Jumaat, 28 Ogos 2009

daerah lembah kelabu- iii

jeritan pekikan itu
menyedar aku dari daerah kelabu
gema nama Mu memecah
kebeningan hari
bersama terbitnya
segala pancarona cakrawala
yang Kau tadbirkan sendirian.

jasad ku terlambung terhempas
digulung gelombang sengketa
dalam aku cuba merempuh
keluar menembusi lembah kelabu
penuh cerucuk duri bisa
gamat bersama suara maki
seakan tidak bernilai
sekeping hati seketul otak
untuk menimbang segala
rahmat yang mencurah
diantara derita yang menyeksa
bahana seorang aku
yang jahil mengucap kata syukur
bahawa satu kehidupan masih wujud
bahawa aku masih Kau izinkan
menghirup nikmat-Mu, Tuhanku...........!

oh! kekerdilan bak sebatang lidi
layaknya tak berguna lagi
bicara apa yang bakal aku pertuturkan
buat menyatakan aku rindu pada-Mu
aku ingin bertemu dengan-Mu
aku begitu pasrah dalam cahaya Mu
bagi melafaz kalimat akhir
di hujung permatang sebuah kehidupan
sedang aku pernah berdosa di daerah-Mu
di lembah kelabu itu.



B.Tan.88.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan