Khamis, 30 Julai 2009

anak

wajahnya seceria mentari pagi
senyumnya penyeri hati umi
tawanya penawar duka bapa
telatahnya ubat segala musibat
menghilangkan resah rindu nan parah
kau bergelar anak tercinta
pewaris keluarga bangsa merdeka.

anak,
kelahiranmu bukan percuma
kelahiranmu bukan pertama
kelahiranmu penyambung umat
kelahiranmu disinari rahmat.

anak,
usah kau mencari erti mimpi
usah kau berduka tentang senja
usah kau gundah tika rebah
usah kau tangis pada gerimis
usah kau rintih andai bersedih.

anak,
tukarkan mimpi jadi realiti
padamkan senja agar ceria
andai kau rebah terus gagah
dalam gerimis usah pesimis
sedang bersedih hanyalah pedih.

sekalung doa untukmu anak
jadilah kau seorang manusia
jadilah kau seorang pejuang
jadilah kau seorang penyelamat
jadilah kau seorang anak.



b.tan
1.33 pagi
12.8.2009

manusia semakin gila.

manusia semakin gila
mengejar mimpi-mimpi mereka.

manusia semakin gila
menipu diri-diri mereka.

manusia semakin gila
mencari bayang-bayang mereka.

manusia semakin gila
membunuh cita-cita mereka.

manusia semakin gila
melupai janji-janji mereka.

manusia semakin gila
menabur cinta-cinta mereka.

manusia semakin gila
menyetubuhi aqidah mereka.


b.tan.
6.8.2009
12.11 t/malam.

aku dengan mereka.

sebelum aku menghadirkan diri
ruang itu telah penuh
dengan mata-mata dusta
dengan mulut-mulut berbisa
dengan mereka yang buta mata hati
dengan mereka yang terlena sebelum mati
dengan mereka yang berjanji tapi tak ditepati
dengan mereka yang penipu penuh palsu
dengan mereka yang handal cuma sejengkal
dengan mereka yang berlagak seperti merak
dengan mereka yang sombong tapi kosong
dengan mereka yang kaku seperti batu
dengan mereka yang buntu seperti AKU.


B.Tan.
siap dibuntu pada
12.10 t/hari.
10.8.2009.

menebus dosa

Dia pun berdiri
dan memulakan salam untuk semua
lalu bertanya tentang jenazah yang ghaib
sebelum siap untuk disolat
sebelum lahat sempat dimuat.

Aku pun bertanya pada dia
kenapa bertanya pada yang ghaib
sedang diri masih berdiri
sebatang lidi.

Dia dan aku adakah keliru
jenazah itu adalah aku
jenazah itu adalah dia
yang telah mati sebelum mati
yang telah ghaib di dalam syahid
yang telah luka seribu duka
yang telah lupa pada Yang Esa
yang ingin kembali menebus dosa.


b.tan.
5.8.2009

warnai cinta pada yang Esa

telah pudar warna
yang ku puja dulu-dulu
yang pernah meronai sebuah sketsa rindu
tak kala cinta ingin ku paut
buat memayung kasih seteguk
dan merungkai erti dendam dalam diam.

Warna,
walau berkilau dipanah asmara
rindu tetap tak tahu
kerna cinta hanya seteguk
setelah kasih ditenggelam dendam.

Warna,
warnai cinta rona suci
warnai rindu dalam syahdu
warnai kasih usah bersedih
warnai sketsa pada Yang Esa.


b.tan.
5.8.09.

pergilah...

jelaslah keupayaanku tergantung
dan kau pun terbang padanya
mencari madu yang lebih merdu
meninggalkan aku yang penuh sendu
setelah kau tahu aku tak sebulu
dengan kau yang penuh cemburu.


B.Tan.
5.8.2009.

janji aku...

salam untuk semua...
aku berehat untuk beberapa hari, beri peluang danau kalbu ku menarik nafas setelah berhempas pulas menyiapkan siri surat jaman tori. itulah antara koleksi antik aku yang aku simpan sebab aku sayang. kalau tak di catat kat sini aku bimbang ia hilang atau akan dimakan oleh bubuk(kenal ke bubuk?). atau pun akan terjumpa dek anak-anak aku, nanti dibuatnya roket atau contengan-contengan yang amat perit mata melihat atau saja-saja jadi mangsa jari jemari halus mereka. bila dah dicatatkan tak perlu risau lagi kerana ia telah selamat disimpan di alam maya. boleh baca bila-bila rasa nak baca malah jika terjumpa dek tuan punya yang menulis surat tu, lagi baguih no!

dulu aku ada janji nak siapkan sajak-sajak yag tertunda puluhan tahun(ye ke puluhan tahun?). sajak-sajak itu aku hanya sempat tulis tajuk dan beberapa baris saja. kemudian putus idea dan hilang punca, nasib baik tak putus nyawa. jadi sebagai permulaan aku fikir aku nak mulakan dengan mengimbas kembali kenangan hari terakhir aku di srb agama lawas. di hari terakhir itu diadakan perhimpunan di dalam dewan kerana meraikan aku dan ustazah hanizah(isteri pok ser kelate) yang dapat bertukar ke semenanjung. semasa giliran aku diminta membuat ucapan terakhir atau sebagai apa-apa saja, aku sempatlah membaca puisi aku yang aku tulis khas untuk kenangan semasa berada di lawas.

Saat Keberangkatan Aku meninggalkan Daerah Mu.

Saat itu akan tiba jua
di mana kata-kata bagaikan tersembunyi di halkum
dan mata yang berkaca menayangkan segalanya
dengan apa lagi dapat ku tutup perasaan ini
sedang hati telah lama basah oleh airmata.

Insan,
terlalu banyak luka di hati ini
terlalu indah kenangan kita bersama
aku yang datang dulu penuh tandatanya
kini pulang dengan kuntum yang mengharum.

Anak-anak,
lihatlah diri ini yang pernah kau kenali
satu saat ia akan hilang dari pandangan
bukan ia pergi membawa diri
tapi detik ia kembali telah tiba.

Lawas,
terima kasih kepada daerah mu
kerana sudi menerima diri ini
dengan apa pula untuk ku balas budi mu
sedang bakti ku hanya sebatang lidi.

Kesayuan, kepiluan
pun datang satu persatu menyelubungi diri
rasa gundah rasa resah
telah lama merah menanti masa untuk tumpah.

Namun,
saat kepulangan ini
akan aku kenang sepanjang hayat.

Saat akhir aku menatap wajah daerah mu
semoga tiada lagi rasa terkilan
di hatiku jua di hatimu
biarkan rasa-rasa yang pernah menggila di kalbu
terkubur terus tanpa ungkitan tanpa nesan
memang aku jua kita makhluk biasa
yang singgah sebentar
dalam menuju kehidupan hakiki.

Insan,
maafkan diri ini
yang sering terlatah di daerah mu.

B.Tan 95.

* Aku kan tetap mengenang kalian. Semoga kita bisa berjumpa lagi. Terima kasih. 95.

Isnin, 27 Julai 2009

surat jaman tori - 15

Assalamualaikum,

Ust. Borhan "Apa Khabar". Moga sihat walafiat bersama isteri & anak-anak. Bagi diri saya serta isteri syukur alhamdulillah sihat.

Ust. Borhan, terima kasih atas kiriman kad Hari Raya temoh hari. Gembira juga hati ini kerana walaupun Ust. Bob jauh dari kita orang namun masih ingat kan kita di sini.

Ust. Bob, mengenai bab mengail, sekarang ani jaang sudah aku mengail kerana Ust. Daud sudah pindah ke Limbang. Ia sudah jadi boss kaang ani. Jadi inda ada tah dangan ku ngail. Kalau sawang-sawang tu langai jua kan. Lainlah kalau ust. Bob ada di Lawas dapat jua menagankan ku ngail. Ust. Bob, agaknya makin lampuh lauk-lauk di sungai Suling atu.

Ust. Bob, mengenai dengan rancangan ku kan ke K.L. kan melihat Sukan Komanwel Insyaallah kalau ada rezeki dan panjang umur adalah aku melihatnya nanti. Andang diangan-angan sudah tu ust. Bob. Mengkali seingat-ingat ku dua tahun pun sudah ada. Doakan sajalah ust. Bob mudah-mudahan hajat ku ini termakbul.

Ust. Bob, tak ada rancangan lagi kah kan ke Sarawak, terutamanya ke lawas. Inda jua ust. Bob sesat kan tu. Dahulu batah jua ust. Bob di lawas ani. Ust. Bob, kalau ada peluang datanglah ke lawas, dapat jua kita dua mengail, kan ust. Bob.

Ust. Bob, asanya banyak sudah yang ku tulis ani, jadi asanya sampai di sini dulu untuk kali ini. Segala kesalahan, kalau ada harap dimaafkan oleh ust. Bob ya.

Sekian, harap maklum & terima kasih.

Yang benar

(tandatangan)

Rosli bin Siit
SRB Agama,
Majlis Islam Sarawak,
98850 Lawas.

10 MAR 1997.




*inilah surat terakhir dalam siri surat jaman tori. lain-lain surat tiada diketemui, mungkin memang tiada sebab kalau ada, adalah dalam simpanan aku. rosli ini adalah pembantu am rendah di sekolah tempat aku mengajar. sekolah tempat aku posting yang pertama ialah srk belipat, selama dua tahun. kemudian aku ditukarkan ke srb agama lawas, juga selama dua tahun. aku bersama rosli dan ust. daud sering pergi memancing, kadang-kadang tak dapat pun, tapi tetap seronok kerana dapat berkawan dan release tension. semasa aku masih di lawas, ia belum kahwin lagi. tak tahulah sekarang berapa anaknya rosli ini. dia terlalu ingin pergi ke kuala lumpur dan aku telah cadangkan supaya ia pergi semasa sukan komanwel. tak tahu samada ia pergi atau tidak. surat ini pun aku tak ingat, aku balas ke tidak. maaflah jika ada sesiapa yang membaca surat ini, tidak faham apa yang ditulis oleh rosli, kerana ia menggunakan bahasa kedayan dan mirip kepada bahasa melayu brunei. sememangnya pun aku biasa bertutur dengan penduduk tempatan dengan berbahasa kedayan ini. aku memang ada bercadang akan ke sarawak atau lawas suatu masa nanti tapi bukanlah sekarang, nanti setelah aku pencen dan selepas aku dan isteri menunaikan fardhu haji. rosli ini seorang yang baik dan cermat dalam menjalankan tugasnya. jika tak ada kelas aku akan bersembang tentang macam-macam hal dengannya. semoga rosli dan isteri serta anak-anak bahagia menempuh hari muka.

Sabtu, 25 Julai 2009

surat jaman tori - 14

Assalamu'alaikum

Doa dari kejauhan, moga bob dan keluarga yg disayangi sihat selalu hendaknya. Bagaimana dgn si comel, setelah ditinggalkan hampir 6 minggu! Oh ya, Wan sihat ajak, macam biasak. Cuma bila rindu mengamit rasa, nostalgia kita datang menjelma. Bila agaknya kita boleh jalan-jalan lagi kat Waterfront atau makan-makan di Taman Kereta dan bilakah agaknya kita bisa mengulangi duduk bersembang sambil minum nescafe dan makan keropok/roti.

Bob,
Segalanya Allah yang merancang pertemuan kita, justeru itu perpisahan pun Dia juga yang menentukannya. Cuma harapan Wan, suatu hari nanti Wan akan dapat berjumpa kembali dengan Bob dan family Bob sekali. Bagaimana dengan cuti 3 minggu ni? Balik tak? Dan kalau bob balik cuti akhir tahun nanti sila hubungi wan, moga-moga kita dapat atur pertemuan.

Bob,
Tentu waktu tok kitak sibuk dgn exam. Kamek pun di sitok lintang pukang dgn anak murid. Banyak benar ketinggalan. Apa boleh buat bob dah nasib badan.....
Oh ya, abang Mie ada hantar berita tak? Kalau ada tu, wan kirim salam ya. Saat nak berpisah tu, kami sempat bertengkar pasal alamat. Wan langsung tak bagi alamat dgnnya. Dia pun merajuk sikit. Dia pertikaikan wan, sebab tak ambil alamat bob. Sebenarnya wan simpan dlm kotak kecil atas kepala. Wan dah curi alamat bob dan abang mie. Bob ada tak simpan alamat wan? Agaknya dah lupa tu... tak apalah, siapalah kita ......

Bob,
Akhir bicara, wan mohon jutaan kemaafan andainya sepanjangpertemuan kita, ada bicara dan tingkah laku wan yang bisa menyinggung perasaan bob. Mintak halal segala yang termakan dan terminum. Mintak maaf ya, sebab sik sempat ngantor bob balik. Oh ya, jangan lupak ngantor gambar/negatifnya (yg ada wajah wan).

Bob,
Jangan lupak gambar ya. Nanti wan kirimkan wangnya. OK. Akhir kalam, sambutlah salam ukhwah yang berpanjangan dari wan untuk bob dan family di Lawas.

Wassalam
Wan Ismail W. Elias,
SRK Kuala Muput
97200 Tatau,
Bintulu./

No.6, Kg. Sajingkat,
93000 Kuching
Sarawak
082-439171



*Wan Ismail adalah kenalan aku semasa kursus induksi di kuching, sarawak. hampir enam minggu kami berkampong di hotel liwah, kuching. beliau masih bujang tapi bukan sebilik dengan aku, yang sebilik dengan aku ialah abang mie, guru yang mengajar di smk kota samarahan. selalulah kami berdua keluar berjalan-jalan di waktu malam di sekitar waterfront sg. sarawak sambil melihat telatah orang dan air pancut yang bergerak mengikut irama muzik atau makan-makan di taman kereta. jangan tanya kenapa namanya taman kereta, sebab aku pun tak tahu. mungkin di tingkat bawah tu ada tempat parking kereta kot. aku pun dah tak ingat samada aku hantar gambar atau negatif. tapi surat aku selepas itu ia tak balas pun. mungkin ia dah bertukar sekolah agaknya. jika sesiapa yang terbaca catatan ini dan mengenali hamba Allah ini boleh memaklumkan kepada aku, kerana nombor telefon yang diberinya itu telah tiada dalam perkhidmatan. cuma alamat tu saja lagi aku belum cuba hubungi. surat yang dihantar olah wan ismail ini menggunakan letter head hotel liwah. tapi maaflah aku tak reti nak masukkan ia dalam catatan ini. aku pun tak tahu macam mana aku boleh mesra dengan dia ni, sebab yang mula kenal ialah abang mie kerana mereka satu kumpulan. aku ni jenis tak banyak cerita, jadi lambatlah sikit dapat kawan. semasa aku nak balik ke lawas selepas habis jamuan perpisahan tu, aku tengok dia orang masih lagi sibuk bergambar dan berborak, sedangkan aku terpaksa berkejar ke airport supaya tak tertinggal kapalterbang, jadi tak sempatlah nak bertukar-tukar alamat dengan mereka semua. banyak kenangan manis dan pengalaman yang aku perolehi selama hampir enam minggu makan minum di hotel itu, badan pun rasanya dah jadi macam bau hotel. namun begitu aku teringat kepada marcus hugo matu lejau, seorang pegawai di jpn sarawak yang menguruskan kursus induksi. sebenarnya aku dipanggil mengikuti kursus induksi pada hujung tahun 1994, semasa itu isteri aku sedang sarat mengandungkan anak kami yang pertama. aku telah menumpangkan isteri aku semalaman bersama ku dalam bilik hotel telang usan sebelum aku dapat beli tiket untuk menghantar ia pulang ke semenanjung. tindakan aku ini diketahui oleh beliau, dan ia dengan penuh berlagak memarahi aku, walau aku cuba menerangkan kedudukan yang sebenarnya ia tetap tak mahu menerima dan menyuruh aku membawa isteri keluar dari hotel. kejadian itu berlaku ketika waktu makan tengahari di khalayak orang ramai. ketika itu aku hanya memikirkan isteri aku yang ada dalam bilik hotel sahaja. kalau tidak mungkin berlaku pertandingan tinju antara aku dengan si mamat tu agaknya. tapi syukur alhamdulillah keluarga isteri Wan Ali Wan Sakaran(sama mengajar di srb agama, lawas) sudi menumpangkan kami berdua beberapa malam sebelum aku dapat membeli tiket untuk pulang ke semenanjung. dan aku telah dituduh lari dari kursus, bagi aku ketika itu persetan itu semua, yang penting isteri dan kandungannya selamat. pada tahun 1995, isteri aku baru pulang ke lawas seminggu, aku terpaksa tinggalkannya kerana mengikuti kursus induksi, ambilan bagi mereka yang tercicir atau meminta tangguh termasuklah aku. tetapi si marcus itu dah tiada, kata wan ia telah di tukarkan sebagai pengetua kerana banyak aduan dari guru-guru tentang sikap dan tindakan kurang wajar yang sering beliau lakukan. kepada wan ismail wan elias, dah kahwin, ke belum. kalau sudah berapa agaknya cahaya mata beliau kini?

Rabu, 22 Julai 2009

surat jaman tori - 13

HAMDAN
KONJIC
BOSNIA HERZEGOVINA
15 APRIL 94.

ASSALAMUALAIKUM.

Buat tatapan abg. tan dan isteri, hendaknya saat nie kalian berdua bahagia melalui hidup ni. Bagi saya di bumi Bosnia , alhamdulillah masih dapat menjalankan tugas sebaik mungin, Insya Allah...!

Terima kasih saya ucapkan atas kiriman kad raya abang tan tempoh hari. Balasannya saya ada kirimkan buat abang tan sekeping kad raya sebagai pengganti diri tapi tak tahu pula saya yang abang tan dah bertukar sekolah dan saya masih menggunakan alamat lama, tak tahulah apa nasib kad raya tu...!

Macam mana abang tan rasanya hidup dialam rumahtangga, pasti seronokkan. Kalau dulu sendirian kini semuanya dapat dilakukan bersama. Doa saya abang tan dan angah berbahagia walau jauh dari keluarga. Hanya itu yang dapat saya lakukan, moga Allah merestui hidup kalian berdua...amin!

Untuk pengetahuan abang tan saya akan balik pada penghujung Jun ini. Tempoh perkhidmatan disini terpaksa dipendekkan kerana banyak masalah timbul terutama orang kahwin. Kami akan diganti dengan pasukan lain pula. Tak kisahlah berapa lama pun saya cuma menurut arahan. Alhamdulillah dengan rezeki yang Allah berikan.

Abang tan balik ke pada penghujung tahun ni kerana saya bersadang nak buat kenduri kesyukuran selamat pulang ke M'sia dan mengakhiri zaman bujang, InsyaAllah. Kalau dapat baliklah, boleh kita berhimpun sekeluarga meraikan kedatangan orang baru dalam keluarga kita.

Rasanya cukuplah setakat ini, hingga jumpa lagi sambutlah salam manis dari saya di Bosnia untuk abang tan dan isteri di bumi Kenyalang.

Sekian , Wassalam.

U SLUZBI MIRA - BOSNIA 2330-BOSNIA HVALA-BOSNIA
BEKERJA UTK KEDAMAIAN - M'SIA (tandatangan) 0530-M'SIA TERIMA-M'SIA
KASIH.




*satu-satunya adik aku yang mengikut jejak ayah aku mejadi perwira negara, kalau dulu ayah aku terlibat di zaman darurat dalam pasukan 'SC',kini adik aku Hamdan bin Jamaluddin pula menyambung perjuangan untuk menegakkan keamanan dan kedaulatan negara. di zaman selepas berakhir perang di bosnia, adik aku bersama pasukannya telah dihantar untuk berkhidmat di sana. alhamdulillah beliau selamat pergi dan selamat kembali ke tanah air yang tercinta. walaupun peristiwa itu telah lama berlalu, namun parut lukanya tetap ada. sebagai pengajaran dan iktibar kepada kita semua, usahlah menimbulkan isu atau sentimen yang boleh mencetuskan suasana tidak puas hati dan rasa curiga sesama warga. hormatilah dan fahamilah bahawa kita hidup berbilang bangsa. di masa rasulullah menubuhkan kerajaan Islam yang pertama di bumi madinah pun terdapat beberapa puak atau bangsa yang berlainan agama, budaya serta adat, malah kewujudan ini bukannya baru bertapak tetapi telah berpuluh tahun ada di sana. kenapa mereka dapat disatukan oleh rasulullah? memang kita akui kebijaksanaan kepimpinan rasulullah, apa yang menarik yang perlu kita beri perhatian ialah kerelaan dan kesediaan masyarakat majmuk yang ada di madinah untuk patuh dan akur pada perlembagaan yang diujudkan oleh rasulullah. timbul persoalan apakah di malaysia tiada perlembagaan? jika ada kenapa begitu susah untuk kita ikut garis panduan yang telah iktiraf oleh semua rakyt malaysia. kenapa masih ujud budaya 'double standard' dan pendakwaan terpilih? yang menjadi mangsa adalah golongan yang dikatakan menyonsang arus. mereka sebenarnya bukan menyonsang arus atau menongkah arus, tetapi mereka ingin mencari kesaksamaan dan kesamarataan dalam aspek urusan kehidupan. kenapa mereka yang bergelar pembesar terlepas dari pendakwaan biar pun terdapat bukti sahih dan laporan telah dibuat? sedangkan mereka yang bertaraf biasa-biasa, laporan polis belum dibuat telah berlaku tangkapan. malah lebih dashyat lagi berlaku penderaan dalam sesi soalsiasat, ujudkah kaedah itu di dalam Islam? dan bagaimana pula dengan 'isa' - penahanan tanpa bicara. Senang bicara 'MANSUHKAN ISA'.

surat jaman tori - 12

Kehadapan majlis yang mulia lagi diingat serta diharapkan anakanda berdua yang sedang berada di Lawas Sarawak dengan mendapat selamat hendaknya, amin.

Di-sini ayahanda sertakan Surat Perakuan nikah anakanda berdua dan ayahanda bersyukur kepada Allah dan juga terimakasih kepada anakanda suami isteri kerana dapat menyesuaikan diri anakanda berdua.

Di-sini ayahanda minta maaf kerana terlambat menghantarkan surat nikah anakanda ini, dan ayahanda hantarkan kedua-duanya kepada anakanda. Cuma ayahanda tinggalkan salinannya untuk simpan ayahanda. Lain hanyalah ayahanda ucapkan selamat berpuasa dan selamat menyambut hari raya serta salam sejahtera dari ayahanda dan keluarga adanya.

Wassalam.

yang benar,

(tandatangan)

19.2.94.



*jarang-jarang sekali, ayah aku hantar surat kepada aku. tapi bila membaca susunan ayat karangan ayah aku ni, aku merasa malu, bukan kerana bahasa dulu-dulu tapi lenggok bahasanya yang masih lagi terdapat ungkapan dan pengharapan dari seorang ayah buat anaknya. ayat-ayat itu kini amat jarang digunakan. apatah lagi di era komunikasi serba canggih, segalanya menuntut orang ramai termasuk kita semua bersikap segera dan ringkas, kononnya tidak memeningkan kepala. bermula dari e-mail hinggalah ke zaman sms, mana ada lagi ayat-ayat power seperti yang digarap oleh ayah aku itu. sebenarnya di situlah terletak diantara ciri-ciri keindahan bahasa melayu(malaysia?) yang telah lama digunapakai, sejak dari munsyi Abdullah hinggalah pendeta zaaba, itulah yang kini telah mula diratah patah oleh bangsanya sendiri. tiada lagi susunan kata-kata indah persuratan melayu, yang ada hanyalah bahasa 'cincai', samada dalam penulisan apatah lagi jika dituturkan. kedengaranlah bahasa-bahasa atau dialog-dialog yang tak tahu dari mana lahirnya, siapa pengasasnya atau siapakah yang yang menjadi penaja kepada kemunculan percakapan-percakapan ala orang tak reti bahasa ini. begitulah malangnya nasib bahasa melayu, dipijak dilanyak ikut suka hati sipenutur, sesekali dicampuraduk dirojakkan, kadang-kadang lintang pukang tatabahasanya, contoh paling mudah ialah dari surat-surat yang dikirimkan oleh kawan-kawan aku dalam siri surat jaman tori ini. hingga aku pun secara sedar dan waras menggunakan gaya bahasa ringkas dan direct to the point.(ini pun satu contoh yang paling mudah!) mungkinkah faktor masa atau peredaran zaman yang menuntut kita melakukan pencabulan terhadap bahasa kita sendiri, menggunakannya mengikut selera dan kehendak kita, sesedap kita bertutur sahaja. Entahlah aku pun tak tahu kenapa perkara ini boleh berlaku dan aku terfikir apakah bahasa lain di dunia ini juga mengalami nasib yang sama seperti bahasa melayu. apakah bahasa mandarin, bahasa arab, jepun atau bahasa orang asli sekali pun seperti semelai menghadapi zaman huru-hara di lidah penuturnya. betul-betul keliru kita dibuatnya.....

surat jaman tori - 11

Malik Radzuan
Lot 1783, Lorong 4, Piasau Link, Phase 3
98000 Miri.

Assalamualaikum warahmatullah.

Apa khabar bob. harap-harap bahagia le ye! Koi di sini shukur alhamdulillah senang ati. gone tak nya, koi duduk dekat bandar Miri. jalan kaki pun sampai, tapi lambat le. (5 km aje). awok pulok gone bob, senang hati ke?
Bob.. sekolah koi guru besarnya bapok kristian. jadi tau-tau le kalau puak dema tu memang anti Islam. Cuma tak lah secara terang-terang, tapi semua guru faham dengan kelako dia. Koi ni orang baru tak dapat selami lagi suasana itu. Ustaz2 di sini sekarang ni tengah berjuang nak dapatkan sebuah surau, termasuklah koi sekali.
Bob.. koi main bantai aje antor surat kepada awok ni, kalau sampai balas selalu ye! nak jugak dengar cerita dari awok.
Bob.. sekarang ni koi tinggal di rumah sewa bersama-sama tiga orang guru, semuanya dari Semenanjung satu dari johor, dua dari kedah. dan di sekitar tempat koi tinggal ni ramai guru dari semenanjung, jadi koi tak le terasa asing kerana ramai orang kita. di sini kii ngajor petang, jadi sebelah pagi buat taik mata aje le. Pukul 12.15 baru pegi, naik motor numpang ustaz yang dah lama ngajor di sini. jarak sekolah dengan rumah lebih kurang 6 km, kelas masuk 12.45, jadi dapat le lepak di sekolah lebih kurang 15 minit baru masuk kelas. 30 waktu seminggu. berat tak bob sebanyak tu? awok kena banyak mana?
Bob.. balik tak cuti panjang nanti.(akhir tahun). Koi mesti balik punya tapi bulan 5 nampak gaya tak balik le. Org kata sekarang ni dah boleh tempah tiket kalau tak terlopong le.
Okeylah bob, sampai disini ajelah untuk kali ini, lain kali insyaAllah kita serita lagi. Kirim salam untuk semua yang ada di situ.

(tandatangan)

22/12.




*malik radzuan ialah member serumah di taman cempaka, ipoh. dia lah yang beria sangat ajak aku pindah rumah dari sari 28 kat hujung bukit, ke sari 7, dekatlah sikit dengan kedai, dengan benteng, dengan surau dan yang penting dekat dengan maktab. dia pinjam basikal khalid, jadi kami berdua angkut barang aku naik basikal jek, tilam, meja semua angkut dengan basikal, tapi waktu malam le, kalau hari siang tebal jugak muka dibuatnya. aku kenal dia ni sejak di al-khairiah, batu satu, temerloh lagi, dia berulang dari chatin dan aku duduk di asrama pibg yang menyimpan seribu sejarah dalam hidup aku. dia turut sama pergi ke kampong santubung dan ronda-ronda di tepi pantai santubung di hari-hari terakhir sebelum dihantar ke tempat masing-masing. cuma dia bertuah dapat kat miri, tapi aku rasa aku lagi bertuah dapat naik twin otter yang kecik nak sampai ke lawas. aku tak ada kenangan manis dengan dia ni, semua kenangan yang biasa-biasa jek. tapi orangya memang sempoi habis, stail kampong lah katakan. sebab tu aku boleh ikut rentak dia, dah kenal lama. balik dari sarawak, dengar cerita dia mintak tukar ke jeli. sampai lah sekarang ni, tak tahu khabar berita. mungkin dia jugak tercari-cari aku agaknya, tak apalah jika ada rezeki dan dipanjangkan umur oleh Allah, insyaAllah bolehlah berjumpa lagi dengannya.

surat jaman tori - x

Assalamualaikum. Amacam orang kita kat sana. Sihat tak? Dah berbulan-bulan tinggal kat kampong orang, dah merasa masakan tradisional tempat orang ke? Macam 'gulai biawak ke', 'satay babi ke', lima tahun duduk tempat orang, tak kan tak merasa itu semua. Rugi ooo!

Aku banyak-banyak mintak maaf le Bob sebab lambat balas surat lu. Aku bukan sengaja, tapi terlampau sibuk. Surat kau sampai dalam masa cuti kat kampong. Aku lambat balik kampong sebab ada kursus, lagi pun aku terpaksa "Temuduga" untuk pengesahan jawatan. Macam mana dengan kau. Dah sudah ke belum? Lepas tu bukak sekolah aje aku sibuk pula dengan pertukaran guru besar sekolah aku dan juga tujuh orang guru biasa. Aku nak balas surat kau dalam masa cuti, alamat pulak tertinggal. Selepas itu aku kena lagi kursus menjilid buku selama dua hari. Walaupun aku dah pandai, tapi yang penting bagi ku ialah "Sijil" Bob!

Aku kat sekolah sekarang ni Bob, dah naik pening rasanya Bob. Sekolah aku dah dinaikkan taraf. Siap dengan bangunan pentadbirannya yang lengkap. Jabatan pendidikan menjadikan sekolah angkatnya, yang aku takutnya orang Pejabat selalu datang ke sekolah aku. Mati aku. Sekarang ni, apa-apa perkara kursus, semuanya dibuat kat sekolah aku.

Masa cuti baru ni, Cheh ada beri tau kat aku, En. Muttalib rindukan kau. Masa puasa itu hari, macam biasa Pak Mutalib buat projek kad raya. Masa buat kad raya itulah dia ada sebut-sebutkan nama kau, tentang kad raya yang kau buat masa kat maktab dahulu. Nampaknya Ayah Mutalib sayangkan kau le Bob. Engkau tak ada pengganti buatnya Bob.

Tentang buku yang kau nak tu Bob, aku rasa engkau balik nanti le engkau fotostatkan Bob. Sebab buku tu sangat tebal. Kalau kau suruh aku pos pun, memakan belanja yang banyak. Aku rasa engkau balik nanti, engkau fotostatlah seberapa banyak yang engkau ndak. Aku bukannya tak percaya pada kau, tapi kita fikir masalah untung rugi perbelanjaan kita.

Macam mana keadaan orang kita seorang lagi tu. Lama tak dengar berita. Sakit angau lagi ke. Kah! Kah! Cakap padanya, kalau nak jumpa dengannya selalu, cuba-cubalah mintak kat sekolah aku. Sebab sekolah aku banyak yang kosong. Dekat sikit nak berulang, pada dok terlopong kat rumah tu.

Akhir kata ku Bob... sekian saja.

"Gayu guru Gerai Nyamai"

tolong terjemah sendiri le kalau nak tau.

Salim KPS.
Melaka. 1 July '92.




*aku tergelak bila membaca surat dari si salim misai ini. pandailah dia buat cerita, kononnya en. mutalib sayang kat aku. dah tu siap tanya merasa tak makanan yang pelik-pelik tu, apa dia ingat tempat aku posting tu pedalaman sangat ke. walaupun lawas tu bandar kecil di pedalaman, tapi alhamdulillah kemudahan asasnya cukup. en. mutalib tu orang batu gajah dan dah lama pun pencennya. tapi sayang aku tak ada simpan alamatnya, kalau tak boleh jugak aku buat kunjungan hormat untuk pak mutalib bin hussin tu. konon-konon buat tersesatlah dulu. dia ada cerita semasa dia berkursus seni di london, antara kerja kursusnya ialah melukis orang perempuan yang ... di depan mata kepala secara live dan dia pernah tegur aku sekali semasa maktab nak buat satu function, aku di suruh mengepalai membuat kain rentang, tapi ruang dalam bilik seni tak muat, berterabur dengan macam-macam benda. jadi aku bawaklah kain tu dan bentang kat terowong nak pergi ke gym, kononnya mudahlah nak disiapkan. orang tua ni dengan muka serius mungkin tengah tension agaknya, panggil aku dan merenung aku sambil berkata: "Hang sesat ka Bob?". aku pun terkedu, aik! kenapa pulak, kata aku dalam hati. nasib baiklah dia cuma acah aje. rupa-rupanya dia saja nak bergurau dengan aku. lega rasanya lepas tu bila tengok dia tersenyum dan gelak sambil berjalan menuju dewan sri kinta. itulah antara kenangan aku dengan en. mutalib yang disebut-sebut oleh si salim ni dalam suratnya pada aku semasa aku masih lagi berkelana di rantau orang. oh, ya! ada satu lagi kenangan, maktab tengah sibuk nak buat hari kokurikulum, aku masa tu baru habis di uji kawat kaki oleh pegawai bomba bersama beberapa orang lagi member yang tertinggal dek kerana pergi mengikuti kursus latihan membina semangat di maktab perguruan ipoh, ulu kinta, tengah-tengah berpeluh tu, aku pun menapaklah ke bilik seni, terserempak dengan en. mutalib, lalu dipanggilnya dan disuruh aku memakai tengkolok dan sehelai baju baldu hitam bersulam dan bertekat benang emas. aku diminta berdiri tepi dinding dan dia pun mengambil gambar aku menggunakan kamera kesayangannya. dua kali di'snap'nya. seminggu kemudian aku pun dapatlah menatap gambar tersebut. ok, jugak kata aku padanya, ia hanya tersengih-sengih sambil mengelap cermin matanya dengan sapu tangan. aku nak letak gambar tu kat catatan ini, maaflah aku tak reti, blog ini pun aku pakai buat saja guna kemahiran sendiri tanpa tunjuk ajar dari sesiapa. eh!eh! dah pukul 1.15 tengahari, jomlah balik tunggu apa lagi.....

surat jaman tori - 9

Hang Jebat
Melaka.

Assalamualaikum,

Apa cerita orang kita. Sihat ke idak. Diharapkan dirimu sihat selalu hendaknya. Macam mana keadaan di sana dlam bulan puasa ni.

Terlebih dulu aku memohon berbanyak-banyak kemaafan kerana kelewatan surat ku membalas surat mu tempohari. Apa nak buat Bob. Sekolah aku terlalu sibuk le Bob. Alahai, macam duk kat maktab balik rasanya. Bob, macam ni mau aku masuk balik maktab. Tapi ini mustahil akan berlaku pada diri ku. Aku tak kan pergi lagi ke maktab buat selama-lamanya. Kalau aku pergi pun setakat Bilik Seni dan bilik En. Muttalib yang atas dewan Sri Kinta. Benci aku tengok maktab. Kalau aku ada kepentinggan sangat misalnya untuk dapatkan kerawang baru misalnya, baru le aku pergi. Konvo pun aku tidak akan pergi. Jangan harap aku jadi "Kuli Batak" untuk kali kedua. "Good Bye Maktab untuk ku".

Baru-baru (masa cuti) Cheh ada bagi tau aku tentang dua orang tua tu M & S. Mereka berdua amat memujilah KPS tahun kita, kerana katanya "Budak KPS" tahun kita ada/cukup lengkap segala-galanya. Budak tahun kita cukup berbakat dan gigih dlam segala hal. Katanya, tanpa mereka berdua, budak-budak kita boleh membuat kerja dengan baik dan berdisiplin. Jauh sekali pada tahun ini. En. M seakan-akan ingin memanggil balik kumpulan kita untuk berkhidmat dengan mereka. InsyaAllah kalau ada masa aku akan pergi juga jumpa dia orang untuk dapat akan bimbingan mereka tentang seni. Setakat ini tentang kerawang, kau jangan tanyalah Bob. Yang terbaru langsung tidak ada. Yang dulu-dulu punya ada le.

Macam mana dengan keadaan Joey sekarang. Tangkap lentok lagi ke. Wah, dalam diam-diam jeratnya mengena kat Kampar ye. Tolong cakap kat Joey, kalau dah dapat kak, adik tu jangan nak cuba kacau. Ini Hang Jebat punya cerita. Membujur lalu melintang patah. Jangan cuba nak jolok sarang tebuang, nanti paroh akibatnya.

Bob, dari mana kau dapatkan alamat aku. Aku tercari-cari juga mana alamat kau. Tapi tak dapat. Rupa-rupanya kau lebih pintar dari aku ye.

Untuk pengetahuan mu, aku duduk serumah dengan Azam. Sekolahnya pun tak berapa jauh juga dengan aku. Tu yang aku dapat duduk sekali. Wah, Azam dasyat sekarang ni cakap lu. Baru aje duk kat Melaka 3 bulan dah dapat 3 orang awek, wah hebat. Tinggal lagi lima tahun kat Melaka tak tahu macam mana cerita le.

Aku balik kampong cuti baru-baru ni, aku jumpa semua member iaitu Suhaidi, Khalid, Mat Badrul. Wah, mereka semuanya mewah-mewah belaka. Dah le gaji STPM, sebelah petang dapat mengajar sekolah Lepai lagi. Satu jam dapat $7.00. Bayangkan lah dia mengajar 2 jam sehari. Rumah free, air free, cuma bayar bil letrik $3 sebulan. Cukup satu tahun beli kereta jawab le.

Engkau kat sana tak kan tak ada duit. Setahu aku engkau dapat banyak duit elaun. Boleh le beli kapalterbang sendiri untuk pulang ke Semenanjung. Macam mana cuti panjang nanti, kau balik tak. Kalau kau balik, nak lepak-lepak kat Melaka boleh le aku tunggu kau.

Akhir kata, Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Hari Raya. Maaf Zahir Batin sekiranya ada termakan, terminum, terkata, terkutuk, terkentut dan bermacam-macam ter lagi, harap dimaafkan dan anggaplah itu hanya gurauan dan fenomena hidup. Mintak di halalkan dunia dan akhirat.

Wassalam.

Aku nak kirim kuih Raya pada kau tak ada sape yang nak pergi. Sory ye.....

P/s: Sampaikan salam pada member-member Sarawak jika jumpa.

Jebat Melaka
(tandatangan)




*ini salah sorang member serumah di taman cempaka, ipoh dan taman maju jaya, kampar. orang terengganu pekat tapi ngaku hang jebat. perasan betullah dia ni. namanya salim bin jusoh tapi terkenal dengan panggilan salim misai, misainya tu kalau pensyarah tengok, pensyarah pun kecut agaknya. aku, salim, Cheh dan suhaidi pernah naik motor pergi cameron highlands pada cuti raya cina tahun 1990. sampai tengah jalan bantai dek hujan, habis basah kuyup, tapi dek semangat nak berjalan-jalan, itu semua tolak tepi. petang baru balik, senja baru sampai ipoh. orangnya nampak kasar dan garang tapi baik hati. orang kuat kps(kumpulan pencinta seni) yang selalu sibuk dengan koleksi kerawangnya dan m & s ialah pensyarah seni kami iaitu en. muttalib dan en. sukor. kami lebih rapat dan mesra dengan mereka berdua dari pensyarah pengajian agama, sehingga kami pernah disindir. tapi biasalah kami bukan jenis makan saman, sindir ke, perli ke, apa orang lain nak sibuk. janji kami tak kacau orang lain. sekarang ni tak tahu di manalah agaknya jebat ni bertapa. tapi insyaAllah aku akan cuba cari dia, samada di gunung, di gua atau dalam lubang cacing sekali pun, bukannya apa sekadar nak bertanya khabar berita, sihat ke tidak.....itu aje!

Isnin, 20 Julai 2009

surat jaman tori - 8

assalamualaikum!

Hello Bob! apa khabar sekarang ni? Gua harap lu sentiasa dalam keadaan sihat-sihat hendaknya. Tambahan pula dalam bulan puasa ini. Gua sekarang ini al-hamdulillah sihat. Bob lu punya surat telah gua terima dan gua rakamkan jutaan terimakasih. Ingat juga lu sama gua.

Bob, bagaimana kawan-kawan di sana semua sihat ke? Gua harap mereka semua sihat. Hari Raya Puasa tak balik kampong ke? Nampaknya Gua ini tahun balik dan tiket sudah booking. Gua balik 21/2 - 3/4/93, Gua lajak dua hari. Ini pun sudah baik, sebab gua punya kawan di kawasan pedalaman balik 19/2 lagi.

Gua minta tolong sama lu, kalau bolehlah, Gua mau Beras Bario 2 kilogram. Gua sudah rasa itu beras bila pegawai penerangan balik kampong di lawas, gua kirim sama dia. Gua mahu bawa balik pada 21/2 nanti. Agak-agak sempat tak? Gua ingat sempat lagi. Gua beri sama lu rm20.00. Oh ya, Gua ingat nanti suatu hari gua mahu pergi ke Lawas sama Labuan. Samada gua pergi sama gua punya bini atau sama kawan tengoklah nanti! Gua ingat itu macamlah. Dulu (Feb 92) Gua sudah pergi sampai ke Limbang, Miri, Bintulu dan Brunai. Nanti gua pasti pergi ke Lawas, sama Labuan dan K. Kinabalu. Lagi pun tahun depan gua mahu mintak balik sebab gua punya bini kerja di Jais Selangor. Tiga tahun disini cukuplah. Sarikei sama Kapit gua sudah pergi hanya Sri Aman, Samarahan dengan Kuching sahaja lagi, gua belum pijak.

Okey lah, Bob sampai di sini dulu gua ingat hingga di lain masa dan ketika kita jumpa lagi. Salam persahabatan sama kawan-kawan di sana, itu imam apa nama gua sudah lupa dia gemuk2 pendek! dan semua kawan-kawan di Lawas. Insyaallah kita bertemu jika diizinkan Allah.

Sekian terimakasih dan mohon dipinta tangan dihulur di bulan mulia dan di hari lebaran, maaf zahir dan batin. Jemputlah ke DALLAS! atau ke MEKAH (MUKAH) atau ke HONG KONG (Sibu) (tempat China bertendang).

By, Selamat Hari Raya semoga Allah beri keberkatan buat semua rakan-rakan di Lawas. Assalamualaikum!

Yang merindui teman2,

(tandatangan)

Suhaimi bin Mohamad.
SRK Sg. Ud,
96300 Dalat,
S'wak Bumi Tertuah!
27/2/93.



*semasa dapat surat dari suhaimi ni, aku hairan sape lah pulok yang hantar surat. aku dah tak ingat sebab aku dengan dia ni tak satu maktab, tapi sama posting ke sarawak dan hari-hari terakhir kami di institut latihan telekom, sebelum dihantar ke sekolah masing-masing, kami beberapa orang termasuk Yie(Mr.Kadri-surat jaman tori i) telah pergi ke kampong santubung dan berehat-rehat di pantai santubung, sempatlah bergambar berlatar belakangkan gunung santubung dan pantai santubung. dia balik awal ke semenanjung seperti yang dinyatakan dalam suratnya itu. sampai sekarang tak tau hujung pangkal tentang dirinya ini, jika masih bernyawa, semoga hidupnya sejahtera dan beroleh bahagia hendaknya.

selingan jek!

siri surat jaman tori belum tamat lagi, aku dah menyelongkar satu lagi kotak yang terpaksa berpindah mengikut aku ke keratong sembilan ini. tak banyak isinya , tapi untuk selingan tataplah sebuah puisi yang aku tulis semasa di tingkatan lima di belakang kulit buku tafsir.

Wajah-wajah Sepi

Seketika
ku terlena dan bermimpi
ketemu wajah-wajah sepi
penghias ruang pawana
ku takjub
kenapa wajah-wajah itu
yang terpilih sebagai penyeri.
Apakah tiada wajah lain
setanding wajah sepi
yang bisa mengharum di jalanan
menuju hari muka.
Namun untuk mu
ku rela mengutip wajah-wajah sepi
walau badai gelombang membedal
bukan ku tak sudi
memilih mu sebagai gema suara rindu
tapi wajah-wajah sepi
adalah bahana hati yang terluka
terhempas di pantai percintaan
dan berkecai di kalbuku.

b.tan.


*berkecai dimana? di danau kalbu ku. nanti kita cerita panjang jugak tentang danau kalbu ku ini.

Ahad, 19 Julai 2009

surat jaman tori - vii

Jamaluddin bin Chik
49 Kampong Kerayong
Triang Pahang
29.6.1992

Kepada anakanda yang di ingati lagi diharapkan dengan mendapat selamat hendaknya amin.
Masa ayahanda menulis surat ini ayahanda bonda serta keluarga sihat belaka diharapka bagi pehak anakanda begitu juga lah hendaknya.
Andak nya ada bagi tau yang anakanda hendak tengok gambar anak lebai ramli, inilah ayahanda hantarkan bersama sama surat ini. gambar anak lebai Ramli ini ialah yang sebelah kiri di dalam gambar ini. bertudung hitam namanya Rosnah. sebelah dia bertudung puteh anak encik awang hitamnya iaitu adik beradik angkat anakanda, di sebelahnya anak mandur Ridzuan dan di sebelah dengan na itu anak Ibrahim baba orang rumah murah ini belaka, di sebelah susila miah anak tok andaknya di Jeram ular. itu terpulanglah kepada anakanda. ayahanda tidak paksa, kalau ada jodohnya. Emak tanya susila, ada kah kawannya lakilaki atau pakwaa, yang setakat susila tau tiada. Itu sajalah yang ayahanda bagi penjelasannya.
Sampai di sini dulu sehingga di lain berita sambulah salam kasih sayang daripada ayahanda bonda dan keluarga.

yang berharap
(tandatangan)

29.6.92






*satu lagi surat dari ayah aku semasa aku di sarawak. rasa-rasanya gambar tu masih lagi ada dalam album. aku nak tengok tu bukanlah aku ni memilih sangat, tapi nak jugak tahu macam mana rupa bakal tunang aku dan seterusnya bakal isteri aku tu.

surat jaman tori - vi

Ayahanda Jamaluddin
17.6.1992

Kepada anakanda ku yang diingati lagi diharapkan dengan mendapat selamat hendaknya amin.
Disini ayahanda memberi jawapan yang anakanda taliphone tempoh hari, iaitu anakanda suruh ayahanda tanyakan anak mat balak itu. tapi ayahanda cuba mau berbincang dengan ayahda jalil dia pun tidak bersetuju juga. kerana kita mahu mencari isteri mengikut hadis Rosulullah sws mahu ada 4 sifat pada perempuan itu. hinggalah kepada ayah dan keluarganya. yang paling utama ialah ugama, iaitu mohmad balak itu tidak sembahyang jumaat sudah hampir berpuluh puluh tahun. Kakaknya petang keluar ke kerayong ini dengan menaiki basikal rambut mengerbang dan memakai seluar pendek dan baju tangan pendek dengan bergaya ini kah pakai orang Islam. kata ayahda Jalil nya budak itu tiada bergigi jadi ayahda nya tidak bersetuju.
Ayahanda harap anakanda cubalah kali ini ikut pilihan ayahanda yang kedua iaitu anak lebai romli- ia adalah kawan tina anak makteh limahnya, dan masa ini berkerja di kedai buku tempat susila kerja di teriang itu. dan dia berkawan pula dengan susila pergi dan balik bersama sama susila naik basikal.
Ayahanda sudah dua kali pergi ke kedai itu dia adalah bahagian jualan melayan pelanggan membeli barang, petang ini 16.6.92 ayahanda pergi ke kedai tempat dia kerja beli kertas tulis yang hatar kepada anakanda dia layan ayahanda dengan baik. tapi ayahanda malu takut orang kata pak haji mengorat pula. Cept ayahanda keluar dan ayahanda ingin tahu iaitu adakah anakanda hendak kahwin masa cuti sekolah bulan 11 ini bagilah jawapan dengan segera. kalau tidak tunggulah masa anakanda balik nanti senang berbincang hanya sakian sahingga dilain berita sambutlah salam kaseh mesra dari ayahanda da keluarga.
Tapi kalu anakanda mahu mengiku ayahanda boleh ayahand pinangkan dan terus bertunang ada wang bulan 11 buleh nikah..
kalay anakanda hendakkan anak mat balak- terpulanglah kepada anakanda sendiri.

yang benar

(tandatangan)
17/6/92



*aku tergelak selepas membaca surat dari ayah aku ini. bukan kerana gaya bahasa atau salah ejaannya, tapi kerana ceritanya yang terkandung dalam surat itu. apabila aku dah kahwin dan aku tunjukkan surat itu kepada isteri aku, ia pun tersenyum jugak setelah membacanya. aku tanya dia, kenal tak mat balak. dia kata kenal tapi anak mat balak yang aku suruh mak ayah aku tengok tu dia tak kenal. budak tu satu darjah dengan aku semasa bersekolah di sekolah kerayong, orangnya ok lah, tapi tak tahulah pulak aku dia tak ada gigi. mungkin sebatang dua kot yang tak ada tu. ayah aku kata harap aku ikut pilihannya yang kedua, pilihan pertama siapa? entah, aku pun dah tak ingat siapa dan tak tahu siapa.
ayah dan mak aku sibuk-sibuk nak cari calon isteri aku tu sebab takut aku kahwin dengan orang sarawak, almaklumlah jauh macam-macam boleh berlaku kalau tak kuat iman. pada masa tu aku pun dah tersangkut kat sorang guru sandaran kat sekolah aku posting, tu yang buat mak aku cemas tak senang duduk dibuatnya. nasib baiklah si dayang tu jual mahal tak layan aku, walau pun baru putus cinta dan pakwenya kahwin lain, kalau tidak berbinikan orang sarawaklah aku.
dipendekkan cerita jadilah aku sorang-sorangya anak mak dan ayah yang kahwin ikut pilihan orang tua. mungkin dari situlah agaknya berkat doa dari mereka berdua, aku dah ada lapan cahaya mata, siapa sangka cinta lepas kahwin pun boleh bahagia dan insyaAllah akan kekal hingga ke ahir hayat kami berdua. buat isteri aku, terimakasih atas segalanya.
mungkin di satu masa nanti, ada yang terbaca catatan ini dan tersinggung dengan isi surat ayah aku tu, aku bagi wakil ayah dan keluarga mohon maaf kerana bukanlah niat aku untuk mendedahkan keburukan sesiapa pun. kita sebagai manusia biasa memang tidak lepas dari melakukan salah dan silap, tapi sebagai orang berakal, tak kan lah kita sentiasa ingin berada dalam salah dan silap, dan sentiasa melakukan salah dan silap. oleh itu perbaikilah diri dan hiasilah peribadi dengan iman dan takwa kepada ilahi sebelum kita MATI.

surat jaman tori - v

Rosnah bt. Jamaluddin
Sek. Men. St. Patrick
P.S. 124 91007 Tawau
Sabah.

27/1/92

Assalamualaikum.

Menemui Atan semoga sihat dan genbira selalu di sekolah yang baru. Andak sekeluarga di sini alhamdulillah sihat walafiat.

Tujuan Andak menulis surat iai ialah untuk memberitahu surat atan telah selamat andak terima dan faham akan isi kandungannya. Baru-baru ini andak menalipon mak dia suruh andak ajak atan ke rumah andak pada cuti bulan 2 ini. Andak dan abang Nasir pun memang suka kalau atan dapat datang ke sini jika atan tak cukup duit tambang balik nanti andak akan bayarkan. Kami harap atan sudi datang. Kalau atan nak datang talipon abang Nasir 089-775585 atau talipon rumah cikgu Zulfata yang atan talipon dulu dan abang Nasir boleh tunggu di lapangan terbang Tawau.

Bersama sama ini andak sertakan gambar Ahmad Syamim bersama keluarga untuk simpanan ayah tan.

Andak rasa cukup setakat ini dulu semoga kita berjumpa di Tawau cuti nanti insyaallah.

Wassalam.

Yang benar.
(tandatangan)




*Andak ialah kakak aku yang juga seorang guru dan pernah menetap di tawau untuk beberapa tahun. aku kesana pada 2 atau 3 hari raya puasa, dapatlah aku merasa beraya di tawau dengan mengikut andak dan abang nasir pergi ke rumah kawan-kawannya. bukan setakat tu saja, semasa cuti sekolah akhir tahun pulak, andak dan abang nasir telah pergi bercuti ke kota kinabalu dan ajak aku datang sekali bercuti kesana. ratalah kota kinabalu tu aku pergi. tapi sebelum tu aku dah pergi jugak, pada cuti bulan tujuh, aku ikut kumpulan cikgu-cikgu smk lawas mendaki gunung kinabalu. pendek kata puaslah berjalan, tapi tak sempurna jugak, sebabnya semasa di tawau abang nasir tak sempat bawak aku pergi SEMPORNA. ha!ha!ha! tak kelakor pun.....

Jumaat, 17 Julai 2009

surat jaman tori - iv

ABANG AWIE,
NO.18 JALAN TEMBUSU
TAMAN MAJU JAYA
KAMPAR

Assalamualaikum Bob, Abang Awie, Kak Ila, Zul dan Pina, syukur Alhamdulillah sehat. Abang Awie telah menerima surat-surat dan poskad yang menarik dari Bob. Harap maaf lewat dibalas kerana terlalu sibuk.

Jutaan terimakasih atas ingatan Bob terhadap kami semua, buat masa sekarang Abang Awie ada dua buah kantin, satu di s.m.s.k dan satu lagi di s.m.k. Syukur kepada Alah kerana melimpahkan rezeki yang bertambah kepada Abang Awie.

Bagi Abang Awie, sentiasa teringatkan keenam-enam orang, Bob,Zul,Salim,Fikri,Nusi dan Azam, kadang-kadang terbayang kenangan-kenangan manis dahulu. Begitulah apa nak buat, walaupun jauh dimata dihati terkenang. InsyaAllah satu hari nanti kami akan sampai di Bumi Kenyalang jika diizinkan tuhan. Abang Awie telah menerima surat dari Salim dan Azam. Abang Awie berharap jika berjumpa dengan Zul kirimkan salam dan menulis surat kepada Abang Awie. Harap Bob akan berjumpa dengan Zul jika senang. Ziarahilah antara satu sama yang lain maklum sajalah ditempat orang. Kami memang rindu kesemuanya tapi apakan daya.

Mengenai dengan Lina dia tidak ada tinggal di Kampar lagi dengar cerita dia telah berpindah mengikut keluarga ke Mambang Diawan. Sehingga hari ini abang Awie tak pernah berjumpa dengannya. Janganlah susahkan diri mengingatkan dia, ingat Bob bunga bukan sekuntum.

Bila Bob balik bercuti nanti singgahlah kerumah Abang Awie. Jika Bob datang "Kecil tapak tangan Niru kami tadahkan". Cikgu Zaidi masih tinggal di rumah itu lagi. Kesian melihatnya.Insyaallah ia akan berteman. Sekarang Safina, sudah bersekolah tahun satu di sekolah S.K.K dia pergi ke sekolah bersama Zul. Setakat ini sahaja yang dapat abang Awie coretkan buat Bob. Akhir kata sambutlah salam rindu dari Abang Awie, Kak Ila juga terimalah peluk cium dari Zul dan Safina.

Disini
(tandatangan)
24/12/91



* Abang Awie adalah abang angkat kami berenam semasa menyewa di taman maju jaya ketika menjalani praktikum di beberapa buah sekolah sekitar bandar kampar. beliau memang baik hati dan pengusaha kantin di sebuah sekolah menengah depan rumah yang kami sewa. beberapa kali abang awie mengejutkan aku pada pukul lima pagi kerana minta tolong aku goreng telor mata kobau untuk jualan di kantinnya. dan sebagai ganjaran beliau menghadiahkan aku sehelai cadar yang aku gunakan semasa membujang di lawas dulu. lina adalah awek tingkatan 6 atas sekolah itu yang aku selalu usik bila lalu depan rumah, tak pernah marah hanya sentiasa senyum saja. ia anak polis, katanya yang berpangkat besar juga di kampar tu. cikgu zaidi adalah guru lepasan utm skudai, posting kat sekolah tu dan nompang rumah yang kami sewa. selalu ia jadi sasaran gurauan kami kalau tengah berkompol ramai-ramai, ada awek tingkatan enam yang lalu. tapi ia sporting, cuma tersengih saja. tahun 2004 ketika pulang dari kedah dan penang, aku sekeluarga ada singgah di sekolah tu, bukan nak cari lina, tapi nak jumpa abang awie, ia pun dah ingat-ingat lupa, oleh kerana ia tengah sibuk, jadi tak dapatlah nak layan aku lebih-lebih sangat. dia suruh pergi rumah dia, tapi aku terus balik, malas nak kacau keluarga orang yang dah tak berapa ingat pada kita. cuma terima kasih atas segala pertolongan dan perhatian semasa kami menumpang kasih dahulu. sayonara...

surat jaman tori - iii

BONDA DAN KELUARGA...
21 SEPT. 89'

BERTEMU KEMBALI ANAKANDA BORHAN MOGA TIKA DAN SAAT NIE BEROLEH KESEJAHTERAAN DALAM MELALUI RUTIN KEHIDUPAN..
KELUARGA DI KAMPONG SEMUANYE BERADA DALAM SITUASI YANG MENYENANGKAN... SYUKUR KITA KEHADRAT-NYA...
UTUSAN DARI ANAKANDA SELAMAT SAMPAI KEPANGKUAN BONDA PADA JAM 0945 TANGGAL 12 SEPT. 1989...SETELAH DIAMATI DAN DITELAAH MAKA FAHAMLAH AKAN APA YANG TERSIRAT DAN TERSURAT...
AKAN KELEWATAN BALASAN UNTUK ANAKANDA...MAAF DIPOHON... BUKAN DISENGAJAKAN...MOGA ANAKANDA FAHAM AKAN KEADAAN KITA SESAMA KITA.
UNTUK PENGETAHUAN...PADA HUJUNG MINGGU LALU...ADA LIB BALIK KEJAP...'SEMESTER BREAK' KATANYA...
ATAS KIRIMAN BORANG MAKTABTU...CUMA UCAPAN TERIMAKASIH YANG DAPAT DISUMBANGKAN... MOGA KITA SEMUA MENDAPAT BERKATNYA...
LAIN RASANYE TIADA LAGI...CUMA INGATAN BIASA SEORANG IBU PADA PUTERANYE... BUATLAH APA YANG BAIK DAN DIREDAINYA...FIKIRLAH BERKALI-KALI SEBELUM BERTINDAK...HIDUPLAH SECARA ORANG DEWASA YANG WARAS DAN JANGAN MENYINGGUNG PERASAAN INSAN LAIN...
BERKENAAN APA-APA YANG PERLU UNTUK PEMBELAJARAN BELILAH SELAGI IANYE TIDAK MERUGIKAN DAN MASIH DALAM JANGKAUN KITA...
CUKUP SAMPAI DISINI...MOGA AKAN ADA WAKTU UNTUK KITA BERSAMA LAGI...!

SEKIAN WASSALAM...


YG IKHLAS:
(tandatangan adik aku(
2100 HRS.




* ini adalah surat dari mak aku yang diwakil tulis oleh adik aku Hamdan bin Jamaluddin. kalau tengok pada tarikh surat tu, bermakna aku baru sebulan lebih berada di maktab perguruan kinta. aku mendaftar di mpki pada 2.8.1989, sebagai seorang anak, aku telah menulis surat kepada mak aku menceritakan dan memaklumkan keadaan aku di maktab. jadi surat di atas adalah balasannya. tak kira samada jauh atau dekat, rajin-rajinlah bertanya khabar berita dengan ibubapa kita, sementara kita masih diberi peluang untuk menziarahi mereka.

Khamis, 16 Julai 2009

surat jaman tori - ii

FAKHRUDDIN IDRIS B. MOHAMAD ALI
NO 80 KAMPUNG MENGKASAR
26600 , PEKAN PAHANG.


Apa khabar sekarang, moga hendaknya dengan izin Allah taala sihatlah kamu hendaknya. Bagi diriku disini seperti biasa macam orang biasa. Arakian kalau hendak diceritakan oleh sekelian orang akan ceritaku ini tiadalah dapat akan dia kerana kalau dicuba dengan kuasa tujuh petala langit sekali pun akan gagal dia, demikianlah hebatnya Tuanku Fakhruddin al-Maktab Kinta.

Tersebutlah kisah disebuah negeri namanya lupalah pula, akan tempatnya masih lagi ingat iaitu di palong 9 adanya tempat Tuanku Fakhruddin mengajar dulu di negeri sembilan disebut orang. Akan dicerita oleh orang kebanyakan bahawa Fakhruddin telah bertukar sekolah adanya. Kini ia mengajar dikampungnya sendiri pula. Yang malangnya pula Isterinya masih mengajar ditempat lain, pendek kata dari mula kahwin sampailah sekarang tiada serumahlah ia laki bini. Demikian lah lumrah alam ada mudah dan ada susah.

Hatta sekarang ini Tuanku Fakhruddin masih lagi lagaknya bujang dah kahwin. Dan tiap-tiap minggu berulanglah ia ke kampong isterinya juga. Jauhnya 4 jam perjalanan jua adanya. Pendek kata kalau naik basikal penatlah berkayuh. Kalau berjalan kaki alamat tak kembalilah ia.

Tersebutlah kisah lah ingin tau cerita orang disana, apakah sudah berubah atau masih seperti dulu lagi. Kirimlah berita pasti dibalas walaupun agak lambat. Bagi Tuanku Fakhruddin macam biasa, macam dulu-dulu dengan riuhnya.

Mentari kian pudar sinarnya, embun mula membasahi ruang beburung sudah kembali ke sarang, kutu mlam mula keluar mencari sasaran namun mataku sudah pedih pandang komputer ini. Namun begitu kita tetap kawan. Ampunlah dosa ku dari hujung kaki ke hujung rambut.

SEKIAN

PECAH KACA PECAH GELAS
SUDAH BACA HARAP BALAS


* Aku lulus kursus SSB
* Nama sekolah aku Sek. Keb. Seri Terentang, 26600 Pekan.
* Insyaalah sikit masa lagi aku dapat anak.
* KITA TETAP SAHABAT


*Begitulah bunyi warkah tanpa tarikh dari rodong aku yang bergelar 'Yeh'. Sorang lagi member kamceng semasa di staf, pekan. kenangan aku dengan dia yang paling melekat dalam kepala aku ialah aku pernah menumpang basikal dia pada waktu malam nak ke sekolah agama ketapang, kerana kami di tugaskan untuk menjaga barang pameran sempena Masisupa tahun 1985, kami berkonvoi beramai-ramai dan berlumba pulok tu. Nak jadi cerita sampai kat simpang tiga depan hospital pekan yang lama basikalnya telah melanggar lubang tepi jalan. aku rasa aku bukanlah berat sangat tapi basikal Yeh patah dua dan aku tertumus atas Yeh yang tertiarap atas basikalnya yang malang itu. Apa lagi gegak gempitalah alam dengan gelak ketawa dari member-member yang lain. Pulok tu tayar depan bergolek-golek tengah jalan. rupa-rupanya aku yang kurus ini berat jugak. Terpaksalah 'basike' yang putus dua tu masuk wad tepi tiang 'hospite'. Lalu kami pun menapaklah beramai-ramai dengan cerita dan gelak yang tak kesudahannya. Tapi itu semua adalah antara kenangan yang teramat indah dalam hidup ku ini. Buat Yeh sekalung Al-Fatihah dariku, semoga roh mu ditempatkan bersama roh-roh mereka yang beriman. Amin. Khabar tentang pemergian Yeh hanya diketahui ketika aku ke pekan menhadiri majlis perkahwinan anak saudara aku Badrul Hisham pada tahun 2001, beberapa bulan selepas beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir kerana sakit lelah yang diwarisi dari arwah ayahnya. Tersentuh hati aku ketika membaca frasa 'KITA TETAP SAHABAT' sedangkan ia kini berada di alam barzah, destinasi semua umat manusia yang MATI. Terkenang kembali keriuhan Yeh yang ada saja ideanya untuk meriuhkan suasana. Aku hanya berdoa agar anak-anak Yeh sejahtera hidupnya dunia dan akhirat.

Rabu, 15 Julai 2009

surat jaman tori - i

Buat Al-Bob.

Gua caya lu sihat punya. O.k lah gua malas cerita panjang sama lu,dan lu mesti tau gua agak sibuk maklumlah ustaz.

Gua mau kabar sama lu tentang Ct yang lu dok syok tu. Gua fikir lebih baik lu lupakan saja tentang dirinya kerana lu hanya bertepuk sebelah kaki, mana nak bunyi.Sorry ya gua terpaksa beritahu lu sebab gua tak mau lu gila bayang tak menentu arah.

Gua kesian sama lu,tapi apa boleh buat lu pandai-pandai main api dah terbakar jari. Dulu gua nasihat sama lu jangan main api tapi lu budak degil cakap orang tua-tua tak mau dengar, sekarang dah parah.

Bob, gua harap lu dapat terima kenyataan ini sebagai satu hakikat ya, gua tak mahu lu peras mennongggengggggggggggggggggg!.

Sobonarnyo Ct akan bertunang dengan seorang cikgu di sini (member gua), dia orang suka sama suka jadi kira oklah. Tarikh pertunangannya munkin lepas raya nanti.

Usahlah lu harapkan kasih dari orang yang tak sudi nanti menyeksa diri, pandai-pandailah lu menjalani hidup ini agar tidak kecewa lagi.

Ok gua ini macam Cik Sri Siantan pulak nak selesaikan masalah orang.Gua rasa cukuplah hingga di sini dulu. Ahirnya gua harap keterangan ini dapat menjelaskan kedudukan yang sebenar tentang Ct dan menghapuskan penderitaan lu.

SELAMAT HARI RAYA
MAAF ZAHIR BATIN
TIAP PERISTIWA NAN PERNAH KITA LALUI
TETAP SEGAR DALAM INGATAN.

Mr.Kadri Pekan.


*Begitulah bunyi surat yang aku terima dari Yie(kadri) (sekitar tahun 88 sebelum aku dapat masuk maktab) member kamceng yag sama-sama selalu ponteng dan naik motor dari Pekan ke Kuantan, berhujan berpanas berkhemah dan bermacam ber lagi. lepas stpm dia dapat jadi guru sandaran, sedangkan aku hanya tersandar di kampong. surat itu bertaip dengan warna merah dan di atas kertas kuning lagi, macam surat dari istana saja nak bagi warning, apa-apa pun tahniah buat yie, dengar cerita dah kahwin buat kali ke TIGA. ye ke?? TAHNIAH! TAHNIAH!
Buat Ct (Siti Haida binti Shamsudin) moga bahagia disamping suami dan anak tercinta.
Tapi kalau tak salah orang, semasa nak buat pasport nak gi Sarawak dulu, di Kuantan aku ada ternampak Ct ni dukung anak kecil dengan suami dia agaknya, sekarang tak tahulah berapa anak dia gamoknya. entah-entah dah lebih dari aku. Ha! Ha! Ha!

Isnin, 13 Julai 2009

dalam kenangan... in memories... (kenangan sepanjang zaman selagi hayat di kandung badan)

salam,

selain dari salam, tak tahu aku bagaimana nak dimulakan catatan kali ini, mungkin panjang dan tak mungkin pendek. malam tadi aku telah menyelongkar satu bakul yang berisi kertas dan beberapa buah buku yang turut sama aku pindahkan bersama aku dari seri buntar ke keratong sembilan ini.
terjumpalah satu buku catatan kecil dan satu fail merah semasa zaman aku di maktab lagi. dalam fail itu biasalah tersimpan helaian kertas, surat-surat lama zaman aku di maktab, sarawak dan lepas habis sekolah dulu-dulu dan potongan dari akhbar yang merupakan satu dari hobi aku, catatan puisi aku yang lama-lama tapi tak pernah sempurna, dan aku berjanji pada diri aku, aku akan siapkan di dalam ruang ini. insya-Allah, kita cerita di lain kali.

yang aku nak cerita sekarang ialah buku catatan kecil yang tak misteri, tak sensasi dan tak berseri. cuma aku rasa, aku nak kongsi tapi tak ada apa pun yang menarik ia cuma catatan ringkas sebahagian dari perjalanan hidup aku yang aku tempuhi semasa aku bergelar guru pelatih maktab perguruan kinta, jalan dairy, ipoh. jangan cari maktab tu, dah tak ada dah. waktu itu aku berusia 22-23 tahun. tengah berdarah muda bergelora. catatan ini bertarikh tapi tak dicatat tiap-tiap hari kerana aku mencatat di masa yang tersempat sahaja. mungkin nanti akan timbul persoalan itu ini begitu dan begini, tapi aku fikir biarlah orang tahu kerana aku pun manusia biasa yang tak lepas dari salah dan silap, dan kalau nak cerita sejarah persekolahan aku pun, aku malu sendiri kerana banyak insiden-insiden yang sengaja dan tak sengaja telah berlaku dalam riwayat hidup aku. jadi aku akan cuba menyalin semua catatan itu tanpa pindaan dan perubahan, cuma untuk lebih jelas lagi, aku akan buat nota tambahan supaya ia lebih mudah difahami. buku ini tidak ada kulit depan dan belakang, muka depannya adalah catatan pertama:-


TSP- cik yeoh - "Buku" gua sudah bikin habis.
Tauhid & Fekah - lepas ROS. (rancangan orientasi sekolah)
Sistem Keluarga - lepas ROS.

ABR 3000 & WW 3552?


Attention:- Perhatian:-

Raja Rock:- masuk PGPI- kata Razzi.

-Ahli Jawatankuasa Badan Dakwah-

15hb. Februari, 1990= sesungguhnya Aku takut, takut dengan tuntutan diakhirat nanti.

-dah hampir 30 batang gua hisap rokok tahun ini.- macam mana dengan azam tahun baru,brader. Tak boleh jadi. Tak boleh jadi!!!


Bayang-bayang mereka dan mereka yang lain-

Hazmah - apa khabar? belajar rajin-rajin ya!!!
Bedah -
Rozilah - perincian dan ruang masa mu lebih utama.
Haiza Hayati - ingin ku indang kau ke teratak ku
Shaharin - kelam malam-apakah masa depan mu turut kelam.
Hanafiah -
Mohd. Shami'ad - 20.4.1980. usahalah membentuk peribadi yang sejati.
Lily Zarina - setahun tak jumpa.
Hasnah - lu punya tetek-woiyo!!

-ROS tetap ROS-
yang tinggal hanya kenangan-Hitam,Putih,Merah,Biru. Namun aku masih kelabu.

17hb, Februari. my birthday, elaun belum dapat lagi. Bengkek! Bengkek! Semoga hidup Gua diberkati Allah dan murah rezeki.
Sukan Maktab-boring telah melanda tapi aku- ahh! Gua Tetap Gua.

"Telah ku cuba mencari wajah-Mu dan menatap dalam tersipu namun yang ku temui bebayang kelabu."

23-mlm-turun Ipoh-di Railway Gua beli Dunhill 14.

24.2.90-Gua celah kampong- setelah 3 bulan tak balik- Awek Poli-cun jugak-tersenyum2.
Dia jatuh basikal-cedera sikit2-kesihan!
-Amoi- Gua caya sama Lu-cun habis.

-WP 81, AAL 6080, PAV 472- Kan ku tunggu lagi dikau mlm ini & seterusnya.

1 5= Sejarah Hitam. (nota: maaf, aku dah tak ingat dia punya sejarah, jadi tak dapat nak kongsi).

6.3.1990- Gua tangkap sambar satu peti bunyi-142(rm)- Gempak habis-Rock Still Rock.

6.3.90malam-Bla Ipoh-tapi bengkek-bas buat hal & kunci rumah ttinggal-Gua kopek pintu.tension.

12.3.90- Nisfu Syaaban-Puasa Sunat-Gua muntah-habis keluar isi-woiyo!
-Semulia2 Iman, manusia aman dari padamu, semulia2 Islam, manusia terselamat
daripada lidah dan tanganmu-Hadis Rasulullah.

15-17.3.90-Kursus Penerapan Nilai2 Islam & Pendidikan Moral-
Malam Sabtu Qiamullail- Budak nangis! Dasyat!Dasyat! Tap Gua tak de la. Apa boleh
tak boleh nangis, mungkinkah Gua begitu keras hati. Wallahua'lam!

18.3.90-Terjumpa Awek Poli- Ila-borak-borak- kemudian bla.
Malam- Pasar Malam- jumpa lagi-malas nak layan, buat dono- Dia pun dono jugak. Gua tangkap sambar-baju,tuala & dompet.

20.3.90- Pergi Benteng- Sop ayam. Pergi beli rokok-awek tu ada dgn membernya:- ustaz! Tension Betul gua- Gua bla ikut jalan lain.

Rabu-21.3.90- Kad Giro Gua hilang-tension-tension-pulus pulak sudah nak kering-bank-ada lagi.

22.3.90- Gua nak gi Gerko-Awek tu borak dengan jantan- Gua tak tahu sape!!!

24.3.90- Projek Sekolah Angkat- S.K.Sg Lesong, Kampar- Gua tangkap baca doa & sajak. Woiyo! Caya lah Gua.

26.3.90-Senin- Gi Bank-report kad hilang- lewat masuk kuliah TSP-banyak sangat orang. Petang jogging-budak tu berpaling-biarkan dia-Gua Tetap Gua-tengah jln hujan-basah habis.
Malam-Benteng-tension-order nasi goreng ayam-tapi tahun depan belum tentu sampai. Lepak Sari 5-tulisan jawi. 12 lebih-baru balik-lepak dgr radio.

*Aku tahu kau dah berpunya dan kini aku tak mungkin mengharapkan kau lagi-Ila.

27.3.90-Mula berterawih di Maktab. Gi Bank-keluar duit $30. Petang Benteng-malam Benteng-Aku tak tahu kenapa aku jadi begini.

28.3.90-Mula puasa-sahur-Gua tangkap sayu ingat kampong-boring-

*Biar pun resah ini telah lama terhimpun
dan luputnya semalam ketika senja merah,
namun hadir mu Mubarak
ku sambut dengan gema takbir Illahi
buat menyonsong rindu ku yang berangkat
bersatu dalam kesucian abadi.
Kekasihku, Tuhanku
izinku pada- Mu menyusun sepuluh jari
dan tafakur di subuh bening
menyesali dosa2 ku yang lalu terhadap-Mu.

30-3-1990
B.Tan-90

2.4.90-Bilal kat Maktab-masa terawih. Puasa- Puasa ->

4.4.90-Berbuka di kantin Maktab-2PA3-terus terawih.

7.4.90-Kuliah-ganti utk Cuti Hari Raya-petang ada Gerko- tapi Gua tertidur.
Gi mana ni-Gua dah beli tiket 24hb, tapi cuti mula 25hb, tension,bengkek- pulak tu 24hb ada ujian Bah. Org Putih.

10.4.1990-elaun keluar:-
2.45 petang-Kuliah Ustaz Lebai-> masuk Pusat Sumber- tengok video Muqaddam-tapi Gua tak datang-gua pergi shopping-balik jumpa budak sekelas-> riuh sekejap.
Baju Melayu :- $18.00
Roti Burger :- $ 1.20
Minyak Rambut:-$ 4.40
Sabu Basuh :- $ 0.80
Kad Raya :- $ 1.20
Pen :- $ 2.60
Kaset Ngaji:- $6.00
Bateri Kecil:- $ 2.60
Jumlah = $36.80 -> Terbang Melayang!!! $14.20- Baki.

*Haiza Hayati-lu punya kad Raya Gua sudah terima-thanks to you! Harap tunggu Gua punya balasan yek!

11.4.1990-Gi Terawih-tengah jalan- jumpa awek Poli(Ila)- gua malas nak tegur-tapi dia pulak yang beri salam-Gua pun jawablah -> dan hati pun berbelah bagi- persoalan & persoalan -> tandatanya.
Berita Baik!!- Cuti bermula hari Rabu (25hb).

12.4.1990- Gi Masjid Negeri- Nuzul Quran-Ceramah, berbuka puasa, Terawih, Railway-> Soup Ekor(Ada awek buat dating tapi Gua tak tahu siapa, mungkinkah Dia???), Qiamullail-sendiri2. Sambar satu songkok putih. Pagi Jumaat balik.
*(Saling berbalas senyum dengan S!!)

13.4.1990--> Sabtu-lepak saja. Balik dari rumah rodong- tengok2 ada kad raya tanpa stem dlm peti surat. Ohh!! dari Ella(Ila?) rupanya-minta maaf dan lain-lain itu aja-tapi tanpa batin-apa maksudnya?

*Persoalan dan persoalan dan persoalan menbentuk tandatanya- Ella- (Siapa Dia).

15.4.1990- B'buka di Surau T. Cempaka. Lepas Terawih- Gi Pasar Malam-tengah jalan jumpa Ella-Gua tak tegur-malas-Dia pun tunduk saja. Beli kad raya-Balasan-Kain pelikat-lepak rumah Mie-2.30 pg gi Benteng & Razi & Fikri - terus balik- isi kad balasan dlm peti surat-No: 91 - Lampu bilik atas masih berpasang.

16.4.1990- Gi kuliah- Tension- tah apa2!! petang gi bank-> keluar $100.00-auter seluar, jahit samping, roti burger, koleh, butang- lupa nak bela jam- kad raya dari Azniza 4H-> Gua belum balas harap sabar. "Hah! Bob ponteng ye?" said Mohayuddin.
$7.00 - upah jahit. --> 21hb. 4.1990
$6.20 - koleh
$1.50 - roti burger
$7.70 - jumlah
$3.50 -
$11.20- jumlah
$ 1.60 - telor
$12.80 - jumlah

$13.00 - hutang
$12.80 - tambah
$25.80 - semuanya.

17.4.1990- Bbuka di Raiway- sop ekor & nasi ayam & tembikai susu -> Solat Maghrib kat Masjid Negeri.

19.4.1990- Ella dah bla kg- Gua bbuka puasa kat Maktab-Kelab Badminton.

20-22hb- lepak saja- sambil study.

23.4.90- Mula periksa- Pendidikan I & II dan Kertas Inggeris- jangan refers sudah! Takuttt.
-Sharmilla Razaly-

24.4.90- Gua blah kampong- Raya Gua cakap lu- tindakan tolak tepi-belakang kira.
*Rumah hampir siap -cuma tangga sedang dibuat.

27.4.90- Raya Pertama(Jumaat) Solat Raya-tahlil- $3.30-Solat Jumaat- Gua tidor-malas.
*Sibuk kemas rumah.

30.4.90 -> 1.5.90- malam Selasa-bla Ipoh -> sampai 5.00 pagi - tidur - sedar hampir 10 pagi. Basuh->lepak-> makan tengahari-> lepak->Study sikit2 aje.
Malam-> Arif Corner-penuh-Benteng-nasi & mee habis-> rumah Mie-> makan sikit-lepak.
11.30- balik-rumahnya masih gelap.
12.00- belayar.
*Lu belum balik Ipoh yee!!! Tak pe janji ada apa2!!

2.5.1990-Periksa Bah. Malaysia-kacang je! Ye ke- nanti lu yg jadi kacang!
12.00- bla.
Dia masih belum balik.
12.45- tidor berselimut.
Petang-benteng-kuih-> for bbuka.
Malam-balik dari beli sikriti(rokok la!)- terserempak dgnnya bbalas salam-malas nak cakap banyak.
*Hari pertama Gua puasa sunat Syawal tanpa sahur. Biasaklah Brader!!!

3.5.1990- tak nampak batang hidung.

4.5.1990- Periksa habis- Merdeka. Yahoo! - balik periksa-tserempak dia dgn membernya- tunduk saja-kenapa begitu?

5.51990- Tak nampak batang hidung.
-Petang->Mesyuarat Agong PGPI-ditanggoh-tak cukup korum-Gua bengkek- apa nak jadi hah!
-Malam-lepak Arif Corner- tidor.
*Gua rasa sedih,marah! Biar seribu kali telah diberi peringatan & pesanan tapi, sikap tetap tak berubah.

6.5.1990- Lepak Sari 5-Petang balik-terserempakdgn Dia-tengah bersenam-agaknya-malas nak tegur-tengah hisap rokok.

7.5.1990- Maktab-balik awal-konsert Iron Maiden(nota:pasang radio kuat-kuat)- tali tape putus- sambung semula.
Petang-Mesyuarat Agong PPKS-Juruaudit II-balik-terserempak lagi dgn membernya-juga malas nak tegur-hati berbelah bagi-kenapa? Mungkin belum sampai masa.
*Terjawab juakah persoalan nanti? Ku serah pada Mu.

8.5.1990- Maktab-balik awal-melihat sesuatu yang tak diduga- Gi Bank keluar duit-$20- Ipoh-Hati Bukan Kristal-Malam-When Harry Meet Sally-Saroja-Dasyat Gua cakap Lu!! Panas habis!! Malam-XXXX!
Petang-Benteng-beli kuih untuk bbuka-jumpa 'S'-bbaju kurung-cun!- gua cakap lu- cayalah gua.

*Malam tika nak keluar:- Gua lalu depan rumah Dia-ada sapa tah, bukak pintu-kemudian lari masuk-mesti bikin cerita punya tu!!!

9.5.1990- Wesak-Lepak habis!!- hari last puasa sunat Syawal-malam-XXXXXXXX! - Samantaha Fox-Lisa.

*'S' dgn member2nya balik Sabah- why terlalu awal?

10.5.1990-Maktab-Apalah boring betul-ceramah & forum-before itu- Orang tua Asnah ngamuk-Gua kena maki-pasal rambut panjang- "Bukankah Islam mementingkan kebersihan?" "Kebersihan batin lebih penting Puan!" "Tengok tu menjawab. Kurang ajar! Biadap!" "Terimakasih Puan". Dailog Gua dgn Org tua Asnah. Gua tak tahu nak kata apa-biar saja.

*Gi Bank- Siapakah yg memerhati aku tadi? Keluar $200.00
Petang-Mesyuarat Agong PGPI-berjalan lancar-.
Malam-> rokok Dunhill 20-lepak Sari 5, Sahak masuk wad-apendiks-basuh kain baju,seluar! zzz

*Mungkinkah antara aku dan Dia umpama kembang terhalang-jangan-tak rela.

11.5.90-Perhimpunan Akhir Semester.
Mlm-9.30-gi Benteng-puas tunggu-tapi tak ada datang- lepak Sari 5- Van sampai-balik kemas barang-Ella lalu dgn membernya gi Benteng-boring betul- Apalah lu!!!
11.30-bertolak ke Penang tanpa sempat jumpa Ella-singgah Taiping-Hospital & Taman Tasik.
2.56-sampai Jambatan Penang-pertama kali menjejakkan kaki-rasa macam tak caya.

*$30-utk bayar gi Penang- 9 orang- sewa van Pakcik Polis Ulu Kinta.

-Makan nasi kandar-langsung tak sedap-telor sotong-dekat sama besar dgn telor ayam.
-gi Bt Feringhi-hampir pukul 4 pagi tidor tepi pantai- cuma beralas tikar-

12.5.90-bangun-6 lebih-gi Masjid Telok Bahang-solat Subuh-sarapan-gi air terjun-mandi-gi tepi pantai-relax2-gi bandar-Muzium Penang-gi Super Komtar-malas nak naik-budak gi cuci gambar->

*Masing2 dgn tujuan & matlamat masing2.

-gi Bkt Bendera-makan mee-berebut nak bayak dulu-->awek cun yg kira.-> org ramai lambat sampai atas-solat Zohor-Surau Bkt Bendera-turun-Solat Asar->Masjid Negeri--gi ambil gambar sambil ronda2-gambar terlalu teruk-tak senonoh-> gi air terjun-mandi & solat Maghrib-atas batu berjemaah-gi bandar Super Komtar-window shopping-gi Padang Kota-soru->nasi ayam & kerang rebus->*T'ingat2 & rindu Ella.
Lepak tengok perangai manusia-b'macam2 ragam-

12.00 mlm- gi Batu Feringhi-tepi jalan-parking-Anor & Fikri -memancing-hujan-boring perut lapar-tidor dlm van-di depan-Mie,Anor,Fikri & Razi tidor dlm hujan-kes tak sedar.
*termenung dlm van-ingat sapa-> tah tak tahu?

13.5.90-bangun gi Masjid Tg. Tokong-solat Subuh-beli makanan-sarapan di Air Terjun dekat Muzium Phutanan Penang-mandi- terus keliling Pulau Pinang-Balik Pulau-nyaris2 accident->budak gaduh pening kepala-jalan bbelit2(Tangkap Sambar durian) & Bayan Lepas & Jelutong & George Town-gi Botanical Garden-gelak tak habis tengok kelakar manusia & kera- Mie sibuk dgn awek 2 org pakai baju biru sepasang-last2 tah apa2-gi semula Bt. Feringhi(melantak durian-pelawa Mat Saleh-tak hendak-takut agaknya)-lepak tengok org ramai-tengok org memancing-gi air terjun-mandi-mak oi! ramai juga org-gi masjid Tanjung Bunga solat Zohor-makan tengahari->ronda2 bandar-jeti-naik feri-pertama kali dlm hidup-rasa macam tak caya-Seberang Prai-hantar Sahak & Anor ke Station bus- dia orang nak balik Kedah-terus bla Ipoh-tah di mana2-singgah solat Asar-bla Ipoh-
9.00 lebih sampai T. Cempaka-gotong royong bersih van-solat Isyak-bkemas nak balik -
12.00 tgh malam- naik teksi gi Medan Kidd- gi Railways-naik keretapi-woi! ramainya umat-sepanjang hayat naik keretapi-tidor atas lantai dgn Kashfi(S/u Khormat MGP) -K.L.-Masjid Negara-

14.5.1990-Solat Subuh-Hentian Putera-sarapan-dlm p'jalanan tidor sepuasnya.

15.5.1990-Andak-bertunang-gua tak tahu bila?!!-->cuma rasa rindu pd Ella di Kuantan-> balik ni kena buat p'hitungan & keputusan utk hubungan seterusnya.

19.5.90-gi T'loh-Tabung Haji-> $42- gi Lebak.

20.5.90-gi Pekan Sari->11 pagi-Supershick Joyce-jumpa member2 lama- borak panjang-balik->seterusnya lepak kat rumah-buat projek2 yg patut.
*Sejarah hitam(nota: ntah, tak ingat dah)

23.5.--T'loh-keluar duit- jumpa member.

27.5-Kuantan-Fenomena-> Pekan- XXXX.

29.5-Bla- K.L- menerusi Keratong-> Jempul-> Beranang-> K.L-> Pudu-> HW 6140 & HW5993.
29.5.90-(mlm)Lepak Bee Heng Hotel(LHT4).
6-7.30-merayau kat LHT-dari bilik ke bilik-sedih, geram,marah & perasaan yg bercampur baur- ->baca YaaSin-merayau lagi ke seluruh LHT- Nyah-> Dasyat Ooo! Gua cakap Lu!! ->Tidor-> 2.30 pagi-bangun & merayau lagi-> 3.30-balik tidor.

30.5.1990-pagi-meronda-cari pejabat STMB-tak jumpa-teksi-> T. Keramat-> lepak habis-Lan,Jamal,Olie,Abu->

2.6.1990-Bla Ipoh->sejarah dlm hidup-pertama kali naik bas muntah(dlm tandas bas).
Dia(Ella) belum balik lagi.

3.6.90-member rumah dah balik-boring!! Bla Ipoh-Driving School-gelak & jerit-release tension. Ella dah balik-sampai sekarang masih belum bjumpa.

4.6.90-Cemas-malam->

8.6.90-Balik Gerko-malu2 konon!

9.6.90-Balik dari Sari 5(malam), Dia bsembang dgn 2 Balak, tah sapa tah. Gua pun tak tahu nak tulis apa lagi.

* Telah berakhir bulan Julai dgn segala kenangan pahit & maung & manis & tawar - hingga aku makin dewasa & kenal rentak sebuah kehidupan kenangan yang menjadi sejarah:-
"Adalah, org T'loh jugak"-Ella & aku pun kaku & bisu. Tak mungkin ku rayu.

4.8.1990-2 petang- Bla KLumpur dgn Mie-lepak kat Bee Heng Hotel-mlm ronda habis.

5.8.1990-Ronda Pasar Budaya- 12 tghari- Bla Temerloh-Balik Kampong setelah 2 bulan tak balik- lepak habis.

9.8.1990-12 tghari bla Ipoh-> Dunhill 20 ->
7 petang sampai Medan Kidd-sambar teksi bla T. Cempaka-> bermulalah saat2 tension.


27.9.1990-Khamis:-
Telah sekiannya aku tak menulis catatan, kini aku mula kembali-bukan apa, cuma sekadar mcatat tragedi2 yg telah ku tempuhi. Sebulan lebih & sebulan lebih juga aku kembali myepikan hati ini dari hati2 perempuan. Walau ada hati2 yang hampir bjaya mgetuk pintu hatiku- dengan hadirnya pelatih2 semester satu.

*Tapi kini siapakah Ana? Persoalan yang belum dijawab. Berjayakah?

*14.9.90-Kehilangan Antologi Kuntum2 Bunga Hati. Sesuatu yang tak ternilai bagiku. Semoga Allah menemukan semula aku dgnnya.
(nota: kuntum-kuntum bunga hati adalah kumpulan puisi tulisan aku sendiri yang aku anggap antara yang terbaik)

30.9.90-Ana-Gua Rindu Sama Lu. Tapi kini dimana kau berada. Satu keputusan harus dibuat di atas satu hakikat. Bagaimana seterusnya yang harus dilakukan. Samada biarkan saja, atau pun putuskan atau pun menjalinkan satu ikatan indah & mengasyhikkan - CINTA ->

Tarikh dah lupa- Gua sembang dgn Ana-kantin, semasa dia tengah makan.

- Surat dari Ana.

- malam 8.25-Sari 7,119, Gua kasi present pada Ana. Apa dia? Rahsia.

27.10.90-Gi kantin jumpa Ana-tarak?!
Ana balik kampong. Tinggalkan alamat-dapat tahu Ana nak bhenti kerja. Suspense. Tension-sengaja buat.

2.11.90-Gi Kedah-Proton merah. CAC 4007. Gua, Mie, Alek & Jedi. Rodziyah kahwin-> semoga bahagia ke anak, cucu, cicit, muit, tuit, duit, duit?!!

*Keluar $50. Isi minyak kereta $40 baki $10.

3.11.90- 3 petang- bla balik Pahang- tak sempat gi Sitiawan(Ana). pukul 2. pagi lebih sampai Jerantut Feri. Lepak rumah Mie.

4.11.90- Ada surat utk Gua-Ana, tanpa disertakan alamat. Rindu makin mgamit.

*Buat keputusan tak jadi gi Ledang- GPMS & LDK (nak jimat duit). Sibuk persiapan pkahwinan Andak & Nasir.

8.11.90-buat penanggah- Gi T'loh dgn Andak.

11.11.90-Andak kahwin-tak tengok-sibuk basuh pinggan mangkuk-tension 000!! makan nasi dlm mangkuk besa'.
-Malam-ada awek-cun jugak.

12.11.90- Surat from Ana untuk Gua. Ada alamat-kerja baru kat kilang stokin.

30.11.90-Bla Ipoh dgn Zamree- 7.30-sampai Medan Kidd.

1.12.90-Malam-gi Medan Gopeng dgn Malek, Salji & Li.
Ana & balak buruk lalu dan lepak satu meja- Gua!?............., Perasaan tak tahu nak cerita.

8.12.90-Aku masih lagi menanti balasan surat dari Ana. Biar apa isinya, aku tak kisah kerana hati aku telah bbelah bagi. Bila2 masa saja aku boleh mbiarkan ia berlalu.

12.12.90(Rabu)-6.30 ptg-balik dgn awek PI(nota:pengajian inggeris)-Hani Azita-sembang2 kosong- suruh tulis puisi, malu nak cerita temanya. Pulak Dah!!!

*Surat dari Ana, tersesat agaknya, isi-kononnya ia masih ingat pada aku yg handsome ini, & minta aku aku balas suratnya.

13.12.90-aku balas surat Ana beserta ptanyaan sudikah ia menjadi suri hidup aku.
-letter for my parent and gua punya sister at Tawau Sabah.

14.12.90-gi Maktab btegur sapa dgn Siti-Lapa' ooo! setelah lama buat hal masing-masing.

21.12.90-ronda Ipoh dgn Mie- Kg. Jawa.

22.12.90-lepak Medan Gopeng-tak dak pulak Ana keluar.Gi Ipoh ronda habis-Kg.Jawa.- balik -macam race-org ramai kiri kanan jalan.
*masih menanti jawapan dari Ana.

-Biar seribu luka di hati!-B.Tan.

25.12.90-Krismas-Gua jadi "mayat"-Kursus Penyelenggaraan Jenazah.
-Woi!! bila engkau nak balas surat gua,hah!!!

28.12.90- 1.00 pagi bla K.Lumpur- Razi & Eton.

29.12.90- Lepak surau Pudu Raya-Bus Stand Kelang-Muzium Negara->Seni Budi & Khazanah dari Kubur-BSLN->Lukisan Asia ke 5-pertama kali!!
Jumpa "Mat Jepun"-Free Thinker!! sembang2, bagi kad & risalah tentang fahamannya. Gi Masjid Negara-solat Zohor->Railway-lunch-Bla Bus Stang Kelang-cari Razi & Eton- tak jumpa???!!! Malam ronda2 K.Lumpur-(kopak RM 15.00).

30.12.90-Pagi- Bla Pudu Raya- Bla Ipoh-tensions. Dan seterusnya hari terus berlalu.


*Fuuh! lega rasanya, setelah tiga hari menaip maka siaplah catatan ini, catatan yang amat berat untuk dicatat tapi dicatat juga untuk kenangan, kadang kala ia mengembalikan nostalgia dalam hidup ini, bahawa suatu waktu dahulu aku pernah menempuh berbagai rona kehidupan dalam mematangkan diri ini. catatan itu tergantung begitu saja, kerana seingat aku, selepas itu aku mula sibuk dalam semester 4 dan seterusnya semester 5 aku menjalani praktikum di srk de la salle, kampar, perak dan menyewa di Taman Melayu Kampar. pun banyak jugak kenangan, tapi satu pun tiada dicatat, cuma ia tersimpan tersemat kukuh diingatan ini. buat Ella(Sharmilla Razally), Ana(Zanariah Yusof), 'S'(Sarina Saari-Sabah) & Siti(Siti Salamah-JB) maaf, kerana catatan ini terkandung nama kalian. ku doakan semoga kalian sejahtera dalam melayari kehidupan ini dan dilimpahi rahmat oleh Yang Maha Esa. Amin.







Khamis, 9 Julai 2009

ingatan untuk diriku dan semua

kubur setiap hari menyeru manusia sebanyak lima(5) kali.....

1- aku rumah yang terpencil, maka kamu akan senang dengan selalu membaca al-Quran.

2- aku rumah yan gelap, maka terangilah aku dengan selalu solat malam.

3- aku rumah penuh dengan tanah dan debu, bawalah amal soleh yang menjadi hamparan.

4- aku rumah ular berbisa, maka bawalah amalan Bismillah sebagai penawar.

5- aku rumah pertanyaan Munkar dan Nakir, maka banyakkanlah bacaan "Laa ilahaillallah, Muhammadar Rasulullah", supaya kamu dapat jawapan kepadanya.


-terkadang kita takut untuk menghampiri kubur walaupun di siang hari tak kala mentari berseri-seri. apatah lagi di malam hari tak kala rembulan sepi dipagari sunyi. bintang, biar berjuta namun tak mampu berbunyi untuk menyudi.
oh! diri, kau masih berdiri di sini, memerhati pusara sepi, yang menanti, entah siapa kan mati hari ini, aku kah? atau aku kah yang masih belum bersedia.

wassalam

Isnin, 6 Julai 2009

renungan 1

4 perkara yang menajamkan fikiran:-

1) tidak banyak berbual kosong

2) rajin bersugi (gosok gigi)

3) bercakap dengan orang soleh

4) bergaul dengan ulamak.

-terkadang kita terlupa pada yang remeh, tetapi itu lah yang akan memberi faedah pada kita untuk meneruskan kehidupan yang sementara dengan izin tuhan.

Jumaat, 3 Julai 2009

catatan i

26 jun 2009
langit suram mendung kelabu
mega berarak arah tak tahu
khabar disampai penuh pilu
kau dipanggil pergi dahulu
meninggalkan kan kami terdiam bisu.
zaini,
damailah kau
di pusara itu.

* dedikasi untuk kak long jengka dua. al-fatihah.



catatan ii

meski dalam keriuhan persiapan
ada kematian yang mengejutkan
segalanya berjalan bagai yang dirancang
selamat pengantin baru
wahai raja sehari
semoga kalian berdua tetap sehati
menuju gerbang impian hati
kami berdoa restu mengiringi.

*buat kiah dan daud, sekalung tahniah dariku


catatan iii

lautkan tetap bergelora
tika tiba musimnya,
hatikan tetap terluka
jika kita lidah berbisa,
kasihkan tetap berduka
andai kita lupa bermesra.

kasih,
kasihi lah kasih,
kerana kekasih perlukan kasih.

b.tan.
30 jun 2009
skpd.