Isnin, 11 Ogos 2014

catatan tanpa tajuk.... yang terlewat!!!


assalamualaikum wa rohmatullahi wa barokatuh...
salam lebaran buat semua, mungkin masih belum terlewat ucapan itu aku ungkapkan buat semua yang membaca catatan ini. hari ini sudah melewati lapan syawal 1435 hijrah bersamaan 4 ogos 2014. bermakna telah lebih sebulan aku memerap danau ini tanpa sebarang catatan pun. bukan aku merajuk tapi jiwa agak kacau sedikit. di bulan ramadhan kan. aku kena lah lebihkan ketakwaan dalam hidup ini. bukan nak tunjuk alim pun. cuma semua insan yang bergelar muslim mukmin mestilah meningkatkan ketakwaan masing-masing. ke arah hidup yang lebih beriman. bukan bermakna sebelum ini tak beriman tetapi tingkatkan keimanan, tambah iman tu supaya bertambah kuat dan kukuh... sekukuh tembok besar cina. jangan seperti kukuhnya tembok berlin  runtuh dan roboh juga akhirnya.

sepanjang ramadhan yang lalu aku hanya seperti biasa menjalani ibadah puasa bersama keluarga. jika tahun lepas beberapa petang aku bersungkai(berbuka puasa) di masjid jamek, bandar triang. makan dalam dulang untuk satu keluarga, tapi tahun ini entah kenapa aku agak keberatan untuk berbuat demikian. aku hanya berbuka di rumah sahaja. bersila bersama anak-anak dan isteri dengan juadah yang disediakan oleh suri hidup aku. walau pun terkadang menunya agak simple tapi alhamdulillah... ia masih lagi rezeki, nikmat dan rahmat dari Yang Maha Esa. sedikit atau banyak tidak penting. apa yang lebih utama ialah keberkatan dari Ilahi.

pada puasa tahun ini nak dikatakan rekod, mungkin jugak boleh kerana aku hanya berbuka puasa di luar hanya tiga kali sahaja. pertama ketika sekolah aku buat program iftar dan perjumpaan dengan ibubapa murid tahun enam. tapi aku tak ikut serta kerana aku telah berjanji dengan ibu dan ayah aku nak berbuka di rumah mereka pada tarikh yang sama. tak sedap pulak kalau aku batalkan. nanti kecil pulak hati mereka. hati ibubapa mesti dijaga agar tak terguris. nanti jadi anak derhaka pulak. 

kali kedua ialah majlis berbuka puasa di surau taman triang maju berhampiran dengan taman aku iaitu taman seri buntar. jarak rumah aku dengan surau tak jauh, lebih kurang 200 meter saja. cuma jadi jauh kerana dilindungi oleh beberapa rumah orang lain. tak elok pulak kalau aku tak pergi, sebab untuk kali kedua aku dipilih sebagai naib pengerusi surau. walau aku tak bercadang dan berminat untuk terus memegang jawatan itu tapi mereka yang hadir semasa mesyuarat agung melantik jugak aku. sedangkan aku tak hadir pun kerana sedang berada di nilai untuk peperiksaan di usim. terpulanglah pada dia orang yang melantik. kalau boleh aku nak lepaskan jawatan itu supaya senang aku nak bersolat di masjid jamek bandar triang atau di mana-mana surau dan masjid yang aku suka seperti surau padang luas, bukit keledang atau pun mengkarak.

kali ketiga pula di masjid kampung padang polo iaitu seminggu sebelum raya disambut oleh umat Islam. entah kenapa anak aku yang bersekolah di pekan itu beria-ia sangat meminta aku datang. jadi tak nak menghampakan harapannya pada pagi hari sabtu bergeraklah aku sekeluarga ke sana. pusing-pusing bandar diraja pekan dan singgah di bazar ramadannya. kemudian berbuka puasa di masjid kampung padang polo berhampiran sekolah anak aku yang jugak sekolah aku dulu bersama beberapa orang jemaah masjid itu. selepas solat terawih baru pulang ke bera. letih memang letih. pukul 2 pagi baru sampai ke rumah. itulah antara pengorbanan ibubapa untuk anak-anaknya semoga mereka berjaya di dunia dan akhirat.

ramadhan tahun ini juga telah mencatat sejarah. aku berpeluang solat terawih dan witir yang diimamkan oleh anak bujang aku ahmad kamal abdullah. baru tingkatan empat. bila hujung minggu beliau balik ke rumah, maka dia dan kawannya mohd safwan telah diberi peluang menjadi imam. macam imam jemputan lah lebih kurang. jadi tak lah makmum lain bosan asyik dengar bacaan dari imam yang tua saja. seminggu sekali dapat dengar bacaan imam muda pula. bangga juga rasanya dalam hati kerana baru berumur 16 tahun sudah boleh jadi imam. kalau nak banding dengan aku, ketika seusia itu aku masih lagi sekadar makmum saja di masjid ahmad shah pekan. belum berani jadi imam. pertama kali aku jadi imam solat terawih pun ialah di surau kampung belipat semasa aku mengajar di sana. dah aku ceritakan beberapa tahun yang dulu.

akhirnya tamatlah ramadhan tahun ini. dan aku masih lagi mencari lailatul qadar. mungkin malam berlakunya lailatul qadar itu aku tempuhi tapi tak secara khusus kerana proses lailatul qadar bermula dari waktu isyak dan berakhir bila terbit fajar. bukan aku sahaja, orang lain pun macam itu. jadi tak usah gusar jika tak berjumpa secara khusus, kerana kita telah pun beribadat pada malam tersebut dan berserah saja pada Allah kerana Ia yang lebih mengetahui apa telah kita lalui. sebab itu pada setiap malam jangan terlepas solat terawih dan witir pada bulan puasa. dah lah hanya sebulan saja dalam setahun. inilah peluang untuk kita melipat gandakan pahala ibadat kita yang tak seberapa kepada berpuluh kali ganda seperti yang dijanjikan oleh Allah. tak kan itu pun kita tak nak kan. lu pikir lah sendiri...hehehe...

tahun depan jumpa lagi ke tak kita dengan ramadhan ini? wallahu 'alam...jika Allah izinkan adalah lagi peluang kita untuk menebus apa yang kita terlepas pada tahun ini. kalau kita dijemput pergi lebih awal dari itu bermakna tiada lagi peluang untuk kita merasai manisnya beribadat dalam bulan ramadhan yang penuh keberkatan itu. jadi bersamalah kita bersyukur di atas apa yang telah kita tempuhi, sama ada sedikit atau banyak amalan kita, kita sendiri yang tentukan. nak banyak... buatlah banyak. nak sikit atau ala kadar buat sekadarnya sahaja. begitulah hidup inikan. sudah begitu hukumnya.

ok...lah lain kali kita berbicara lagi. sebenarnya ini catatan pada 4 ogos yang lalu. hari ini(11 ogos) aku cuma menambah dan menamatkannya sahaja. sekian terima kasih. jumpa lagi minggu depan cerita pasal lagu raya yang korang tak pernah dengar. agak aku lah... wassalam.

gambar hiasan:
antara juadah untuk berbuka puasa. tapi maaf, ini bukan kat rumah aku. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan