Selasa, 12 April 2011

kubang buaya.....



perjalanan pada petang itu berjalan lancar. aku dengan santai memandu, tidak terlalu laju dan taklah pulak perlahan cuma sedikit waspada kerana ada tanda-tanda hujan akan turun. aku tak kesah hujan sebab aku memang suka hujan. anak-anak aku yang turut serta cuma lima orang saja, yang duduk di asrama tak ikut walau mereka menyuruh ambil mereka jika nak pergi kuantan. tapi, bukan tak tahu perangai aku yang tak akan melayan jika mereka tak dibenarkan pulang oleh pihak pengurusan asrama.

setelah berhenti di hentian rehat maran dan bertegur sapa dengan puan sapiah-pengetua seri bera di hentian gambang yang juga ingin ke kuantan, kini perjalanan makin rancak kerana rombongan telah bertambah bilangan kereta yang turut serta, aku membiarkan saja mereka jalan di hadapan dan lebih selesa sekadar mengekori dari belakang. cuaca mulai makin mendung dan ketika berhenti di lampu isyarat persimpangan jaya gading, si najman telah memainkan lagu aku hanya serangga.....ahhh! kacau betullah dj sorang ni.

rombongan selamat tiba di homestay yang akan menjadi tempat menginap kami untuk dua malam setelah berhenti mengambil kunci rumah dari tuannya yang tinggal berdekatan dari situ. aku apa lagi mengeluarkan segala beg-beg dan membawa masuk kerana hujan mulai barai-barai dan aku pun belum solat asar lagi. jika ada anak aku yang sulong, ringanlah sikit tugas aku kerana ia dah boleh diharap untuk menguruskan itu semua. malam pertama tiada apa-apa aktiviti cuma aku melayan kehendak anak dan isteri aku nak pusing-pusing bandar kuantan. langsung ke tanjung lumpur dan ke kampung soi, rumah kakak aku tapi ia sekeluarga tiada di rumah kerana berada di beserah. nak makan ikan bakar... minta maaf baget tak cukup! balik tidor lagi bagus untuk merehatkan badan.

sebenarnya aku ada kenangan dengan kampung kubang buaya ini. pada tahun 1985 atau 1986 aku pernah menumpang tidor di rumah sewa seorang kawan aku kerana terlepas bas ke pekan. masa remaja aku memanglah agak....hahahah..malu pulak nak cerita... suatu petang aku telah
keluar ke kuantan seorang diri, ketika itu tempat yang paling best melepak ialah kompleks teruntum, kalau tak tahu tempat tu bukan anak pahang lah agaknya. itulah destinasi aku tiap kali aku keluar ke kuantan dari pekan. aku tak kesah walau aku sorang saja yang lone ranger. letih merayap di dalam kompleks, aku duduk bersidai sama ada di dalam atau diluar bangunan tersebut sambil dengar lagu-lagu rock dari kedai kaset di tingkat paling bawah. entah macam mana malam tu ada filem yang bagus kat panggung bfo, jadi aku pun tengoklah. bila keluar dari bangunan tu hari dah pukul 12 malam, memang sah tak ada bas nak balik ke pekan. tapi aku bernasib baik kerana dalam ramai-ramai yang keluar dari panggung tadi temasuklah seorang kawan aku yang pernah satu kelas semasa di al-khairiah dulu. namanya norazman aminuddin(dr burhanudin busu ada mencadangkan namanya supaya aku tambah sebagai rakan, tapi aku kiv dulu sehingga aku siap buat entry ini...hahahah! maaf ya dr dan azman).

sembang punya sembang ia mempelawa aku bermalam di rumah sewanya. tapi jauh kat kubang buaya. sekali dengar memang ngeri...tempat buayalah katakan. kami pun menapaklah seramai enam orang dari kompleks itu ke kampung kubang buaya di tengah malam buta. perut lapar tapi nak makan masing-masing tengah kering dan aku pulak hanya cukup untuk buat tambang pada hari esoknya. bekal ketika itu hanyalah dunhill 20 yang aku beli sebelum masuk bfo tadi. walau pun jauh tapi tak letih sebab berjalan di tengah bandar dan diselang seli dengan gelak ketawa. hampir dua puluh minit berjalan maka sampailah ke sebuah rumah papan yang sederhana besar, mempunyai tiga bilik dan satu bilik air. almaklumlah rumah anak remaja, berselerak sana berselerak sini dan aku pun merebahkan badan yang keletihan dan lapar di atas tikar mengkuang berbantalkan beberapa buah buku. norazman ni kata ia berkerja sebagai kuli batak saja. tapi aku tak percaya sebab ada buku-buku stpm, tentu ia bekerja sambil belajar nak ambil periksa agaknya. aku tak tahu pukul berapa norazman dan kawan-kawannya tidor, ketika aku bangun diorang masih begitu nyenyak melayan mimpi indah masing-masing. setelah membersihkan diri dan berpakaian semalam aku pun mengucapkan terima kasih serta berlalu pergi meninggalkan rumah tersebut.

tapi kini kubang buaya telah jauh berubah, tiada lagi rumah-rumah papan, yang ada semuanya rumah batu. kalau ada pun agak tersorok kerana terlindung dek rumah-rumah besar yang pasti bukan milik orang melayu. ia kini telah menjadi kawasan elit namun di kawasan homestay yang rombongan aku menginap ini masih terdapat kelompok melayu yang cuba bersaing dengan kaum lain untuk meneruskan hidup. di hadapan homestay ini terdapat gerai yang menjual juadah untuk sarapan pagi. jadi senanglah kalau nak makan atau minum, malah boleh ditempah makanan jika kita ingin. pukul sepuluh lebih gerai ini akan ditutup untuk dibuka pula pada esok pagi. aku sekadar memerhati saja tak pulak mencuba untuk merasa makanan dan minuman di situ. cuma pada pagi sabtu, abang ipar aku order tiga puluh keping roti canai, rasanya ok dan kuahnya pun sedap.

mengenai homestay ini pulak, sewa untuk satu malam ialah rm 180.00 jika tambah satu malam, perlu bayar lagi rm 120.00. mempunyai empat bilik tidor dengan satu bilik utama dan tiga bilik air. cuma peralatan dapur saja tak disediakan tapi tak apa sebab gerai dekat dan boleh tempah makanan dari gerai tersebut. kalau nak ke teluk cempedak atau taman gelora pun tak jauh, boleh rehatkan minda sambil melihat ombak dan pantai yang memutih. sebenarnya banyak lagi kisah tentang kubang buaya ini, tapi aku tak tahu sebab aku bukan orang kuantan, jadi cukuplah sekadar ini saja catatan aku mengenai kubang buaya kerana aku nak add si norazman pulak sebagai rakan aku. dah hampir sebulan dicadangkan oleh dr. burhanuddin, mungkin norazman ni boleh menceritakan serba sedikit sebab ia pernah menetap di kubang buaya. sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan