pagi itu seperti juga pagi-pagi yang lain, suasana di rumah sewa yang beralamat 119, sari 28, taman cempaka, ipoh agak riuh dengan suara guru pelatih yang beberapa hari baru menghuni rumah tersebut. masing-masing kelam kabut berebut bilik air nak mandi dulu, kemudian bergilir-gilir pula menggunakan seterika kepunyaan saudi yang berasal dari kg. ketapang, pekan, pahang. seorang demi seorang menggosok baju masing-masing. maklumlah bakal guru, mestilah berpakaian kemas dan baju bergosok supaya nampak kewibawaan sebagai seorang pendidik anak bangsa.
setelah semua selesai, maka tibalah pula giliran seorang anak kampung mengosok bajunya. tak kan orang saja nak bergaya, aku pun nak jugak nampak kemas dan smart, bisik aku di dalam hati. meski dari tadi aku asyik memerhati rakan serumah menggosok baju, tapi aku masih kekok untuk melakukannya. mula-mula tekan 'switch' kat 'plug', kemudian... aik! macam mana ni? pada pemutar seterika itu tertulis nombor 1,2,3,4 dan 5, aku panik dan berfikir nak pusing sampai nombor berapa pulak ni. nak bertanya malu, takut nanti dikata, ulu sangat, tak kan nak guna seterika pun tak tahu. kalau pakai hentam saja nanti, takut terbakar pulak baju aku tu.
dalam keadaan antara malu dan segan, serba salah dan bimbang aku pun bertanya: oi! nak gosok baju ni guna gear berapa? haa...? apa dia, bob? tanya ramizul, budak pulau tawar, jerantut kepada aku. aku dengan selamba mengulangi pertanyaan tadi dengan nada agak kuat: nak gosok baju ni, guna gear berapa? maka berderailah gelak tawa dari tujuh orang guru pelatih, berdekah-dekah bunyinya. aku hanya mampu tersipu-sipu, nak kata malu, malulah jugak tapi nak buat macam mana memang aku tak pernah menggunakan seterika sebelum itu. lalu aku pun tergelak sama kerana merasa lucu, macam motor pulak pakai gear-gear.
itu lah antara pengalaman aku semasa mula-mula bergelar guru pelatih di maktab perguruan kinta, jalan dairy, ipoh. setiap kali menggosok seluar baju aku atau seluar baju sekolah anak aku, pasti aku teringat kesah itu dan akan tersenyum sendirian, apa taknya seterika pun guna gear ke. masa aku kecik-kecik dulu, selalulah tengok mak aku gosok baju atau uniform askar wataniah ayah aku, menggunakan seterika arang. tak ada pun nombor 1 sampai 5. bubuh bara arang yang merah menyala dalam seterika, tutup, kemudian gosok atas daun pisang nak tengok dah cukup panas ke, tidak, barulah digosok setelah baju atau pun uniform itu di sembur dengan air kanji nak bagi 'karau'... eh! bukan 'karau' lah tapi keras. nasib baik korang tak tahu apa 'karau' tu. tapi kalau tahu, janganlah bising-bising pulak. nanti malu aku sekali lagi.
namun segalanya tinggal kenangan, seperti maktab itu yang tinggal nama saja sekarang. tak kesahlah apa pun, apa yang penting pengalaman itulah yang mengajar kita erti sebuah kehidupan dan bakal mematangkan kita untuk menempuh liku-liku perjalanan seharian yang penuh onak dan ranjau berduri. hanya kecekalan hati serta ketabahan jiwa, disamping kekuatan iman sahaja yang akan berjaya mengharunginya menuju ke puncak kecemerlangan. cukuplah sekadar ini dahulu selingkar kisah dari aku, ketemu lagi di lain kesempatan dengan cerita ceriti yang diharapkan dapat dijadikan iktibar buat kita semua.
assalamualaikum......daaa......senyum selalu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan