Rabu, 30 September 2009

sebuah catatan



muka depan




muka belakang




Sebuah Catatan

Masih adakah
sebuah catatan di perjalanan lalu
tika bersama
mengutip buih-buih ombak
yang hilang di celah bebatu
tika bersama
mencari bunga puisi
yang mekar di hati bumi.

Masih adakah
sisa-sisa semalam
tika wajah
disapa bayu lembut
dan aku tak puas
menatap bebola matamu.

Catatan ini
tika diri menuju tua
bersama bekal yang ku bawa
adalah sekeping hati yang luka
dipanah mentari senja
tika bersama
mengait kuntum-kuntum puisi
yang sedang mekar di jambangan hari.

Maka
aku adalah pencatat sepi
yang sering hilang di mamah masa
yang leka mencari bunga-bunga puisi
bersama camar-camar yang setia
pada pantai, pada ombak
yang datang dan pergi.

Maka,
akulah perantau sepi
yang berduka di senja ini
menatap rona-rona pelangi
yang tercalit di dada langit
bilakah seorang aku
akan menitip noktah pada catatan ini
maka
akulah penitipnya yang setia.


B.Tan.
84.



* sajak ini aku simpan/tulis dalam antologi "kita kopek kita korek kita kompol" tapi entah macam mana satu hari aku salin atas satu kertas yang berukuran sejengkal X 3 inci. aku selalu bawak dalam poket baju atau seluar aku. nak jadi cerita, masa balik kampung (masa tu aku tingkatan empat di smu tengku ampuan fatimah, pekan) cuti sekolah ramailah budak-budak sekolah yang balik dan menunggu bas kat stesen bas kuantan. termasuklah aku dan bebudak sekolah aku sekali. aku telah suruh mohd hidayah bin musa untuk sampaikan kertas bertulis sajak itu pada seorang budak perempuan yang bernama rodziyah binti mohd yuneh. hidayah pun berilah padanya.

selepas cuti bukak sekolah, hidayah telah pulangkan semula sajak itu. katanya: rodziyah dah baca sajak tu, tapi dia tak faham apa maksudnya. jadi dia pulangkan semula sajak itu. aku gelak saja sebab aku bukan suruh dia faham pun, cuma aku pun tak tahu kenapa aku rasa nak bagi sajak tu pada dia. akhirnya sajak tu aku lipat dan simpan dalam antologi yang aku sebut tadi.

maaflah rodziyah sebab aku tulis nama engkau dalam blog aku ni, tapi kalau tak silap aku pada tahun 2003 semasa berkursus di dewan smk seri tualang semasa minum pagi pukul 10, aku telah di tegur oleh seorang perempuan (ustazahlah tu!). hai, bob! kenei lagi saya. aku pun berpaling dan memandang pada seorang perempuan yang sedang duduk di bangku. kenei, rodziyah, rodziyah mohd yuneh. begitu lancar aku menyebut namanya sekali dengan nama bapaknya. lepas tu ia terus diam, mungkin dia ingat aku ni pelupa agaknya. mintak maaflah, memori aku antara memori yang kuat powernya diatas kurniaan Allah. bukan aku perasan tapi ia adalah hampir kepada kenyataan. perasan lagi. hahaha!!! tak boleh jadi ini, baik aku berhenti kalau tak banyak lagi yang aku akan meracau. ok, stop!!!

2 ulasan: