Isnin, 31 Ogos 2009

Bonda, Kemerdekaan ini apa ertinya?

Bonda,
fajar merdeka telah lama kita nikmati
bersama tumpahnya darah pendekar
demi pertiwi yang tercinta
tidak rela diri dijajahi
kemerdekaan telah kita bayar
dengan seribu rasa yang membara
biar putih tulang jangan putih mata
nyah! kau penjajah dari bumi ini
hak kami milik kami
jangan kau sentuh walau seinci.

Bonda,
semalam ku terima khabar berita
bumi ini kononnya kan dijajah lagi
siapa petualang siapa pengkhianat
siapa dalang membuka peluang
hadir mereka di sini kembali.

Bonda,
kejutkan anak-anak watanmu
bangunkan mereka
dari mimpi-mimpi yang menjerat diri
bebaskan fikrah dari terbelengu
apalah erti kemerdekaan
apalah erti kebebasan
jika langkah tersekat sudah
jika suara generasi kini dianggap sepi
kami dibenci dikata kurang jatidiri.

Bonda,
apalah erti kemerdekaan ini
pemimpin kita pusing keliling mendabik dada
jalur gemilang keliling dunia berkibar megah
tapi bonda
anak bangsa hilang maruah di tanah sendiri
generasi muda kosong dada kosong visi
dimanakan kita letak harga mereka
megah sepanjang zaman tapi muflis harga diri.

Bonda,
negara kita bahtera merdeka
kian robek dimamah bangsa sendiri
kenapa perlu mereka
untuk mengurus dana harta
kenapa terjadi begini pada tanah ini
konspirasi menjadi-jadi menjual bangsa sendiri.

Bonda,
kemerdekaan ini apa ertinya
jika suara melaung gagah kata merdeka
tapi bangsa kian hanyut bersama multimedia
bukan kami anti informasi
kami takut MSC hanyalah Melayu Sapu Coridor
kami bimbang bumi dipijak milik orang
dan mereka ketawa
bersama runtuhnya bangsa kita.

Bonda,
biar kami menjunjung terus
sumpah keramat dahulu
tidak melayu hilang di dunia
tidak tergadai maruah tanah
tidak terlalai walau disergah
demi islam demi pertiwi
demi bumi ini
rela kami pertaruhkan nyawa
melangkah gagah pantang undur
demi membela nasib bangsa
dari diratah oleh penjajah.

Bonda,
kemerdekaan ini apalah ertinya
jika ia hanya sedekah dari penjajah.


B.Tan.
11.50 pg-6.28 ptg.
22 September 1999.



* untuk sambutan kemerdekaan kali ke 52 pada tahun ini, aku tak sempat nak tulis sajak baru tapi memadailah aku catat semula sajak yang pernah aku bacakan semasa pertandingan mendeklamasi puisi peringkat daerah bera pada tahun 1999. pertandingan diadakan di ppd bera, ramai peserta yang mengambil bahagian, mereka semua hafal puisi yang dideklamasikan kecuali seorang dua termasuk aku yang membacakan sajak hasil tulisan sendiri. antara hakim pertandingan ialah cikgu sahrunizam, tapi semasa pengumuman pemenang pertandingan, pengacara telah tersalah kerana aku diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga. aku tahu ia tersilap dan hadirin yang lain pun tahu, aku selamba saja, selepas selesai barulah pertukaran hadiah dibuat yang mana aku hanya mendapat saguhati sahaja.
SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KALI KE 52. BEBASKAN DIRI ANDA DARI TERUS DIJAJAH DAN DIBELENGUI OLEH PEMIKIRAN KOLOT KONONNYA HANYA AMNO YANG PANDAI MENTADBIR DAN MENGURUS NEGARA INI.

Jumaat, 28 Ogos 2009

sebuah hempasan diri pulasan hati mengerah rindu pada-Mu.

kosong
betapa selama ini ia kosong dalam keraguan
meski pun haknya telah tercatat
tentang kembara yang pasti kan tamat
meninggal pergi sebuah diri
dari garis-garis ketentuan
sedang matahatinya buta gelita
tanpa mengenal diri sendiri
erti juzuk-juzuk diri
juga buta hatinya pada rindu yang satu.

hapuslah keluhan itu
yang terpancar bersama arus waktu
walau hempasannya bagai ombak
bagai gelombang yang melanda ganas
pantai kerinduan kita
pilunya bagai tersayat sembilu
apabila diri seakan mati
hanya menyonsong angin berlalu
menanti jawapan yang belum pasti
kebesaran sebuah kewujudan
gelisahnya berjurai satu persatu
menarik resah bersendu sayu
patahlah harapan lalu
pecahlah asmara rindu sang kembara
bergegar menyentuh gugur berderai
jalinan bentuk sebuah kehidupan
yang pasti kerinduan
umpama mimpi-mimpi indah
hiasan sebuah igauan rasa
dalam diri mereka yang telah pergi.

untuk kesekian kali
rindu itu masih mengamit
memanggil nama-nama dalam irama lagu
sebuah nyanyian senandung hati
yang cuba melerai kegelisahan
namun apakah ada nanti
para wali yang sudi menemani
memimbing menunjuk jalan lurus
jauh dari rindu-rindu yang tersesat
lepasan ngeri wajah-wajah puaka
dari alam kekelabuan.

yang pasti kelukaan hempasan diri
tak tertanggungkan
walau rindu masih mengamit
pada sebuah wajah impian
memilih antara cinta dan derita
kesamaran akhirnya adalah pilihan
di kancah seribu kemungkinan
betapa fatamorgananya harapan rindu
membawa diri terlantar terhempas.

rayapan hari membawa rindu ini pergi
meninggalkan diri menanggung cinta
sedang hati masih belum mati
dari ledakan gelodak rasa
pasrahlah dalam keraguan
keupayaan bagai tergantung
di puncak persada jahanam
memulas hati mengerah rindu
sedang tiada siapa yang tahu.

sebuah hempasan diri pulasan hati
mengerah rindu pada-Mu
adalah riwayat yang kecewa
bahana ilusi-ilusi tak bertepi
yang menari-nari
tapi tamparan hebat yang melanda
telah memati seribu langkah megah
membawa tersungkurnya rindu
dalam satu pengembaraan.

meski rindu telah kelewatan hadirnya
namun pemburuan belum berakhir
kian marak ia menyala
membakar belantara senja
sempadan kepuasan hati
benarlah kata-kata sakti
hidup ini satu pengorbanan
korban dan terkorban
adalah mainan rindu
senjata cinta milik abadi.

bak sebuah kehilangan
rindu pun pergi satu persatu
mencumbui masa-masa lalu
nikmatnya satu augerah
keperibadian yang tiada tukar ganti
gagasan cinta-cinta hamba
terhadap Yang Maha Khalik
di mana
kerelaan hati tulus suci
menyerah diri bersemadi
dalam satu pertemuan rindu
maka bekal-bekal yang dibawa
adalah tukaran juga cagaran
pada rindu yang tertinggal.

penyerahan rindu pada-Mu
setelah sebuah hempasan diri pulasan hati
berlaku dalam pergelutan ngeri
memilih antara cinta dan derita
semesta alam yang bersaksi
tunduk akur pada janji
tiada lagi mimpi-mimpi
tiada lagi ilusi-ilusi
semuanya telah nyata
zahir bersama kita yang berdusta
tanpa apa-apa alasan lagi
setiap bantuan tidak bererti
keupayaan hanya di hati
kaki-kaki seakan digari
dalam segala bentuk
lalu
rindu-rindu lalu pun datang kembali
menayang wajah-wajah gundah
peristiwa di sepanjang permatang
ketewasan memilih harta ditertawa
dan rindu yang satu yang gagal digapai
menerpa menghenyak cinta buta
membuang ke alam sengsara
begitulah jawapan yang pasti
andainya kekecewaan
mengakhiri pergelutan
sebuah hempasan diri pulasan hati
mengerah rindu pada-Mu yang satu.


B.Tan.88
18,19,20.4.1988.



* empat buah sajak kabur ini terdapat dalam antologi aku yang bertajuk 'mencari rindu'. tapi sayang antologi ini tak sengaja telah dibakar bersama beberapa lukisan aku dan satu fail sajak yang terdapat gambar pyanhabib sedang menulis. kejadian berlaku ketika aku berpindah ke seri buntar untuk kali kedua pada tahun 2003, aku telah tertinggal satu beg plastik di dalam stor bawah rumah emak aku. apabila aku teringat dan telah mencarinya tapi tak ditemui, setelah bertanya kepada emak aku, rupa-rupanya telah dibakar oleh ayah aku kerana difikirkan ia kertas terpakai yang tak mahu digunakan lagi. aku tak tahu nak kata apa ketika itu, cuma rasa sayu kerana untuk kedua kali aku kehilangan antologi puisi. yang pertama adalah 'kuntum-kuntum bunga hati' yang hilang kerana kecuaian aku sendiri tertinggal di kantin maktab perguruan kinta, ipoh. apabila dicari dan bertanya kepada pekerja kantin, seorang pun tak tahu(aku ada nyatakan dalam catatan aku yang bertajuk dalam kenangan....in memories dulu). setelah menyelongkar fail merah yang aku nyatakan dalam catatan itu, aku terjumpa salinannya, untuk mengelakkan ia hilang terus, aku paparkan untuk tatapan bersama. sajak-sajak itu aku tulis pada tahun 1988 sebelum aku masuk maktab perguruan lagi, ia sebahagian dari harta aku yang aku sayang.

daerah lembah kelabu- iii

jeritan pekikan itu
menyedar aku dari daerah kelabu
gema nama Mu memecah
kebeningan hari
bersama terbitnya
segala pancarona cakrawala
yang Kau tadbirkan sendirian.

jasad ku terlambung terhempas
digulung gelombang sengketa
dalam aku cuba merempuh
keluar menembusi lembah kelabu
penuh cerucuk duri bisa
gamat bersama suara maki
seakan tidak bernilai
sekeping hati seketul otak
untuk menimbang segala
rahmat yang mencurah
diantara derita yang menyeksa
bahana seorang aku
yang jahil mengucap kata syukur
bahawa satu kehidupan masih wujud
bahawa aku masih Kau izinkan
menghirup nikmat-Mu, Tuhanku...........!

oh! kekerdilan bak sebatang lidi
layaknya tak berguna lagi
bicara apa yang bakal aku pertuturkan
buat menyatakan aku rindu pada-Mu
aku ingin bertemu dengan-Mu
aku begitu pasrah dalam cahaya Mu
bagi melafaz kalimat akhir
di hujung permatang sebuah kehidupan
sedang aku pernah berdosa di daerah-Mu
di lembah kelabu itu.



B.Tan.88.

daerah lembah kelabu- ii

aku cuba membangunkan
resah rindu ini ke alam nyata
bangkit dari igauan rasa
membunuh para wajah-wajah duka
yang mempalit rona-rona kelabu
ke muka ku
dan membunuh harapan
yang dipertaruhkan
untuk bersatu.

alangkah anehnya
jika berganjaknya ketetapan itu
dan berubahnya keyakinan
harus hancurkah arca keagunganmu
yang terbina megah
di daerah itu.

kekelabuan masa lalu
ketika di daerah mu
aku begtu sukar
untuk mencari satu wajah ayu
milik primadona makhluk Mu
hingga ku, aku tertanya-tanya
wajah siapakah nanti
bakal ku cumbui di dalam sepi
buat menunai satu tugas naluri.

Tuhan ku
dalam arus daerah Mu
aku hampir tewas
aku terdesak oleh kabus kelabu
yang telah menunda
detik untuk bercumbu bebayang kelabu
dan melengah aku
mengetuk pintu bertemu Mu.



B.Tan.88.

daerah lembah kelabu- i

pasrahlah kehibaan itu
dalam mentari masih tega
memamah siang
dan memadam rindu dendam
bersama larinya sekeping hati
mencari lagi
yang entah apa namun tak pasti
setelah jutaan rasa
bergelodak di jiwa
buat menyesak kotak fikir ku.

kebuntuan.......!
tetap bertakhta
meragut kewarasan
sedang ilusi masih tertayang
memapar kisah manis
tapi penuh duka
bahana citarasa kita
yang alpa
mengejar cita-cita.

kaukah yang bisa
menutup resah hiba jutaan rasa kebuntuan
dan memadam kenangan lalu......
aku pohon pada-Mu
Tuhan ku
dalam kepayahan daerah kelabu ini
dalam aku cuba bertatih
meniti rentak-rentak kehidupan
bermain bersama ranjau dan onak
mencuba mematang diri yang melidi
aku hampir tewas
dilambung badai kelabu
dalam daerah-Mu.


B.Tan.88.

Khamis, 27 Ogos 2009

di manakah cinta aku, melayu.

ini bukan sajak perkauman
juga bukan berbau hentaman
tapi aku sayu dan pilu
di manakah cinta aku, melayu.

aku melayu, kau pun melayu
ada melayu pura-pura tak tahu
oh! melayu, kau ditipu melayu
walau darah mu juga melayu.

aku sedih bercampur malu
melayu dijual oleh melayu
kalau aku kata begitu
tentu melayu marah padaku.

bahasa melayu haru biru
kerana dasar tak fikir dulu
tanah melayu tinggal sesuku
cukup sekadar tumpang sebangku.

askar melayu orang melayu
naik keretapi tanah melayu
apa lagi yang melayu ada
apa lagi yang boleh dibangga.

melayu juara segala juara
melayu raja segala raja
melayu gila pangkat kuasa
melayu hanya tahu bicara.

melayu tuduh orang melayu
melayu hentam orang melayu
melayu fitnah orang melayu
melayu tindas orang melayu.

aku cari cinta melayu
engkau bunuh cinta melayu
aku cuba bela melayu
engkau halau orang melayu.

orang melayu terus dibelengu
orang melayu habis ditipu
oleh melayu yang tak sebulu.

oh! melayu, di manakah cinta aku
aku hanya seorang melayu
oh! melayu, kau pun tahu
engkau juga seorang melayu.

wahai pemimpin parti melayu
jangan perbodoh orang melayu
jangan tipu pengundi melayu
kerana Allah Maha Tahu.

oh! semua orang melayu
mari semai cinta melayu
usah lalai tak tentu pasal
mari bina hidup melayu.


b.tan.
26.8.2009
keratong 9.



* ilham untuk menulis sajak ini mula terbit lama dahulu, ketika membaca catatan sahrunizam yang bertajuk "dimanakah bahasa melayu?". lalu terdetik di hati aku: dimanakah cinta aku, melayu. setelah berhempas pulas memerah otak akhirnya lahirlah sebuah sajak 'di manakah cinta aku, melayu.

seorang singa.

bayu tebrau membelai
seorang aku di muka jendela
merenung jauh
wajah pura seorang singa
nun di seberang.

ada dendam ada geram
ada pilu yang terpendam
aku simpan dalam diam.


b.tan.
22.8.2009.
hsaminah,jb.

Jumaat, 21 Ogos 2009

hujan nyanyi rindu

hujan... sejuk...
dan rindu pun bersatu
mendendang lagu pilu
tak kala lama tidak bertemu
seumpama padang gersang kering kontang
aku terkapar dalam sangkar cinta menggeletar.

kasih berpaut pada pohon aku tersangkut
hanyut dalam arus kalbu ku kurus
mencari engkau di mana aku tak tahu
seribu janji tak kau tepati aku hampir mati
semoga kau mengerti fahami cinta ini
usah kau berdalih aku telah letih
dalam hujan masih aku menyimpan harapan
dalam rindu kita bertemu dalam cinta kita bersatu
antara kau dan aku.


b.tan.
19.09.2006.
batu rakit.


* tiga puisi ini aku tulis semasa mengikuti kursus pendidikan islam prasekolah di institut perguruan batu rakit selama dua minggu. peserta seramai 22 orang tapi malang hanya aku seorang lelaki. ceria dalam sepi...!!!

sepi ini mengajar aku erti rindu.

semalam adalah sebuah pertemuan
pertemuan dalam mencari realiti
pertemuan dalam membeza mimpi
sedang kita enak diulit fantasi.

tersedar aku dari lamunan
kau tiada di sisi
ku ngerti
sepi ini terlalu ngeri
menghiris hati mengilu di kalbu.

sayang.....
bekalkan ku azimat ampuh senjata kukuh
di kamar pengap ini aku terperangkap senyap
lemas tidak bernafas rindu menyerbu.

kini ku ngerti
sepi ini terlalu ku benci
rindu itu amat ku perlu
kesepian kerinduan
adalah dambaan pilu di kalbu.

sayang.....
sepi ini mengajar aku erti rindu
esok yang mendatang pasrahlah aku
menunggu saat fajar menjelang
dan mentari bahagia terserlah cerah
hilang duka hilang nestapa
hilang pilu hilang sayu
wajahmu ku tatap penuh rindu
terlerai sebuah gumpalan
terbuka pintu persalaman
cintaku cintamu jua
berpadu satu kukuh di kalbu.


b.tan.
12-16.09.2006.
batu rakit.

jiwa guru

jiwa guru jiwa padu
jiwa guru jiwa kalbu
jiwa guru tanpa ragu.

jiwa guru perlu tahu
jiwa guru perlu satu
jiwa guru perlu jitu.

jiwa guru jiwa murni
jiwa guru jiwa suci
jiwa guru jiwa hati.

jiwa guru jiwa sakti
jiwa guru jiwa bakti
jiwa guru jiwa sejati.

jiwa guru jiwa jujur
jiwa guru jiwa luhur
jiwa guru jiwa subur.

jiwa guru jiwa damai
jiwa guru tidak lalai
jiwa guru bukan cincai.


b.tan.
18.09.2006
batu rakit.

Khamis, 20 Ogos 2009

perjalanan sepi

sepinya perjalanan ini
meniti dari sanubari
terlerai kasih ikatan suci
terdampar sunyi dalam hati
mengiringi kau pergi tak kembali.

perjalanan ini
membawa seribu erti
bersama bekal yang kau cari
tertinggal bekas kaki yang mengekori
dari kami yang bersimpati.

sepinya perjalanan ini
melalui denai-denai ngeri
satu-satu terapung lesi
melambai longlai tanpa seri.

sepi,
adalah perhiasan perjalanan
kini sedang kau lalui sendiri
di peraduan pengap sunyi
hanya yang ngerti
bahawa kau telah kembali.

sepinya perjalanan ini
menuju Ilahi Robbul Izzati.


B.Tan.
20.08.2009.
skpd.


* sajak lewat ini terdetik ketika mendapat pengkhabaran pemergian Ustaz Asri Rabbani Nada Murni. nasyid-nasyid nyanyiannya di era nada nurni pernah menjadi hiburan dan halwa telinga ini. semoga sejahtera di peraduan barumu.

Selasa, 18 Ogos 2009

kemerdekaan , bila lagi nak naik bendera?

tersentak aku pagi tadi, gb aku, sampai-sampai kat sekolah sedang aku tengah mula nak membuka blog ini, ia bersuara: ustaz! kemerdekaan bila lagi nak naik bendera? aku jadi pane sekejap. merah jugak telinga aku yang ceging ni. aku bukannya tak nak pasang, semua benda tu dah ada dalam kepala aku, cuma aku tak teringat nak buat. dua tiga kali balik ke kerayong, aku tengok banyak sekolah yang dah pasang dan berkibar megah si jalur gemilang tu, aku pun cadang nak pasang bendera yang tersimpan dalam kotak atas almari dalam bilik aku tu. malu ada, segan pun ada bila gb aku tegur macam tu. aku pun mulalah panas satu badan dan otak aku pun ligat berfikir dan merancang bila nak pasang dan siapa nak mintak bantuan.

aku tanya lan (par sekolah aku) kot-kot ada lagi bendera yang lama-lama, katanya ada dalam stor. aku pun selongkar stor, tapi yang ada hanya habuk saja. aku pun masuk bilik aku semula dan buka almari keluarkan satu kotak serta turunkan dua kotak yang berisi bendera. ada yang terpakai tapi dah expired dan ada yang masih ok lagi. yang masih dalam plastik pun, ada banyak lagi. meriahlah sekolah aku lepas ni dengan bendera, walau pun terlambat tapi tak pe, bulan kemerdekaan sampai 17hb september. ada masa sebulan lagi, bisik hati kecil aku.

dalam pada itu seperti biasa aku teringat lagi kepada satu sajak yang ditulis oeh saudara rahim abdullah yang bertajuk "kemerdekaan bukan lah sekadar..."
aku rasa terpanggil selepas membaca sajak itu, sebab ketika itu gelora reformasi masih lagi panas dan sana sani masih lagi berkibaran bulan purnama samada di atas pokok, ditiang letrik dan talipon serta di mana saja yang sesuai ia berada. aku pun mula memerah otak untuk membalasnya. macam berbalas pantun pulak rasanya.

Jumaat, 14 Ogos 2009

pada tanah ini.

saudara ku,
tika kita masih lagi enak
di bawah putaran kipas
masih lagi bergelak ketawa
kita sering terleka
lupa pada jasa
pada tanah yang kita injak ini
mungkin tiada apa
yang dapat kita bina buat ia
tapi sanggupkah kita
jika tanah ini dicerobohi
oleh tangan-tangan gelojoh
mata-mata durja yang kita cerca
mereka ini tidak akan surut
untuk memundurkan kita maju.

Teman,
ayuhlah kita bangun berganding tangan
masa tiada lagi bagi kita
tanah makmur ini kita jaga
kita belai biar ia terus subur.


B.Tan-91.


* sajak di atas aku tulis semasa aku masih berada di maktab perguruan kinta, ipoh. masa tu aku tengah aktif dalam gpms "unik" zon utara, ada sapa-sapa yang tahu tentang "unik"? sila angkat blog!!! ada dua salinan dalam simpanan aku, salinan asalnya (original punye!!!) aku tulis atas kertas "test pad" berlogokan lencana mpki. memang betul-betul ori!!! salinan kedua aku telah salin atas kertas lain tapi masih dalam tulisan tangan cakar gajah.
kalau tak percaya meh sini tengok. tapi belum ada tajuk lagi. jadi untuk disimpan dalam blog aku ini aku letak tajuknya "pada tanah ini". aku kira ok lah tajuk tu. tak usahlah korang nak banyak komplen pulak, sebab ini sajak aku, ini blog aku. hehehe!!!

Rabu, 12 Ogos 2009

merdeka...!!!

merdeka? ya, kita sekarang telah berada dalam bulan kemerdekaan. di sana sini telah mula kelihatan jalur gemilag berkibaran. aku pun merdeka juga, merdeka kerana telah sempurna semua sajak-sajak aku yang terbengkalai sejak dari tahun 89 yang tak pernah sempat aku tamatkan atau aku siapkan apabila beresnya sajak yang bertajuk 'anak'. semuanya gara-gara mati idea yang aku nyatakan dulu. mungkin dulu ideanya lain, tapi kini ideanya atau ilham yang datang tentulah lain. walau bagaimana pun tahniah buat diri aku sendiri atas kejayaan ini dan selamat menyambut kemerdekaan diri.

sebut tentang merdeka, aku nak kongsi sebuah sajak yang ditulis sendiri oleh bekas pelajar sk kerayong(bekas anak murid akulah tu!)dan juga bekas pelajar semsas, kuantan. dideklamasikan oleh beliau semasa sambutan hari kemerdekaan peringkat sekolah tahun 2002. ketika itu beliau di tahun enam dan begitu bersemangat sekali beliau mendeklamasikannya. sajak itu ialah.....

Bukan Seperti Mengejar Pelangi.


Pelangi nan suram
memunculkan diri tatkala hujan renyai,
tatkala mentari memancar cahaya
tatkala Malaysia diambang pemerintahan negara-negara asing
rakyat Malaysia ketika itu keluh kesah
keluh kesah memikirkan perjuangan mereka.
Adakah merdeka?

Pernahkah pahlawan-pahlawan kita tersilap langkah?
Adakah darah mereka ibarat kain putih, menyerah kalah?
Tidak sekali!

Ada kalanya impian untuk merdeka
ibarat mengejar pelangi.

Tapi.......
pemimpin kita telah bangun dari lenanya.....
membasuh muka dan membersihkan diri.....
menuntut merdeka dari British.....
pantang berundur sebelum kalah.....
sejarah yang besar telah terjadi.....
tanggal 31, bulan Ogos, 1957.....
laungan kemerdekaan bergema.......
Merdeka!!!

Kini kita sudah 45 tahun medeka,
oleh itu semarakkanlah semangat patriotisme
dalam diri kamu rakan-rakanku
kemerdekaan ini bukan seperti mengejar pelangi.

Junaidi bin Jamaluddin
SK Kerayong
30.08.2002.


setelah selesai upacara itu, aku pun mintak dari junaidi untuk salin sajaknya sebagai kenang-kenangan.

tak lama lagi akan tersiarlah berbagai gaya dan ragam sajak di akhbar atau di majalah yang bertemakan kemerdekaan. itu aku tak kisah, tapi yang akan membuat aku meloya ialah sajak-sajak mengampu, memuji memuja tak tentu hala, lebih-lebih lagi dengan satu malaysia, konon-kononnya rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. piiirah!!! sepanjang aku mengikuti tilawah al-quran setiap tahun, tahun nilah aku rasa paling banggang dia punya hiasan pentas, sebabnya ada slogan penipu tulah. setiap kali kamera fokus qari atau qariah sedang bertilawah, mesti ada tulisan itu, kalau dalam tulisan jawi tu, ok lah sikit. ini tak, nampak sangat nak membodek tak kira tempat. tak tahulah apa tujuan dan maksudnya. sehinggakan ucapan salam sejahtera oleh pembaca berita tv1 pun dah ditukar menjadi salam satu malaysia. betul-betul dah tiada idea untuk tarik perhatian dan sokongan!!!

Jumaat, 7 Ogos 2009

belasungkawa untuk Rendra

perjalanan itu telah berakhir
dan kau tutup
dengan kalimah suci dari Ilahi,

aduh,...
kehilangan terjadi lagi
dalam kembara ini
meninggalkan kami yang kelelahan
berlari mencari erti realiti
dalam kehidupan ini
sedang sang penguasa
begitu lahap
menjerkah kami
minggir
surut ke tepi.

wahyu sulaiman rendra,
selamat jalan
dalam perjalanan baru mu
untuk bersatu dengan mereka
yang dulu telah berlalu.

b.tan.
10 pagi
7.8.09.

Khamis, 6 Ogos 2009

cinta lalu kembali.

Dalam aku cuba
melepaskan resah ini pergi
membelah sepi-sepi ngeri
cinta lalu pun tiba-tiba mengamit
dan membuka kembali kenangan lalu
tak kala kita sering bertemu
menjadi satu dalam kalbu
tanpa saksi tanpa janji
dirimu ku ratah tanpa gundah.

Tapi kini resah ini
adalah mimpi-mimpi ngeri
yang menjalar di dalam sepi.

Cinta kenangan lalu
bukanlah indah untuk dimegah
bukanlah keterlanjuran untuk dihancurkan
bukanlah noda untuk dihampa
tapi suci amat mengerti
bahawa kau milik ku abadi.

Namun cinta usah dipaksa
bukan kasih yang bisa dirintih
kau pergi tanpa direla
dan aku menanggung derita.

Kini,
cinta ini yang kembali mengamit
kembali aku ingin bertemu
kembali aku ingin bersatu
meski cinta yang hadir ini
bukan dari sisi pusaramu.


B.Tan.
Ogos 89-6.8.2009.

keinsafan ii.

Mampukah kita
membelah mimpi ini
bagai membelah rerambut
menjadi tujuh titian
sedang kita tak punya apa
hanya ilusi-ilusi ngeri
yang bisa melatahkan kita di jalanan
dalam kembara mencari nur-Nya.

Tuhanku,
izinkan ku memilih warna Mu
sebagai hamparan di laman rindu
buat sujud penuh tafakur
menyuci diri dari duri-duri benci
membasuh kalbu dari rasa ragu.

Tuhanku,
aku pasrah pada Mu
setelah parah lukaku berdarah
setelah ku gundah kerna sering terlatah.

Tuhanku,
pintaku pada Mu Yang Satu
usah kau jemu mendengar rayuku
usah kau paling hatiku dari Mu
usah Kau biar diriku terus meliar.

Tuhanku,
di bening dinihari ini
sambutlah kata syukur kepada Mu
terimalah taubat ku yang terlambat
ampunkan dosa ku yang sering terleka
Kaulah tuhanku Yang Maha Esa
yang tiada hidup tanpa-Mu
yang ku berharap berserah kalbu
hanya pada Mu.


B.Tan.
Ogos 89-6.8.2009.
12.39 t/malam.

keinsafan.

Telah lama ku cari
bersama sesal di hujung senja
telah puas ku bertanya
pada mereka tentang diri-Mu.

Kini ku pasrahkan diri
memohon restu Mu
di malam syahdu.

Tuhan,
aku hamba Mu yang sering terlupa
siapa diriku
dan ingin ku nyatakan
rasa hati ku pada Mu
ku tak sanggup memikul dosa
ku tak sanggup menanggung seksa
ku pohon belas kasih dari Mu
ku pohon curahan rahmat dari Mu
sinari daku dengan petunjuk Mu
ampunkan salah ku pada-Mu
ampunkan dosa ku pada-Mu.

Tuhan,
andai ku kembali pada Mu esok hari
ku pinta pada Mu
ringankan azab Mu jangan terperi
aku tak sanggup untuk hadapi
hari-hari yang bernama mati.


B.Tan.
6.8.2009.
12.21 t/malam.

teman, ini rindu aku

teman,
telah lamakah kau di situ
menunggu aku membawa rindu
untuk mu.

teman,
tak perlu aku minta maaf
kerna kau pun tahu
aku adalah seorang pencatat
terlalu banyak yang perlu ku catat
dalam perjalanan rindu ini.

teman,
ini dia rindu yang ku bawa untuk mu
bersama salam dari mereka
kau tak perlu gundah
kerna rindu masih padu.

teman,
cuma pesan dari desa
jangan kau terleka pada kota
kerna ia penuh pura
kerna ia penuh cerita.

teman,
jangan kau lupa pada mereka
yang menyimpan cinta untuk mu
yang memendam rindu untuk bertemu.

teman,
cinta dan rindu saling bersatu
usah diluka usah disendu
usah kau meratap pilu
jika kau tak tahu
mereka semua mengasihimu.


b.tan.
5.8.2009.