Jumaat, 30 April 2010

Bunuh diri ke?


Aku tak tahu apalah malangnya burung seekor ini. Allah telah tentukan takdirnya ia mati dilanggar oleh aku dan melekat kat wiper van aku. Ceritanya begini: pagi semalam 29.04.2010 ketika aku sedang memandu menuju ke sekolah, selepas selekoh terakhir sebelum jalan lurus untuk sampai ke pekan kemayan tak semena-mena seekor burung merbah telah terbang ke arah van aku dan melanggar cermin hadapan. Agak kuat jugak bunyinya tapi yang aku hairan ia telah tersangkut dan melekat kat wiper. Kebetulan pulak handset aku berbunyi, terpaksalah aku berhenti dan menjawab dahulu panggilan dari nizam kgmmb. Kemudian aku pun turun dan mengambil burung tersebut lalu aku letak atas rumput di tepi jalan tanpa teringat nak mengambil gambarnya.

Setelah beberapa meter aku menyambung perjalanan, barulah terlintas di fikiran, kenapalah aku tak ambil gambar burung itu tadi. Rasa nak pusing belakang dan letak semula burung itu kat cermin, tapi.... ah! buang masa saja aku pun dah lewat dan dah tak ori lagi. Sampai kat sekolah aku pun 'snap' lah gambar bulu dan sedikit tahinya yang masih melekat di cermin dan wiper van aku. Ini bukanlah kejadian pertama, kalau tak silap aku pada bulan lepas ketika pulang dari sekolah seekor burung juga telah melanggar atau dilanggar oleh aku. Tapi taklah sampai melekat kat cermin. Ia cuma tercampak sahaja dan aku pun tak pasti jenis apa burung itu.

Sebenarnya terlalu banyak cabarannya jika melalui jalan dari triang ke kemayan atau sebaliknya. bukan setakat kereta dan lori yang memenuhi jalan, tapi keadaan jalannya yang semakin hari semakin teruk turut mengundang bahaya kepada penggunanya. Kerja-kerja menampal lubang yang dilakukan pun sekadar melepaskan batu di tangga sahaja. Teringat aku kepada satu kata-kata sindiran yang berbunyi: macam kerja orang tak bersunat! begitulah ibaratnya apa yang dapat dilihat pada jalan dari triang ke kemayan atau sebaliknya. Nanti aku cerita lagi apa-apa yang patut tentang pengalaman aku melalui jalan ini dalam tempoh empat bulan ini. Aku nak tengok bola dulu liverpool mengalahkan atletico madrid!!!

Rabu, 21 April 2010

sembang sempoi...tanah sejuring.

Salah satu bilik yang terdapat di dalam perpustakaan awam daerah bera. Tapi aku belum pernah masuk lagi kerana perlu mendapat kebenaran dari pegawainya terlebih dahulu.

Antara deretan buku yang terdapat dalam perpustakaan bahagian atas(bahagian dewasa) ialah buku-buku kartun terbitan atau koleksi dari Gila-Gila. Mungkin suatu masa nanti aku akan meminjam buku-buku tersebut.


Assalamualaikum...

Semalam 20. 04.2010, macam biasa balik dari sekolah lebih kurang pukul 2 lebih terus ke kerayong. cadangnya nak pulangkan buku di perpustakaan awam bera dan pos surat. sampai saja di pintu pagar perpustakaan kelihatan avanza warna biru kepunyaan cikgu hidzir dari pkg bera. aku melangkah masuk ke perpustakaan dan menoleh ke kiri sambil tersenyum memandang cikgu hidzir yang sedang membaca surat khabar. aku meletakkan buku pinjaman aku di atas kaunter dan berjalan menuju ke arah beliau.

maka bermulalah sesi persembangan kami berdua dari satu topik ke satu topik yang lain. dari soal kerja dan perjawatan melarat kepada soal surau taman triang maju, langsung kepada tanah 'sejuring' seberang jalan seri buntar. dan cikgu hidzir selaku setiausaha jkk seri buntar menawarkan aku 'sejuring' tanah yang terbengkalai kerana pengusahanya dahulu tak berkesempatan untuk memajukannya. aku pun bersetujulah kerana selain dari untuk mengisi masa petang aku, dapat jugak aku mengeluarkan peluh jantan aku. setidak-tidaknya badan, insyaAllah akan jadi sihat.

pada petang itu ketika aku baru selesai makan, satu panggilan masuk dari nombor baru. suara cikgu hidzir di hujung talian mempelawa aku untuk menengok kawasan tanah 'sejuring' yang bakal aku usahakan kononnya. aku tanpa berlengah bersiap dan bergegas ke seberang jalan kampong seri buntar sambil ditemani anak aku ahmad bilal abdullah dan ahmad ali abdullah. kawasannya agak luas jugak- lebih kurang 30 kaki persegi dan bersempadan dengan kawasan cikgu hidzir serta berhampiran dengan jalan.

aku pun mulalah menebas perlahan-lahan, maklumlah dah lama tak berkerja macam tu. mestilah slow-slow, dah panas enjin nanti barulah boleh tekan minyak dan masuk gear yang lebih tinggi. pung! pang! pung! pang! lebih kurang dua puluh minit. aku berhenti dan mengeluarkan handphone untuk melihat jam sudah pukul berapa. aik! dah pukul 6.46 rupanya. sikit lagilah. aku pun menyambung menghayun parang sabit aku. tiba-tiba... tangan aku terasa pedih dan lengan aku berhampiran siku pun turut terasa pedihnya. begitu pantas penyengat itu menyengat tangan aku tanpa sempat untuk aku mengelak. aku pun berundur dan melepaskan parang sabit aku sambil membelek ibu jari tangan kiri aku yang telah mula bengkak dan semakin pedih serta terasa kebas sekali.

mungkin itu tanda amaran supaya aku berhenti dan pulang ke rumah agaknya kerana hari telah pun hampir senja. setelah menyapu kesan sengatan tadi dengan tanah mengikut petua yang cikgu hidzir sebutkan, aku pun pulang dengan hajat akan datang lagi pada petang esok.
untuk santapan mata tengoklah tiga keping gambar yang sempat aku ambil pada petang tadi(21.04.2010)>



Masih banyak semaknya yang perlu aku tebas dan bakar.

Insya Allah aku akan usahakan sehingga berjaya. Kalau tidak malu mak ayah aku. hahaha!!!

Tapi nak tanam apa yek? Nak tanam getah dan sawit tak boleh, ala, tanam jek tanaman kontan macam pisang, jagung atau sayur-sayuran yang mudah-mudah seperti terung, kacang, atau lain-lain lagilah yang bermacam-macam tu.

Selasa, 13 April 2010

Aku Punya Cara Omongan.





dalam mencari nama-nama saksi
untuk aku kongsi bersama kroni
entah kenapa nama itu begitu serasi
dan sering bermain dalam mimpi
bukan ngeri atau seksi
tapi aku telah pasti
ini keramat yang mesti menjadi.

Aku Punya Cara Omongan
ngomong aku ngomong berbisa
bisa ku takluk satu benua
bisa sujud satu dunia
bisa goncang satu semesta.

Aku Punya Cara Omongan
bergetar telinga para pendengar
bersahutan para pencacai
berdebar hati-hati kutu
Oh! ini slogan baru
buka mesin-gun atau chewing gum.

Gampang apa pada salakan
aku gunung tahan jerkahan
biar kau hilang akal
aku tetap teguh bersama sorakan.

Aku Punya Cara Omongan
aku anak bapa pembangunan
punya jasa dalam kenangan
banyak bakti ku taburkan
telah terbukti aku berbudi
aku mesti mendahului
apa peduli pada kata keji
memang kau berniat dengki
sakit hati.



b.tan.
seri buntar.
13042010.

*siap diomongkan 1.08 t/hari.

Isnin, 5 April 2010

di permatang ini.

kita sentiasa berdiri dan meniti
di permatang ini
ada kala kita lupa pada janji
dan asyik kita mengukir mimpi
mencari bahagia di mana berada
dan terkadang kita berlari
mengejar pelangi
yang akhirnya kita tersandung
bayang-bayang sendiri.

di permatang ini kita beraksi
senyum dan tawa silih berganti
lupa kita pada duka
hanyut kita dalam leka.

di permatang ini kita kongsi
segala warna yang menghiasi
tiada nafsi-nafsi
yang ada cuma toleransi.

permatang ini telah sepi
lewat senja kelmarin kau pergi
tinggal hanya bayang suram
tinggal hanya mimpi kelam
tinggal aku yang terdiam.


b.tan
seri buntar.
3,38 pagi.

belasungkawa buat Mok Teh.

pukul 2.00 pagi, aku baru pulang dari rumah ayah teh kerana menziarahi jenazah almarhumah Mok Teh aku. Ia ibu saudara aku. Adik kepada mak aku. Baru minggu lepas diadakan bacaan Yaa Sin untuknya. Aku hanya pergi malam pertama sahaja kerana malam kedua isteri aku sakit gigi. Terpaksalah aku melayan anak-anak dan isteri aku sekali.

Mok teh aku di khabarkan mengidap penyakit kanser hati. di kesan setelah penyakitnya melepasi tahap ketiga iaitu tahap yang tidak lagi boleh diubati. itu kata doktor. kuasa Allah kita tidak tahu. agak lama juga ia berada di dalam hospital di kuantan. tapi aku dan keluarga tidak ada kesempatan untuk melawatnya. setelah ia keluar wad dan berehat dirumah anaknya di permatang badak, barulah aku berkesempatan ke sana. itu pun selepas menghadiri kenduri kahwin di rumah cikgu hussin. sebelum ia masuk wad, pernah sekali aku pergi melawat di rumahnya.

badannya agak susut tapi masih boleh berjalan. berbagai ikhtiar untuk merawat penyakitnya tapi Allah lebih menyayanginya. maka ia telah dijemput pergi mengadap Illahi lebih kurang pukul 10.40 malam. aku yang tinggal lebih kurang tiga ratus meter dari rumahnya tak tahu tentang kematiannya. hampir pukul sebelas, ayah aku menalipon memberitahu ketika itu ia telah ada di rumah almarhumah. menurut suaminya, ayah teh, sakitnya bermula dengan gastrik dan melarat menjadi ulser. langsung tidak diketahui tentang barah hati. cuma setelah ia mengadu sakit dalam badan sehingga tidak boleh duduk, kemudian di bawa ke hospital barulah diketahui penyakit yang sebenarnya.

aku dengan almarhumah agak rapat (mesra) juga, sebab semasa aku budak-budak dan ia belum berpindah ke rumah murah seri buntar, rumahnya berhadapan dengan rumah ayah aku. jaraknya lebih kurang 15 kaki sahaja. tapi yang meninggalkan kesan dalam hati aku ialah beberapa hari sebelum aku diijabkabulkan dengan isteri aku, ia telah datang ke kerayong dan kebetulan ketika itu aku sedang menunggu teksi untuk ke temerloh. kami pun berbual dan ketika itu sebuah teksi berhenti tanpa aku menahannya. aku tidak terkejut tapi mok teh aku pelik dan apa bila ia perasan dalam teksi itu ada tunang aku lagilah ia pelik dan hairan. pada malam itu ia telah ke rumah isteri aku dan menanya beberapa perkara lalu ia hampir menangis kerana bimbang isteri aku tidak akan bersetuju untuk berkahwin dengan aku. setelah diterangkan secara panjang lebar oleh isteri aku, maka ia pun faham dan legalah hatinya.

sebenarnya sebelum aku kahwin, proses peminangan bermula dari bertanya dan menghantar cincin, mok teh aku dan ayah de aku yang tinggal di felda mayam yang menjadi orang tengah atau orang perantaraan. sebab itulah mok teh aku begitu bimbang takut-takut isteri aku tak setuju untuk berkahwin dengan aku. makumlah pilihan orang tua dan kami pula tak pernah berjumpa. tahu-tahu naik teksi pergi ke temerloh. lalu berserabutlah fikirannya memikirkan yang bukab-bukan. tapi itu semuanya telah menjadi kenangan. kini ia tiada lagi, pergi untuk selamanya. satu lagi kehilangan terjadi yang tak mampu untuk kita lari atau bersembunyi. hanya secebis doa dan harapan agar rohnya nanti ditempatkan bersama mereka yang soleh dan beriman.
AL-FATIHAH.