Saat itu akan tiba juga untuk aku berangkat pergi meninggalkan daerah ini. Setelah hampir empat tahun aku berada di rantau orang. Satu daerah yang tak pernah ku mimpikan untuk menjejakkan kaki di bumi yang terkenal dengan burung Kenyalang. Segala pengalaman pahit manis ketika mula-mula datang dahulu masih lagi jelas terbayang di ruangan mata. Al-maklum kali pertama menaiki kapal terbang. Pengalaman itu kini telah lali bagi ku kerana menaiki kapal terbang terutama jenis "twin otter" seperti menaiki bas sahaja. Walaupun ia agak mencemaskan tapi itulah satu-satu pengangkutan yang akan menghubungkan daerah ini dengan bandar/daerah-daerah lain di Sarawak. Selain dari bot ekspress yang agak terbatas penggunaannya. Namun melihat deretan bot-bot ekspress di jeti atau pangkalan bot bukanlah satu yang asing terutamanya bagi menghubungkan bandar dengan masyarakat yang menghuni di daerah pedalaman.
Agak sukar juga untuk menyatakan perasaan aku ketika ini. Walau pun hitam putihnya belum ada, tapi panggilan telefon dari kakak dan ayah aku membayangkan permohonan pertukaran ke semenanjung akan bejaya. Rasa gembira tetap ada, siapa yang tidak gembira pulang ke kampung halaman. Pilihan aku bukanlah kampung kelahiran aku, tapi atas desakan kakak dan ibu aku yang tidak bersetuju terpaksalah aku ubah niat aku untuk berbakti di satu lagi daerah yang agak pedalaman. Daerah yang aku huni sekarang ini bukanlah pedalaman sangat tapi cukuplah untuk membuat seseorang itu termenung ketika mula-mula sampai. Ini aku lihat dari guru-guru yang baru datang untuk berkhidmat mendidik anak bangsa(?). Walau pun mereka siswazah, graduan tetapi perasaan sayu tetap kelihatan di wajah apabila berada jauh dari keriuhan kaum keluarga.
17.10.1995- Selasa. 11.03 pagi.
Kini aku menyambung kembali catatan terakhir aku di Bumi Kenyalang. Hari Jumaat malam Sabtu yang lalu aku bermalam di sekolah kerana ada Perkhemahan Pasukan Pengakap dan Pandu Puteri. Di siangnya mereka berkelah di Melasak. Tapi aku tak turut serta kerana ingin menganti tidor aku yang masih belum cukup. Maklumlah malamnya aku hanya lelap sejam lebih sahaja. Malam Ahad pula ada satu majlis di Kampung Belangsat untuk meraikan aku sekeluarga serta Ustaz Nasir juga sekeluarga.
Aku terharu dengan sambutan dan persiapan yang dibuat. Walaupun sederhana tapi meriah dan penuh bererti bagi diri aku. Aku hanya mengajar selama dua tahun sahaja- Disember 1991 hingga Oktober 1993. Tapi penghargaan yang diberi amat bermakna, jika dibandingkan dengan sumbangan aku kepada mereka. Mendidik dan mengajar anak mereka sudah menjadi tanggungjawab aku. Aku mesti melaksanakannya. Jika tidak, bererti aku tidak menjalankan tugas yang diamanahkan padaku.
Teringat aku kepada kisah perbalahan kecil antara guru-guru dan guru besar. Aku walaupun masih baru, di tahun pertama, dengan lantang menempelak Guru Besar yang menuduh guru-guru tidak memberi kerjasama ketika Pesta PIBG SRK Belipat. Sejak dari itu aku seakan dimusuhi oleh G.B. Tapi aku tak kisah, sebaliknya merasa puas kerana dapat meluahkan apa yang terbuku di hati. Memanglah tindakan aku itu tidak wajar, tapi itu lah sahaja cara untuk menyedarkannya. Namun orang macam G.B. itu bukan jenis tahu malu. Baru-baru ini ketika mesyuarat agung PIBG SRK Belipat, beliau menghalang guru-guru dan bekas bendahari untuk menyatakan kedudukan kewangan yang sebenar. Biarkan dia lepas waktu ini, tapi akhirnya rahsia itu akan diketahui juga.
Ok, lah! tinggalkan dahulu kisah orang tua itu, tiada faedahnya diperkatakan lagi.
* catatan itu seperti biasa tergantung tak bertali. entah kenapa aku pun dah tak ingat. mungkin aku sibuk nak mengemas barang-barang dan mengisi ke dalam kotak. Gb tu namanya Low Kee Sing. semua murid dan guru kaum kedayan serta murut, cuma ia seorang sahaja kaum tionghua. mungkin sekarang dah pencen agaknya. itulah catatan aku saat-saat akhir aku berada di bumi kenyalang khususnya lawas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan