai ini
di pelabuhan sepi sekeping hati.


b.tan.
29-30 ogos 2011.
kerayong-seri buntar.

Isnin, 29 Ogos 2011

catatan sempoi 29 ramadhan 1432...



pagi 29 ramadhan 1432 hijrah hujan turun membasahi bumi yang telah seminggu tak disirami. aku seperti biasa bangun untuk bersahur. oh, ya! malam tadi aku sekeluarga tidor dirumah mak mertua aku, setelah berbuka di sana dan berterawih di pondok darul huda padang luas. bermakna dua malam berturut aku tak berterawih di surau triang maju. petang ni berbuka pulak di rumah mak ayah aku di kerayong. adik beradik aku pun dah ramai yang balik. mungkin tahun ini dia orang semua beraya di kerayong agaknya. aku pulak akan sambut raya di seri buntar dulu lepas solat idil fitri, barulah balik ke kerayong. bukan jauh pun tak sampai sepuluh minit dah sampai kalau kereta tak banyaklah.

cuma pada tahun ini aku rasa tak puas berpuasa. kalau Allah suruh tambah lagi, rasanya aku sanggup sambung. tapi itu tak kan berlaku kerana syariat telah menetapkan puasa di bulan ramadhan hanya sebulan sama ada 29 hari atau 30 hari. mana boleh lebih-lebih. tak usahlah nak tunjuk alim atau lebai sangat berpuasa sampai 31 hari atau 40 hari!!

setelah aku renung dan fikirkan barulah aku perasan, pada tahun ini suasana berpuasa tak memcabar baik dari segi jasmani mahu pun rohani. cuaca yang tak berapa panas malah kadang-kadang hujan. kalau tak sebelah pagi, sebelah petang akan hujan. malah di waktu malam pun akan hujan. aku tahu itu adalah rahmat dari Allah untuk makhluk-Nya di muka bumi ini. tapi kita perlu sedar makhluk bernama manusia terus dan terus saja melakukan salah dan silap yang mengundang murka dari Ilahi. apakah kita yang melakukan dosa ini layak untuk menikmati rahmat yang diturunkan itu. kalau tidaklah kerana makhluk lain seperti haiwan dan tumbuhan juga turut menghuni bumi ini, nescaya Allah tidak akan menurunkan hujan. jadi sedarlah kita, bahawa hujan yang diturunkan itu sebenarya untuk makhluk lain. cuma kita yang tak sedar diri tanpa malu dan segan menikmatinya dalam masih lagi mengekalkan dosa.

selain dari itu, puasa pada tahun ini kurang rasa lapar. waktu berbuka makan sedikit, bersahur pun sedikit malah moreh pun kadang-kadang tak ada makanan pun cuma teh o kosong saja. tapi dengan izin Allah disiang hari puasanya tak terlalu lapar. inilah agaknya yang dikatakan keberkatan dalam beribadat. tak makan tapi tak lapar. syukur alhamdulillah... atas segala pemberian-Nya.

tapi aku tak dapat nak buat rekod pada tahun ini. rekod tak pergi bazar ramadan selama sebulan berpuasa. kalau tak kerana isteri aku yang mengidam 'roti john', mungkin berjaya aku melakukannya. tak kesahlah tak dapat buat rekod, asalkan isteri aku dapat apa yang diidamkannya. nasib baik roti john, kalau benda lain yang pelik-pelik puas aku mencarinya. kalu dia nak tahai ke, buah binjai ke, atau buah belunu mana aku nak cari. teringat masa ia mengandungkan anak sulung kami dulu, nak makan buah cempedak. aku yang baru balik dari tamu lawas, terpaksa pergi lagi sekali berjalan kaki di tengah panas terik. setelah puas pusing keliling satu tamu, nasib baiklah ada seorang makcik tu yang menjual sebiji sahaja. agak besar buahnya tapi harganya... sebelas ringgit!!! aku pun beli sajalah untuk isteri tersayang. memang agak mahal tapi apa boleh buatkan tak ada pilihan lain.

eh... aku ni mulalah nak melalut ni. waktu sekarang hampir pukul lapan, janji dengan isteri aku nak pergi beli ayam pulak ni. kalau lambat-lambat orang dah ramai, fitrah pun belum bayar lagi. aku biasanya bayar dengan ustaz sulaiman. biasalah kan jundullah mestilah bayar dengan jundullah jugak...hahaha...perasan pulak di hari akhir puasa ni. ye ke hari terakhir, ke kita kan beraya pada hari rabu bukan selasa.

ah...! tak kesahlah janji kita sambut dengan rasa keimanan yang bertambah kepada Yang Maha Esa. aku teringat satu kata-kata dalam bahasa arab: laisa eid man labisa jadid, wa lakinna eid man thoa'atuhu yazid. ertinya: bukanlah idil fitri itu siapa yang berpakaian baru, akan tetapi idil fitri itu ialah siapa yang bertambah ketaatannya. atas semangat kata-kata itu aku telah tiga tahun tak beli baju raya baru. tahun ini aku akan pakai baju yang aku tempah di mr. right taylor's di bandar jengka, warna hijau muda pada tahun 2007 yang lalu. masih elok dan padan lagi kerana aku kan orang yang slim badannya. hahahaha... ok, lah aku dah nak berhenti ni, jumpa lagi: assalamualaikum...daaa...

Jumaat, 26 Ogos 2011

catatan lewat ramadan 22 1432 hijrah





jika anda tak mampu membaca tulisan cakar gajah di atas, sila baca terjemahannya di bawah ini:


assalamualaikum wa rohmatullahi wa barokatuh. ni hao ma? pao liyang nga? hari ini adalah hari ke 19 umat islam di malaysia menunaikan ibadah puasa pada tahun 2011 ini. bermakna 11 hari lagi akan tibalah hari kemenangan bagi mereka yang melakukan atau melaksanakan ibadah ini dengan penuh keimanan dan mengharapkan rahmat, keampunan serta belas ihsan dari Allah agar dilepaskan dari azab seksa neraka nanti.

di pagi jumaat ini,cahaya mentari bersinar dengan cemerlang, bulat merah di kaki langit menyaksikan perjalanan hidup manusia yang tiada henti selagi mampu beraksi. berapa lama lagi, terpulang dan tertakluk kepada kekuasaan Allah jua. kita sebagai hamba hanya mampu merancang dan berdoa, keputusannya adalah hak mutlak Allah tiada siapa yang dapat mengatasinya.

jika di hari pertama puasa dulu, warga sk kemayan menerima berita kematian anak kepada pakcik sapini, salah seorang pekerja di sekolah ini, pada hari ke 19 ini satu lagi berita kematian disampaikan dari mulut ke mulut. ibu kepada nurul azlin, kerani sk kemayan telah kembali ke rahmatullah untuk menghadap Ilahi Robbul Jalil. semoga azlin tabah menghadapi saat-saat sedih sebegini. almaklum, pemergian seseorang yang disayangi dan tak kan kembali lagi tentulah menyayat hati. apatah di saat umat islam telah mula membuat berbagai persiapan untuk menyambut idil fitri yang bakal menjelma.

bila difikir dan direnungkan kematian itu ada di mana-mana, tak kira apa keadaan sekali pun, sama ada kita bersedia atau tidak, masanya tetap akan tiba jua. cumanya beruntunglah mereka yang dipanggil pergi pada bulan ramadhan yang mulia ini. kenapa aku kata begitu? bulan ramadhan adalah bulan kerahmatan, ditutup pintu-pintu neraka dan dibuka seluas-luasnya pintu syurga, diangkat atau tidak diseksa mayat-mayat di dalam kubur. apatah lagi jika meninggal dunia di pagi jumaat, penghulu segala hari. ooh! bagi aku, ia satu anugerah dari Allah, sebelum anugerah-anugerah lain yang lebih hebat dan dahsyat. dahsyat disini bukanlah bermakna menakutkan tetapi sebaliknya satu keadaan yang mengkagumkan, yang tidak terjangkaukan oleh akal fikiran manusia yang lemah lagi terbatas. terharu aku dan berlinang lagi air mata jantan aku bila memikir dan mengenangkan peristiwa tersebut.

betapa hebatnya Allah, dengan sifat penyayang dan kasih-Nya kita diberi peluang untuk hidup di muka bumi ini, diberi kita pakaian, makanan dan minuman, tempat tinggal sebagai tempat berlindung, kenderaan yang berbagai jenis, jika hendak dihitung, masyaAllah... itu yang dapat dilihat, belum lagi nikmat-nikmat lain yang hanya dapat kita rasa sahaja tanpa melihatnya, seperti nyamannya angin yang bertiup, udara segar yang kita sedut, manisnya air yang dihirup serta kelazatan di tempat tidur. (maaf, bulan puasa tak boleh ulas lebih-lebih, faham-faham sendiri sajalah).

ya Allah betapa pemurahnya Engkau, insan berdosa dan kuffar, masih jua dapat menikmati khazanah Mu. kenapalah aku masih juga kadang-kadang terlupa akan keagungan Mu itu? Subhanallah... hidup dan mati adalah hak milik Mu. ya Allah, semoga aku dan keluarga ku nanti diberi khusnul khotimah sebagai mengakhiri hidup yang sementara ini.

astaghfirullahal'azim... terbawa-bawa pulak aku. bukan apa, ia cuma sekadar peringatan buat aku dan sesiapa yang membaca catatan ini, anggaplah ia sebagai hadiah dari aku. nak bagi hadiah lain tak berapa nak mampu. cukuplah sedikit tazkirah, jika ia boleh dianggap tazkirah kerana berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran, insyaAllah kita semua tak kan rugi. ini janji Allah yang juga kadang-kadang kita terlupa.

ok lah, cukup setakat ini coretan dari aku dalam mengenang mereka yang telah pergi terlebih dahulu daripada kita. sambutlah salam ramadhan karim semoga sepuluh hari yang bakal mendatang dapat kita manfaatkan sepenuhnya untuk mencari malam yang lebih baik dari seribu bulan. assalamualaikum...daaa...













Selasa, 23 Ogos 2011

belasungkawa buat azizi abdullah.



seorang tua dalam tatap renungnya
gelisah memintal hati nan rawan
pada gelodak anak bangsa yang tak keruan
lalu diasah mata penanya pada tempawan
ah... siapalah yang ngerti bisikan budi
sedang masa terus saja berlari
menghitung akal nan sejengkal
tanpa peduli pada generasi
apakah bakal terjadi nanti.

seorang tua di kaki gunung
menongkah arus dalam gelombang menggulung
tiba ia di persada berdebu
dan menggelepar hati nan rawannya
tak terjangkau tangan untuk menadah
kata nista penuh dusta
namun ia penuh rela
terjun ke dasar nubari tiap anak pertiwi
cuba membuka lembaran hari mendatang
bersama senyuman menguntum
pada jejak-jejak indah yang di lalui
jua pada denai penuh berduri
tapi pasti ia kan terus berlari
membawa hati nan rawannya.

seorang tua dalam memoir lukanya
penuh gelisah mengharung masa
sedang hatinya terasa sepi
dalam mengukir rasa tersingkir.

seorang tua telah tiada
hanya fatihah ku sedekah
buat bekal ke alam barzakh.


b.tan.
23-25 ogos 2011.
kemayan-seri buntar.

Jumaat, 19 Ogos 2011

jundullah...layakkah aku? - 4.



aku tiba di perkarangan darul ikhwan yang merupakan markas pas kawasan bera lebih kurang pukul sebelas setengah malam. kedengaran suara cik lah atau pun abdullah bin ismail sedang membentang kertas kerja beliau mengenai peranan dan tanggungjawab ahli dalam gerakan islam. aku tahu sebab aku turut serta dalam mesyuarat untuk program tamrin qiadi ini. tapi tak sempat turut serta dari awal program ini kerana ada majlis lain di surau taman triang maju sebentar tadi. kalau tidak dari petang aku dah ada kat situ.

aku perhatikan bilangan kereta tak lah banyak seperti yang diharapkan oleh pihak penganjur. aku hanya bersandar di dalam van mendengar setiap ulas perkataan yang cik lah ucapkan. ternyata ia telah hampir menamatkan slot yang di peruntukan kepadanya. aku sengaja tak keluar dari van, selain dari nak mendengar dapatlah jugak aku berehat seketika sebelum aku tidor nanti.

setelah hampir lima belas minit, maka tamatlah slot pembentangan kertas kerja. para hadirin mula bersiap-siap nak tidor dan ada yang masih bersembang sambil minum dan makan baki biskut yang masih ada di atas meja. aku turun dan masuk ke dewan sambil bersalam dengan beberapa orang, ada suara gurauan yang memperli aku kerana lewat datang, tetapi aku gelak saja sebab dia orang tak tahu urusan aku dari pagi tadi belum cukup rehat lagi. aku menuju ke suatu meja yang dikelilingi oleh beberapa orang sambil menghadap sebuah laptop. ooh! daftar pemilih rupanya.

apabila menyedari kedatangan aku, penyelaras daftar pemilih pun bertanya kepada aku: ustaz ada bawak laptop? ada, jawab aku ringkas. keluarkanlah, nak install daftar pemilih tahun 2010 untuk satu pahang. aku tak banyak cakap pergi semula ke van dan datang kembali dengan beg laptop aku dan mengeluarkannya lalu switch on. maka bermulalah operasi memasukkan data pengundi ke dalam laptop aku. sebab itulah aku seboleh-boleh akan menjaga laptop aku dengan sebaik mungkin. walau pun kadang-kadang ada juga masa ia meragam dan buat hal.

jarum jam menunjukkan hampir pukul satu ketika operasi install itu selesai. aku memang mengantuk tapi laptop aku dah hampir kehabisan bateri dan perlu di'charge', untuk mengelakkannya aku pun mengeluarkan charger dan memasangnya. aku lihat beberapa orang telah pun berbaring dan berdengkur kecuali aku dan dua, tiga orang saja yang masih berjaga. setelah memastikan laptop aku di'charge', aku pun mengambil beg laptop aku dan meletakkannya dengan jarak dua kaki di sebelah bantal roslan. setelah menyapu sedikit habuk dan pasir yang ada di atas tikar, aku pun berbaring dan mengiring sambil membaca apa-apa yang patut dan cuba memejamkan mata aku.

ketika aku hampirkan terlelap, tiba-tiba bau ubat nyamuk begitu kuat menusuk ke lubang hidung aku. makin kuat baunya apabila ditiup angin. aku memang pantang dengan ubat nyamuk ini. tak kiralah jenama apa. asal ubat atau lebih tepat lagi racun nyamuk, ia pasti akan membuat hidung aku rasa tak selesa dan macam tersumbat. aku pun bangun dan mengeluarkan kain pelikat dari dalam beg lalu menyelimutkan tubuh aku dan sedikit menutup hidung aku. tapi apakan daya, baunya masih juga dapat masuk dan mengganggu keselesaan aku yang nak tidor.

lagi sekali aku bangun dan mengalih kedudukan bekas ubat nyamuk agar jauh dari tempat aku berbaring itu. kembali berbaring dengan beralaskan tikar, berbantalkan beg laptop serta berselimutkan kain pelikat aku pun cuba melelapkan mata ketika jarum jam hampir menunjukkan ke angka dua. tak boleh jadi! aku mesti tidor, kalau tidak nanti pukul berapa nak bangun untuk qiamullail. dalam mata aku terkelip-kelip itu, entah masa bila aku terlelap dan hanya tersedar apabila kedengaran suara azan.

hah! nasib baik bukan azan subuh tetapi sebaliknya azan untuk mengejutkan para peserta tamrin agar bangun untuk bersiap bagi slot qiamullail pulak. aku yang baru tidor, rasa dah lama terlelap tapi masih ada rasa mengantuk. setelah mengambil 'bantal', dan meletakkanya berhampiran laptop aku yang masih belum penuh baterinya, aku pun menuju ke van dan mengambil apa yang patut lalu menuju ke bangunan tandas dan masuk untuk menunaikan apa yang biasa aku buat apabila bangun dari tidor. tapi semua dah penuh, nak tunggu ramai lagi yang juga sama seperti aku.

aku pun menuju semula ke van aku dan terpandang paip di belakang bangunan tempat memasak. tanpa berlengah aku pun meredah rumput yang tebal dan kemuncup yang setinggi lutut aku. tak dapat mandi pun tak apa, janji dapat bersihkan diri dan gosok gigi, kata aku dalam hati. sedang asyik menggosok gigi sambil menampar nyamuk yang hinggap di merata badan aku, entah macam mana terdetik di hati aku: JUNDULLAH...LAYAKKAH AKU!

selesai beberapa solat sunat yang dilakukan secara bersendirian, maka didirikan pula solat sunat tasbih secara berjemaah yang dipimpin oleh ustaz sulaiman. seingat aku, ini kali ketiga aku menunaikan solat sunat tasbih dalam hidup aku. ternyata lemahnya iman aku dan kurangnya aku berqiamullail dalam hidup ini. sebelum azan subuh sempat dilakukan solat sunat witir dengan dua salam. selepas solat subuh, satu tazkirah haraki telah disampaikan oleh saudara musannif.

dalam menghayati tazkirah tersebut, aku teringat semula detik hati aku ketika menggosok gigi di tepi paip belakang tempat memasak. fikiran aku pun berligar-ligar ke sana kemari sambil masih juga mendengar tazkirah yang disampaikan. aku nak tulislah dalam blog tentang 'jundullah...layakkah aku? bukanlah nak menunjuk tapi sebagai satu penilaian buat diri aku sendiri, apakah aku ini layak untuk menjadi jundullah. dengan apa yang aku lalui setiap hari, setiap minggu, setiap bulan malah setiap tahun, apakah aku layak untuk menjawat atau menyandang jawatan sebagai jundullah.

sebenarnya tiada apa lagi yang aku nak cari dalam hidup ini. boleh dikatakan semuanya telah aku miliki. usah ditanya tentang kekayaan. kerana jika dihitung wang ringgit yang aku belanjakan untuk keluarga aku, untuk berderma di jalan Allah atau bersedekah kepada fakir miskin tidaklah sebanyak mana. malah aku kadang-kadang tak tahu macam mana aku boleh menyara keluarga aku dengan wang gaji yang tak cukup makan. tapi ternyata manusia tidak kaya. sebaliknya Allah lah Yang Maha Kaya. itu memang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun. kita hanya memiliki kekayaan yang dipinjamkan olehNya untuk seketika cuma.

apa lagi yang aku mahu? hanyalah untuk mendapat redha Ilahi sahaja lagi yang belum aku miliki. aku tak tahu apakah aku telah memperolehi keredhaan dari-Nya atas apa yang telah aku lakukan dalam hidup ini. memang aku tak tahu! justeru itu apa yang aku idamkan ialah satu penamat dalam kehidupan ini yang digelar sebagai MATI SYAHID. aku tak tahu sama ada aku telah bersedia atau belum. cuma apa yang aku lakukan sekarang ialah sekadar menunaikan apa yang terdaya oleh aku. untuk lebih dari itu... waAllahu a'lam... terserah pada Yang Maha Esa untuk menentukannya.

program tamrin qiadi itu berakhir selepas sarapan pagi yang disediakan oleh muslimat iaitu nasi goreng dan teh o panas. sedap jugak rasanya menu itu. mungkin kerana aku lapar agaknya maka bertambah aku makan pada pagi itu.

aku balik setelah mendapat panggilan dari isteri aku yang bertanya pukul berapa nak balik. mungkin ia nak ajak aku pergi pekan sehari agaknya, untuk membeli sayur atau lauk bagi bekal seminggu. kalau tak pergi, bolehlah aku ke tanah sejuring buat apa yang patut. selepas zohor nanti nak hantar anak-anak aku balik ke asrama masing-masing pulak. pukul enam petang baru tiba semula ke rumah. besok nak hantar peserta kempori pengakap ke tasek bera. hari rabu jemput semula.

fuuh...! jundullah kah aku? kalau nak dicatat, panjang lagi catatan ini tapi cukuplah sekadar ini sahaja, kalau tidak nanti tiap-tiap malamlah aku terpaksa berjaga untuk menceritakan apa yang patut dicerita. bising lagi isteri aku...hahahaha... ok! wassalam...jumpa lagi...daaa...

Sabtu, 13 Ogos 2011

jundullah...layakkah aku? - 3.

2.7.2011 adalah hari bersejarah dalam kalendar persekolahan pada tahun 2011 ini. apa tak nya, masing-masing nak cari nama, nak cari glamour maka bermacamlah idea yang keluar. lalu lahirlah ilham satu murid satu sukan. kononnya untuk menggalakkan penglibatan murid dalam bidang sukan dan permainan. nak bagi cantik lagi ditambah hujungnya satu malaysia. hasrat dan tujuan itu memang baik dan bagus, kerana dapat mengatasi masalah obesiti di kalangan murid-murid. lalu diadakan pelancaran serentak seluruh negara larian satu murid satu sukan satu malaysia.

pada hari itu aku ke sekolah agak lewat, pukul tujuh baru masuk van dan kedengaran kumpulan kembara mendendangkan lagu 'di manakah dikau' dari corong radio ketika aku nak memulakan perjalanan. oleh kerana hari itu hari sabtu, maka jalan agak sunyi dan kurang kenderaan yang melalui jalan triang-kemayan yang agak sempit itu.

aku tiba di sekolah lebih kurang hampir pukul tujuh setengah pagi. kalau ikut dalam aturcara program, larian serentak bermula pada pukul 7.45 pagi, tapi mana cikgu-cikgu ni. tidak lama kemudian barulah seorang demi seorang cikgu yang tiba. aku yang berada di dalam pejabat turun ke bawah membantu mengarahkan murid berbaris untuk memulakan acara senamrobik. selesai acara senamrobik, masing-masing dah tak sabar nak berlari. aku mengingatkan kepada para peserta terutama kepada murid-murid, ini hanyalah larian biasa seperti berjogging dan tiada hadiah yang disediakan.

hampir pukul lapan suku, semua peserta dilepaskan oleh guru besar bermula di hadapan pintu pagar sekolah dan menuju ke kawasan perkampungan tan sri hamzah. pada mula aku hanya berjalan saja dan membiarkan budak-budak berlari macam kena kejar saja. lebih kurang seratus meter berjalan, aku menoleh ke belakang dan cikgu leong(gpk 1) dan cikgu jamal(gpk hem) berlari anak menghampiri aku yang hanya berjalan. mana boleh jadi, tak kan mereka berlari aku pulak berjalan saja. aku sebenarnya bukan ada stamina sangat pun, maklumlah dah lama tak bersukan. untuk tidak menghampakan diri sendiri, aku turut berlari bersama mereka dan beberapa murid ikut serta seakan nak mencabar berlumba.

aku harap tak lah sakit peha dan badan aku nanti, kalau tidak macam orang dalam pantanglah aku berjalan kerana dek sakit satu badan. aku pun tak tahu berapa jauh dah aku berlari, tapi yang pasti aku tak bagi cikgu leong dan cikgu jamal potong aku, kalau tak malu lah...hehehe...

sampai kat rumah seorang murid yang bernama aiman hafizan aku tengok ramai budak yang sedang bersembang dengannya, jadi aku pun turut berhenti untuk melihat dan bertanya keadaannya. si aiman hafizan ini terkena bola kat salah satu jarinya semasa nak menangkap bola sewaktu aktiviti kokurikulum pada petang khamis. zul telah pun bawak ke klinik kemayan tapi pembantu perubatan suruh bawa ke hospital, jadi terpaksalah zul bawa ke hospital seri jempol. jari terdapat sedikit retak yang hampir patah. dah dibalut dan diberi cuti oleh pihak hospital.

setelah bertanya itu dan ini yang turut disertai oleh dua orang lagi gpk, aku pun berpatah balik semula ke sekolah kerana nak melihat keadaan di sana. sebab selepas semua murid menamatkan larian, berehat lebih kurang sepuluh ke dua puluh minit dan akan diadakan pula perlawanan bolasepak dan bola jaring antara guru dan murid. kemudian diikuti perlawanan bola sepak dan bola jaring antara rumah-rumah sukan.

aku ikut serta bermain bola walau dah bertahun tak main. ternyata skill dan sentuhan aku makin berkarat dan tak menjadi. akibat dek berlari tadi, aku nak kejar bola pun tak daya rasanya. letih dan rasa sakit peha mula terasa. asyik tunggu depan gol saja tunggu cikgu lain passing bola, nak kejar tak larat macam mana nak dapat bola.

habis perlawanan antara guru dan murid yang diselang seli dengan perlawanan antara rumah-rumah sukan, aku dan beberapa orang murid serta zul memotong dan membelah buluh yang nak dibawa ke kempori pengakap pada hari isnin depan di tasik bera. satu perjumpaan dan perbincangan kecil telah diadakan dengan peserta perkhemahan di dewan terbuka. aku, zul dan cikgu rosnah telah memberi pesanan dan peringatan tentang beberapa perkara terutama kelengkapan yang nak dibawa pada hari tersebut.

beres perbincangan, aku pun bercadang nak ke pejabat untuk mengambil beg dan kunci van aku. kelihatan gb pun dah nak masuk ke keretanya di mana sekolah pun dah sunyi sepi, cikgu dan murid telah balik. tanpa berlengah aku pun naik ke atas dan... astaghfirullah... siapa pulak yang kunci pintu ni, macam mana aku nak balik kalau kunci tertinggal dalam bilik aku. pagi tadi aku yang buka pintu pejabat, siapa pulak yang tutup. mungkin gb agaknya. siapalah yang aku nak minta tolong ni... nasib baik cikgu prasekolah belum balik...

rosnah...rosnah... aku memangil dengan agak kuat, nasib baik ia dengar ketika ia telah nak masuk ke keretanya. aku pun menerangkan itu ini begitu begini dan ia pun menalipon azlin kerani sekolah sk kemayan. lebih kurang dua puluh minit jugak aku menunggu, barulah anak dara ini datang dengan tersenyum lalu aku tanpa berlengah terus mengambil kunci darinya dan berlalu menaiki tangga kerana hari dah hampir pukul dua petang. sedangkan sepatutnya aku dah berada di surau taman triang maju untuk gotong royong memasak bagi jamuan ceramah israk mikraj pada malam nanti.

setelah semua beres aku pun pulang selepas memulangkan semula kunci pada azlin. nak bawak laju pun dah tak ada semanagat. jadi selamba saja aku balik dengan perut yang lapar. selesai solat zohor aku pun berbaring untuk merehatkan badan. lepas asarlah baru pergi ke surau untuk menjenguk apa-apa yang patut boleh tolong lagi.

aku datang semua dah 'clear', maknanya semua berjalan lancar dan kari kambing pun dah hampir masak. apa lagi aku pun joinlah beberapa orang ahli kariah yang tengah bersembang sambil mengunyah apa-apa yang ada kat atas meja. macam-macam cerita yang keluar, aku seperti biasa lebih banyak mendengar dari berkata-kata. cuma sekali sekali saja bercakap apabila ditanya pendapat atau bertanyakan sesuatu perkara atau masalah. macam pakar rujuk pulak. perasannn...!

pukul tujuh aku dah ke surau untuk menunggu kedatangan ustaz khusairi bin salleh, pegawai j-qaf di ppd bera. sambil itu beberapa orang jemaah membentang sejadah dan membetulkan karpet supaya lebih ramai yang dapat solat di ruang dalam nanti. maklumlah surau kecil saja. aku bersama jemaah lain bersalaman menyambut ketibaan ustaz dan mempersilakannya masuk ke surau. untuk solat maghrib aku mempelawa beliau menjadi imam, tapi ia enggan terpaksalah imam kariah sendiri yang mengetuai solat maghrib dan isyak.

program pada malam itu berjalan lancar dengan dipengerusikan oleh aku. cuma kehadiran yang agak berkurangan kerana kebetulan di surau seri buntar ada kuliah mingguan oleh ustaz hafizal, imam masjid triang. di pertengahan ceramah kelihatan ustaz hafizal yang diiringi bangteh yunus datang turut mendengar ceramah yang disampaikan.

selepas ceramah sambil minum- minum di bawah khemah bersama penceramah, beberapa ahli kariah telah mengambil kesempatan mengemukakan kemusykilan mereka tentang harta pusaka. ustaz khusairi ini memang bidang kepakarannya ialah faraid atau urusan pembahagian harta pusaka. perbincangan hampir melewati pukul 11 malam, barulah ustaz khusairi meminta izin untuk beredar dan semasa bersalaman dengannya aku selitkan satu sampul kecil sebagai tanda penghargaan dan saguhati dari pihak jawatankuasa masjid atas kesudian beliau hadir menerima jemputan kami semua.

aku pulang ke rumah dan bersiap pulak untuk satu lagi program. aik...! malam-malam pun ada program lagi? ada..., jangan ingat tak ada. setelah mengambil beg, baju, kain dan peralatan bersuci aku pun memaklumkan kepada isteri aku. ia cuma bertanya pukul berapa aku balik besok kerana program ini dah lama aku beri tahu padanya. mungkin lepas sarapan, jelas aku sambil mengambil kunci dan beberapa orang anak aku sibuk bertanya itu ini begitu begini. terpaksalah aku menjawab dahulu soalan-soalan dari para wartawan kecil sebelum dapat keluar dari rumah. begitulah kebiasaannya jika aku nak ke mana-mana. terpaksa puaskan hati mereka dulu dan beri penjelasan yang secukupnya barulah mereka faham. kalau tidak adalah yang nak mengikut.

kadang-kadang tu, ada juga masanya aku buat tak tahu saja kalau dah nak cepat. cakap sekali dua saja, faham tak faham terpaksalah umi mereka yang uruskan. bukanlah aku mementingkan diri cuma terkadang kesuntukan masa untuk menjelaskan kepada mereka. seperti sekarang aku kesuntukan masa untuk menyiapkan entri ini. wassalam.

maaf...masih ada sambungannya lagi.

jundullah...layakkah aku? - 2.

masjid temerloh bukanlah asing bagi aku. sejak tahun 1980 lagi aku mula dan biasa bersembahyang jumaat di situ. bersekolah di smu al-khairiah, kampung batu satu yang terletak lebih kurang tiga kilometer dari bandar temerloh, aku dan pelajar lelaki lain yang tinggal di asrama tiada pilihan jika ingin menunaikan solat jumaat. jika tidak di masjid temerloh, kami akan ke masjid kampung bukit kepayang. jaraknya pun lebih kurang sama saja.

pada hari 1.7.2011 aku dan anak aku akan bersolat di masjid tersebut. ruang utama masjid dah hampir penuh ketika aku melangkah masuk. setelah menunaikan solat tahiyyatul masjid dan berdoa, aku memandang ke sekeliling kot-kot ada orang yang aku kenali. nasib baik, tak ada.

sementara menunggu azan kedua, fikiran aku mula melayang ke sekitar tahun 80an. Ketika itu aku masih budak lagi. umur 13 tahun. waktu sekolah habis pukul dua belas suku. balik ke asrama lalu makan nasi. kalau rajin dan sempat, mandi dulu baru pergi solat jumaat. kalau naik bas, jangan harap sebab bas penuh dengan budak-budak sekolah menengah abu bakar dan sekolah menengah kebangsaan temerloh yang tidak jauh dari smu al-khairiah. jawabnya berjalan kaki sajalah kami semua.

bila sampai di masjid masih lengang. saf depan dan seterusnya masih kosong. selalu jugak lah aku akan duduk di barisan keempat. nak duduk depan sekali segan sebab masih bebudak dan ilmu pun baru nak dipelajari, cukuplah sekadar di saf yang keempat.

cuma pada satu hari ketika itu aku dalam tingkatan satu, setelah mengambil wuduk dan sedang menaiki anak tangga masjid, aku dan rakan aku telah di tegur oleh seorang lelaki yang separuh baya: orang nok buat bende kat sini bebudok? tanyanya. aku dan rakan aku terpinga-pinga. kami tahu memang orang datang ke masjid nak solat jumaat sebab hari itu hari jumaat tak kan nak buat perkara lain pulak. oleh kerana tak tahu, kot-kot ada majlis lain selain dari solat, kami pun menjawab: entoh, tak tahu. laa...tak kan awok tok tahu, orang datang ke masjid nok semayang lah, katanya dengan nada dan gaya yang kononnya kami ni tak tahu apa-apa langsung. itu pun tok tahu, katanya lagi.

sumpah!!! sampai sekarang aku masih rasa terkilan dengan gelagat lelaki itu. apa dia ingat aku dan rakan aku masih budak sekolah tak tahu nak fikir ke itu semua. kalau ditakdirkan Allah, aku berjumpa lagi dengan lelaki itu dan berlaku lagi seperti peristiwa itu, tahulah aku nak jawab apa. bukan aku berdendam, tapi jika aku ingat dan bayangkan wajahnya ketika ia memperlecehkan kami ketika itu, seolah-olah ia hebat dan bijak sangat dengan senyumnya yang seakan menyindir dan memperli kami. haaai... entahlah, mungkin itu antara kelemahan aku agaknya. semoga aku dijauhi dari penyakit dendam dan sakit hati oleh Allah Yang Maha Berkuasa.

lamunan aku tentang peristiwa itu mati apabila kedengaran khatib memberi salam dan aku pun kembali semula ke alam nyata. mungkin kerana letih dan lenguh agaknya menyebabkan aku terbawa-bawa ke zaman awal remaja aku dulu. tiba-tiba aku tersenyum apabila seorang anak muda dalam lingkungan usia 22-23 tahun masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid beberapa saf di hadapan saf aku. beliau berseluar celoreng (seluar askar) dan berbaju t-shirt hitam. tertera di belakang bajunya itu tulisan parti islam semalaysia(pas) dalam tulisan jawi berserta bendera lambang bulan yang sedang berkibar!!!

topik atau isu khutbah pada hari itu ialah tentang larangan mendedahkan aib seseorang dan hukum serta akibat jika melakukannya. aku tak tahu apa niat atau tujuannya, tapi ia amat sesuai dengan suasana zaman sekarang di mana orang makin berani bertindak sehingga diluar batas peri kemanusiaan.

seperti biasa selepas solat jumaat dan bersalaman, aku akan solat sunat pula. ketika berdoa, untuk seketika aku teringat permintaan seseorang yang minta agar mendoakan kesihatan dan kesejahteraan untuknya. kalau tak silap aku ini kali kedua beliau meminta aku mendoakannya. aku dengan rela hati telah mendoakan agar beliau dan keluarganya selamat dan sihat untuk menjalani kehidupan seperti doa aku yang pertama kali dulu. maklumlah hidup ini penuh dengan dugaan yang tidak kita sangkakan. apa-apa boleh terjadi tanpa kita menghendakinya. sama ada doa aku itu mustajab atau dimakbulkan terserahlah kepada Allah untuk menerimanya. sebagai hamba yang lemah, berdoa dan berharap adalah jalan untuk mendapat redha dari Ilahi.

setelah meninggalkan masjid, aku menuju ke pejabat koguru untuk satu lagi urusan. aik! belum buka lagi. terpaksalah aku menunggu seketika sebelum kerani koguru datang dan naik ke tingkat atas. aku pun ikut sama naik dan menyerahkan beberapa borang yang sepatutnya aku serahkan. setelah mendapat penjelasan dan kata putus, maka bereslah urusan aku pada hari itu.
jam menunjukkan hampir pukul tiga setengah, aku menghidupkan enjin van dan beredar dari bandar temerloh menuju ke bera.

maaf...masih ada sambungnya lagi!

Rabu, 10 Ogos 2011

jundullah... layakkah aku...? - 1.



pada 1.7.2011 bersamaan hari jumaat aku ke sekolah seperti biasa. tapi dalam kepala aku penuh dan sarat dengan beberapa tugasan dan agenda yang terpaksa aku selesaikan selain dari aktiviti yang perlu aku hadiri. Oleh kerana ada kem bestari solat untuk murid tahun satu hingga 3, tak adalah kelas untuk aku pada hari itu. jadi, senanglah sikit urusan aku pada hari ini, getus aku di dalam hati. setelah meminta kebenaran dari gb, aku pun keluar dengan selamba menuju ke kerayong.

destinasinya ialah sk kerayong. sekolah aku. memang sekolah aku pun, semua adik beradik aku belajar kat situ. malah mak aku pun pernah berniaga di kantin lama- sekarang dah diubahsuai jadi kelas dan di jadikan pulak bilik gerakan kelas kafa. tapi aku belum bersekolah lagi semasa mak aku berjual nasi lemak dulu dan tak lah lama pun.

tujuan aku ke sk kerayong ialah ingin mendapatkan tandatangan dua orang cikgu kat situ, kedua-duanya saudara aku dan masih...mengadalah pulak!!! dalam perjalanan baru aku teringat yang sk kerayong ada buat jamuan perpisahan untuk guru besarnya yang dapat bertukar ke daerah jerantut, tempat yang diidamnya sejak sekian lama. agaknyalah.

hampir pukul sepuluh setengah aku pun sampai di hadapan pintu pagar sk kerayong dan parking di sebelah kereta kancil wartawan sinar harian. aku tak berasa hairan dengan kehadiran beliau kerana beliau kerap jugak datang ke situ semasa aku masih lagi berkhidmat kat sk kerayong. antaranya semasa keputusan upsr keluar, majlis anugerah akhir tahun dan semasa kem bestari solat kali pertama dulu. malah salah satu tulisannya mengenai sk kerayong menyebabkan pihak jpnp panas, puaslah jugak gb dan gpk satu menjawab. hinggakan aku terpaksa menjadi pengiring kepada pegawai jpn yang datang melawat untuk meninjau keadaan sebenar di sekolah. kedatangannya masa cuti akhir tahun, jadi akulah yang diarah oleh gb untuk tunggu pegawai itu sebelum mereka tiba. tapi itu cerita lama.

cerita aku hari ini ialah nak ke smu al-ittifaqiyyah, guai kerana hari pelaporan keputusan peperiksaan pertengahan tahun. aku singgah untuk meminta dua orang saudara aku itu jadi saksi dan penjamin kerana aku nak buat pinjaman dengan koguru. itu pun kalau masih ada peluang. kalau tidak, jilat jari saja lah.

lenggang saja kantin ni... budak-budak tak rehat ke? tanya aku dalam hati. tapi dari kejauhan aku nampak satu barisan panjang bebudak sedang berbaris sambil memegang pinggan dan cawan. sambil memerhati sekeliling aku meneruskan langkah menuju ke arah khemah kanopi dan kelihatan beberapa orang guru sedang mengisi nasi dan lauk ke dalam pinggan anak murid mereka. beberapa orang budak: eh, ustaz borhan lah! kata mereka sambil tersenyum dan melambai-lambai. aku hanya senyum dan mengangkat tangan ke arah mereka. alhamduliLlah... masih ada lagi anak murid yang ingat akan aku walau hampir dua tahun lebih aku meninggalkan sekolah itu.

mana pulak cikgu roslihan dan cikgu noraini ni... mata aku meliar ke sekeliling sambil bertanya kepada beberapa orang murid. beberapa orang guru yang agak senior di sk kerayong mempelawa aku makan. nanti dulu, ada hal sikit ni, jawab aku sambil tersengih. rasa serba salah lah pulak. macam nak mengindin saja rasanya. tapi, tak kesah lah sekolah aku, apa orang lain nak peduli.

senang saja berurusan dengan saudara sendiri, tak banyak kerenah cikgu dua orang ni. pot, pet, pot, pet, dia orang pun menurunkan tandatangan masing-masing. lega rasanya, beres satu bab. aku pun bertanya pada fadzli dah pukul berapa. sempat lagi rasanya kalau nak makan nasi sepinggan ni. dengan rasa tak malu aku pun masuk ke ruang dalam perpustakaan yang dijadikan tempat jamuan para jemputan dan guru-guru. banyak juga lauknya, tapi aku ambil ala kadar saja, selain dah makan di kantin tadi aku juga nak mengejar masa supaya tak lewat tiba di guai nanti. namun sempatlah juga bersembang dengan beberapa orang pegawai ppd bera yang agak rapat dengan aku semasa sama-sama menyertai perkhemahan atau pun acara sukan dan permainan peringkat zon atau pun daerah.

setelah selesai makan dan bercadang nak bersembang sekejap dengan cikgu yang diraikan, tapi nampaknya beliau asyik pulak berbual dengan penggantinya cikgu jabarudin, jadi sekadar bersalaman pun memadailah. mungkin kalau terjumpa di temerloh atau di mana-mana boleh lah bersembang.

perut dah kenyang, apa lagi macam pacatlah, aku pun meninggalkan kawasan sk kerayong dan menghala pula ke smk seri bera yang berada di seberang jalan sahaja. cadangnya nak berjumpa dengan pengetua untuk pengesahan borang dermasiswa untuk anak sulong aku. tak ada? tak kesah lah, ustaz amran gpk koko pun boleh. lagi senang kata aku. ustaz amran agak biasa juga dengan aku sebab sama unit uniform iaitu kadet remaja sekolah. selesai lagi satu bab.

jam menunjukkan pukul sebelas dua puluh, aku tak boleh berlenggah kalau tak pukul berapa nak sampai. dengan iringan lagu 'insan' nyanyian yantzen rusty blade yang berkumandang di sinar fm aku pun memecut ke temerloh. harap-harap aku tak lewatlah hendaknya. kenderaan masih agak kurang, mungkin belum waktu keluar pejabat agaknya. aku tiba di temerloh dan melintasi sungai pahang tepat pada pukul sebelas lima puluh. tak boleh jadi ni... kena laju lagi! nasib baik lah jalan di lebak seberang menghala ke kampung guai lengang dan sememangnya sentiasa lengang. kadang-kadang saja ada kereta atau lori atau pun motor orang kampung dengan urusan yang tersendiri.

pukul dua belas suku aku pun memasuki pintu pagar smu guai dan kelihatan beberapa buah kereta masih ada di padang bersebelahan dengan surau. waktu persekolahan dah pun tamat. aku pun berjalan menuju ke pejabat untuk menandatangan keputusan peperiksaan dua orang anak aku itu. tapi, tak ada pulak. aku pun mengeluarkan borang dermasiswa dan meminta ustaz zulkifli, pengetuanya untuk ditandatangan sebagai pengesahan. beres lagi satu bab. terimakasih ustaz, kata aku sambil keluar dan menuju semula ke van aku.

ayah dah lama sampai? tiba-tiba kedengaran satu suara dari belakang aku. lebih kurang sepuluh minit, kata aku sebagai balasan kepada pertanyaan itu. ayah, kita tersilap. bukan hari ini hari pelaporan, tapi lima belas haribulan, kata anak kedua aku itu. tak pe lah, lagi pun memang ayah nak jumpa pengetua, kata aku sambil menjelaskan apa tujuannya.

kawan kita nak tumpang boleh? berapa orang? sorang je. kemudian datang pula ahmad kamal abdullah dengan dua biji beg dan bersalaman dengan aku. dah makan, tanya aku. dah, jawabnya ringkas. ayah, kawan kita nak tumpang juga. mana? cepatlah, kata aku sambil melihat jam di tangan kiri aku. dua belas empat puluh lima. insyaAllah sempat solat jumaat di masjid temerloh ni, bisik hati kecil aku.

mak oi, enam orang! muat ke ni? hahaha...! macam sardin van aku. tak kesah lah, bukan jauh sangat pun stesen bas lama temerloh tu. oleh kerana van agak padat dan berat, terpaksalah aku memandu dengan agak berhati-hati dan selamat tiba di temerloh. aku pun parking di ruang yang masih kosong. terima kasih, pakcik! ya, sama-sama kata aku sambil menganggukkan kepala. azan pun berkumandang dari masjid di atas bukit. setelah berpesan kepada anak perempuan aku, aku dan ahmad kamal abdullah pun menapak menuju ke masjid abu bakar, temerloh.

bersambunglah pulak...

Isnin, 8 Ogos 2011

di rahang sumpah...



assalamualaikum...
di rahang sumpah adalah tajuk sebuah novel yang aku pinjam pada bulan lapan tahun lepas (2010) di perpustakaan daerah bera. beberapa kali aku belek dan letak tapi tak jadi pinjam. entah kenapa pada hari yang berkenaan, hati aku terpaut dan lalu berkenan pulak nak meminjamnya. sebenarnya aku pinjam pun kerana pengarangnya al-taha atau nama sebenarnya abdul talib hassan. antara novelnya yang popular ialah saga.

di rahang sumpah ini betul betul menyumpah tapi nasib baik bukan menyampah. kenapa pulak aku kata begitu. sebabnya, beberapa kali aku baca mesti dua, tiga muka dah berhenti. maknanya lambat lah khatam. bukan ceritanya tak menarik atau tak bagus. jalan ceritanya ok, cuma aku yang tak ok kerana ada saja gangguan dan halangan. antaranya aku tertidur. maklumlah mata pun dah kelabu, tulisannya pun agak kecil, maka cepat sajalah mata aku pejam.

namun atas kesungguhan dan daya juang yang gigih, akhirnya berjaya juga aku menamatkan jalan ceritanya yang lain dari yang lain. tahu di mana aku berjaya menamatkannya. di grandstand - tempat duduk penonton di stadium hoki wisma belia pada bulan 4 yang lalu. memang aku bercadang nak menghabiskannya di sana kerana aku tahu pada waktu malam, tak ada apa nak buat, aku akan baca dan baca hingga selesai.

ketika pasukan bera main, aku berhenti dulu, kemudian sambung semula. lantaklah orang nak menjerit ke, nak bersorak ke, aku tetap dengan di rahang sumpah. balik ke asrama sekolah menengah teknik kuantan, lepas solat maghrib jamak dengan isyak, aku sambung lagi. ternyata usaha aku itu berbaloi, cerita yang watak utamanya bernama buyung itu aku sudahi dengan satu ngeliat yang panjang. alhamdulillah...getus hati aku tanda puas yang amat sangat. masakan tidak pinjam buku bulan lapan 2010, tamat baca pada bulan empat 2011. itu belum dikira tarikh aku pulang pada bulan enam 2011 yang lalu.

nasib aku baik, ketika proses memulangkan buku itu, pegawai yang bertugas berkata: "dah lebih tempoh dah ni. lama sangat pulak tu, tahun lepas lagi...," aku hanya sengih saja. "sepatutnya kena denda ni, tapi sekarang dalam bulan enam, bulan buku sedunia, jadi dimaafkanlah, lain kali jangan buat lagi." aku hanya tersengih lagi sambil menarik nafas lega dan berkata: "terimakasihlah." lalu memanjat anak tangga ke ruang atas untuk memilih buku lain yang akan menjadi mangsa seterusnya.

jalan cerita di rahang sumpah ini menarik kerana pada aku ia mengisahkan si buyung, yang terpaksa menunaikan wasiat ayahnya disamping mencari seorang gadis yang ditemui di lapangan terbang kemudian terpisah tanpa sempat bertukar sebarang maklumat tentang diri masing-masing. dalam jalan cerita itu ada juga disebut pekan kampung awah, cenor, mentakab serta segamat. kerana ia melibatkan cerita-cerita orang tua-tua di zaman darurat dan jepun. jalan ceritanya mudah difahami dan tidak membosankan serta agak mencabar minda ketika buyung mengalami satu peristiwa seperti yang pernah beliau bermimpi, dan peritiwa itu memang pernah berlaku cuma orang lain yang mengalaminya.

ahhh!...kau orang bacalah sendiri buku itu kalau terjumpa dimana-mana perpustakaan. malaslah pulak aku nak cerita lebih-lebih, cuma sekarang ini aku sedang memeram sebuah lagi buku iaitu 'memoir seorang guru" hasil tulisan azizi abdullah. seorang lagi penulis yang aku amat suka baca bukunya. itu dulu-dulu, ketika belum beranak pinak. kini...sehari satu muka surat pun payah... tak tahulah bila boleh dibuat majlis khatamnya nanti. lebih-lebih lagi di bulan puasa ni, nak khatam al-quran dalam satu bulan pun sangkut-sangkut, sempot-sempot dan asyik tertangguh saja.

apa pun aku akan cuba juga agar ia tidak melangkau tahun, nak perbaharui tarikh pemulangannya pun rasa malu, dah tiga kali dah diperbaharui, tapi tak jugak habis dibacanya. ok lah, cukup dulu cerita kali ini.
lepas ni nak buat cerita apa pulak, ya? ooo... jundullah: layakkah aku? belum lagi aku ceritakan, lepas tu nak buat cerita tentang seseorang...suspen, suspen... dan kalau boleh sebelum menyambut hari raya puasa tahun ini, aku nak kongsi lagi beberapa kad raya zaman tori. tentu dah bacakan siri kad raya zaman tori 1 hingga 8 pada bulan 10 2010 dulu. tak kesahlah kalau tak baca. aku bukan rugi apa pun. macam sombonglah pulak. sumpah...! aku tak sombong punya. tapi kali ini lebih padat dan panas cuma aku masih lagi tercari-cari sekeping kad penganti diri yang aku terima pada tahun 1992. kalau tak jumpa jugak malanglah nasib aku. kad orang lain semua aku simpan, tak kan kad dia ni aku tak prihatin pulak. musykil...musykil... sekian, semoga bertemu kad... wassalam.

Isnin, 1 Ogos 2011

sering kali kita.

sering kali kita
asyik dan terleka
pada pesona harum duniawi
pada gedik dan cantik
penghias duniawi
pada pujuk dan cumbu
nafsu memburu.

sering kali jua kita
tewas pada akal
minda sendiri
pabila gagal memilih
mana intan terpilih.


b.tan.
23.05.2011.
kemayan.