kosong
betapa selama ini ia kosong dalam keraguan
meski pun haknya telah tercatat
tentang kembara yang pasti kan tamat
meninggal pergi sebuah diri
dari garis-garis ketentuan
sedang matahatinya buta gelita
tanpa mengenal diri sendiri
erti juzuk-juzuk diri
juga buta hatinya pada rindu yang satu.
hapuslah keluhan itu
yang terpancar bersama arus waktu
walau hempasannya bagai ombak
bagai gelombang yang melanda ganas
pantai kerinduan kita
pilunya bagai tersayat sembilu
apabila diri seakan mati
hanya menyonsong angin berlalu
menanti jawapan yang belum pasti
kebesaran sebuah kewujudan
gelisahnya berjurai satu persatu
menarik resah bersendu sayu
patahlah harapan lalu
pecahlah asmara rindu sang kembara
bergegar menyentuh gugur berderai
jalinan bentuk sebuah kehidupan
yang pasti kerinduan
umpama mimpi-mimpi indah
hiasan sebuah igauan rasa
dalam diri mereka yang telah pergi.
untuk kesekian kali
rindu itu masih mengamit
memanggil nama-nama dalam irama lagu
sebuah nyanyian senandung hati
yang cuba melerai kegelisahan
namun apakah ada nanti
para wali yang sudi menemani
memimbing menunjuk jalan lurus
jauh dari rindu-rindu yang tersesat
lepasan ngeri wajah-wajah puaka
dari alam kekelabuan.
yang pasti kelukaan hempasan diri
tak tertanggungkan
walau rindu masih mengamit
pada sebuah wajah impian
memilih antara cinta dan derita
kesamaran akhirnya adalah pilihan
di kancah seribu kemungkinan
betapa fatamorgananya harapan rindu
membawa diri terlantar terhempas.
rayapan hari membawa rindu ini pergi
meninggalkan diri menanggung cinta
sedang hati masih belum mati
dari ledakan gelodak rasa
pasrahlah dalam keraguan
keupayaan bagai tergantung
di puncak persada jahanam
memulas hati mengerah rindu
sedang tiada siapa yang tahu.
sebuah hempasan diri pulasan hati
mengerah rindu pada-Mu
adalah riwayat yang kecewa
bahana ilusi-ilusi tak bertepi
yang menari-nari
tapi tamparan hebat yang melanda
telah memati seribu langkah megah
membawa tersungkurnya rindu
dalam satu pengembaraan.
meski rindu telah kelewatan hadirnya
namun pemburuan belum berakhir
kian marak ia menyala
membakar belantara senja
sempadan kepuasan hati
benarlah kata-kata sakti
hidup ini satu pengorbanan
korban dan terkorban
adalah mainan rindu
senjata cinta milik abadi.
bak sebuah kehilangan
rindu pun pergi satu persatu
mencumbui masa-masa lalu
nikmatnya satu augerah
keperibadian yang tiada tukar ganti
gagasan cinta-cinta hamba
terhadap Yang Maha Khalik
di mana
kerelaan hati tulus suci
menyerah diri bersemadi
dalam satu pertemuan rindu
maka bekal-bekal yang dibawa
adalah tukaran juga cagaran
pada rindu yang tertinggal.
penyerahan rindu pada-Mu
setelah sebuah hempasan diri pulasan hati
berlaku dalam pergelutan ngeri
memilih antara cinta dan derita
semesta alam yang bersaksi
tunduk akur pada janji
tiada lagi mimpi-mimpi
tiada lagi ilusi-ilusi
semuanya telah nyata
zahir bersama kita yang berdusta
tanpa apa-apa alasan lagi
setiap bantuan tidak bererti
keupayaan hanya di hati
kaki-kaki seakan digari
dalam segala bentuk
lalu
rindu-rindu lalu pun datang kembali
menayang wajah-wajah gundah
peristiwa di sepanjang permatang
ketewasan memilih harta ditertawa
dan rindu yang satu yang gagal digapai
menerpa menghenyak cinta buta
membuang ke alam sengsara
begitulah jawapan yang pasti
andainya kekecewaan
mengakhiri pergelutan
sebuah hempasan diri pulasan hati
mengerah rindu pada-Mu yang satu.
B.Tan.88
18,19,20.4.1988.
* empat buah sajak kabur ini terdapat dalam antologi aku yang bertajuk 'mencari rindu'. tapi sayang antologi ini tak sengaja telah dibakar bersama beberapa lukisan aku dan satu fail sajak yang terdapat gambar pyanhabib sedang menulis. kejadian berlaku ketika aku berpindah ke seri buntar untuk kali kedua pada tahun 2003, aku telah tertinggal satu beg plastik di dalam stor bawah rumah emak aku. apabila aku teringat dan telah mencarinya tapi tak ditemui, setelah bertanya kepada emak aku, rupa-rupanya telah dibakar oleh ayah aku kerana difikirkan ia kertas terpakai yang tak mahu digunakan lagi. aku tak tahu nak kata apa ketika itu, cuma rasa sayu kerana untuk kedua kali aku kehilangan antologi puisi. yang pertama adalah 'kuntum-kuntum bunga hati' yang hilang kerana kecuaian aku sendiri tertinggal di kantin maktab perguruan kinta, ipoh. apabila dicari dan bertanya kepada pekerja kantin, seorang pun tak tahu(aku ada nyatakan dalam catatan aku yang bertajuk dalam kenangan....in memories dulu). setelah menyelongkar fail merah yang aku nyatakan dalam catatan itu, aku terjumpa salinannya, untuk mengelakkan ia hilang terus, aku paparkan untuk tatapan bersama. sajak-sajak itu aku tulis pada tahun 1988 sebelum aku masuk maktab perguruan lagi, ia sebahagian dari harta aku yang aku sayang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan