Isnin, 31 Ogos 2009

Bonda, Kemerdekaan ini apa ertinya?

Bonda,
fajar merdeka telah lama kita nikmati
bersama tumpahnya darah pendekar
demi pertiwi yang tercinta
tidak rela diri dijajahi
kemerdekaan telah kita bayar
dengan seribu rasa yang membara
biar putih tulang jangan putih mata
nyah! kau penjajah dari bumi ini
hak kami milik kami
jangan kau sentuh walau seinci.

Bonda,
semalam ku terima khabar berita
bumi ini kononnya kan dijajah lagi
siapa petualang siapa pengkhianat
siapa dalang membuka peluang
hadir mereka di sini kembali.

Bonda,
kejutkan anak-anak watanmu
bangunkan mereka
dari mimpi-mimpi yang menjerat diri
bebaskan fikrah dari terbelengu
apalah erti kemerdekaan
apalah erti kebebasan
jika langkah tersekat sudah
jika suara generasi kini dianggap sepi
kami dibenci dikata kurang jatidiri.

Bonda,
apalah erti kemerdekaan ini
pemimpin kita pusing keliling mendabik dada
jalur gemilang keliling dunia berkibar megah
tapi bonda
anak bangsa hilang maruah di tanah sendiri
generasi muda kosong dada kosong visi
dimanakan kita letak harga mereka
megah sepanjang zaman tapi muflis harga diri.

Bonda,
negara kita bahtera merdeka
kian robek dimamah bangsa sendiri
kenapa perlu mereka
untuk mengurus dana harta
kenapa terjadi begini pada tanah ini
konspirasi menjadi-jadi menjual bangsa sendiri.

Bonda,
kemerdekaan ini apa ertinya
jika suara melaung gagah kata merdeka
tapi bangsa kian hanyut bersama multimedia
bukan kami anti informasi
kami takut MSC hanyalah Melayu Sapu Coridor
kami bimbang bumi dipijak milik orang
dan mereka ketawa
bersama runtuhnya bangsa kita.

Bonda,
biar kami menjunjung terus
sumpah keramat dahulu
tidak melayu hilang di dunia
tidak tergadai maruah tanah
tidak terlalai walau disergah
demi islam demi pertiwi
demi bumi ini
rela kami pertaruhkan nyawa
melangkah gagah pantang undur
demi membela nasib bangsa
dari diratah oleh penjajah.

Bonda,
kemerdekaan ini apalah ertinya
jika ia hanya sedekah dari penjajah.


B.Tan.
11.50 pg-6.28 ptg.
22 September 1999.



* untuk sambutan kemerdekaan kali ke 52 pada tahun ini, aku tak sempat nak tulis sajak baru tapi memadailah aku catat semula sajak yang pernah aku bacakan semasa pertandingan mendeklamasi puisi peringkat daerah bera pada tahun 1999. pertandingan diadakan di ppd bera, ramai peserta yang mengambil bahagian, mereka semua hafal puisi yang dideklamasikan kecuali seorang dua termasuk aku yang membacakan sajak hasil tulisan sendiri. antara hakim pertandingan ialah cikgu sahrunizam, tapi semasa pengumuman pemenang pertandingan, pengacara telah tersalah kerana aku diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga. aku tahu ia tersilap dan hadirin yang lain pun tahu, aku selamba saja, selepas selesai barulah pertukaran hadiah dibuat yang mana aku hanya mendapat saguhati sahaja.
SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KALI KE 52. BEBASKAN DIRI ANDA DARI TERUS DIJAJAH DAN DIBELENGUI OLEH PEMIKIRAN KOLOT KONONNYA HANYA AMNO YANG PANDAI MENTADBIR DAN MENGURUS NEGARA INI.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan