Isnin, 5 April 2010

belasungkawa buat Mok Teh.

pukul 2.00 pagi, aku baru pulang dari rumah ayah teh kerana menziarahi jenazah almarhumah Mok Teh aku. Ia ibu saudara aku. Adik kepada mak aku. Baru minggu lepas diadakan bacaan Yaa Sin untuknya. Aku hanya pergi malam pertama sahaja kerana malam kedua isteri aku sakit gigi. Terpaksalah aku melayan anak-anak dan isteri aku sekali.

Mok teh aku di khabarkan mengidap penyakit kanser hati. di kesan setelah penyakitnya melepasi tahap ketiga iaitu tahap yang tidak lagi boleh diubati. itu kata doktor. kuasa Allah kita tidak tahu. agak lama juga ia berada di dalam hospital di kuantan. tapi aku dan keluarga tidak ada kesempatan untuk melawatnya. setelah ia keluar wad dan berehat dirumah anaknya di permatang badak, barulah aku berkesempatan ke sana. itu pun selepas menghadiri kenduri kahwin di rumah cikgu hussin. sebelum ia masuk wad, pernah sekali aku pergi melawat di rumahnya.

badannya agak susut tapi masih boleh berjalan. berbagai ikhtiar untuk merawat penyakitnya tapi Allah lebih menyayanginya. maka ia telah dijemput pergi mengadap Illahi lebih kurang pukul 10.40 malam. aku yang tinggal lebih kurang tiga ratus meter dari rumahnya tak tahu tentang kematiannya. hampir pukul sebelas, ayah aku menalipon memberitahu ketika itu ia telah ada di rumah almarhumah. menurut suaminya, ayah teh, sakitnya bermula dengan gastrik dan melarat menjadi ulser. langsung tidak diketahui tentang barah hati. cuma setelah ia mengadu sakit dalam badan sehingga tidak boleh duduk, kemudian di bawa ke hospital barulah diketahui penyakit yang sebenarnya.

aku dengan almarhumah agak rapat (mesra) juga, sebab semasa aku budak-budak dan ia belum berpindah ke rumah murah seri buntar, rumahnya berhadapan dengan rumah ayah aku. jaraknya lebih kurang 15 kaki sahaja. tapi yang meninggalkan kesan dalam hati aku ialah beberapa hari sebelum aku diijabkabulkan dengan isteri aku, ia telah datang ke kerayong dan kebetulan ketika itu aku sedang menunggu teksi untuk ke temerloh. kami pun berbual dan ketika itu sebuah teksi berhenti tanpa aku menahannya. aku tidak terkejut tapi mok teh aku pelik dan apa bila ia perasan dalam teksi itu ada tunang aku lagilah ia pelik dan hairan. pada malam itu ia telah ke rumah isteri aku dan menanya beberapa perkara lalu ia hampir menangis kerana bimbang isteri aku tidak akan bersetuju untuk berkahwin dengan aku. setelah diterangkan secara panjang lebar oleh isteri aku, maka ia pun faham dan legalah hatinya.

sebenarnya sebelum aku kahwin, proses peminangan bermula dari bertanya dan menghantar cincin, mok teh aku dan ayah de aku yang tinggal di felda mayam yang menjadi orang tengah atau orang perantaraan. sebab itulah mok teh aku begitu bimbang takut-takut isteri aku tak setuju untuk berkahwin dengan aku. makumlah pilihan orang tua dan kami pula tak pernah berjumpa. tahu-tahu naik teksi pergi ke temerloh. lalu berserabutlah fikirannya memikirkan yang bukab-bukan. tapi itu semuanya telah menjadi kenangan. kini ia tiada lagi, pergi untuk selamanya. satu lagi kehilangan terjadi yang tak mampu untuk kita lari atau bersembunyi. hanya secebis doa dan harapan agar rohnya nanti ditempatkan bersama mereka yang soleh dan beriman.
AL-FATIHAH.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan