hari ini adalah hari ke 15 umat islam berpuasa, bermakna 2 minggu lagi akan tibalah idil fitri yang dinanti oleh semua. sepanjang aku menjalani ibadah puasa ini sejak kecil hingga sekarang, banyak kenangan yang masih dan sering terbayang diingatan.
semasa aku budak-budak lagi, waktu paling letih dan tak daya ialah ketika bulan puasa dalam musim kemarau. ketika itu belum ada air paip lagi. perigi berhampiran rumah arwah wan aku pulak hampir kering. biasanya untuk mandi petang aku dan adik aku serta sepupu aku akan mengikut mak dan mak saudara aku ke rumah arwah tokki dilu dan arwah wan de leha. di belakang rumahnya terdapat sebuah perigi yang tak pernah kering walau di musim kemarau. untuk ke sana terpaksa berjalan kaki ikut 'leboh' (jalanrayalah). tak lah jauh sangat, tapi dah dalam bulan puasa berjalan kaki, puasa pulak tu, hari panas, aku rasa cukup jauh untuk sampai ke perigi yang terletak tepi paya berhampiran padang kapal terbang tu. hingga kini bila aku tersa lapar dan letih berpuasa, pasti aku teringat kisah berjalan kaki nak pergi mandi ke perigi tersebut. tapi perigi tu dah tiada. kawasannya dah didirikan kedai dan telah hilang dari pandangan cuma ia ada dalam ingatan aku saja.
ketika bersekolah di smu al-khairiah pulak saat yang meletihkan ialah ketika hari jumaat, berjalan kaki dari batu satu ke masjid temerloh. rasanya punyalah jauh. lainlah sekarang rasa dekat. kalau tak ke masjid temerloh pun, kami akan berjalan kaki ke masjid kampung bukit kepayang, sekarang ini berhampiran dengan simpang ke taman temerloh jaya. tuhan saja yang tahu betapa letih dan dahaganya ketika itu. tapi apa boleh buat, kerana ibadah terpaksa dikuatkan azam dan semangat. namun di asrama al-khairiah lah juga aku mula berlajar solat terawih sebanyak 20 rokaat. imamnya ustaz sulaiman dan kadang-kadang pelajar tingkatan 4 atau 5 yang dah biasa jadi imam. bermacam peristiwa dan kisah yang berlaku, semuanya amat memberi makna dan erti dalam hidup.
semasa tingkatan 2, aku dan beberapa orang kawan keluar dari asrama dan menyewa rumah di kampung paya kecil hilir. rumah tu tiada bekalan air paip tapi berhampiran dengan sungai semantan. ketika bulan puasa kami akan berjalan kaki ke masjid temerloh untuk berbuka puasa dengan melalui kampung baru cina. selepas maghrib kami akan balik, kalau rajin kami akan berterawih dahulu baru balik. pernah beberapa kali kami dikejar oleh anjing yang garang, bila seekor menyalak, anjing yang lain pun turut sama mengejar. kami apa lagi mentereban dan menciput lah, putih tapak kaki jawabnya. kesihan tengok zulkifli mohd dawa lari, dah lah gemuk pendek pulak tu. sampai rumah lapar semula perut. jawabnya maggilah yang jadi mangsa.
masa duduk rumah sewa di kampung pancor, pekan, berterawih di masjid ahmad, pekan sebelah sekolah aku. jalan kaki saja. pernah satu malam selipar aku hilang, selipar itu lain sebelah dan aku letak pun jauh-jauh, entah macam mana boleh hilang jugak. terpaksalah menapak menggunakan kaki ayam, nasib baik berjalan dengan 'zu' anak dara makcik esah, tak lah malu sangat sebab ada orang teman. kadang-kadang aku dengan mohd saudi bin ahmad, akan pergi berterawih di beberapa buah surau sekitar bandar pekan, katanya nak cari kelainan sikit. kami pergi naik motor dia. memang terdapat berbagai cara dan kerenah para makmum yang datang bersembahyang dan morehnya pun bermacam rupa dan gaya. itu yang aku seronok tu. tapi itu dulu-dulu, masa remaja.
bila dah habis sekolah duduk kampung, berterawih pulak di masjid kampung sendiri, 20 rokaat jugak.
semasa berpuasa di pekan jugaklah aku mula kenal murtabak, kisahnya bermula selepas berterawih, member aku 'arwah yeh' dan beberapa orang lagi telah mengajak aku pergi makan murtabak di tingkat atas pasar pekan. waktu malam bulan puasa kedai mamak kat atas itu dibuka, jadi itulah kali pertama aku makan murtabak. dah makan lepak pulak kat taman bunga seberang padang majlis daerah pekan, tengok budak-budak main mercun. bila mengantok barulah balik ke rumah sewa. maklumlah zaman remaja hanya sekali!!!
bila dah jadi guru pelatih, duduk rumah sewa lagi. tapi dah senang sikit sebab dah ada duit sendiri, walau tak banyak cuma rm 345 sahaja sebulan. tapi cukup bagi aku untuk melayari hidup sebagai orang bujang di perantauan. kalau malas masak, pergi saja bersahur di benteng yang di buka sampai subuh. kalau nak berbuka, macam-macam boleh beli atau pun pergi saja ke surau taman cempaka berhampiran rumah aku sewa tu, seperti yang aku cerita dalam catatan "dalam kenangan...in memories...". terlalu banyak kenangan untuk diingat dalam hidup ini.
semasa berada di lawas, barulah segalanya masak sendiri. bukanlah ketika di taman cempaka tak masak, lauk kami beli, cuma nasi saja yang dimasak. aku masih ingat semasa berterawih di masjid besar lawas, dilakukan sebanyak 20 rokaat dan imamnya ialah ustaz abdul latif al-hafiz. yang tak boleh dilupakan ialah kelajuan bacaannya. al-fatihah sudah pasti satu nafas sahaja. bacaan surahnya jugak laju, maklumlah satu malam nak dihabiskan satu juzuk dalam 20 rokaat tu. aku tak dapat nak menangkap bacaannya yang laju tu, walau pun ia membaca surah yaa sin yang aku biasa baca. bila dah lama-kelamaan aku jadi biasa dengan bacaannya nya yang laju itu. tapi puas jugak lenguh lutut sebab lama berdiri dalam satu-satu rokaat itu.
pada tahun 1994 dan 1995, pok ser kelate beli kereta dan dia ajak beberapa ustaz pergi berterawih di kampung belipat berhampiran dengan sekolah yang aku mula-mula posting dulu. di situlah aku mula-mula jadi imam solat terawih. tiap-tiap kami bergilir-gilir jadi imam, punyalah suka orang kampung sebab kami sudi berterawih di surau mereka yang tak seberapa tu. namun yang penting bagi kami khususnya aku yang pernah memgajar anak-anak mereka, itulah peluang untuk merapatkan kembali silaturrahim. kerana pada tahun 1994, selepas berkahwin aku ditukarkan ke srb agama, lawas. memang seronok tengok anak-anak kecil dan orang-orang kampung yang ramah dan mesra. mereka tak langsung sombong dan melayan kami dengan baik sekali.
setelah aku balik ke semenanjung dan duduk di kampung semula, ada beberapa kali aku diminta jadi imam dan bilal semasa sembahyang terawih di masjid kerayong. aku tak kisah sebab aku dah biasa dan bagi aku itulah peluang untuk aku berbakti di kampung sendiri. ada beberapa tahun imamnya ialah azhan anak allahyarham pakteh aziz, dia hafiz al-quran. bila aku beli rumah sendiri di taman seri buntar, aku berterawih pulak di masjid triang, lapan rokaat saja tapi diselangi dengan tazkirah oleh imam ketika itu ustaz zakaria, bacaan surah pulak tengok al-quran yang diletakkan kat depan imam.
bila taman triang maju dibuka dan ada surau sendiri, tak jauh dari rumah aku. aku pun tumpang sembahyang kat situ. dalam bulan ramadan, terawih hanya lapan rokaat saja sebab imamnya nak buat lapan saja. sape imamnya tu? tak kisah lah berapa rokaat yang penting ibadah kita ikhlas kerana Allah dan tidak bertujuan nak menunjuk-nunjuk.
kini aku dan keluarga bermastautin pulak di felda keratong sembilan. merasalah berpuasa di kawasan perkampungan felda. tak ada apa yang berbeza semuanya sama. solat terawihnya lapan rokaat diimamkan oleh dua orang imam hafiz dari takbai. bacaan secara tadwirnya jelas dan tidak panjang-panjang. lima hingga enam ayat untuk satu rokaat. tiga malam baru habis satu juzuk. yang penting bukan nak habis satu al-quran tapi dapat beribadah dalam keadaan tidak terkejar-kejar dan penuh khusyuk semasa sembahyang. malam ke enam belas, selepas sembahyang witir ada tazkirah ramadan oleh ustaz yusof embong yang bertajuk 'takwa yang ori'(boleh rujuk di yusofembong.blogspot.com-aku dah buat link nya di ruang b.tan).
sekarang dah nak masuk ke ramadan sepuluh yang terakhir, alhamdulillah masih ramai lagi yang datang berterawih, adalah dalam tiga, empat saf. akan diadakan pula qiamullail bermula pukul 2.30 pagi sehingga 4.30 pagi setiap malam. insya-Allah jika diizinkan aku akan cuba untuk turut serta pada setiap malam. bukannya senang nak dapat ganjaran pahala beribadat seperti seribu bulan (lebih kurang 82-83 tahun). umur kita semua pun belum tentu boleh sampai atau sempat menjangkau ke 80. entah-entah dah dijemput oleh Allah terlebih dahulu menghadapNya. apa-apa pun kita kenalah bersedia dari sekarang untuk satu lagi perjalanan sepi yang tak kembali tetapi telah kembali.
catatan ini telah beberapa kali terhenti kerana kelembapan internet di kawasan rumah yang aku sewa ini. tapi akhirnya siap jugak. dan puas aku cari sajak aku yang bertajuk 'antara syawal dan ramadan, ada aku yang tersipu' untuk aku paparkan tapi tak berjumpa. aku syak ia terkandung dalam 'mencari rindu' yang terbakar itu agaknya. nampaknya terpaksalah aku tulis satu lagi dengan menggunakan tajuk yang sama. dah siap nanti bolehlah aku paparkan untuk tatapan bersama, itu pun jika aku tak sibuk untuk menjilid helaian-helaian kertas menjadi buku!!! insya-Alah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan