Isnin, 8 Mac 2010

perantau damai - ii

Gambar hiasan ini aku ambil di suatu subuh yang bening berhampiran dengan rumah yang aku sewa.

Ia diambil pada hari terakhir persekolahan iaitu pada 20 November 2009.


asalamualaikum....

jumaat bersamaan 8 januari 2010 adalah hari terakhir aku di perantau damai. aku dapat rasakan pada hari itu masa berjalan agak lambat dan seolah-olah aku masih lagi akan berada di perantau damai untuk beberapa hari. selain dari mengemas meja yang akan aku tinggalkan nanti, aku juga cuba untuk tidak terlalu memikirkan yang aku akan pulang ke bera dan tak tahu bila lagi akan datang berkunjung. aku sengaja cuba menyibukkan diri dengan membuat apa saja seperti berborak dengan lan dan bertanya itu ini. apa bila loceng berbunyi menandakan berakhirnya sesi persekolahan pada hari itu, aku tak tahu nak buat apa. nak terus balik, bermakna aku terpaksa berhenti di felda sebertak untuk solat jumaat, itu pun kalau mood aku baik semasa memandu. kalau tidak, terpaksalah singgah di kota bahagia(tabung haji). aku ambil keputusan untuk pulang selepas solat jumaat yang terakhir aku di perantau damai. setelah bersalam-salaman dan bertegur sapa dengan beberapa orang jamaah. begitulah kira-kiranya.

sementara itu semalam diadakan jamuan perpisahan untuk aku. simple dan ringkas sahaja. hanya di kantin sekolah seperti jamuan untuk cikgu-cikgu yang lain juga. aku diberi peluang untuk berkata sepatah dua kata. aku memang telah bersedia untuk berkata-kata, tapi berkata-kata tanpa teks. aku bukan jenis suka menyediakan teks. aku lebih suka kepada idea sepontan atau apa yang terlintas difikiran tapi tidak menyakitkan hati para pendengar dan sedikit lelucon untuk membuat yang mendengar ketawa atau tersenyum ceria. itulah yang aku lakukan dan berjaya menghilangkan sedikit rasa terharu di hati aku.

di waktu petang saat aku akan meninggalkan bumi perantau damai, cuaca mendung kerana hari nak hujan. al-maklum telah tiba musim hujan untuk mencurahkan airnya. setelah bersalaman dengan imam Razali dan berkirim salam kepada imam Jalil yang ke johor bahru kerana ke rumah anaknya, aku dengan berat hati menuju semula ke sekolah untuk mengambil laptop dan ikan yang aku tumpang dalam peti sejuk di dalam pejabat sekolah. kebetulan pula lan tidak masuk kerja kerana ada urusan di luar. aku merasa serba salah untuk melangkah meninggalkan pejabat sekolah. tapi aku terpaksa menguatkan semangat dengan berkata kepada diri ku: kalau lambat nanti hujan dan aku mungkin akan lambat sampai ke seri buntar. setelah memerhatikan sekeliling kawasan sekolah untuk kali terakhir, aku pun berlalu dengan rasa pilu dan tak tahu bila lagi akan ke mari.

di sepanjang perjalanan aku seperti biasa akan mendengar sinar fm selain dari ikim fm atau kadang-kadang pahang fm. tapi untuk menghilangkan sedikit rasa sayu aku layan "rock selamba". oleh kerana selamba, maka selamba jugalah perjalanan aku petang itu. hujan hanya renyai-renyai tapi tidak menyeluruh. aku rasa itulah pemanduan aku yang paling selamba selama aku berulang-alik dari bera ke perantau damai. entah kenapa hati aku ingin cepat sampai dan kaki aku telah kuat menekan minyak tapi pergerakan van yang aku pandu hanya sekadar 60 km/j malah ada ketika hanya sekadar 40 km/j. aku sedar ketika itu tapi nak buat macam mana, hati yang ingin cepat sampai itu sebenarnya sedang melalui denai-denai kesayuan dan kepiluan. tak tahu kenapa, bukan ada sesiapa yang aku sayangi atau aku cintai yang terpaksa aku tinggalkan di perantau damai. cuma mungkin perasaan atau emosi aku saja yang terlebih-lebih untuk merasa sayu atau pilu, disamping jiwa aku mengucapkan salam dan selamat tinggal kepada pepohon di kiri dan kanan jalan sepanjang jalan bera selatan itu. lalu perjalanan yang bermula pada pukul 2.15 petang itu hanya berakhir pada pukul 6.00 petang. itulah akibatnya jika terlalu melayan perasaan, perjalanan yang biasa aku buat satu jam setengah menjadi hampir empat jam!!

selain dari itu aku bercadang juga nak ke perantau damai ketika sukan tahunan diadakan tapi oleh kerana sekolah aku mengadakan kem bestari solat, maka terpaksalah niat itu aku batalkan dan pada hari ahad nya pula seperti biasa aku akan mengunjungi anak-anak aku yang berada di asrama. tiadalah peluang lagi untuk ke sana dan mungkin suatu masa nanti akan aku jenguk juga perantau damai kerana isteri aku pun agak rapat dan mesra dengan beberapa makcik yang menjadi jiran aku semasa di sana. catatan ini hanyalah sekadar melepas rindu pada perantau damai khususnya skpd yang tetap di hati di samping bandar tun razak yang begitu simple tapi meriah dengan orang melayu. itu yang aku seronok tu.

memadailah sekadar ini sahaja catatan tentang perantau damai, jika ingin dibuat beberapa siri lagi, mungkin aku terpaksa mengingat dan mengenang kembali perjalanan hidup aku semasa di perantau damai. itu tak mungkin aku lakukan kerana rasa sayu dan pilu pasti akan meyelubungi aku. cukuplah cuma kenangan itu menghuni di sudut hatiku dan terpahat kukuh diingatan ku. semoga pengalaman yang aku lalui di perantau damai bersama warganya lebih mematangkan lagi aku dalam meneruskan perjalanan hidup ini menuju ke titik noktahnya. damailah perantau sedamai senja di perantau damai. bjs = buat jiwa sepi/sayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan