Jumaat, 30 April 2010

Bunuh diri ke?


Aku tak tahu apalah malangnya burung seekor ini. Allah telah tentukan takdirnya ia mati dilanggar oleh aku dan melekat kat wiper van aku. Ceritanya begini: pagi semalam 29.04.2010 ketika aku sedang memandu menuju ke sekolah, selepas selekoh terakhir sebelum jalan lurus untuk sampai ke pekan kemayan tak semena-mena seekor burung merbah telah terbang ke arah van aku dan melanggar cermin hadapan. Agak kuat jugak bunyinya tapi yang aku hairan ia telah tersangkut dan melekat kat wiper. Kebetulan pulak handset aku berbunyi, terpaksalah aku berhenti dan menjawab dahulu panggilan dari nizam kgmmb. Kemudian aku pun turun dan mengambil burung tersebut lalu aku letak atas rumput di tepi jalan tanpa teringat nak mengambil gambarnya.

Setelah beberapa meter aku menyambung perjalanan, barulah terlintas di fikiran, kenapalah aku tak ambil gambar burung itu tadi. Rasa nak pusing belakang dan letak semula burung itu kat cermin, tapi.... ah! buang masa saja aku pun dah lewat dan dah tak ori lagi. Sampai kat sekolah aku pun 'snap' lah gambar bulu dan sedikit tahinya yang masih melekat di cermin dan wiper van aku. Ini bukanlah kejadian pertama, kalau tak silap aku pada bulan lepas ketika pulang dari sekolah seekor burung juga telah melanggar atau dilanggar oleh aku. Tapi taklah sampai melekat kat cermin. Ia cuma tercampak sahaja dan aku pun tak pasti jenis apa burung itu.

Sebenarnya terlalu banyak cabarannya jika melalui jalan dari triang ke kemayan atau sebaliknya. bukan setakat kereta dan lori yang memenuhi jalan, tapi keadaan jalannya yang semakin hari semakin teruk turut mengundang bahaya kepada penggunanya. Kerja-kerja menampal lubang yang dilakukan pun sekadar melepaskan batu di tangga sahaja. Teringat aku kepada satu kata-kata sindiran yang berbunyi: macam kerja orang tak bersunat! begitulah ibaratnya apa yang dapat dilihat pada jalan dari triang ke kemayan atau sebaliknya. Nanti aku cerita lagi apa-apa yang patut tentang pengalaman aku melalui jalan ini dalam tempoh empat bulan ini. Aku nak tengok bola dulu liverpool mengalahkan atletico madrid!!!

Rabu, 21 April 2010

sembang sempoi...tanah sejuring.

Salah satu bilik yang terdapat di dalam perpustakaan awam daerah bera. Tapi aku belum pernah masuk lagi kerana perlu mendapat kebenaran dari pegawainya terlebih dahulu.

Antara deretan buku yang terdapat dalam perpustakaan bahagian atas(bahagian dewasa) ialah buku-buku kartun terbitan atau koleksi dari Gila-Gila. Mungkin suatu masa nanti aku akan meminjam buku-buku tersebut.


Assalamualaikum...

Semalam 20. 04.2010, macam biasa balik dari sekolah lebih kurang pukul 2 lebih terus ke kerayong. cadangnya nak pulangkan buku di perpustakaan awam bera dan pos surat. sampai saja di pintu pagar perpustakaan kelihatan avanza warna biru kepunyaan cikgu hidzir dari pkg bera. aku melangkah masuk ke perpustakaan dan menoleh ke kiri sambil tersenyum memandang cikgu hidzir yang sedang membaca surat khabar. aku meletakkan buku pinjaman aku di atas kaunter dan berjalan menuju ke arah beliau.

maka bermulalah sesi persembangan kami berdua dari satu topik ke satu topik yang lain. dari soal kerja dan perjawatan melarat kepada soal surau taman triang maju, langsung kepada tanah 'sejuring' seberang jalan seri buntar. dan cikgu hidzir selaku setiausaha jkk seri buntar menawarkan aku 'sejuring' tanah yang terbengkalai kerana pengusahanya dahulu tak berkesempatan untuk memajukannya. aku pun bersetujulah kerana selain dari untuk mengisi masa petang aku, dapat jugak aku mengeluarkan peluh jantan aku. setidak-tidaknya badan, insyaAllah akan jadi sihat.

pada petang itu ketika aku baru selesai makan, satu panggilan masuk dari nombor baru. suara cikgu hidzir di hujung talian mempelawa aku untuk menengok kawasan tanah 'sejuring' yang bakal aku usahakan kononnya. aku tanpa berlengah bersiap dan bergegas ke seberang jalan kampong seri buntar sambil ditemani anak aku ahmad bilal abdullah dan ahmad ali abdullah. kawasannya agak luas jugak- lebih kurang 30 kaki persegi dan bersempadan dengan kawasan cikgu hidzir serta berhampiran dengan jalan.

aku pun mulalah menebas perlahan-lahan, maklumlah dah lama tak berkerja macam tu. mestilah slow-slow, dah panas enjin nanti barulah boleh tekan minyak dan masuk gear yang lebih tinggi. pung! pang! pung! pang! lebih kurang dua puluh minit. aku berhenti dan mengeluarkan handphone untuk melihat jam sudah pukul berapa. aik! dah pukul 6.46 rupanya. sikit lagilah. aku pun menyambung menghayun parang sabit aku. tiba-tiba... tangan aku terasa pedih dan lengan aku berhampiran siku pun turut terasa pedihnya. begitu pantas penyengat itu menyengat tangan aku tanpa sempat untuk aku mengelak. aku pun berundur dan melepaskan parang sabit aku sambil membelek ibu jari tangan kiri aku yang telah mula bengkak dan semakin pedih serta terasa kebas sekali.

mungkin itu tanda amaran supaya aku berhenti dan pulang ke rumah agaknya kerana hari telah pun hampir senja. setelah menyapu kesan sengatan tadi dengan tanah mengikut petua yang cikgu hidzir sebutkan, aku pun pulang dengan hajat akan datang lagi pada petang esok.
untuk santapan mata tengoklah tiga keping gambar yang sempat aku ambil pada petang tadi(21.04.2010)>



Masih banyak semaknya yang perlu aku tebas dan bakar.

Insya Allah aku akan usahakan sehingga berjaya. Kalau tidak malu mak ayah aku. hahaha!!!

Tapi nak tanam apa yek? Nak tanam getah dan sawit tak boleh, ala, tanam jek tanaman kontan macam pisang, jagung atau sayur-sayuran yang mudah-mudah seperti terung, kacang, atau lain-lain lagilah yang bermacam-macam tu.

Selasa, 13 April 2010

Aku Punya Cara Omongan.





dalam mencari nama-nama saksi
untuk aku kongsi bersama kroni
entah kenapa nama itu begitu serasi
dan sering bermain dalam mimpi
bukan ngeri atau seksi
tapi aku telah pasti
ini keramat yang mesti menjadi.

Aku Punya Cara Omongan
ngomong aku ngomong berbisa
bisa ku takluk satu benua
bisa sujud satu dunia
bisa goncang satu semesta.

Aku Punya Cara Omongan
bergetar telinga para pendengar
bersahutan para pencacai
berdebar hati-hati kutu
Oh! ini slogan baru
buka mesin-gun atau chewing gum.

Gampang apa pada salakan
aku gunung tahan jerkahan
biar kau hilang akal
aku tetap teguh bersama sorakan.

Aku Punya Cara Omongan
aku anak bapa pembangunan
punya jasa dalam kenangan
banyak bakti ku taburkan
telah terbukti aku berbudi
aku mesti mendahului
apa peduli pada kata keji
memang kau berniat dengki
sakit hati.



b.tan.
seri buntar.
13042010.

*siap diomongkan 1.08 t/hari.

Isnin, 5 April 2010

di permatang ini.

kita sentiasa berdiri dan meniti
di permatang ini
ada kala kita lupa pada janji
dan asyik kita mengukir mimpi
mencari bahagia di mana berada
dan terkadang kita berlari
mengejar pelangi
yang akhirnya kita tersandung
bayang-bayang sendiri.

di permatang ini kita beraksi
senyum dan tawa silih berganti
lupa kita pada duka
hanyut kita dalam leka.

di permatang ini kita kongsi
segala warna yang menghiasi
tiada nafsi-nafsi
yang ada cuma toleransi.

permatang ini telah sepi
lewat senja kelmarin kau pergi
tinggal hanya bayang suram
tinggal hanya mimpi kelam
tinggal aku yang terdiam.


b.tan
seri buntar.
3,38 pagi.

belasungkawa buat Mok Teh.

pukul 2.00 pagi, aku baru pulang dari rumah ayah teh kerana menziarahi jenazah almarhumah Mok Teh aku. Ia ibu saudara aku. Adik kepada mak aku. Baru minggu lepas diadakan bacaan Yaa Sin untuknya. Aku hanya pergi malam pertama sahaja kerana malam kedua isteri aku sakit gigi. Terpaksalah aku melayan anak-anak dan isteri aku sekali.

Mok teh aku di khabarkan mengidap penyakit kanser hati. di kesan setelah penyakitnya melepasi tahap ketiga iaitu tahap yang tidak lagi boleh diubati. itu kata doktor. kuasa Allah kita tidak tahu. agak lama juga ia berada di dalam hospital di kuantan. tapi aku dan keluarga tidak ada kesempatan untuk melawatnya. setelah ia keluar wad dan berehat dirumah anaknya di permatang badak, barulah aku berkesempatan ke sana. itu pun selepas menghadiri kenduri kahwin di rumah cikgu hussin. sebelum ia masuk wad, pernah sekali aku pergi melawat di rumahnya.

badannya agak susut tapi masih boleh berjalan. berbagai ikhtiar untuk merawat penyakitnya tapi Allah lebih menyayanginya. maka ia telah dijemput pergi mengadap Illahi lebih kurang pukul 10.40 malam. aku yang tinggal lebih kurang tiga ratus meter dari rumahnya tak tahu tentang kematiannya. hampir pukul sebelas, ayah aku menalipon memberitahu ketika itu ia telah ada di rumah almarhumah. menurut suaminya, ayah teh, sakitnya bermula dengan gastrik dan melarat menjadi ulser. langsung tidak diketahui tentang barah hati. cuma setelah ia mengadu sakit dalam badan sehingga tidak boleh duduk, kemudian di bawa ke hospital barulah diketahui penyakit yang sebenarnya.

aku dengan almarhumah agak rapat (mesra) juga, sebab semasa aku budak-budak dan ia belum berpindah ke rumah murah seri buntar, rumahnya berhadapan dengan rumah ayah aku. jaraknya lebih kurang 15 kaki sahaja. tapi yang meninggalkan kesan dalam hati aku ialah beberapa hari sebelum aku diijabkabulkan dengan isteri aku, ia telah datang ke kerayong dan kebetulan ketika itu aku sedang menunggu teksi untuk ke temerloh. kami pun berbual dan ketika itu sebuah teksi berhenti tanpa aku menahannya. aku tidak terkejut tapi mok teh aku pelik dan apa bila ia perasan dalam teksi itu ada tunang aku lagilah ia pelik dan hairan. pada malam itu ia telah ke rumah isteri aku dan menanya beberapa perkara lalu ia hampir menangis kerana bimbang isteri aku tidak akan bersetuju untuk berkahwin dengan aku. setelah diterangkan secara panjang lebar oleh isteri aku, maka ia pun faham dan legalah hatinya.

sebenarnya sebelum aku kahwin, proses peminangan bermula dari bertanya dan menghantar cincin, mok teh aku dan ayah de aku yang tinggal di felda mayam yang menjadi orang tengah atau orang perantaraan. sebab itulah mok teh aku begitu bimbang takut-takut isteri aku tak setuju untuk berkahwin dengan aku. makumlah pilihan orang tua dan kami pula tak pernah berjumpa. tahu-tahu naik teksi pergi ke temerloh. lalu berserabutlah fikirannya memikirkan yang bukab-bukan. tapi itu semuanya telah menjadi kenangan. kini ia tiada lagi, pergi untuk selamanya. satu lagi kehilangan terjadi yang tak mampu untuk kita lari atau bersembunyi. hanya secebis doa dan harapan agar rohnya nanti ditempatkan bersama mereka yang soleh dan beriman.
AL-FATIHAH.

Rabu, 31 Mac 2010

kehilangan...

Kematian itu adalah
satu kehilangan yang jelas,
tiada lagi
kata suka
gelak tawa
senyum ria,
tiada lagi
wajah gagah
tubuh sasa,
tiada lagi
maki hamun
sorak sorai,
tiada lagi
lidah liar
bau hamis,
tiada lagi
hasut fitnah
hasad dengki,
tiada lagi
rebut kuasa
turun takhta,
tiada lagi
kerna ia
telah pergi.
Kehilangan dalam kematian
turut sama mengundang aku
hilang segala,
yang tinggal cuma impian mereka
yang leka bermimpi
mencari janji yang tak pasti.

Oh! Tuhan,
bilakah bisa kehilangan aku berlaku?


B.Tan.
29.12.2005.
(Kematian Imam Masjid Triang-
Ustaz Idris)

Rabu, 17 Mac 2010

Gasak Sampai Tertonggeng.....



gasak sampai tertonggeng
mencari sen-sen
dari poket orang miskin.

gasak sampai tertonggeng
orang lain
jangan bising-bising
aku suka aku akan kencing.

gasak sampai tertonggeng
aku tak peduli
kalau jet hilang enjin
janji aku pakai cincin.

gasak sampai tertonggeng
aku bukan orang lain
suka makan macam cacing
senyap tak bising-bising
dan aku akan dapat komisen.

gasak sampai tertonggeng
kalau kau berbau hancing
kau mesti bayar lebih
kerana kau orang miskin.

gasak sampai tertonggeng
katalah apa kau nak kata
aku sudah jadi piem
aku sudah 'naik' isim.

gasak sampai tertonggeng
gasaklah apa aku boleh gasak
tertonggeng terpusing
tetap aku lanyak
aku nak banyak-banyak
tak mahu sedikit
macam orang terkincit
kau mahu lebih
kau mesti bayar lebih
untuk aku agih-agih
untuk aku dan kroni aku.


b.tan
seribuntar
17032010

*siap digasak pada 4.15am.

Rabu, 10 Mac 2010

senja di perantau damai...







*nota:- gambar-gambar ini aku copy(sebenarnya cilok!) dari komputer atas meja lan. malam-malam terakhir kat perantau damai, tak tahu nak buat apa lalu aku bukak komputer dan jumpalah gambar ini dalam folder "lanon's". jadi aku copy untuk kenangan aku. bila dah terbit catatan perantau damai satu dan dua, aku fikir baik aku kongsi dengan para pengunjung danau ini. tak lah cantik sangat tapi bagi aku cukuplah sekadar untuk menjadi penghias danau yang aku huni ini. sekian.

Isnin, 8 Mac 2010

perantau damai - ii

Gambar hiasan ini aku ambil di suatu subuh yang bening berhampiran dengan rumah yang aku sewa.

Ia diambil pada hari terakhir persekolahan iaitu pada 20 November 2009.


asalamualaikum....

jumaat bersamaan 8 januari 2010 adalah hari terakhir aku di perantau damai. aku dapat rasakan pada hari itu masa berjalan agak lambat dan seolah-olah aku masih lagi akan berada di perantau damai untuk beberapa hari. selain dari mengemas meja yang akan aku tinggalkan nanti, aku juga cuba untuk tidak terlalu memikirkan yang aku akan pulang ke bera dan tak tahu bila lagi akan datang berkunjung. aku sengaja cuba menyibukkan diri dengan membuat apa saja seperti berborak dengan lan dan bertanya itu ini. apa bila loceng berbunyi menandakan berakhirnya sesi persekolahan pada hari itu, aku tak tahu nak buat apa. nak terus balik, bermakna aku terpaksa berhenti di felda sebertak untuk solat jumaat, itu pun kalau mood aku baik semasa memandu. kalau tidak, terpaksalah singgah di kota bahagia(tabung haji). aku ambil keputusan untuk pulang selepas solat jumaat yang terakhir aku di perantau damai. setelah bersalam-salaman dan bertegur sapa dengan beberapa orang jamaah. begitulah kira-kiranya.

sementara itu semalam diadakan jamuan perpisahan untuk aku. simple dan ringkas sahaja. hanya di kantin sekolah seperti jamuan untuk cikgu-cikgu yang lain juga. aku diberi peluang untuk berkata sepatah dua kata. aku memang telah bersedia untuk berkata-kata, tapi berkata-kata tanpa teks. aku bukan jenis suka menyediakan teks. aku lebih suka kepada idea sepontan atau apa yang terlintas difikiran tapi tidak menyakitkan hati para pendengar dan sedikit lelucon untuk membuat yang mendengar ketawa atau tersenyum ceria. itulah yang aku lakukan dan berjaya menghilangkan sedikit rasa terharu di hati aku.

di waktu petang saat aku akan meninggalkan bumi perantau damai, cuaca mendung kerana hari nak hujan. al-maklum telah tiba musim hujan untuk mencurahkan airnya. setelah bersalaman dengan imam Razali dan berkirim salam kepada imam Jalil yang ke johor bahru kerana ke rumah anaknya, aku dengan berat hati menuju semula ke sekolah untuk mengambil laptop dan ikan yang aku tumpang dalam peti sejuk di dalam pejabat sekolah. kebetulan pula lan tidak masuk kerja kerana ada urusan di luar. aku merasa serba salah untuk melangkah meninggalkan pejabat sekolah. tapi aku terpaksa menguatkan semangat dengan berkata kepada diri ku: kalau lambat nanti hujan dan aku mungkin akan lambat sampai ke seri buntar. setelah memerhatikan sekeliling kawasan sekolah untuk kali terakhir, aku pun berlalu dengan rasa pilu dan tak tahu bila lagi akan ke mari.

di sepanjang perjalanan aku seperti biasa akan mendengar sinar fm selain dari ikim fm atau kadang-kadang pahang fm. tapi untuk menghilangkan sedikit rasa sayu aku layan "rock selamba". oleh kerana selamba, maka selamba jugalah perjalanan aku petang itu. hujan hanya renyai-renyai tapi tidak menyeluruh. aku rasa itulah pemanduan aku yang paling selamba selama aku berulang-alik dari bera ke perantau damai. entah kenapa hati aku ingin cepat sampai dan kaki aku telah kuat menekan minyak tapi pergerakan van yang aku pandu hanya sekadar 60 km/j malah ada ketika hanya sekadar 40 km/j. aku sedar ketika itu tapi nak buat macam mana, hati yang ingin cepat sampai itu sebenarnya sedang melalui denai-denai kesayuan dan kepiluan. tak tahu kenapa, bukan ada sesiapa yang aku sayangi atau aku cintai yang terpaksa aku tinggalkan di perantau damai. cuma mungkin perasaan atau emosi aku saja yang terlebih-lebih untuk merasa sayu atau pilu, disamping jiwa aku mengucapkan salam dan selamat tinggal kepada pepohon di kiri dan kanan jalan sepanjang jalan bera selatan itu. lalu perjalanan yang bermula pada pukul 2.15 petang itu hanya berakhir pada pukul 6.00 petang. itulah akibatnya jika terlalu melayan perasaan, perjalanan yang biasa aku buat satu jam setengah menjadi hampir empat jam!!

selain dari itu aku bercadang juga nak ke perantau damai ketika sukan tahunan diadakan tapi oleh kerana sekolah aku mengadakan kem bestari solat, maka terpaksalah niat itu aku batalkan dan pada hari ahad nya pula seperti biasa aku akan mengunjungi anak-anak aku yang berada di asrama. tiadalah peluang lagi untuk ke sana dan mungkin suatu masa nanti akan aku jenguk juga perantau damai kerana isteri aku pun agak rapat dan mesra dengan beberapa makcik yang menjadi jiran aku semasa di sana. catatan ini hanyalah sekadar melepas rindu pada perantau damai khususnya skpd yang tetap di hati di samping bandar tun razak yang begitu simple tapi meriah dengan orang melayu. itu yang aku seronok tu.

memadailah sekadar ini sahaja catatan tentang perantau damai, jika ingin dibuat beberapa siri lagi, mungkin aku terpaksa mengingat dan mengenang kembali perjalanan hidup aku semasa di perantau damai. itu tak mungkin aku lakukan kerana rasa sayu dan pilu pasti akan meyelubungi aku. cukuplah cuma kenangan itu menghuni di sudut hatiku dan terpahat kukuh diingatan ku. semoga pengalaman yang aku lalui di perantau damai bersama warganya lebih mematangkan lagi aku dalam meneruskan perjalanan hidup ini menuju ke titik noktahnya. damailah perantau sedamai senja di perantau damai. bjs = buat jiwa sepi/sayu.

Jumaat, 5 Mac 2010

perantau damai - i


Assalamualaikum...

pada hari rabu malam khamis yang lalu, aku telah tertekan nombor handphone cikgu wahat, gpk 1 sk perantau damai semasa mengemaskini nombor-nombor yang aku tak mahu simpan sebab dah bertukar nombor. besoknya pagi-pagi lagi dia dah call aku bertanya pasal menelefon dia. aku kata, tak sengaja tertekan. memang aku tak sengaja pun, kalau aku sengaja baik aku dail nombor.... hehehe!!!

beberapa ketika kemudian terkenang saat-saat aku berada di perantau damai. terbayang satu persatu wajah-wajah gurunya tapi sayang tiada sesi bergambar pada tahun 2009, kalau tidak boleh aku paparkan disini. teringat pada lan yang setiap petang akan layan 'rock selamba' di muzik fm. aku pun apa lagi tompang sekakilah. menurut katanya, arwah zulkifli penyanyi kumpulan masa scarecrew adalah kawan beliau semasa bersekolah dulu. susah nak cari kawan macam lan ni yang amat komited dengan kerja dan tanggungjawab. malam-malam pun datang jika kerja tak siap atau mencetak soalan peperiksaan. pendek kata banyak perkara-perkara dan selok belok pentadbiran yang beliau tahu.

malam-malamnya aku akan ke masjid dengan anak-anak samada ada kuliah atau tidak, malah cermin mata yang aku gunakan sekarang pun dibuat di masjid selepas solat asar. kisahnya bermula pada bulan puasa ada dua orang lelaki dari narathiwat datang buat promosi membuat cermin mata dan bermalam di masjid untuk beberapa malam. malaysia ni dah jadi macam negeri nombor dua baginya. malah beliau telah rata pergi ke seluruh ceruk rantau khususnya kawasan di perak. memandangkan aku begitu sukar untuk membaca tulisan yang agak kecil kerana telah berumur (agaknya!), ringan saja mulut bertanya itu ini. setelah diuji, memang bersesuaian dengan mata aku dan dibuat dua lapis. prosesnya simple walau pun agak rumit sedikit. lebih kurang setengah jam siap cermin mata aku. harganya rm 650.00 tapi aku bayar seratus dulu, dapat gaji baru bayar habis. dia setuju dan memberi nombor akaun bank Islamnya di rantau panjang. aku masih ada menyimpan nombor handphone saudara Abdul Roning ini. jika ada sesiapa nak buat cermin mata bolehlah.

tengah dok menaip ni, masuk posmen hantar surat. aik! ada surat untuk aku dari skpd. oo...! penyata gaji pekerja agensi kerajan untuk cukai pendapatan. terimakasihlah lan dan pt nya yang aku tak ingat namanya sebab baru bertugas 2,3 minggu. makin teringat aku kat perantau damai. kalau isteri aku tahu ni, mesti bisinglah dia. adalah yang dia ingat di sana tu asyik sebut perantau damai saja!! itu lah antara ayatnya yang membuat aku akan tergelak dan makin mengusiknya. aku pun tak tahu apa yang istimewanya perantau damai, tapi aku rasa selasa dan dapat menyesuaikan diri. seminggu dua kali pasar malam, hari isnin di keratong lapan, khamis di keratong sembilan dan ikan serta sayurnya jauh lebih murah dari di triang atau di pekan sari kerayong. pernah aku beli ikan selar putih tiga kilo sebab harganya empat ringgit sekilo. masih segar lagi pulak tu. kalau di triang atau kerayong tak merasalah jawabnya.

namun begitu, ia semua adalah secebis kenangan diantara kenangan-kenangan semasa di perantau damai. insyaAllah aku akan sambung lagi kisah aku di perantau damai untuk beberapa siri lagi. terasa sayang nak dilupakan begitu saja walau tempohnya hanya sebelas bulan tapi penuh bermakna dan meninggalkan kesan mendalam, apatah lagi apabila terdengar sesiapa saja menyebut perkataan keratong atau pun perantau damai. damailah perantau sedamai senja di perantau damai.

Khamis, 18 Februari 2010

Assalamualaikum....

semalam 17hb Februari 2010 adalah tarikh rasmi yang tercatat dalam sijil kelahiran atau nama glamournya 'surat beranak'. tarikh sebenar yang dimaklumkan oleh ayah aku ialah 20hb Julai 1966, tetapi telah didaftarkan pada 17hb Februari 1967 di Pondok Polis Durian Tawar. semuanya bermula dari masalah perhubungan, kekangan masa dan kesihatan aku yang semasa dilahirkan agak 'berbeza' dari adik beradik aku yang lain. aku sengaja tidak mengingatkan isteri aku tarikh tersebut, cuma aku dan isteri serta tiga orang anak aku telah ke Pekan Sari Durian Tawar untuk membeli beberapa keperluan dapur. Kebetulan pula sk kemayan bercuti selama seminggu sempena tahun baru cina. aku tak tahu kenapa gb aku beria-ia sangat nak cuti lama, mungkin kerana nak bagi gpk 1 aku beraya puas-puas agaknya.

Tidak ada projek atau program yang aku lakukan pada hari kelahiran aku, cuma sedikit aktiviti mengemas bahagian depan rumah aku yang berselerak dengan segala macam perkara, telah banyak kali isteri bersungut tentang kertas-kertas milik aku yang telah diselerakkan oleh siti nur aisyah dan abang-abangnya, termasuklah himpunan akhbar harakah yang aku simpan sebagai kenangan atau bahan sejarah yang tidak mungkin dapat dicari walau di arkib negara sekali pun. memang aku menginginkan sebuah bilik atau ruang untuk aku menempatkan buku-buku dan majalah kepunyaan aku, tapi oleh kerana kekurangan bajet terpaksalah bersabar apabila buku atau majalah aku di sepah atau dikoyakkan oleh anak-anak. walau berbuih mulut mengingatkan kalau sudah baca simpan dan susun semula ditempatnya namun masih juga aku atau uminya yang terpaksa mengutip dan menyusunnya. itulah kerenah anak-anak yang menjadi penghibur dan pengubat duka di saat usia kini mencecah angka empat puluh tiga. SELAMAT HARI LAHIR UNTUK AKU.

Aku bukan tak mahu up-date blog aku ini tapi oleh kerana seperti aku katakan tadi, kekurangan bajet, maka hampir sebulan aku tak bayar bil broadband. akibatnya tak dapatlah aku melayari internet seperti biasa. pernah suatu malam aku terserempak dengan en. Ismail PKG Triang antara katanya: sunyi sepi je! maksudnya blog akulah tu. aku cuma gelak dan menjawab tak bayar bil broadband, biasalah. hahaha!!!

Rabu, 6 Januari 2010

catatan terakhir di bumi lawas, sarawak.

Saat itu akan tiba juga untuk aku berangkat pergi meninggalkan daerah ini. Setelah hampir empat tahun aku berada di rantau orang. Satu daerah yang tak pernah ku mimpikan untuk menjejakkan kaki di bumi yang terkenal dengan burung Kenyalang. Segala pengalaman pahit manis ketika mula-mula datang dahulu masih lagi jelas terbayang di ruangan mata. Al-maklum kali pertama menaiki kapal terbang. Pengalaman itu kini telah lali bagi ku kerana menaiki kapal terbang terutama jenis "twin otter" seperti menaiki bas sahaja. Walaupun ia agak mencemaskan tapi itulah satu-satu pengangkutan yang akan menghubungkan daerah ini dengan bandar/daerah-daerah lain di Sarawak. Selain dari bot ekspress yang agak terbatas penggunaannya. Namun melihat deretan bot-bot ekspress di jeti atau pangkalan bot bukanlah satu yang asing terutamanya bagi menghubungkan bandar dengan masyarakat yang menghuni di daerah pedalaman.

Agak sukar juga untuk menyatakan perasaan aku ketika ini. Walau pun hitam putihnya belum ada, tapi panggilan telefon dari kakak dan ayah aku membayangkan permohonan pertukaran ke semenanjung akan bejaya. Rasa gembira tetap ada, siapa yang tidak gembira pulang ke kampung halaman. Pilihan aku bukanlah kampung kelahiran aku, tapi atas desakan kakak dan ibu aku yang tidak bersetuju terpaksalah aku ubah niat aku untuk berbakti di satu lagi daerah yang agak pedalaman. Daerah yang aku huni sekarang ini bukanlah pedalaman sangat tapi cukuplah untuk membuat seseorang itu termenung ketika mula-mula sampai. Ini aku lihat dari guru-guru yang baru datang untuk berkhidmat mendidik anak bangsa(?). Walau pun mereka siswazah, graduan tetapi perasaan sayu tetap kelihatan di wajah apabila berada jauh dari keriuhan kaum keluarga.

17.10.1995- Selasa. 11.03 pagi.
Kini aku menyambung kembali catatan terakhir aku di Bumi Kenyalang. Hari Jumaat malam Sabtu yang lalu aku bermalam di sekolah kerana ada Perkhemahan Pasukan Pengakap dan Pandu Puteri. Di siangnya mereka berkelah di Melasak. Tapi aku tak turut serta kerana ingin menganti tidor aku yang masih belum cukup. Maklumlah malamnya aku hanya lelap sejam lebih sahaja. Malam Ahad pula ada satu majlis di Kampung Belangsat untuk meraikan aku sekeluarga serta Ustaz Nasir juga sekeluarga.

Aku terharu dengan sambutan dan persiapan yang dibuat. Walaupun sederhana tapi meriah dan penuh bererti bagi diri aku. Aku hanya mengajar selama dua tahun sahaja- Disember 1991 hingga Oktober 1993. Tapi penghargaan yang diberi amat bermakna, jika dibandingkan dengan sumbangan aku kepada mereka. Mendidik dan mengajar anak mereka sudah menjadi tanggungjawab aku. Aku mesti melaksanakannya. Jika tidak, bererti aku tidak menjalankan tugas yang diamanahkan padaku.

Teringat aku kepada kisah perbalahan kecil antara guru-guru dan guru besar. Aku walaupun masih baru, di tahun pertama, dengan lantang menempelak Guru Besar yang menuduh guru-guru tidak memberi kerjasama ketika Pesta PIBG SRK Belipat. Sejak dari itu aku seakan dimusuhi oleh G.B. Tapi aku tak kisah, sebaliknya merasa puas kerana dapat meluahkan apa yang terbuku di hati. Memanglah tindakan aku itu tidak wajar, tapi itu lah sahaja cara untuk menyedarkannya. Namun orang macam G.B. itu bukan jenis tahu malu. Baru-baru ini ketika mesyuarat agung PIBG SRK Belipat, beliau menghalang guru-guru dan bekas bendahari untuk menyatakan kedudukan kewangan yang sebenar. Biarkan dia lepas waktu ini, tapi akhirnya rahsia itu akan diketahui juga.
Ok, lah! tinggalkan dahulu kisah orang tua itu, tiada faedahnya diperkatakan lagi.



* catatan itu seperti biasa tergantung tak bertali. entah kenapa aku pun dah tak ingat. mungkin aku sibuk nak mengemas barang-barang dan mengisi ke dalam kotak. Gb tu namanya Low Kee Sing. semua murid dan guru kaum kedayan serta murut, cuma ia seorang sahaja kaum tionghua. mungkin sekarang dah pencen agaknya. itulah catatan aku saat-saat akhir aku berada di bumi kenyalang khususnya lawas.

Selasa, 5 Januari 2010

ahamdulillah....

assalamualaikum...,

jika beberapa hari dan minggu yang lalu, bila orang-orang yang mengenali aku bertanya: dah dapat surat? jawapan yang pasti ialah: belum!
aku pun tak tahu siapa yang memulakan cerita dan berita ini. orang-orang di ppd bera kah atau juga orang-orang di ppd bera? (double bera).

seingat aku, pada 28.12.2009 bersamaan hari isnin, ketika aku sedang memandu dengan kelajuan 120 km/j menuju ke perantau damai selepas melepasi simpang ke melati untuk menghadiri mesyuarat guru kali pertama bagi persediaan tahun 2010, aku telah dihubungi oleh sabri(member 'ngeteh' aku), gpk 1 sk purun. antara ayat pertanyaannya ialah dah dapat surat tukar ke. aku tanya semula: tukar kemana? kemayan, jawabnya. aku tanya lagi, takde surat pun. tak lama lagilah tu, katanya.

sejak dari itu setiap kali berjumpa dengan cikgu-cikgu dan orang yang biasa dengan aku, sibuk mereka bertanya: dah dapat surat? aku pun hairan. aku sendiri tak tahu betul ke tidak aku akan dapat bertukar ke sk kemayan, tapi seolah-olah telah heboh satu bera yang aku kononnya dapat tukar ke sana. malah ketika aku berurusan di ppd bera untuk menukarkan anak aku ke sk seri buntar pun, sempat jugak cc nya bersembang dengan aku dan katanya: kemayan!

dan hari ini 2 januari 2010, ketika masuk pejabat pada pukul 7.57 pagi dan bertembung dengan razak, ia berkata: confirmlah ustaz dapat tukar sebab boss pun dah tahu. aku hanya berkata: ye ke? setelah masuk bilik aku dan mengambil name-tag, aku duduk di kerusi lan untuk melihat surat yang baru sampai.(7.30 pagi posmen dah hantar surat kat sekolah aku!) sambil membuka fail dan membelek beberapa surat, cikgu rosnah (gpk hem) masuk dan berkata: tahniah ustaz, dapat sk kemayan. katanya sambil tersenyum. terima kasih, tapi mana suratnya. kata aku. ia pun mengambil sepucuk surat yang telah dikoyak tepinya dan mengeluarkan isinya lalu menghulurkan kepada aku. memang sah ia surat pertukaran aku dari sk perantau damai ke sk kemayan.

orang pertama yang aku maklumkan ialah isteri aku. alhamduLillah, katanya. kini aku tak tertanya-tanya lagi tapi nak kata gembira pun tak jugak sebab memang ada sedikit rasa berat hati aku nak berpindah dari sk perantau damai. kalau tak kerana isteri aku yang beria-ia nak balik semula ke seri buntar, mungkin aku masih lagi di sini. malah aku telah ambil keputusan untuk melapor diri di sk kemayan hanya pada 11.01.2010 dan aku akan menghabiskan baki kerja yang belum siap sehingga hari jumaat. sebagai tanda aku masih sayang pada sk perantau damai, biarlah aku bermalam di sekolah ini untuk tiga malam lagi.

rasanya tiada apa yang dapat aku banggakan, sumbangan aku kepada sekolah masih belum kelihatan dan janji aku nak berkhidmat selama dua atau tiga tahun di sini nampaknya tak kesampaian. terselit juga rasa sayu kini dan teringat saat aku nak meninggalkan bumi kenyalang 14 tahun yang lalu. aku rasa seolah peristiwa itu seakan berulang kembali dan perasaan yang sama juga menghuni di hati ku kini. tapi, biarlah ku pendamkan saja. mungkin selepas ini aku akan menyalin sedikit catatan yang aku catat saat-saat akhir aku berada di srb agama, lawas, sarawak dahulu. catatan itu aku dah lama simpan dan nak jugak kongsi dengan sesiapa yang membaca khususnya mereka dari lawas.
see you tomorrow!

Isnin, 4 Januari 2010

hari pertama persekolahan 2010.

assalamualaikum.....

aku bangun agak lewat iaitu pada pukul 5.15 pagi. setelah semua barang-barang seperti kain baju, seluar dan segala macam keperluan siap, aku pun memecut ke sk perantau damai pada pukul 6.40 pagi dengan jangkaan sempat sampai pada pukul 7.45 pagi. tapi sekolah aku berhimpun pagi Isnin pada pukul 7.30 pagi. agak-agaknya sempat lagi tu. tapi kereta banyak pulak termasuk beberapa buah lori yang besar dan panjang.

setiba di suatu selekoh selepas menuruni bukit ada sebuah kereta putih berhenti dengan lampu kecemasannya menyala dan aku memang mengenali kereta itu. ia kepunyaan zaini (gpk koko keratong 4), aku pun brek dan berhenti ketika itu hujan renyai-renyai. rupa-rupanya tayar hadapan sebelah kirinya pecah. dah ditanggal tapi belum bertukar. sambil tersengih, ayat pertama yang keluar dari mulutnya ialah: dah dapat surat? dok lagi. jawab aku. tak tahulah bila nak sampai, katanya lagi. ini bermakna ia pun macam aku jugak sedang menunggu surat pertukaran ke daerah bera.

katanya ia dari pukul 6.15 pagi kat situ. tapi sebuah kereta pun tak berhenti, katanya. memanglah tengah-tengah hutan rimba dalam gelap gelemak siapa yang berani berhenti, kecuali orang yang mengenali kita sahaja akan berhenti. setelah berpesan supaya aku menelefon guru besarnya dan menyatakan ia boleh buat sendiri, aku pun berlalu sebab jam menunjukkan 7.23 pagi. aku apa lagi, masa telah suntuk dan sampai di simpang melati pukul 7.40 pagi. perhimpunan tengah berlangsung. tapi mungkin tak ada sebab hari hujan renyai-renyai. aku selamat sampai di sk perantau damai tepat jam 7.53 pagi. memang sah tak ada perhimpunan sebab banyak kereta kat tapak perhimpunan.

hahaha! adalah perhimpunan tapi kat dalam dewan sekolah dan guru besar tengah berucap. setelah punch card dan mengenakan tali leher aku pun turun semula dan masuk ke dewan sambil bersalaman dengan beberapa orang guru lelaki. ada guru baru perempuan berbaju hijau memperkenalkan diri: zuriatee.

8.15 pagi aku ada kelas di tahun 4 arif dan 9.45 di 4 bestari. baru lah boleh masuk kantin dan makan apa yang ada, sebab kalau lewat memang selalu dah licin. bila budak-budak dan cikgu balik, maka bermulalah saat boring. nampak gayanya tidur kat pejabat lagilah aku malam ini dan malam-malam berikutnya.

ok lah aku pun belum solat zohor lagi dan cadang nak pergi bandar tun sekejap, kalau aku rajin malam nanti aku akan bersiaran lagi dari bilik gpk koko sk perantau damai ini. sekian dahulu dari aku setelah sebulan lebih aku bercuti di bera. sebulan lebih? ye! sebulan lebih. bercutilah katakan. tapi kini aku dah kembali, don't worry!.

Ahad, 29 November 2009

wajah-wajah sepi(versi original)




* dulu aku siarkan dalam entri yang bertajuk 'selingan jek'. tapi ini dia yang original, dilukis dan ditulis atas kulit buku tafsir tingkatan lima!!!

Ahad, 22 November 2009

21.11.2009(1993)

hari ini adalah hari sabtu. hari pertama bermulanya cuti persekolahan akhir tahun. hari di mana aku bangun pada jam 4.00 pagi. hari di mana aku ingin memulakan satu operasi baru dalam hidup aku. hari hujan yang sejak subuh kadang berhenti kemudian sambung lagi. hari aku bersantaian dengan laptop aku sambil melayan kerenah anak-anak aku yang meminta hendak itu dan ini. yang riuh dan bising dengan suara mereka yang bernada tinggi. hari aku belum bersarapan walau teman wanita hidup aku telah siap menyediakan nasi goreng dan teh o panas. hari aku tak makan di kantin sekolah. hari aku tak dapat minum susu suam bancuhan kak ani. hari aku mendengar suara seorang ibu menegur dalam bersyukur, memarahi anak kerana sayang anak, yang agak merajuk kerana aku masih belum nak makan lagi bersamanya menemani. dan aku fikir nak berhenti dahulu walau 21.11.2009 baru mencatat jam 8.08 pagi. rasa-rasanya apa yang ada dan menarik pada 21.11.1993. hari itu adalah hari bersejarah. bukan sejarah hitam atau kelabu. tapi hari aku jadi suami kepada seorang bini. bukan bini-bini. hari aku gementar tapi tak menggeletar. hari aku bersyukur kerana dapat nikah dan kahwin. sebenarnya itulah yang aku nak bagi tahu pada diri aku dan isteri aku serta sesiapa yang terbaca catatan ini. sekian dimaklumkan. kita makan dulu!

Khamis, 19 November 2009

siapa dia...




antara makhluk ciptaan Allah yang aku kagum...

reformasi!

tiba-tiba lelaki itu berdiri
dan melaungkan kata-kata sakti

REFORMASI!!!
REFORMASI!!!
REFORMASI!!!

tanpa peduli konspirasi
yang tak berhati
dan di belakangnya pula
ribuan mereka yang sanggup mati.



b.tan.
20.9.2000.

Isnin, 16 November 2009

berjuang terus berjuang

berjuang terus berjuang
biar darah merah
tumpah di bumi ini
namun undur pantang pendekar.

sedarlah
bahawa kita anak medeka
tanah ini perlu dibela
dari dijajah pengkhianat bangsa.

laungkan kata azimat
bangunkan semangat umat
pecahkan tembok zulmat
jadilah kau sebagai penyelamat.

berjuang terus berjuang
usah gentar dengan gertakan
mereka hanya bisa menyekat
namun tak bisa membunuh semangat.

segala kudrat segala keringat
perlu dikerah membakar darah
biar panas terus menyala
menyinga pada mereka
untuk menerkam sidurjana celaka.

Pejuang
perjuangan ini perlu diteruskan
selagi kita ada maruah
jati diri harga diri yang mulia
kukuhkan azam hapus kemungkaran
hunuskan pedang pancung kezaliman
biar mereka mati bergelimpangan.


b.tan.
6.30-7.10
8.8.2000.


*masih ingat pada tarikh 8.8.2000? bagi mereka yang tak peduli tentang 'reformasi' mungkin tarikh itu sama seperti tarikh-tarikh yang lain. datang dan pergi tanpa meninggalkan apa-apa kesan dalam kehidupan mereka. tapi bagi aku ia sedikit sebanyak telah berupaya mengubah corak dan landskap politik di malaysia ini.
sajak ini aku jumpa semula ketika kembali membongkar kotak untuk 'dikemaskini' dan diangkut kembali ke seri buntar. rupa-rupanya masih banyak catatan aku yang tergantung dan tersimpan begitu lama. ada yang sejak aku tingkatan empat lagi. kononnya untuk dijadikan novel tapi sampai sekarang tak pernah siap. mungkin aku dah pencen nanti kot-kot ada masa untuk disambung semula penulisannya. itu pun jika umur panjang, kalau tidak tak tahulah. semuanya terserah pada Ilahi Yang Maha Mengetahui.

Jumaat, 13 November 2009

resah sekeping hati...

assalamualaikum...
dah lama tak membuat sebarang catatan di blog aku ini, selain sibuk dengan perkara-perkara yang perlu diselesaikan, aku juga sedikit terganggu dengan masalah yang melanda dan menimpa pakatan rakyat lebih-lebih lagi pas. semuanya membuat aku bimbang dan cemas disamping pelik bin hairan dengan apa yang berlaku. aku tak mahulah memberi sebarang komen atau alasan, kerana aku pernah aktif dan memegang beberapa jawatan dalam pas. terus terang aku katakan aku tak takut dengan tindakan manusia yang akan mati macam aku juga nanti. tapi apa boleh buat segalanya telah berlaku, hadapi dan terimalah dengan redha ujian dan dugaan dari Allah ini. sama ada suka atau tidak terimalah kenyataan ini. ok, cukuplah setakat itu dulu.

dua tiga minggu ini aku balik ke seri buntar membawa barang sikit-sikit. semua ini melayan kehendak isteri aku yang dah tak sabar-sabar nak balik semula ke sana. ini pun meletihkan aku jugak. tapi kerana isteri aku sorang saja, aku layan dan jaga hatinya walau terkadang ia berkecil hati kerana aku selalu melebihkan kerja dari keluarga. bukan sekarang, dulu-dulu masa di sk kerayong pun dia selalu bersungut. sabar sajalah, sedangkan saidina Umar al-Khatab pun isterinya bersungut dan berleter. tapi beliau diam tak membalas. bila ditanya oleh para sahabat beliau menjelaskan(lebih kurang katanya): biarlah isteri melepaskan perasaannya kerana setelah penat mengurus rumahtangga dari pagi sehingga malam tanpa kita membantu atau menolongnya walau sekejap pun.

oleh itu bagi kaum bapa atau suami yang isterinya melepaskan resah sekeping hati usahlah dilawan, berdiam diri sajalah itu lebih selamat dari kita pun turut sama cuba melepaskan perasaan kita. bak kata pepatah orang tua-tua.......... eh! aku dah lupalah apa orang tua-tua kata. hahaha!!!